Showing posts with label KOMSAS TINGKATAN 5. Show all posts
Showing posts with label KOMSAS TINGKATAN 5. Show all posts

Tuesday, 25 July 2017

TEKNIK PLOT CERPEN GERHANA MANUSIA

TEKNIK PLOT CERPEN GERHANA MANUSIA
1.     Teknik ..........................................................
(a)   penulis memerihalkan keadaan Tuan Besar Musa yang sedang koma akibat penyakitnya itu dan masih hidup dengan bantuan alat sokongan hayat. 
(b)   penulis menggambarkan perihal pesakit-pesakit di dalam wad Unit Rawatan Rapi yang tidak dipedulikan oleh Profesor Doktor Juaidi.  - Solehah yang tenat, yang pundi janinnya pecah di ovari, juga sedang koma.  Al-Hafiz masih terlantar, tulang selangkanya patah riak, diheret kereta sejauh dua meter di tar keras, tidak pernah pun dijenguk oleh Doktor Juaidi.
      Juga si kecil, bayi buangan yang hampir kekeringan darah.  Gadis malang yang dibelasah hingga tinggal nyawa-nyawa ikan dan mahasiswa leukemia yang semakin cair sel darah merah di tubuhnya itu, ... (hlm. 71)

2.     Teknik........................................................... 
(a)   Perbualan antara Nusia dengan Doktor Murni tentang Tuan Besar Musa yang sedang terlantar di katil dalam keadaan koma dan tenat. 
(b)   Dialog antara Profesor Doktor Juaidi dengan Nusia berkaitan dengan keadaan Solehah yang mengalami tekanan darah yang semakin rendah. 

3.     Teknik ............................................................
Nusia membayangkan bahawa lima pek darah sejuk yang berada di tangannya mampu menyembuhkan penyakit Solehah, mahasiswa leukemia, dan al-Hafiz. 


4.     Teknik ...............................................................
(a)   Keberaniaan Nusia mempersoalkan tindakan dan arahan Profesor Doktor Juaidi yang menyuruh Nusia memberikan sebotol gelafundin untuk kegunaan Nusia yang sedang koma benar-benar menimbulkan kejutan kepada pembaca. 
(b)   Keberaniaan Nusia untuk memujuk juruteknik makmal darah agar menyerahkan lima pek darah sejuk telah menimbulkan kejutan kepada pembaca

5.     Teknik ..................................................................
(a)   Peristiwa percanggahan pendapat antara Nusia dengan Doktor Murni berhubung dengan pemberian darah tulen yang disalurkan ke tubuh Tuan Besar Musa menimbulkan tanda tanya dan perasaan ingin tahu kepada pembaca tentang penyelesaian pendapat antara mereka berdua itu. 
(b)   Peristiwa tindakan Nusia yang berjaya memujuk juruteknik makmal darah agar menyerahkan lima pek darah tulen sejuk kepadanya menimbulkan tanda tanya dan perasaan ingin tahu kepada pembaca tentang perkara selanjutnya yang akan berlaku akibat tindakannya itu.  Contohnya:

6.     Teknik...............................................................
(a)   Nusia bermonolog  dengan mempersoalkan pesakit yang akan diberi bekalan darah apabila mendengar arahan Profesor Doktor Juaidi supaya Doktor Murni mendapatkan bekalan darah daripada hospital lain.  - Untuk siapa?  Hatinya musykil sendiri.  (hlm. 71)

(b)   Nusia terkejut dan marah sambil mempersoalkan sama ada Profesor Doktor Juaidi seorang manusia atau tidak kerana menyuruhnya memberikan gelafundin sahaja bagi menggantikan darah tulen untuk Solehah.  - Aku tersentap.  Tidak terdaya kuangkat muka menentang suara yang menyakitkan hatiku itu.  Manusiakah dia? (hlm. 72)

Wednesday, 24 August 2016

Cerpen Munsyi oleh Husna Nazri

Cerpen Munsyi oleh Husna Nazri


Sinopsis - Cerpen ini mengisahkan hasrat Mel (’saya’) iaitu seorang anak muda kampung untuk berhijrah ke kota tetapi dihalang oleh bondanya yang bimbang anaknya itu akan terpengaruh oleh budaya-budaya negatif di bandar.  Pada pendapat bondanya, Mel masih belum mantap bahasa ibunda dan jati dirinya.  Hal ini demikian kerana bonda sedar bahawa anaknya masih belum dilengkapi ilmu pengetahuan yang secukupnya. Menurut bondanya lagi, warga kota sudah hilang nilai-nilai tradisi seperti cinta akan agama, bahasa dan bangsa.  Penjajah telah berjaya menyemai sentimen perkauman dalam kalangan rakyat sehingga pernah tercetusnya pertumpahan darah akibat permusuhan antara kaum.  Mel akur akan permintaan bonda untuk menangguhkan penghijrahannya ke kota. Penduduk kota yang berbilang kaum mengamalkan sikap perjudis dan berprasangka. Mereka amat mengutamakan kepentingan diri masing-masing. Oleh itu, bonda menasihati Mel agar memelihara agama, bahasa dan negara supaya terus dihormati dan disegani.  Selain itu, anak-anak muda perlu berani mempertahankan nilai dan kepetingan bahasa sendiri. Bonda mengharapkan agar Mel menghargai jasa nenek moyang yang membebaskan tanah air daripada penjajahan
Sebagai seorang warga yang bersifat patriotik, bonda banyak memiliki kitab atau buku lama yang berkaitan dengan bahasa,dan sejarah.  Buku-buku tersebut selalu dibaca oleh Mel.

 

Setelah Mel berasa mampu berjuang di kota barulah bonda membenarkannya ke bandar untuk meneruskan kehidupan.  Hal ini demikian kerana dia memerlukan kerjaya untuk masa depannya. Hasratnya telah mendapat restu daripada bonda Namun, bonda berpesan agar Mel menjaga dua perkara iaitu agama dan bangsa.  Sebelum berangkat ke kota, bonda mengamanahkan Mel agar memberikan kitab-kitab lama kepada seorang sahabat lamanya yang tinggal di bandar. Sahabatnya itu bernama Munsyi. Menurut bonda, hanya Munsyi yang layak menyimpan khazanah lama itu. Setibanya di kota, Mel Berjaya menjejaki Munsyi. Beliau menetap di perkampungan tradisi di pinggir kota. Mel berpeluang berkenalan dan bermesra dengan Munsyi serta menyerahkan puluhan kitab lama kepadanya.
Pada  pengamatan Mel, Munsyi merupakan seorang yang sangat mencintai bangsa dan budayanya.   Di bandar, Mel melihat golongan mudanya telah hilang identiti dan jati diri.  Mel mendapat perkhabaran bahawa sebuah syarikat perumahan telah diarahkan untuk merobohkan kawasan perkampungan pinggir kota yang didiami oleh Munsyi bersama-sama  dua puluh buah keluarga yang lain. Bangunan mewan dan hotel bertaraf lima bintang akan didirikan di situ. Kerja-kerja perobohan rumah kediaman dijalankan oleh pihak terbabit. Anggota penguat kuasa pula menghalang demonstrasi penduduk.

Mel terkedu apabila melihat rumah Munsyi bersama-sama dengan puluhan buku yang diberikan oleh bondanya diranapkan oleh jentera berat. Kesedihannya semakin bertambah apabila mengenangkan satu-satunya tanah rizab bangsa di pinggir kota itu akan dimiliki oleh saudagar asing yang kaya raya. Tanda Tanya berlaku dalam diri Mel apabila dia gagal menjejaki orang tua yang bernama Munsyi itu. Akhirnya, rumah Munsyi dirobohkan namun Munsyi tidak kelihatan di mana-mana.  Orang tua yang merupakan pejuang bahasa itu telah menghilangkan diri.

 

 


Tema - Semangat cinta akan agama, bangsa, Bahasa dan budaya yang tersemai dalam jiwa sekumpulan warganegara -  bonda meminta anaknya iaitu Mel melengkapkan diri dengan ilmu agama dan kemahiran bahasa agar menjadi benteng yang ampuh daripada pengaruh luar yang begitu kuat melanda negara.


Plot Cerpen Munsyi


Flowchart: Extract: Plot
 


















Latihan Bergambar Cerpen Munsyi




Watak dan Perwatakan

 

Watak utama – Mel : Anak lelaki kepada bonda / patuh akan nasihat dan arahan bondanya - tidak membantah ketika ibunya melarang dia berhijrah ke Bandar  / Seorang yang rasional apabila bersetuju dengan pandangan bondanya bahawa di kota terdapat berbagai-bagai ragam manusia yang kehilangan identiti dan jati diri. / Dia amat mengagumi tokoh-tokoh dahulu yang banyak berjasa kepada agama, bahasa dan negara / Seorang yang amanah - menyampaikan amanah bondanya iaitu buku-buku yang sepatutnya diserahkan kepada Munsyi ketika pergi ke Bandar / gemar membaca - mengkaji teks Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah serta membaca banyak buku lama milik ibunya /  tidak mudah putus asa - meminta izin ibunya sekali lagi apabila sudah lebih bersedia untuk tinggal di kota walaupun hasratnya itu pernah ditolak oleh ibunya.

Watak Sampingan


1. Bonda :  Ibu kepada Mel / kuat mempertahankan agama, bahasa, budaya dan adat resam turun-temurun / banyak memberikan kata-kata nasihat kepada anaknya / berpengetahuan tentang selok-belok sejarah tanah air / banyak menyimpan khazanah lama khasnya kitab-kitab lama bertulisan jawi / memberikan kebenaran kepada Mel berhijrah ke kota setelah berpuas hati bahawa Mel sudah memiliki pegangan agama yang kuat dan menguasai kemahiran bahasa / berpengetahuan luas - bercerita kepada Mel tentang sejarah pahit tanah air / bersifat patriotik - menasihati Mel agar memelihara agama, bahasa ibunda dan negara / Rasional - mengizinkan Mel berhijrah apabila didapati anaknya itu sudah mantap ilmu dan jati dirinya.


2. Munsyi : Sahabat baik kepada bonda dan tinggal di kota / berusia emas dan mempunyai janggut yang menutupi sebahagian mukanya yang putih bersih/ Orang yang layak menyimpan khazanah lama/Rumahnya dirobohkan oleh pihak yang berkuasa untuk dibangunkan bangunan mewah/ Seorang pejuang bahasa / Dia menghilangkan diri setelah rumahnya dirobohkan / Seorang yang cinta akan budaya tradisional - berpakaian tradisi Melayu yang lengkap dengan keris ketika menyambut kedatangan Mel / Seorang yang mengalu-alukan tetamu - Munsyi tersenyum dan menjemput Mel masuk ke rumahnya.


Latar

Latar Tempat : Kampung - Bonda dan Mel tinggal di kampung. / Kota - Kebanyakan warga kota sudah hilang nilai tradisi. / Sebuah perkampungan tradisi di pinggir kota yang merupakan tanah rizab Melayu - Musnyi menetap di perkampungan itu.

 

Latar Masa :  Lima ratus tahun yang lampau  negara kita dijajah oleh kuasa luar pada waktu itu / Minggu pertama berada di kota - Mel menyaksikan kerapuhan jiwa anak-anak muda yang dihanyutkan keseronokan hidup dengan memperdagangkan maruah dan peribadi / Beberapa purnama - Mel tidak bertemu dengan Munsyi di perkampungan pinggir kota. / Seminggu yang lepas - Jentera-jentera berat bersiap untuk meruntuhkan rumah-rumah kayu using di perkampungan pinggir kota. Latar masa / Zaman pemerintahan penjajah - Penjajah telah memerintah negara menggunakan sistem pecah dan perintah / Zaman selepas merdeka - Rakyat sibuk mengejar harta dan pangkat sehingga lupa akan nilai, bahasa dan agama selepas dijajah.




Latihan Pemahaman:


          “Tapi, dunia ini sudah berubah, bonda. Kita bukan lagi hidup pada zaman perjuangan menentang musuh penjajah. Sekarang kita hidup dalam dunia yang mengejar harta, pangkat dan kekayaan di bumi mewah ini. Tanah air ini bukan milik bangsa kita sahaja. Kita hidup dengan perkongsian hak dan identiti yang sama rata. Sejarah lama tidak perlu dibangkitkan lagi.” Bonda merenung mata saya dengan ekor pandangan yang penuh prejudis. Dihela nafas panjang-panjang menahan rasa sebelum bersuara, “Mel, sejarah bukan buta. Sejarah ialah guru yang tidak pernah berdusta. Bangsa yang membaca dan mengkaji sejarah silam tidak akan melakukan kesilapan kali kedua. Lihat bangsa Yahudi yang terus mencipta kejayaan besar dari zaman ke zaman kerana mengkaji sejarah lampau. Mereka membina agenda besar untuk bangsa dan keturunannya.”
          Kata-kata bonda itu seolah-olah menikam tajam ke dalam urat-urat saraf saya. Saya pandang bonda sambil mengangguk sebelum kembali membelek helaian demi helaian kitab-kitab lama yang hampir lusuh dan tertanggal kulitnya.
          Perkataan-perkataan yang tertulis dalam Jawi itu masih mampu saya baca dan fahami walaupun agak perlahan.
          Sejarah dan kisah bangsa saya pada zaman silam yang berjaya membina ketamadunan dunia cukup membanggakan saya. Saya selusuri bab demi bab dalam teks Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah dengan rasa besar hati.

       i.          Apakah kata-kata Mel yang tidak menyenangkan bondanya?                                         [2 markah]

     ii.          Pada pendapat anda, apakah kepentingan mempelajari sejarah tanah air?                [3 markah]

    iii.          Huraikan satu latar masyarakat yang terkandung dalam petikan di atas dan satu lagi latar masyarakat daripada cerpen yang tidak terdapat dalam petikan.                                         [4 markah]




Monday, 16 May 2016

SAJAK ERTI HIDUP BERERTI (Teo Wei Sing)

LATIHAN KOMSAS:

SAJAK ERTI HIDUP BERERTI  (Teo Wei Sing)

RANGKAP
MAKSUD
Aku selalu didatangi
malam sepi
bagai kalung
yang melingkari leherku
tidak berubah keesokan hari
siapa yang akan dayang menjengukku
keluhan seorang tua sunyi.

Fikiran penyajak sering dihimbau oleh nasib malang yang mengongkongi hidupnya dan tidak pernah berubah. Tiada siapa yang datang menziarahinya. Keluhan daripada seorang insan tua yang kesunyian.
-        Penyajak berasa kesunyian kerana malam yang dilaluinya begitu sepi.  Walau bagaimanapun, keadaan itu tetap tidak berubah pada keesokan harinya kerana tiada sesiapa yang datang untuk menziarahinya
Keheningan tasik
kehijauan rumput
hanya menjadi bayangan
di penjuru ruang zaman
cinta dalam rahim dilupai
dari sulung ditendang ke bongsu
dari angah ditendang ke sulung balik
kucari erti hidup
menderita mengerang sakit
berdiri tanpa ruang.

Kebahagiaan  hidup yang diimpikan  oleh penyajak  hanya angan-angan sahaja  sehingga penghujung hidupnya. Anak-anak kandungnya sendiri sudah melupainya dan tidak sanggup untuk menjaganya. Anak-anaknya saling menolak untuk menjaganya. Penyajak mencari kehidupannya sendiri dan menanggung penderitaan hidup tanpa ada tempat bergantung yang kukuh.
-        Keheningan tasik dan kehijauan rumput hanya sebagai bayangan lalu.  Kini, cinta yang tersemai sejak di dalam rahim telah dilupakan oleh anak-anaknya, iaitu daripada anak yang sulung hingga anak yang bongsu.  Lantas, penyajak mencari erti hidup sewaktu dirinya menderita sakit dan keseorangan

Aku bagi mereka
tiada makna
anakku bakaku
baik setia mahupun derhaka
semoga disirami benih keinsafan
menjadi penawar dalam hati
embun cinta atasi angin dingin
jangan terpegun
ada yang mati
ada yang hidup
tiada yang kekal kecuali Tuhan.

Suara Anak Pahang, 2009
Pekan Ilmu Sdn. Bhd.

Penyajak menganggap dirinya tidak  dihargai dan diperlukan lagi walaupun mereka anak kandungnya sendiri. Penyajak berharap agar anak-anaknya sama ada yang sanggup berbakti atau yang telah melupakannya akan diberikan keinsafan. Penyajak berharap agar hidup dengan berkasih sayang dan menggantikan hubungan yang hambar sebelum ini. Manusia jangan leka, dalam putaran hidup ini akan ada yang hidup dan mati kecuali Tuhan yang kekal.
-        Penyajak berasa habawa dirinya tidak bermakna kepada anak-anaknya.  Namun demikian, penyajak berdoa agar anak-anaknya diberi keinsafan supaya duka di hatinya terubat.  Penyajak sedar bahawa tiada yang kekal kecuali Tuhan


TEMA- Sajak ini bertemakan kesunyian hidup yang dilalui oleh golongan warga tua.  Penyair berasa sunyi dalam hidupnya kerana anak-anaknya telah melupakan kasih sayangnya.  Penyair berharap agar anak-anaknya dikurniakan oleh Tuhan keinsafan.
BENTUK SAJAK
.
1.     Sajak ini terdiri daripada tiga rangkap.
2.     Bilangan baris dalam setiap rangkap tidak sama.  Rangkap pertama mengandungi tujuh baris, rangkap kedua mengandungi sepuluh baris, dan rangkap ketiga mengandungi sebelas baris.
3.     Jumlah patah kata dalam setiap baris jugak tidak sama, iaitu antara dua hingga enam patah kata dalam satu baris.
4.     Jumlah suku kata dalam setiap baris terdiri daripada empat hingga tiga belas suku kata.
5.     Rima akhir sajak ini ialah rangkap pertama: aabcaca, rangkap kedua: abccdeafgh, dan rangkap ketiga: aabacdefdgc
6.     Sajak ini berbentuk bebas atau tidak terikat

LATIHAN PENCERNAAN UNSUR KOMSAS SAJAK ERTI HIDUP BERERTI  :
UNSUR KOMSAS
HURAIAN / CONTOH
1.     Nilai keinsafan. 

Kita hendaklah berasa insaf dan sedar bahawa kehidupan di dunia hanya sementara dan Tuhan sahaja yang kekal.

penyajak sedar dan insaf bahawa yang kekal hanyalah Tuhan.

2.     Nilai kasih sayang. 

Ibu bapa mestilah bersikap penyayang terhadap anak-anak supaya kehidupan anak-anak itu mendapat berkat.

 kasih sayang penyajak yang makin berusia terhadap anak-anaknya tetap utuh walaupun mereka menderhakainya.

3.     Nilai ketabahan. 

Kita haruslah tabah menghadapi dugaan hidup agar tidak dirundung rasa putus asa
Penyajak tetap tabah dalam mengharungi kehidupan seorang diri dan kesunyian walaupun tidak dihiraukan oleh anak-anaknya

4.     Nilai bertanggungjawab. 
Ibu bapa hendaklah sentiasa bertanggungjawab terhadap anak-anak supaya mereka memperoleh keredaan ibu bapa menerusi doa dan restu.

Penyajak seorang yang bertanggungjawab kerana mendoakan anak-anaknya dikurniakan keinsafan
5.     BERJASA
anak-anak tidak boleh mengabaikan ibu yang melahirkan dan membesarkan mereka

Penyajak berasa kecewa kerana jasanya yang membesarkan anak-anaknya tidak dihargai
6.     keikhlasan
Ibu bapa hendaklah sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kebahagian anak-anak agar mereka sedar bahawa kasih saying ibu bapa tetap ikhlas
Penyajak mendoakan kesejahteraan hidup anak-anaknya walaupun mereka tidak mengenang jasanya yang melahirkan mereka


Saturday, 14 May 2016

Drama Bukan Gila

Drama Bukan Gila


TEMA
        Drama tersebut bertemakan ketabahan seorang anak muda yang terpaksa melawan penyakit barah otaknya bersendirian. Hal ini demikian kerana Azmir menanggung kesakitan kerana menghidap barah otak. Dia yang menghidap penyakit barah otak melawan penyakitnya itu bersendirian tanpa ibu dan bapanya mengetahui kesakitannya. Tambahan pula, kekasihnya, iaitu Ani turut meninggalkannya.  



PERSOALAN
        Antara persoalan yang terkandung dalam drama tersebut adalah tentang sikap tidak ambil peduli terhadap kesusahan orang lain. Persoalan tersebut dapat dibuktikan apabila Azmir mempertikaikan Pak Haji yang tidak mengambil peduli akan penderitaan yang dilaluinya dan orang yang senasib dengannya. Selain itu, persoalan tentang sikap bantu-membantu turut dipaparkan. Hal ini demikian kerana para pelakon Sasau mengurangkan kesakitan dengan memicit-micitkan kepada Azmir. Persoalan tentang keprihatinan dalam diri seseorang turut ditampilkan apabila para pelakon Sasau mengujungi rumah Azmir untuk mengetahui latar belakang hidup Azmir. 



LATAR MASYARAKAT

        Antara latar masyarakat yang terkandung dalam drama tersebut ialah masyarakat yang tabah. Latar masyarakat tersebut dapat dibuktikan apabila Azmir tabah melawan sakit barah otaknya walaupun dia hanya bersendirian. Selain itu, masyarakat yang tabah turut dipaparkan. Hal ini demikian kerana Azmir tabah melawan sakit barah otaknya walaupun dia hanya bersendirian. Golongan ibu bapa yang mengambil berat terhadap anak-anak turut ditampilkan apabila bapa Azmir menziarahi Azmir walaupun anaknya dikatakan gila. 


NILAI


        Antara nilai yang terkandung dalam drama tersebut termasuklah nilai rasional. Nilai tersebut dapat dibuktikan apabila Arif sanggup belajar dengan Azmir yang dikatakan gila kerana pandangan Azmir telah memberi Arif kefahaman dan maksud Sasau dengan baik. Selain itu, nilai ketabahan turut dipaparkan. Hal ini demikian kerana Azmir tabah melawan sakit barah otaknya walaupun dia hanya bersendirian. Nilai bertanggungjawab turut ditampilkan apabila Doktor Razi amat bertanggungjawab terhadap pesakitnya, iaitu Azmir dengan mencari Azmir yang tidak pulang ke wad pesakit jiwa. 


GURINDAM BEBERAPA PETUA HIDUP (Za’ba)

GURINDAM BEBERAPA PETUA HIDUP (Za’ba)

RANGKAP
SYAIR
MAKSUD
1
Fikir dan Kata

Kurang fikir, kurang siasat,
Tentu dirimu kelak tersesat.

Peringatan kepada pembaca sekiranya kurang berfikir dan kurang menyelidik terlebih dahulu, pasti akan menyebabkan hidup menjadi sesat / Penulis berkata bahawa manusia yang kurang berfikir dan kurang mengkaji pasti tidak akan dapat mengatasi masalah yang dihadapinya.
2
Fikir dahulu sebelum berkata,
Supaya terelak silang sengketa

Saranan agar berfikir dahulu sebelum berkata-kata untuk mengelakkan sebarang salah faham dan sengketa sesama manusia. / Penulis berkata bahawa manusia mestilah berfikiran matang sebelum bercakap apa-apa supaya dapat mengelakkan sebarang perselisihan faham waima persengketaan.

3
Perkataan tajam jika dilepas,
Ibarat beringin, racun dan upas. (RACUN YG DIPERBUAT DARIPADA GETAH POKOK)

Kata-kata yang kesat dan kurang sopan jika dituturkan boleh memudaratkan hidup masyarakat./ Penulis berkata bahawa manusia yang suka marah akan orang lain dengan kata-kata yang menyakitkan hati akan melukakan perasaan orang lain.

4
Kalau mulut tajam dan kasar,
Boleh ditimpa bahaya besar.

Sekiranya seseorang berbicara dengan kata-kata yang pedas dan kurang sopan boleh menyebabkan dia mengalami masalah yang besar./ Penulis berkata bahawa manusia seseorang yang kasar dalam pertuturan akan menyebabkan dirinya ditimpa pelbagai masalah.
5
Silang Sengketa

Siapa menggemari silang sengketa,
Kelaknya pasti berdukacita.

Seseorang yang gemar hidup bermusuh akan sentiasa bermasalah / Penulis berkata bahawa manusia yang suka bergaduh dan berselisihan faham akan hidup dalam kesedihan.
6
Silang selisih jangan dicari,
Jika tersua janganlah lari.

Saranan agar pembaca tidak menimbulkan persengketaan tetapi jika perkara itu berlaku perlulah diterima dengan tabah.
/ Penulis menasihati kita agar tidak sengaja mencari pergaduhan dengan orang lain dan setiap perselisihan faham harus diselesaikan, bukannya dielakkan.
7
Ilmu

Jikalau ilmu tiada sempurna,
Tiada berapa ia berguna.

Ilmu yang tidak dipelajari dengan sempurna kurang lengkap dan kurang sesuai untuk diamalkan. / Penulis berkata bahawa ilmu mesti dikuasai dengan sempurna kerana ilmu yang tidak kuasai dengan baik tidak dapat memanfaatkan kita.

8
Ilmu kepandaian boleh dikejar,
Asal mahu rajin belajar

Ilmu pengetahuan dan kemahiran boleh dituntut selagi rajin untuk menuntut ilmu./ Penulis berkata bahawa ilmu pengetahuan dalam diri seseorang harus ditimba dengan kesungguhan dan kerajinan asalkan kita memiliki kemahuan yang tinggi.

9
Dunia Pergaulan

Dunia ini taman pergaulan,
Hendaklah pilih sahabat dan taulan.

Saranan agar bijak memilih sahabat dan taulan di dunia yang di dalamnya mengandungi berbagai-bagai kerenah dan sifat manusia.
/ Penulis berkata bahawa kehidupan di dunia ini menjadi lebih lengkap jika kita bijak memilih rakan sebaya
10
Manusia dikenal sifat budinya,
Dengan dilihat siapa kawannya

Sifat budi pekerti seseorang boleh dikenal melalui rakan taulan yang didampinginya/ Penulis berkata bahawa seseorang manusia dapat dikenali melalui budi bahasanya dan melalui pergaulannya.
11
Burung yang sama corak dan bulu,
Selalu sekumpul ke hilir ke hulu.

Lazimnya, seseorang akan memilih dan mencari kawan yang sama sifat dan fiilnya untuk memudahkan mereka bekerjasama dan bergaul mesra/ Penulis berkata bahawa sekumpulan kawan yang baik biasanya akan bersama-sama dalam pelbagai aktiviti kehidupan dan sentiasa bersama di mana-mana sahaja.
12
Sifat-sifat yang Baik

Jikalau kamu bersifat budiman, (PANDAI DAN BIJAK)
Dipandang sebagai bonda di taman

Seseorang yang bersifat budiman akan sentiasa dipandang dan disanjung tinggi.
/ Penulis berkata bahawa seseorang yang berbudi bahasa akan dipandang tinggi dan dihormati oleh ahli masyarakat.
13
Jikalau kamu bersifat dermawan,
Segala orang dapat kautawan

Seseorang yang bersifat dermawan akan dapat melawan hati orang di sekelilingnya.
/ Penulis berkata bahawa seseorang yang murah hati dan suka menderma akan mendapat perhatian daripada masyarakat.
14
Jikalau kamu bersifat pemurah,
Segala manusia datang menyerah.

Seseorang yang bersifat pemurah akan memudahkannya untuk mendapat bantuan dan pertolongan / Penulis berkata bahawa seseorang yang bersifat pemurah akan mudah mendapat kawan dan menjadi tempat untuk meminta bantuan.
15
Perbuatan yang Baik

Barang siapa berbuat jasa,
Mulia namanya segenap masa.

Nama seseorang yang membuat jasa akan disanjung pada setiap masa / Penulis berkata bahawa seseorang yang banyak berjasa dalam masyarakat akan sentiasa dikenang orang pada bila-bila masa
16
Menolong sesama wajib dan perlu,
Tetapi tolonglah dirimu dahulu.

Saranan agar pembaca memperbaik kelemahan diri terlebih dahulu sebelum menolong sesama manusia /Penulis berkata bahawa kita haruslah membantu diri sendiri sebelum menghulurkan bantuan kepada orang lain

17
Sifat-sifat yang Jahat

Telunjuk lurus kelengkeng berkait,
Hati sesama menjadi pahit

Perbuatan mengadu domba dan membuat fitnah boleh menyebabkan hubungan sesama manusia tidak harmoni./ Penulis berkata bahawa kita mestilah berhati-hati terhadap manusia yang nampak baik tetapi berhati busuk.

18
Barang siapa berbuat khianat, (BELOT)
Tuhan kelak memberi laknat. (SUMPAHAN)

Kalung Bunga Za’ba, 2008 , Dewan Bahasa dan  Pustaka
Peringatan agar tidak melakukan perbuatan khianat sesama manusia kerana Tuhan pasti akan melaknati orang yang berbiat demikian
/ Penulis berkata bahawa seseorang yang mengkhianati orang lain akan mendapat balasan Tuhan pada kemudian hari.


LATIHAN PENGUKUHAN  GURINDAM BEBERAPA PETUA HIDUP (Za’ba) 2:

HURAIAN
PENGAJARAN
NILAI
Penulis menasihati kita agar berfikir dahulu sebelum berkata-kata untuk mengelakkan sebarang salah faham dan sengketa sesama manusia.
Kita hendaklah berfikir secara rasional dan mendalam terlebih dahulu sebelum menuturkan kata-kata untuk mengelakkan salah faham
 Nyatakan nilai berdasarkan huraian
Penulis mengingatkan kita supaya  bijak dalam memilih sahabat dan taulan di dunia yang diibaratkan sebagai sebuah taman pergaulan
Kita mestilah bijak memilih sahabat yang dapat memimpin kita ke jalan yang lurus dan benar
 Nyatakan nilai berdasarkan huraian
kita dituntut agar sentiasa menjaga tutur kata supaya tidak menggores hati orang lain.

Kita perlulah menjaga tutur kata apabila berbicara dengan orang lain untuk mengelakkan sengketa
 Nyatakan nilai berdasarkan huraian
kita dinasihati oleh penulis agar rajin belajar untuk menambahkan ilmu dan kemahiran.

Kita mestilah rajin belajar dengan bersungguh-sungguh untuk menambahkan pengetahuan.

 Nyatakan nilai berdasarkan huraian
Penulis menjelaskan bahawa perbuatan mengadu domba dan membuat fitnah boleh menyebabkan hubungan sesama manusia tidak harmoni.

Janganlah kita mengadu domba dan membuat fitnah sehingga boleh menjejaskan hubungan baik sesama manusia
 Nyatakan nilai berdasarkan huraian
Penulis memerihalkan bahawa seseorang yang berjasa akan dikenang sepanjang masa.

Kita hendaklah sentiasa berbudi sesama manusia agar dikenang orang
 Nyatakan nilai berdasarkan huraian

 Soalan Pemahaman:
(i)            Apakah maksud silang selisih dalam gurindam di atas?       [2 markah]

(ii)               Pada pendapat anda, mengapakah kita perlu berwaspada dalam setiap tindakan kita?   [4 markah]