Sunday 3 November 2013

KARANGAN FOKUS SPM 2013

Langkah-langkah untuk mengatasi kepupusan semangat kejiranan dalam jiwa masyarakat.

Dewasa ini, masyarakat dunia terlalu menumpukan perhatian terhadap kepentingan material dan mengejar kesenangan hidup semata-mata sehingga melupakan salah satu nilai kemanusiaan yang amat berharga iaitu semangat kejiranan. Berikutan soal selidik yang telah dijalankan, didapati bahawa 65.2% daripada masyarakat Malaysia tidak mengenal atau mengetahui nama-nama jiran mereka apatah lagi mewujudkan silaturrahim yang erat antara kedua-dua belah pihak. Nilai moral yang semakin pupus ini menyebabkan kepincangan sosial berlaku dalam kalangan masyarakat walaupun dari segi lahiriahnya, keadaan hidup masyarakat lebih maju dan mewah. Oleh itu, beberapa langkah yang efektif perlu diambil bagi memulihkan semangat kejiranan yang kian memudar dalam jiwa masyarakat ini.
               Langkah yang perlu dipraktikkan oleh setiap golongan masyarakat iaitu mereka perlu mengamalkan semangat atau sikap kejiranan secara menyeluruh dan holistik dalam kehidupan seharian untuk mengelakkan semangat ini daripada pupus. Hal ini demikian kerana, kesedaran terhadap kepentingan semangat kejiranan perlulah lahir daripada ahli masyarakat itu sendiri supaya mereka sentiasa mengamalkannya dengan ikhlas dan secara berterusan. Seterusnya, keadaan sosial masyarakat akan bertambah baik dengan kewujudan sikap mengambil berat terhadap jiran ini. Contohnya, sebagai seorang jiran, kita perlulah mewujudkan hubungan yang erat dengan ahli masyarakat yang lain dan saling membantu supaya kerja yang sukar dapat dipermudah bertepatan dengan peribahasa, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Tegasnya, semangat kejiranan dapat ditanam dalam diri setiap lapisan masyarakat jika mereka mengutamakan serta mengamalkan perkara ini dalam kehidupan seharian.
               Selain itu, sebagai seorang jiran, kita perlulah bertegur sapa antara satu sama lain untuk menghidupkan semangat kejiranan di kawasan tempat tinggal masing-masing. Melalui amalan ini, kita akan dapat mengenal jiran secara peribadi dan seterusnya mewujudkan hubungan persahabatan yang erat dengan mereka. Antara perkara yang perlu dititikberatkan dalam usaha ini iaitu sentiasa bermanis muka apabila bersua, bertanya khabar jiran dan bercakap hal-hal yang baik sahaja tanpa mengguris hati jiran. Menurut agama Islam, senyuman dan kata-kata yang baik itu satu sedekah, kita wajib mengamalkannya agar tali silaturrahim dan juga perpaduan antara jiran dapat diutuhkan lalu mengukuhkan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Jelasnya, sikap sentiasa bertegur sapa antara satu sama lain merupakan elemen yang amat esensi dalam mewujudkan semangat kejiranan dalam sesebuah masyarakat.
               Dalam pada itu, amalan kunjung-mengunjungi ke rumah jiran juga amat perlu bagi menaikkan semangat kejiranan dalam sesebuah entiti masyarakat. Seseorang ahli masyarakat yang baik hendaklah sentiasa menziarahi rumah jirannya terutamanya apabila terdapat kejadian-kejadian yang amat signifikan seperti kematian ahli keluarga, kelahiran cahaya mata dan majlis rumah terbuka bagi menyambut upacara perayaan dalam agama masing-masing. Bagi jiran yang telah kehilangan salah seorang ahli keluarganya, amalan ziarah-menziarahi ini secara tidak langsung dapat mengurangkan tekanan atau bebanan yang dihadapi olehnya disebabkan bantuan dan juga sedekah yang disumbangkan oleh rakan-rakan yang datang berkunjung ke rumah. Sebaliknya, jika terdapat kelahiran anak ataupun majlis rumah terbuka, kehadiran seseorang itu dapat menceriakan suasana serta menggembirakan jiran yang mengadakan sambutan tersebut. Oleh itu, ahli-ahli masyarakat perlu sentiasa berkunjung ke rumah jiran mereka agar semangat kejiranan yang kental dapat diwujudkan dan dikekalkan.
               Sehubungan dengan itu, komuniti masyarakat hari ini haruslah menjadi  insan yang baik dengan sentiasa menjaga kebajikan jiran tanpa mengira waktu bagi membajai semangat kejiranan dalam setiap golongan masyarakat. Hal ini dapat dilaksanakan dengan sentiasa menghulurkan bantuan apabila diperlukan oleh jiran yang merangkumi bantuan kewangan, tenaga dan khidmat. Sebagai contoh, kita wajib memberikan sumbangan apabila mereka menghadapi sebarang kesulitan sama ada melalui wang, tenaga kerja ataupun memberikan kata-kata semangat jika tidak mampu. Seterusnya, beban yang dihadapi oleh mereka akan berkurangan, keakraban persahabatan dengan jiran dapat ditingkatkan dan permuafakatan bersama dapat diwujudkan, bak kata peribahasa, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Justeru, apabila setiap lapisan masyarakat menjaga kebajikan jiran masing-masing, nilai kerjasama dan muafakat yang lahir akan mengukuhkan lagi semangat kejiranan.
               Di samping itu, langkah yang selalu diabaikan oleh masyarakat masa ini adalah mengawasi rumah jiran waktu mereka pulang ke kampung yang merupakan usaha efektif ke arah mengutuhkan semangat kejiranan. Perkara ini termasuklah menjaga keselamatan rumah dan barang-barang berharga kepunyaan mereka daripada diceroboh atau dicuri. Misalnya, kita sebagai seorang ahli masyarakat yang berguna perlu sentiasa memantau kawasan rumah mereka untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku seperti kecurian, pencerobohan dan mungkin juga pembunuhan penduduk di kawasan tersebut. Oleh sebab itu, sikap waspada harus ditanam dalam diri setiap golongan masyarakat kerana malang tidak berbau, selain itu, hubungan silaturrahim dengan jiran juga dapat dikukuhkan kerana sikap ini dapat menimbulkan rasa terhutang budi dalam diri mereka bak kata peribahasa, hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati. Jelaslah di sini bahawa dengan mengawasi rumah jiran sewaktu mereka tiada di rumah bukan sahaja dapat mengelakkan kemalangan malah akan mewujudkan semangat kejiranan dalam sesebuah komuniti.
               Semangat kejiranan juga dapat diwujudkan dan dikekalkan jika setiap golongan masyarakat menjaga nama baik jiran mereka. Demi menjadi seorang ahli komuniti yang baik, kita perlulah sentiasa menjaga maruah dan nama baik jiran kita di samping tidak menyebarkan fitnah atau mendedahkan aib mereka. Hal ini seterusnya akan menyebabkan para jiran mempunyai rasa hormat dan kasih sayang terhadap masyarakat sekeliling yang telah menunjukkan sikap serta akhlak yang murni buat mereka. Oleh yang demikian, kita perlulah menzahirkan keikhlasan terhadap jiran dengan mengelakkan daripada menyebarkan perkara-perkara yang tidak baik atau tidak benar kepada orang ramai termasuklah rahsia, aib diri serta keluarga jiran dan juga tuduhan yang tidak mempunyai bukti kukuh. Sesungguhnya dosa memfitnah itu lebih berat daripada dosa membunuh. Tegasnya, kita semua perlu menjaga nama baik jiran demi mengekalkan keamanan dan semangat kejiranan dalam sebuah masyarakat.

               Kesimpulannya,  setiap golongan masyarakat perlu memainkan peranan yang amat besar bagi memastikan semangat kejiranan tidak pupus dalam jiwa mereka. Usaha dan langkah yang rapi serta efektif perlulah dilaksanakan agar hasrat ini dapat dicapai bertepatan dengan peribahasa, yang bulat takkan datang bergolek, yang pipih takkan datang melayang. Kita semua haruslah bersikap saling membantu dan melengkapi antara satu sama lain supaya suasana kehidupan yang harmoni dan sejahtera dapat diwujudkan. Hal ini juga demikian supaya wawasan pembangunan modal insan yang syumul dapat dijayakan dan seterusnya dapat melahirkan masyarakat serta negara yang maju bukan sahaja dari aspek material malah dari aspek sosial dan sahsiah juga.                                                                                                                                                   

2 comments: