Showing posts with label contoh. Show all posts
Showing posts with label contoh. Show all posts

Monday, 5 August 2013

Karangan : Pemindahan Organ


Pendermaan Organ : Anugerah Kehidupan

            Bagai mencurah air ke daun keladi. Begitulah gambaran sikap kebanyakan  rakyat Malaysia dalam mendepani isu tentang pendermaan organ. Realitinya, saban  tahun kes-kes kegagalan organ seperti jantung , buah pinggang , paru-paru dan hati semakin bertambah di negara kita. Walaupun program pendermaan dan pemindahan organ telah diperkenalkan sejak 26 tahun yang lalu , namun sambutan yang diterima daripada masyarakat masih tidak memberangsangkan . Oleh hal yang demikian , kesedaran dalam kalangan masyarakat kita mengenai kepentingan pendermaan  organ masih pada peringkat yang amat rendah . Hal sebegini berlaku kerana masih ramai yang berasa ragu-ragu untuk berbuat demikian dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah persis kata peribahasa umpama menegakkan benang basah . Mereka bukan sahaja berasa bimbang untuk mendermakan organ anggota keluaga yang telah meninggal dunia tetapi juga organ mereka sendiri dengan beranggapan akan mendatangkan mudarat serta menyebabkan kecacatan pada tubuh badan si mati dan dirinya . Bukan itu sahaja , di negara kita terdapat banyak kes kemalangan jalan raya yang melibatkan motosikal dilanggar oleh kereta , kereta bertembung sesama kerata dan sebagainya . Sepatutnya , saudara-mara dan ahli keluarga yang kematian keluarga dalam kemalangan jalan raya membenarkan pihak hospital untuk mengambil organ-organ yang masih boleh digunakan tetapi pihak hospital tidak akan sewenang-wenangnya mengambil organ tersebut,  dan terpulanglah kepada masyarakat untuk berbuat demikian . Melalui cara ini , kita boleh memperoleh lebih banyak organ yang boleh digunakan seperti tulang , injap mata dan sebagainya . Dengan perkataan ini , ahli keluarga yang kematian keluarga perlu berfikir dengan rasional berlandaskan prinsip padang perahu di lautan , padang hati di fikiran kerana perbuatan mendermakan organ dapat memberikan harapan baru kepada pesakit yang mengalami kegagalan organ dan juga dapat memberi mereka menjalani kehidupan yang baru . Benarkah hipotesis ini ? Tepuk dada tanya minda!
Selain itu , menurut kajian yang dikeluarkan oleh bahagian perangkaan Kementerian Kesihatan Malaysia,  antara organ yang paling banyak didermakan sepanjang tahun 2000 ialah kornea dan diikuti oleh buah pinggang , hati dan pelbagai lagi . Sebagaimana yang kita maklum , ilmu dan maklumat yang betul kepada masyarakat berkenaan pendermaan dan pemindahan organ boleh menyelamatkan banyak nyawa . Seterusnya , rawatan pemindahan organ merupakan salah satu pencapaian sains perubatan moden yang terkemuka pada adab yang lalu . Pencapaian ini telah merintis cara-cara pembedahan baru dan juga telah membangunkan sains imunologi serta sains perubatan yang lain . Bukan itu sahaja , bagi pesakit yang mengalami kerosakan pada jantung , hati , paru-paru dan beberapa organ lain , tiada rawatan alternatif yang dapat mengubatinya selain daripada pemindahan organ . Sesetengah pesakit yang menghadapi masalah kegagalan buah pinggang , terdapat rawatan alternatif iaitu dialisis . Namun begitu , kualiti hidup adalah lebih baik menerusi rawatan pemindahan buah pinggang jika dibandingkan dengan dialisis . Pemindahan organ dapat member sinar di hujung terowong mereka.
            Tambahan pula , kekurangan organ dan masalah kerosakan organ merupakan masalah utama dalam melaksanakan pemindahan organ .Hal Ini merupakan masalah yang amat serius di negara kita dan menjadi duri dalam daging dalam bidang perubatan moden . Statistik yang sahih membuktikan bahawa setiap tahun dianggarkan seramai 2200 orang mengalami kegagalan buah pinggang dan pesakit yang menerima dialisis adalah hampir 8000 orang . Jumlah ini tidak termasuk mereka yang mengalami masalah kegagalan jantung , hati , paru-paru dan lain-lain . Sehubungan dengan itu , kebanyakan pendermaan yang hanya melibatkan kaum keluarga yang masih hidup dan bukan pendermaan secara kadaverik iaitu pendermaan daripada seorang pesakit yang telah disahkan oleh doktor pakar mengalami “mati otak”dan nyawa mereka tidak dapat diselamatkan lagi . Masalah kekurangan penderma kadaverik ini sebilangan besarnya disebabkan oleh sikap , tanggapan , prejudis dan kurang kefahaman orang ramai tentang pendermaan organ apabila berlaku mati . Lantaran itu , kerajaan perlu melaksanakan mangkin yang efektif untuk menyedarkan orang ramai tentang kepentingan menderma organ kepada pesakit yang amat memerlukan organ untuk hidup kerana asal ditugal adalah benihnya.
            Di samping itu , kerajaan perlu menjadikan jerayawara pendermaan organ sebagai suatu realiti , dan bukan sekadar retorik . Mengapakah dikatakan begitu ? Hal ini demikian kerana melalui jerayawara ini dapat menyampaikan mesej yang penting kepada golongan sasar bahawa pendermaan organ itu tidak harus dianggap sebagai isu yang sensitif . Pada masa yang sama ,  jerayawara atau kempen yang diadakan akan memberi  penerangan dan penjelasan yang terperinci serta kefahaman kepada masyarakat supaya lebih memahami tentang pendermaan organ yang merupakan amalan mulia . Apabila maklumat tentang pendermaan organ telah meresap dalam hati orang ramai , barulah mereka mudah tampil ke hadapan untuk menderma organ . Hal ini juga membuktikan bahawa jerayawara atau kempen-kempen yang dijalankan telah berjaya menyakinkan orang ramai bahawa sebenarnya isu ini merupakan isu yang berperikemanusiaan , iaitu isu yang berkaitan dengan anugerah kehidupan . Oleh itu , pihak-pihak yang bertanggungjawab perlu menunaikan obligasi mereka dengan memperhebat kempen lagi kepada masyarakat dengan menggunakan media cetak dan elektronik dari semasa ke semasa supaya rakyat lebih tahu kepentingan tersebut . Namun begitu , sokongan daripada semua pihak termasuk penderma juga amat penting untuk menjayakan dasar ini kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi . Bertitik tolak daripada hal ini , semua pihak perlu memberi sokongan dan bersetuju dengan kegiatan ini agar pendermaan organ daripada penderma yang murah hati dan berani dapat menyelamatkan nyawa seseorang .
            Bukan itu sahaja , pendermaan organ juga tidak sewarjanya terhad dalam kalangan saudara-mara sahaja . Tak tumbuh tak melata , tak sungguh orang tak kata ! Lantaran itu , penderma patut mendermakan organ kepada insan lain yang memerlukan pertolongan untuk meneruskan kehidupan . Sebagai analogi , dua tahun yang lalu , seorang pemuda yang berani , bernama Hafizan Wan Ismail , berumur 25 tahun telah mendermakan sebahagian hatinya kepada seorang kanak-kanak yang berumur tiga tahun dan bernama Mohd Iqmal Mohd Zain . Pengorbanan yang begitu besar dilakukan oleh pemuda ini sehingga sanggup mendermakan sebahagian hatinya kepada seorang kanak-kanak yang tidak dikenali, dan jasa pemuda ini memang tidak dapat dinilai dengan wang ringgit . Selepas pembedahan , kehidupan kanak-kanak ini menjadi lebih bererti dan,telah mengembalikan sinar kepada keluarganya . Sifat mahmudah pemuda ini sepatutnya menjadi pendorong kepada insan lain untuk turut melakukan kebaikan kepada insan lain yang bukan daripada darah daging mereka sahaja . Izharnya , kita perlu membantu orang yang memerlukan bantuan tanpa mengharapkan sebarang balasan dengan secara ikhlas seperti pemuda itu . Andainya kita melakukan perkara yang baik untuk orang lain tak kira memberi bantuan atau mendermakan organ , jasa baik kita bukan sahaja akan diingati oleh orang ramai malah kita juga akan diberkatiTuhan kerana buat baik dibalas baik , buat jahat jangan sekali-kali .
            Akhirulkalam , dengan kemajuan dalam bidang perubatan , pendermaan organ tidak lagi dianggap mendatangkan mudarat dan menjejaskan kesihatan . Dalam konteks tersebut , tubuh badan merupakan rahmat dan anugerah Tuhan kepada manusia yang tiada nilainya . Disebabkan hal ini , tujuan pendermaan organ harus digunakan sebaik mungkin untuk kebaikan orang yang memerlukannya . Bulan sudah terang , bayang sudah jelas bahawa kemajuan dari segi kualiti dan tempoh hayat akan lebih dramatik apabila ramai penerima organ terutama penerima jantung yang berupaya menjalankan tugas mereka secara produktif dan berpeluang menjalani kehidupan berkeluarga yang kompeten dengan syarat mereka mematuhi arahan serta penyeliaan perubatan yang baik .  Pada realitinya , mendermakan organ bukan sahaja untuk menyelamatkan nyawa seseorang malah juga tuntutan kemanusiaan sejagat . Namun, kesanggupan dan kesediaan masyarakat kita sudah bersedia dan sanggup untuk melakukan perkara ini , masih menjadi persoalan yang belum terjawab selain merupakan belenggu yang perlu dipecahkan serta dirungkaikan . Bertitik tolak daripada hal tersebut , pertubuhan-pertubuhan yang berkaitan dan individu yang amat mengambil berat serta prihatin terhadap semua lapisan masyarakat perlu menyahut seruan ini kerana amalan murni ini merupakan satu seruan perikemanusiaan . Sementelahan , pendermaan organ ini selaras dengan konsep masyarakat penyayang yang mendambakan setiap warga kita lebih prihatin , bermurah hati dan bersedia untuk membantu golongan lain yang memerlukan pemindahan organ untuk terus hidup . Oleh itu , kerajaan perlu melakukan wadah yang berterusan seperti mengadakan kempen , melalui publisiti dalam media cetak , elektronik dan lain-lain supaya boleh mengindoktrinasikan dan membawa tahap kesedaran masyarakat kita kepada satu tahap yang boleh dibanggakan . Kalau bukan sekarang, bila lagi? Janganlah sudah terhantuk baru tengadah!

Karangan - Amalan Gaya Hidup Sihat


Gambar rajah di bawah menunjukkan sebahagian daripada amalan gaya hidup sihat. Huraikan pendapat anda tentang amalan gaya hidup sihat yang sewajarnya dipraktikkan oleh setiap individu. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

Amalan Gaya Hidup Sihat



       Amalan Pemakanan Seimbang         Bersukan dan Beriadah             Pemeriksaan Kesihatan


Badan cergas, otak cerdas. Aforisme tersebut dengan jelas menggambarkan kepentingan amalan gaya hidup sihat  kepada manusia. Dengan mengamalkan gaya hidup sihat, seseorang akan sentiasa  sihat, cergas dan bertenaga. Tindakan ini ibarat menyediakan payung sebelum hujan. Mengikut kajian yang dilakukan seseorang itu akan dapat mengekalkan kecergasan dan seterusnya badan akan menjadi sihat melalui  amalan hidup yang sihat. . Amalan ini  akan melahirkan rakyat yang sihat dan produktif selaras dengan matlamat kerajaan untuk meningkatkan produktiviti negara. Terdapat  pelbagai amalan gaya hidup sihat yang sewajarnya dipraktikkan oleh setiap individu. Lantaran itu, persoalan yang perlu dirungkaikan apakah amalan-amalannya?
Salah satu amalan signifikan yang perlu  diamalkan ialah amalan pemakanan seimbang. Tak tumbuh tak melata!   Hal ini disebabkan  tubuh orang yang mengamalkan pemakanan seimbang ini akan mendapat khasiat dan vitamin yang diperlukan. Sebagai uswahnya, seseorang itu perlu banyak mengambil makanan yang berserat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan serta mengurangkan makanan yang berlemak atau mengandungi kolesterol yang tinggi. Dengan cara itu, penyakit berbahaya seperti penyakit jantung koronari, tekanan darah tinggi dan diabetis akan dapat dielakkan kerana mencegah penyakit  lebih baik daripada mengubatinya. Sudah  terang  lagikan bersuluh, kehidupan yang bahagia tanpa penyakit dapat dicapai melalui amalan pemakanan yang sihat dan simbang.
Sementelahan, amalan lain yang perlu diamalkan adalah dengan bersukan atau beriadah.  Hal ini demikian kerana aktiviti sukan dan riadah yang dilakukan akan menyihatkan seseorang kerana aktiviti itu akan melancarkan perjalanan darah dan badan akan mengeluarkan peluh.  Biar kita ambil contoh yang dekat dengan kita, seseorang itu boleh bersukan seperti bermain badminton, bola sepak, menunggang basikal, berjoging, atau berenang pada waktu lapang demi memperoleh kehidupan yang sihat.  . Jika badan seseorang itu sihat dan cergas, sudah  pastilah daya pemikirannya juga cerdas kerana minda yang cerdas datangnya daripada fizikal yang cergas. Selain itu, badan yang cergas dan sihat kan menjadikan seseorang itu lebih aktif ketika melakukan sesuatu  aktiviti. Aktiviti yang dianggap serampang dua mata ini perlu dijadikan amalan hidup kita seharian. Jelaslah bahawa bersukan dan beriadah  mendatangkan banyak maslahat kepada fizikal dan minda kita.
Amalan terakhir yang tidak dapat diketepikan sama sekali ialah seseorang itu perlu melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala. Mengapakah amalan ini perlu diraktikkan?  Hal ini kerana amalan tersebut  akan memastikan anggota dalaman tubuh seseorang itu seperti, jantung, hati, buah pinggang, dan pankreas berfungsi dengan baik. Melalui cara itu juga, penyakit  berbahaya, contohnya penyakit jantung koronari, diabetis, dan tekanan darah tinggi dapat dapat dikesan lebih awal melalui peralatan moden dalam bidang perubatan. Dengan cara itu, langkah pemulihan akan dapat dilakukan dengan segera. Hal ini demikian kerana alat-alat perubatan moden dapat mengesan sesuatu penyakit lebih awal dan tidaklah sudah terhantuk baru  tengadah. Justifikasinya, masa dan wang ringgit dapat dijimatkan melalui amalan tersebut.
Secara tuntasnya, amalan gaya hidup sihat seyogianya perlu dijadikan budaya untuk melahirkan rakyat yang sihat. Dengan itu, semua pihak termasuk Kementerian Kesihatan perlulah mengambil langkah yang proaktif untuk merealisasikan kehidupan   yang sejahtera. Sekiranya langkah tersebut tidak diambil, sudah tentu hasrat untuk melahirkan masyarakat yang sihat  dan cergas tidak akan menjadi realiti. Oleh itu, hasrat untuk melahirkan rakyat yang cergas dan cerdas tidak akan menjadi fatamorgana jika semua pihak saling  berpegang pada prinsip yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Kalau bukan kita siapa lagi!