Monday 29 September 2014

KELAS ULANG KAJI PT3 2014


Satu kelas ulang kaji PT3 akan diadakan pada 5 Oktober 2014 (Ahad) di Pusat Tuisyen Ceria. Terima kasih.

Tuesday 23 September 2014

LATIHAN KARANGAN

Cara-cara Menghargai Guru

Pendahuluan Insan seperti Perdana Menteri, Jurutera, Doktor atau peguam mencapai kejayaan dalam hidupnya kerana diajar dan dididik oleh guru.  Kejayaan mereka ini menunjukkan bahawa guru banyak berjasa kepada banyak orang.  Insan yang digelar cikgu ini ibarat lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain termasuk diri kita. Oleh itu,  kita mestilah membalas jasa mereka supaya kita tidak dianggap bagai kacang lupakan kulit.


Isi (cara)

  1. Menjaga tutur kata dan adab ketika berhadapan dengan guru - guru merupakan lubuk akal lautan ilmu - budi bahasa amalan terpuji - perlulah sentiasa bermuka manis sambil mengucapkan selamat sejahtera atau memberi salam ketika berhadapan atau berselisih dengan guru tanpa mengira keadaan - tidak membuat bising sehingga mengganggu guru menjalankan tugasnya di dalam kelas
    - memberi tumpuan dan perhatian sepenuhnya semasa pengajaran guru dan sentiasa mengambil peluang bertanya dan berbincang tentang pelajaran - perlu menjaga tatasusila, tidak meninggikan suara dan memandang guru serta rakan dengan mesra

  1. Berdisiplin dan mematuhi peraturan sekolah - sentiasa datang awal ke sekolah, sentiasa menepati masa, tidak terlibat dalam gangsterisme, vandalisme mahupun ponteng sekolah - berpakaian seragam dengan kemas dengan rambut bersisir rapi - memudahkan tugas guru untuk mengajar seterusnya mendidik pelajar agar berjaya dengan cemerlang - kerjasama erat antara guru dengan pelajar dalam mematuhi peraturan yang ditetapkan pasti menjadi pemangkin kecemerlangan akademik serta sahsiah pelajar (bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat) - mematuhi disiplin mencerminkan penghormatan pelajar kepada guru

  1. Prihatin dan menunjukkan kasih sayang terhadap guru - mengingati dan menghargai jasa guru walaupun mereka tidak berkhidmat sebagai seorang tenaga pengajar - meraikan sambutan Hari Guru pada setiap tanggal 16 Mei - memberikan hadiah kepada guru yang mengajar kita sebagai tanda penghargaan atas segala usaha dan titik peluh yang dicurahkan - hadiah yang diberikan tidak semestinya berpaksi kepada wang ringgit semata-mata tetapi mestilah disertakan dengan hati yang tulus lagi ikhlas - jika tidak mampu memberi hadiah, ucapan selamat hari guru sudah cukup bermakna buat para guru.

  1. Menziarahi guru ketika mereka mengalami kesusahan dan sakit - guru juga menghadapi pelbagai masalah dalam kehidupan seperti ditimpa kemalangan, bencana, menghidapi penyakit dan sebagainya
    - perlu menziarahi mereka jika mereka menghadapi situasi tersebut sebagai tanda melahirkan rasa simpati ibarat cubit paha kanan paha kiri terasa sakitnya - membawa buah tangan sebagai tanda kita bersimpati terhadap mereka - mengutip derma bagi meringankan beban yang mereka tanggung
    - frasa ‘guru, jasamu dikenang, budimu disanjung’ bukanlah sekadar omongan kosong kerana pengorbanan guru sentiasa dikenang oleh para pelajar.

  1. Mendoakan kesejahteraan guru yang telah mengajar dan mendidik kita - Mendoakan kesejahteraan guru sama ada semasa hayatnya atau sesudah mereka kembali ke rahmatullah - mendoakan mereka agar sentiasa sihat sejahtera dan dielakkan daripada segala bahaya - mereka akan dapat menjalankan tugas mendidik kita dengan sempurna -  jika mereka yang telah meninggal dunia, kita perlulah mendoakan agar dosa-dosa mereka diampunkan agar mereka sejahtera di alam barzakh



Penutup – Guru merupakan insan yang banyak berjasa dan bermakna dalam hidup kita.  Guru ibarat pelita yang menjadi penyuluh kepada kita pada malam yang gelap gelita. Tanpa guru, kita akan hidup teraba-raba dalam kegelapan.  Guru juga umpama tongkat kepada orang buta. Oleh itu, kita wajar membalas jasa guru dan mengingati segala pengorbanannya pada setiap masa. 

LATIHAN KARANGAN

Semangat Kejiranan / Gotong royong / Amalan Rumah Terbuka (Aktiviti Kemasyarakatan)
(Kesan kesalahan / kelemahan yang terdapat dalam karangan ini)

    Marcapada  masyarakat berbilang kaum yang tinggal di negara kita hidup dalam aman dan harmoni. Hubungan antara masyarakat berbilang kaum seperti kaum Melayu, Cina dan India ini terjalin erat dan membentuk masyarakat yang bersatu padu. Idea penubuhan Datuk Seri Mohd Najib B. Tun Abd. Razak tentang slogan “1 Malaysia” telah membawa negara kita ke arah satu anjakan paradigma dan mengubah cara hidup masyarakat majmuk yang tinggal di negara Malaysia. Namun begitu, apakah prakarsa-prakarsa yang harus dilaksanakan oleh semua pihak untuk mengekalkan keharmonian dan keamanan di negara kita?

                  Prakasa perdana bagi mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia ialah sikap individu itu sendiri. Hal ini demikian kerana, amannya sesuatu komuniti amnya bergantung kepada individu itu. Setiap individu itu haruslah mengamalkan sikap tolak ansurdan saling sayang menyayangi antara satu sama lain. Setiap rakyat haruslah sentiasa mengamalkan 17 nilai murni dalam kehidupan seharian mereka. Dengan adanya pengamal sikap-sikap murni dalam diri masyarakat di Malaysia, hidup setiap masyarakat rakyat pelbagai kaum akan sentiasa aman dan harmoni. Sebagai contohnya, rumah kita mengadakan rumah terbuka sempena sesuatu perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, tidak seharusnya kita menghalang jiran kita walaupun mereka bukanlah seagama dengan kita dari mengunjungi kita dan bersama-sama meraikannya bersama kita. Seandainya setiap rakyat mengamalkan sikap bertolak ansur dan sayang menyayangi antara satu sama lain, sudah pasti keharmonian masyarakat berbilang kaum akan dapat dikekalkan, kerana tegap rumah kerana sasaknya, teguh negara kerana keutuhan bangsanya. Tegasnya, sikap individu memainkan peranan yang paling penting untuk mengekalkan keharmonian dan kemakmuran masyarakat berbilang kaum di Malaysia hari ini.

                   Di samping itu, pihak sekolah juga merupakan penjamin masyarakat berbilang kaum yang tinggal di negara kita agar hidup dalam keadaan aman dan harmoni. Pihak sekolah mestilah mengadakan aktiviti-aktiviti yang berunsurkan kemasyarakatan dan melibatkan komuniti pelbagai kaum. Seterusnya, pihak sekolah juga haruslah menggalakkan pemakaian pakaian tradisi kaum masing-masing semasa sambuatan-sambutan seperti sambutan Hari Kemerdekaan, perayaan dan sebagainya supaya masyarakat berbilang kaum di negara kita akan dapat merasai nikmat keharmonian dan kemakmuran hidup dalam masyarakat majmuk di negara Malaysia. Sebagai contoh, bagi kaum Melayu mereka hendaklah memakai baju Melayu dan baju kurung manakala kaum Cina memakai cheongsam dan memakai sari bagi kaum India . Sikap ini berjaya  menyemaikan semangat perpaduan dalam diri pelajar seterus akan terus bercambah dengan subur apabila mereka memasuki alam dewasa. Sesungguhnya, pihak sekolah memainkan peranan penting dalam mengekalkan keharmonian dan kemakmuran masyarakat berbilang kaum di negara Malaysia, bak kata peribahasa jika tidak dipecahkan ruyung masakan dapat sagunya.

                   Amalan masyarakat itu juga salah satu langkah untuk mengekalkan keharmonian antara kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Amalan masyarakat yang baik dapat mengamankan masyarakat majmuk di Malaysia. Keamanan masyarakat ini dapat dikekalkan dengan penglibatan pelbagai kaum dan setiap aktiviti yang diadakan dalam sesebuah komuniti. Sebagai contoh, pengamalan tradisi sukan komuniti tahunan dengan penglibatan dari setiap golongan kaum yang berlainan disertai dengan pengamalan sikap-sikap terpuji dalam tradisi yang dilakukan. Seandainya amalan tradisi dalam sesebuah masyarakat dengan penglibatan pelbagai kaum tidak diamalkan, sudah pastilah keharmonian masyarakat tidak dapat dikekalkan. Pendek kata, amalan tradisi masyarakat dengan penglibatan masyarakat majmuk dapat mengekalkan keamanan dan kemakmuran hidup bermasyarakat dalam komuniti pelbagai kaum,  seperti yang diperjelas dalam peribahasa ke lurah sama dituruni, ke gunung sama didaki.

                     Di samping itu, media massa juga memainkan peranan yang penting dalam mengekalkan keharmonian dan keamanan antara masyarakat majmuk di negara kita. Hal ini demikian kerana, media massa merupakan satu mekanisma atau alat sebaran am yang dapat menyampaikan maklumat atau berita kepada orang ramai dengan cepat dan dalam masa yang singkat. Sikap mudah terpengaruh dengan media massa seperti radio atau televisyen merupakan senario yang biasa kita lihat pada hari ini. Dengan tersiarnya iklan-iklan atau cerita-cerita yang bertemakan perpaduan dan keharmonian, semangat cinta akan keamanan akan terus tersemat di dada semua rakyat di Malaysia. Sebagai contoh, cerita dan iklan seperti filem “Papadom” dan iklan TM yang memaparkan persahabatan antara kaum seperti kaum Melayu, Cina dan India. Seandainya, media massa tidak memainkan peranan mereka sebagai alat sebaran am terpantas, sudah pasti keharmonian dan kemakmuran masyarakat sukar dikekalkan dalam anggota masyarakat di negara kita. Jelaslah bahawa media massa merupakan mekanisma penghubung antara masyarakat dalam mengekalkan keharmonian rakyat berbilang kaum di Malaysia.

                    Kerajaan juga memainkan peranan yang penting dalam mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara kita. Hal ini demikian kerana negara kita mengamalkan amalan demokrasi dan diperintah oleh sebuah kerajaan yang adil dan saksama. Gagasan “1 Malaysia” yang sentiasa berubah bergantung kepada sesuatu peristiwa yang penting telah membawa kepada satu transformasi yang drastik dalam mengekalkan keharmonian negara. Setiap rakyat haruslah sanggup berjuang berkorban dan bergadai nyawa untuk mempertahankan kedaulatan, keamanan dan cara hidup tanpa mengira kaum. Sebagai contoh sempena Hari Kemerdekaan negara, pengasas cogan kata “1 Malaysia”, Perdana Menteri Malaysia keenam iaitu Datuk Seri Mohd Najib B. Abd Razak telah menjadikan tema “1 Malaysia” kepada tema ‘transformasi berjaya,rakyat sejahtera’. Seandainya kerajaan memainkan peranan dengan betul, jujur dan amanah sudah pasti kesejahteraan hidup bermasyarakat dalam pelbagai kaum dapat dikekalkan. Tegaslah bahawa kerajaan merupakan satu pihak yang memainkan peranan yang penting dalam mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum.

                    Konklusinya, semua pihak haruslah bekerjasama untuk mengekalkan keamanan dan keharmonian antara masyrakat berbilang kaum di negara kita. Dalam konteks ini,masyarakat haruslah berganding bahu dan bertolak ansur di samping pengamalan amalan tradisi serta kerjasama antara sekolah,media massa dan kerajaan bagi mengekalkan keharmonian masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Oleh itu, sempena menyambut Hari Kemerdekaan Ke-54 dan bulan pembentukan Malaysia, marilah kita sama-sama bertekad untuk menjadi lebih patriotik,berikrar untuk memberi sumbangan penuh beerti kepada masyarakat, lebih bersatu padu dan mahu berkorban kepada negara kerana sesungguhnya ‘Bulat air kerana pembetung,bulat manusia kerana muafakat’.




LATIHAN KARANGAN

TUGASAN: TINGKATKAN KUALITI KARANGAN DI BAWAH


Kepentingan  amalan berjimat cermat dan usaha-usahanya

            Istilah “berjimat cermat” sering diuar-uarkan oleh pihak kerajaan pada era pascamode ini. Adakah masyarakat Malaysia tidak tahu berjimat cermat? Sebernanya berjimat cermat merupakan istilah keramat yang memacu kepada kejayaan sesebuah bangsa dan negara. Tanpa amalan tersebut maka tidak mustahillah negara akan terdedah kepada krisis ekonomi, maka mundurlah ekonomi negara tersebut. Dalam konteks ini, semua individu dalam sebuah negara memainkan peranan penting dalam mengamalkan amalan berjimat cermat. Sesungguhnya, terdapat banyak faedah yang diperoleh daripada alaman itu. Saya yakin bahawa rakyat Malaysia mengenali peribahasa sehari selembar benang lama-lama menjadi kain. Oleh itu,kepentingan amalan berjimat crmat dan usaha-usaha menjayakannya yang mewarnai focus perbincangan akan dihuraikan dengan terperinci demi kebaikan bersama.
            Justeru, salah satu kepntingan amalan berjimat cermat ialah mempunyai persediaan dan jaminan masa hadapan. Hal ini membolehkan individu merancang masa depan dan beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis. Sebagai contoh, kita tidak dapat menduga apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Oleh hal yang demikian, ibu bapa perlu mengamalkan sikap berjimat cermat terutamanya dalam apek kewangan kerana sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit. Dengan mempunyai wang simpanan, ibu bapa dapat membiayai perbelanjaan pendidikan anak-anak. Selain itu, generasi muda perlu merancang perbelanjaan mereka agar tidak berdepan dengan masalah apabila menempuh usia tua. Hal ini erbukti kebanyakan generasi muda akan mengahadapi masalah jika gagal merancang kewangan ketika usia muda. Hal ini perlu dielakkan, supaya generasi muda tidak sudah terhantuk baru tengadah. Di samping itu, kita janganlah menjadi masyarakat yang sentiasa mengharapkan bantuan daripada kerajaan dan melahirkan bangsa yang sentiasa mengharapkan bantuan daripadakerajaan dan melahirkan bangsa yang sentiasa bertongkat. Oleh itu, amalan berjimat cermat dapat melahirkan masyarakat yang harmoni dan keluarga yang bahagia kerana tidak mengalami sebarang tekanan kewangan kerana mempunyai wang simpanan mereka sendiri.
            Selain itu, mempunyai persediaan yang mencukupi untuk menghadapi waktu kecemasan ialah salah satu kepentinganny. Prsis peribahasa, malang tidak berbau, sinonim dengan fitrah kehidupan manusia. Tiada sesiapapun yang mengetahui akan musibah yang bakal dihadapi pada masa akan datang. Sehubungan dengan itu, amalan berjimat cermat boleh membantu masyarakat sebagai suatu persediaan apabila menghadapi waktu kecemasan seperti perbelanjaan merawat pembedahan, kemalangan dan penyakit kronik yang dialami oleh diri sendiri, ibu bapa ataupu kaum keluarga. Kita juga tidak perlu “mengemis” di merata-rata tempat apabila memerlukan rawatan kesihatan. Oleh itu, kita perlulah membuat persediaan jika berlaku sesuatu kecemasan kerana manusia hanya merancang sedangkan Tuhan yang menentukan. Hal ini terbukti apabila kos rawatan yang terlalu tinggi amat membebankan pesakit tersebut. Jika pesakit gagal menyediakan sejumlah wang yang besar ini boleh menyebabkan pesakit tidak mendapat rawatan yang sewajarnya dan akan berakhir dengan kematian. Jelaslah bahawa langkah berjimat cermat ini sangat penting kepada masyarakat sebagai satu persediaan menghadapi waktu kecemasan agar rawatan segera dapat menyelamatkan nyawa penyakit.
            Kepentingan yang terakhir ialah kestabilan ekonomi negara. Tanpa kestabilan ekonomi negara, sesebuah negara tidak dapat dibangunkan atau dimajukan. Untuk membangunkan ekonomi negara, kita perlulah membeli barangan buatan tempatan atau melancong di dalam negara sendiri. Hal ini demikian adalah untuk mengelakkan pengaliran wang keluar, wang yang dibayar atau dibelanjakan itu akan diterima oleh pengeluar empatan dan wang tersebut mengalir di dalam negara. Oleh itu, negara dapat menggunakan wang tersebut untuk membiayai pelbagai projek. Selain itu, negara juga tidaklah perlu membuat pinjaman kewangan dari Bank Dunia dan maruah negara diselamatkan serta dipelihara. Kegiatan ekonomi tempatan juga dapat dihidupkan secara lebih aktif dan efektif. Impaknya, ekonomi menjadi lebih mapan serta dapat membantu kestabilan ekonomi negara dengan mengamalkan pelancongan domestic. Sehubungan dengan itu dapat member sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi. Sudah terang lagikan bersuluh bahawa sikap berjimat cermat pemaangkin kekukuhan ekonomi negara.
            Langkah-langkah amalan berjimat cerrmat termasuklah ibu bapa memainkan peranan yang penting. Ibu bapa sendiri perrlu memupuk amalan berjimat cermat dan mendidik anak-anak mengamalkan tabiat suka berjimat cermat. Bak kata peribahasa Melayu, bagaimana acuan begitulah kuihnya. Hal ini terbukti ibu bapa menunjukkan sikap bijak dan berhemah apabila berbelanja dan menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak kerana bapa borek anak rintik. Justeru, ibu bapa perlu menggalakkan anak-anak memupuk minat suka menabung dan berjimat cermat nalah makanan seimbang yang disediakan oleh ibu bapa dari segi khasiatna malah terjamin kebersihannya. Hal ini tidak timbul lagi masalah keracunan makanan. Di saming itu, penabungan wang belanja yang diberi oleh ibu bapa dapat digunakan beli barang keperluan yang berfaedah seperti barangan peribadi ataupun buku-buku rujukan. Dengan itu, amalan berjimat cermat perlu dijadikan budaya yang paut diamalkan oleh setiap pelajar.
            Langkah yang seterusya ialah peranan kerajaan dan kyt. Misalnya, kerajaan perlu menyeru rakyat agar meembuat pelaburan pendidikan untuk anak-anak. Hal ini merupakan mempersiapkan diri awal-awal lagi untuk mmbiayai pendidikan anak-anak agar tidak perlu berhadapan dengan masalah kewangan ketika sampai masanya anak-anak memasuki institusi pendidikan. Jnganlah nanti anak-anak terpaksa mengalah untuk tidak menyambung pelajaran disebabkan masalah kewangan. Justeru, ibu bapa boleh memperuntukkan sebahagian daripada pendapatan mereka untuk membuat simpanan dalam skim pelaburan pendidikan. Di samping itu, syarikat insurans, umpamanya Malysian National Insurance(MNI), Malayan Alliance Insurace(MAA), Insurans Takaful dan Takaful Nasional serta bank-bank perdagangan lain yang menawarkan pelan pendidikan untuk meringkan beban ibu-bapa bagi menampung pembiayaan pendidikan anak-anak pada masa depan. Ibu bapa juga perlulah sediakan payung sebelum hujan. Hal ini demikian kerana ibu bapa tidak boleh hanya mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata kerana kita perlu berusaha sendiri untuk menempa kejayaan anak-anak. Konklusinya, hal ini terbuktilah bahawa pelaburan awal dapat menjamin penerusan kegemilangan generasi cemerlang.
            Langkah yang terakhir ialah peranan golonga wanita. Pada zaman kini, wanita perlulah mempunyai pengetahuan dalam bidang ekonomi. Selain itu, golongan wanita juga perlu mengambil berat dan sentiasa peka tentang wang yang dibelanjakan. Hal ini demikian untk mnstabilkan konomi rumah tangga. Di samping itu, bijaksana serta teliti ketika bebelanja akan mengikis sikap terburu-buru. Misalnya, jangan membelibarangan yang tidak perrlu atau tidak berkualiti hanya kerana tertarik dengan iklan-iklan jualan murah yang indah khabar daripada rupa. Golongan wanita juga perlu menyahut seruan kerajaan agar berjimat cermat melalui penanaman sayur atau memelihara ayam itik I belakang rumah. Hal ini terbukti golongan wanita dapat menghidangkan sayur-sayuran yang segar untuk keluarga, mereka juga dapat membantu suami mengurangkan perbelanjaan rumah tangga. Pada masa yang sama, kempen yang dilancarkan oleh kerajaan agar membeli barangan buatan tempatan perlu dimanfaatakn oleh golongan wanita.Jika selama ini merka terlalu taksub dengan barang-barang buatan luar negara yang kononnya berkualiti tinggi, kini merka boleh beralih arah dengan barang-barang buatan tempatan yang tidak kurang hebatnya. Selain murah,barang-barang ini juga mempunyai kualiti yang lebih baik. Oleh itu, di samping berjimat cermat, suri rumah juga dapat membantu menjana ekonomi negara.
            Sebagai penghias bicara akhir, amalan berjimat cermat perlu diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat agar hasrat murni kerajaan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi akan tercapai. Sesungguhnya, amalan berjimat cermat dapat meloloskan diri daripada belenggu inflasi yang melanda negara. Secara tidak langsung, hal ini akan melahirkan warganegara yang bijak da berhemah dalam mengurus ekonomi keluarga, masyarakat dan negara. Maka, sekiranya kita sayang akan keluaga dan negara daripada dibebanikebejatan ekonomi, kita perlu menggembleng tenaga dalam mengamalkan budaya berjimat cermat. Biarlah kita menjadikan prinsip berakit-rakit ke hulu, berenang- renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian sebagai panduan kita, Kalau bukan sekarang, bila lagi?



LATIHAN KARANGAN

Vandalisme dalam  Kalangan Remaja

Laku musnah atau Vandalisme merujuk kepada tabiat seseorang membinasakan harta benda awam dan juga harta benda orang lain. Perkataan vandalisme berasal daripada nama sebuah puak di Eropah, Vandal, yang telah membinasakan kota Rome pada tahun 445. Pada lazimnya, laku musnah ditanggap sebagai satu bentuk jenayah, tetapi pada keadaan tertentu, vandalisme merupakan satu bentuk ritual yang dilakukan oleh golongan manusia yang tidak puas hati terhadap kondisi mayarakat. Semasa suatu masyarakat sedang mengalami revolusi, ataupun sedang mengalami transisi kuasa secara keras, golongan yang mencabar autoriti lama mungkin akan membinasakan sebarang harta benda yang dianggap sebagai simbol rejim lama, seperti tugu. Perbuatan mereka itu adalah untuk menyampaikan suatu mesej "mencabar".

Laku musnah sebagai Jenayah

Jenayah laku musnah biasanya merujuk kepada perbuatan merosakan harta benda awam seperti papan tanda, kerusi awam, perhentian bus, telefon awam dan juga tandas awam. Kelakuan ini biasanya diasiosiasikan remaja yang terlibat dalam budaya lepak. Motif untuk vandalisime  terletak pada aspek emosi. Vandalisme biasanya dianggap sebagai suatu cara untuk melepaskan rasa geram, ataupun satu cara untuk menghilangkan kebosanan semata-mata. Walaupun motif mereka adalah begitu ringan, tetapi masyarakat awam terpaksa menanggung kerugian yang besar untuk memenuhi nafsu mereka yang hina.

Faktor-faktor Berlakunya Vandalisme

i. Pengaruh Rakan Sebaya  - Pengaruh rakan sebaya boleh menyebabkan vandalisme. Golongan remaja biasanya  lebih mudah meniru dan terpengaruh dengan rakan sebaya. Pengaruh rakan sebaya akan mencorakkan sikap, nilai dan tingkah laku remaja, lebih-lebih lagi remaja yang tercicir dan menghadapi masalah keluarga. Kebiasaannya, golongan remaja yang melakukan vandalisme merupakan remaja dalam kumpulan, Mereka tidak mempunyai tujuan dan apabila berkumpul timbullah pelbagai idea termasuklah menconteng harta benda awam dan merosakkannya.
ii. Ibu Bapa dan Keluarga - Ibu bapa ialah pendorong kepada sifat vandalisme di kalangan remaja. Contohnya, ketika memandu ibu bapa membuang sampah atau kulit buah-buahan seperti rambutan dan limau di samping tidak  menghiraukan papan tanda  had kelajuan. Sesetengah remaja yang terjebak  dalam gejala vandalisme berasal daripada keluarga bermasalah atau keluarga yang mengamalkan budaya hidup negatif. Menurut kajian yang dijalankan vandalisme dendam dilakukan oleh remaja yang ingin bebas dan berlatarkan keluarga yang bermasalah. Selain itu kurangnya kawalan dan bimbingan yang sempurna daripada ibu bapa juga antara faktor utama mendorong remaja terjebak dalam gejala negatif ini. 
 iii. Pengaruh Media Massa - Media massa mempunyai pengaruh dan kesan yang amat kuat dan sukar sekali dielakkan dewasa ini. Paparan adegan-adegan negatif dari filem-filem atau rancangan dari barat yang mempunyai unsur-unsur perlakuan ke arah vandalisme boleh mempengaruhi remaja melakukan vandalisme. Golongan remaja lazimnya mudah meniru dan mengikut hal yang dilihat di sekeliling termasuk media massa, apatah lagi tanpa bimbingan dan tunjuk ajar sewajarnya.
 iv. Sikap Apati ( tidak peduli), Individualistik dan Materialistik Masyarakat - Remaja adalah produk sistem sesebuah masyarakat. Masyarakat yang pincang akhirnya akan melahirkan produk yang pincang.Sikap sesetengah masyarakat kini yang mementingkan soal kebendaan dan tidak ambil peduli terhadap isu-isu sosial sememangnya merumitkan masalah yang sedia wujud. Menurut kajian masalah vandalisme banyak berlaku di bandar. Golongan remaja menconteng dan merosakkan harta benda awam bukannya tidak terpelajar tetapi generasi yang dilahirkan di bandar  sukar dikawal. Di kawasan bandar sesetengah penduduknya tidak ambil peduli terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka. Oleh itu golongan remaja merasakan diri mereka bebas untuk meneruskan gejala negatif ini tanpa menghiraukan rasa tanggungjawab terhadap harta benda awam. 

Langkah-langkah 

i Penguatkuasaan Undang-undang - Penguatkuasaan dan pelaksanaan undang-undang perlu dijalankan oleh pihak berkenaan. Di bawah Akta Kerajaan Tempatan 9 Undang-Undang Kecil Vandalisme 1991), sesiapa yang didapati merosakkan harta benda awam boleh didenda yang membabitkan RM 2,000 atau penjara tidak lebih setahun jika sabit kesalahan.Pelaksanaan undang-undang baru menetapkan pesalah-pesalah vandalisme menjalankan kerja-kerja khidmat masyarakat dan mereka juga akan menggunakan pakaian seragam pesalah vandalisme. (kerja ini dilakukan di tempat awam seperti pusat membeli-belah)Tindakan tegas perlu dikenakan kepada pesalah agar menjadi teladan  kepada rakan-rakan.
ii. Peranan Ibu Bapa dan Keluarga - Ibu bapa berperanan memberi tunjuk ajar kepada golongan remaja tentang falsafah kepentingan harta benda awam. Ibu bapa semestinya menerangkan kepada anak-anak tentang pentingnya menganggap harta benda orang lain sama seperti harta sendiri. Secara tidak langsung sekiranya anak sudah diingatkan dengan falsafah ini maka sudah tentu masalah vandalisme tidak seteruk hari ini. Ibu bapa perlu mengasihi dan mendampingi anak-anak mereka supaya tidak berlaku kebosanan dan kekosongan di hati remaja. Kesedaran perlu diterapkan untuk membentuk jiwa remaja yang sihat dan fikiran yang matang sebelum melangkah ke alam dewasa.
iii. Peranan Masyarakat dan Pihak Sekolah. -Setiap anggota masyarakat perlu bersikap prihatin dan  memberi perhatian kepada anak mereka agar tidak melakukan perbuatan yang salah ini dan masyarakat perlu peka terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka. Masyarakat perlu proaktif terhadap gejala vandalisme yang berlaku di kawasan mereka. Selain itu anggota masyarakat boleh memainkan peranan penting memberikan kefahaman betapa buruknya akhlak vandalisme. Pihak sekolah patut memberi nasihat dan bimbingan kepada pelajar mengenai kepentingan harta awam .Generasi muda perlu diterangkan dengan mendalam tentang tanggungjawab mereka terhadap harta benda awam. Terangkan kepada pelajar apa perasaan mereka sekiranya  beg sekolah mereka diconteng atau dikoyak oleh mereka tidak bertanggungjawab Kesedaran seumpama itu akan sedikit sebanyak memberi gambaran tentang pentingnya sikap dan tanggungjawab
iv.  Peranan Media Massa - Selain berfungsi  sebagai media hiburan dan sumber maklumat terkini, media massa juga seharusnya ada tanggungjawab sosial kepada masyarakat. Media massa memainkan peranan dan mempunyai pengaruh kuat dari segi menanam kesedaran memperoleh kerjasama dan menyampai maklumat tentang vandalisme dalam apa bentuk rancaangan yang tersiar atau yang  terdapat dalam media massa.  Media massa juga berperanan membantu pihak kerajaan  dari segi mengadakan kempen agar masyarakat faham dan menghayati kempen ” Harta Awam Milik Bersama” kerana dengan adanya iltizam dan komitmen daripada media massa maka kempen ini dapat direalisasikan keberkesanannya.


LATIHAN KARANGAN

Bincangkan kepentingan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK)/ Internet  terhadap pembangunan negara.

Pengenalan: - Projek Koridor Raya Multimedia (MSC) merupakan pelan jangka panjang yang mampu mengubah landskap Teknologi maklumat dan Komunikasi (TMK) negara. TMK berupaya menjana pembangunan dan kemajuan sesebuah negara.


 Kepentingan TMK / Internet

1.Memantapkan pentadbiran negaraKerajaan Elektronik - sistem pentadbiran kerajaan akan menggunakan TMK sepenuhnya - Segala data didokumentasikan untuk membolehkan pemprosesan data lebih pantas, cekap dan efisien.

2. Meramalkan  fenomena dan kejadian alam ( remote sensing ) - Kemajuan TMK melibatkan penggunaan satelit. Satelit berupaya meramalkan  fenomena alam dan cuaca dunia. - mengesan bencana alam seperti tsunami pada hari muka. Teknologi ini juga penting dalam bidang pelayaran.- Memberikan panduan kepada pengguna laluan laut.

3. Melahirkan masyarakat saintifik - Kewujudan sistem sekolah bestari mampu melahirkan masyarakat saintifik dan berinovatif.- Para pelajar menggunakan internet untuk mendapatkan maklumat dari seluruh dunia - tamsilannya, pelajar boleh mendapatkan nota-nota yang berkaitan dengan akademik daripada blog-blog yang berkaitan.

4. Hubungan antarabangsa - Penggunaan alat komunikasi seperti telefon, faksimile, Internet dan persidangan video . - Berita mutakhir, tepat dari luar negara diperoleh dengan mudah dan cepat melalui rakaman dan siaran langsung -  akan merapatkan hubungan antara masyarakat dari negara-negara lain.


5. Meningkatkan tahap kesihatan - Kewujudan teleperubatan membantu para doktor tempatan untuk bertukar-tukar fikiran dengan doktor pakar dari negara luar - Penemuan ubatan dan teknologi perubatan yang terkini dapat disebarkan dengan panta -  Kaedah penjagaan kesihatan secara talian
.
6. Penyelidikan dan pembangunan ( R & D ) - Rakyat tempatan boleh mempelajari dan memiliki teknologi canggih dari negara luar -  Globalisasi mampu meningkatkan persaingan - rakyat perlu meningkatkan kualiti produk menerusi R&D.

7. Meningkatkan ekonomi Negara - Perdagangan antarabangsa dapat dijalankan secara talian dan meningkatkan pengeluaran dan pemasaran produk tempatan lebih luas -  Meningkatkan aliran masuk mata wang asing dan merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

Penutup - Sebagai intiha, TMK sememangnya penting dalam memajukan sesebuah negara - Namun, penyalahgunaannya akan memudaratkan masyarakat dan negara.


LATIHAN KARANGAN

Kemasukan pekerja asing  ke negara kita telah menimbulkan pelbagai implikasi.
Bincangkan keburukan  pekerja asing kepada negara kita.

P1 – Pendahuluan :
- PR : Air jernih ikannya jinak (Negeri yang aman dan rakyatnya bersopan santun.)
- IS : Kemasukan besar-besaran  bermula sekitar 1987 -. kebanyakan bekerja sebagai buruh kasar-
- P : berasal dari negara yang serba miskin dan mundur disebabkan terlalu ramai penduduk sehingga ruang pekerjaan tidak mencukupi menyebabkan mereka  berhijrah ke luar negara untuk mencari wang bagi menampung kehidupan  seharian.
-D:
- KS : (Persoalannya / Sebenarnya / Sesungguhnya / Ironisnya,..)

P2- Isi 1 :
- I.U : (Implikasi dominan) - melibatkan diri dalam aktiviti yang bertentangan dengan  undang-undang
- H : (Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata! Hal ini demikian, ) -   mengambil peluang meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup termasuk
- C/B : (Secara analoginya,) - mewujudkan  jenayah berat
- PR : Adat bersendi syarak, syarak bersendi adat. (Pergaulan dalam masyarakat hendaklah bersesuaian dengan adat dan peraturan)
- KK : (Jelaslah bahawa)

P3- Isi 2 :
- I.U : ( Sementelahan) - memperlahankan upah dalam sektor berkaitan.
- H : ( Mengapakah dikatakan begitu? Hal ini kerana) -  mampu bersaing dari segi kos dan pulangan.
- C/B : (Statistik membuktikan bahawa ) - pergantungan berlebihan kepada buruh asing menyebabkan  upah pekerja tidak mahir menjadi tegar (tepu) atau mungkin berkurangan.
- PR : Cari umbut kena buku (Mencari yang baik tetapi dapat yang tidak baik.)
- KK : (Sudah terang lagikan bersuluh)

P4- Isi 3:
- I.U : (Implikasi terakhir yang tidak boleh diketepikan) - menutup peluang pekerja tempatan kerana kemasukan buruh asing yang rata-ratanya bukan pekerja mahir
- H : (Dalam konteks tersebut ) - upah pekerja tidak mahir dalam kalangan penduduk tempatan meningkat pada kadar yang jauh lebih rendah daripada kadar peningkatan pendapatan per kapita negara - meluaskan jurang perbezaan pendapatan dalam ekonomi.
- C/B : (Biar kita ambil contoh) - kemasukan pekerja asing boleh melambatkan usaha mengurangkan jurang perbezaan pendapatan dalam masyarakat
- PR : Ada rotan ada duri.  (Dalam kesenangan tentu ada kesusahan juga)
- KK : (Sebelum kudis menjadi tokak)

P5- Penutup (                                        ):
- KM : (Deduksinya) - walaupun kehadiran buruh asing  dapat membantu negara mengatasi masalah kekurangan pekerja dan mencapai kadar pertumbuhan ekonomi tetapi tetap menimbulkan masalah.
- PD : ( Namun begitu) -  kehadiran mereka, terutamanya golongan tanpa izin, juga menimbulkan masalah.
- HR : ( Saya berharap) -  Kerajaan perlu menangani masalah ini dengan serius supaya rakyat kita tidak menjadi minoriti di tanah airnya sendiri.
-PR : yang kita kejar tak dapat, yang kita kendong pula berciciran
(Bernasib malang kerana setelah memperoleh sesuatu, tetapi yang sudah di tangan hilang pula)
- UN : Adakah ini harga yang perlu dibayar untuk  kemajuan?



ULANG KAJI KARANGAN

TUGASAN: TINGKATKAN KUALITI KARANGAN DI BAWAH AGAR MENEPATI CIRI-CIRI KARANGAN PERINGKAT CEMERLANG


Peranan  Ibu Bapa  Dalam Menangani  Gejala  Sosial Dalam  Kalangan  Remaja

Laungan Malaysia Boleh semakin gah menggegarkan pentas sarwajagat. Kejayaan Malaysia menerokai alam teknologi maklumat memungkinkan ibu pertiwi kita mampu berdiri sama tinggi, duduk sama
rendah dengan gergasi-gergasi barat. Namun ironisnya, maruah Malaysia terobek disebabkan gejala rempit, dadah dan pelbagai salah laku remaja yang merimaskan semua pihak. Sekiranya dibiarkan berlanjutan, fenomena ini akan menjadi barah masyarakat yang semakin kronik. “kita tidak ingin melihat remaja hari ini tewas dalam arus pemodenan sehingga sanggup melakukan perkara yang mencalarkan maruah diri sendiri. Bahkan Perdana Menteri sendiri pernah berkata “saya tidak ingin melihat rakyat Malaysia
mempunyai prasarana kelas pertama, tetapi mentaliti rakyatnya kelas ketiga”. Persoalannya, adakah pembangunan negara terpaksa mengorbankan akhlak remajanya? Apakah peranan ibu bapa dalam mengatasi kemelut ini?
Dalam menelusuri isu yang serius ini, ibu bapa menggalas tanggungjawab unutuk berkomunikasi dengan anak. Keluarga merupakan nukleus masyarakat dan ibu bapa merupakan insan yang terdekat dengan anak. Bayangkanlah, apakah perasaan anak sekiranya dibiarkan bersendirian di rumah sementara ibu bapa begitu serakah memburu kekayaan? Kekecewaan dan kekosongan jiwa yang menyelubungi hati remaja sudah pasti akan mengheret mereka ke lembah durjana. Rentetan itu, ibu bapa sayugia memperdanakan perkembangan emosi anak-anak. Walaupun sibuk dengan tugasan kerja yang menggunung, inu bapa perlulah meluangkan masa untuk berkomuikasi dengan anak. Sebagai pendengar yang setia, mereka perlulah sabar mendengar masalah dan luahan hati remaja. Dengan ini, pelajar tidak berasa tersisih dan seterusnya terjerumus dalam lembah kehinaan. Oleh itu, memang tidak boleh disangkal lagi bahawa komunikasi daninterksi yang sihat antara ibu bapa dengan anak akan membentengi remaja daripada gejala negatif.
Sekiranya ditinjau dalam skop yang lebih holistik, ibu bapa juga memikul tanggungjawab dalam memberi didikan agama dan memupuk nilai murni dalam diri remaja. kata pujangga ada mengatakan anak ibarat kain yang putih adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mencorakkannya. Dalam mendepani pengaruh asing yang bermula daripada riak kecilsehingglah gelombang besar, didikan agama yng kukuh akan menjadi tombak perisai yang ampuh membentengi remaja daripada sebarang anasir negatif. Didikan agama dan pemupukan nilai ketimuran haruslah bermula dari peeringkat akar umbi selaras dengan ungkapan melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa perlulah menyahut seruan Perdana Menteri kita yang mengilhamkan prinsip Islam Hadari. Dalam prinsip ini, didikan agama diperdanakan untuk membentuk peribadi mulia anak. Tuntasnya, didikan agama dan nilai-nilai murni wajar dimulakan di peringkat keluarga agar dapat membimbing remaja yang keliru antara kaca dengan permata ke arah kebaikan.
Seperkara lagi, ibu bapa pelulah berusaha mengeratkan hubungan kekeluargaan dan mencurahkan kasih sayang kepada remaja. Majaoriti jenayah juvenil dan gejala negatif berpunca daripada faktor kepincangan keluarga. Sebagai inisan yang mengharapkan kesejahteran hidup, kita sememangnya mendahagakan kasih sayang dalam sesebuah keluarga. Apabila berdepan dengan keluarga yang huru hara, remaja terdorong untuk melepaskan diri daripada tekanan iin dan mencari jalan penyelesaian yang salah. Mereka lebih terdorong untuk melibatkan diri dalam gejala rempit, dadah dan bohsia semata-mata untuk melepaskan diri daripada penjara masalah kekeluargaan. Justeru, adalah menjadi peranan ibu bapa untuk mengambil berat akan anak dan mencurahkan kasih sayang kepadaa meraka. Ibu bapa sayugia berusaha mewujudkan keluarga sakinah dan harmonis dengan melakukan aktiviti berfaedah dengan anak. Tamsilnya, ibu bapa boleh berkelah dan melancong bersama-sama seisi keluarga untuk menyimpulkan ikatan kasih yang erat antara anggota keluarga. Maka jelaslah bahawa hubungan intim antara ibu bapa dengan remaja merupakan benteng pertahanan utuh terhadap gejala negatif dan salah laku remaja.
Sementelahan itu, ibu bapa sayugia memantau pergerakan dan pergaulan anak yang meniti alam remaja. gejala-gejala buruk seperti melepak, pergaulan bebas dan penyalahgunaan dadah disebabkan oleh pengaruh rakan remaja. remaja yang kurang matang dan tidak berpendirian teguh akan kecundang semasa meniti alam remaja kerana terpengaruhdengan ajakan rakan untuk melakukan gejala negatif. Kebejatan
moral yang serius ini diburukkan lagi dengan ibu bapa yang kurang mengambil berat akn gerak geri anak sudah tentu akan menolak remaja ke lembah durjana. Lantaran itu, ibu bapa perlulah mengambil inisiatif dengan mengambil berat akan aktiviti-aktiviti anak dan mengenali rakan karib mereka. Kendatipun demikian ibu bapa tidak harus keterlaluan sehingga menyebabkan remaja beranggapan bahawa diri mereka terkongkong sehingga hilang kebebasan. Apabila mendapati bibit kebejatan moral dalam diri anak yang berpunca daripada pengaruh rakan, ibu bapa perlulah menasihati anak agar kembali ke pangkal jalan dengan tenang dan sabar, bukannya dengan tengkingan dan api kemarahan yang mengakibatkan pemberontakan anak. Mesejnya jelas ibu bapa haruslah mengambil berat akan pergerakan anak agar tidak terpengaruh dengan godaan syaitan yang
bertopengkan manusia.

Dengan ini dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa sayugia memulakan komunikasi sihat dengan anak. Selain itu, didikan agama, kasih syaang dan pemantauan adalah perlu untuk memastikan remaja terlindung daripada ombak gejala negatif. Sesungghnya, remaja merupakan pelapis jentera pentadbiran dan aset negara ygn paling brharga. Suatu hari nanti mereka akan mewarisi tampuk pemerintahan negara. Justeru, kita tidak ingin melihat pemimpin masa depan inii menjadi golongan yang rendah akhlak. Sekiranya gejala negatif dibiarkan berlanjutan, syaitan ini akan menjahanamkan keturunan kita buat selama-lamanya. Oleh itu, sebelum bangsa ditelan kemusnahan, sebelum nasi menjadi bubur, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk meyelamatkan remaja daripada terjatuh ke dalam gaung kegelapan.

ULANG KAJI FORMULA PENULISAN KARANGAN

STRATEGI MENULIS KARANGAN BAHAGIAN D
1. Memilih soalan yang tepat - sesuai dengan pengetahuan, pemahaman dan keupayaan
2. Memahami soalan - tentukan : Isu, Kehendak Soalan & Format / Kata Kunci
3. Menyediakan rangka karangan - sebagai panduan, kelancaran idea, mengelakkan pengulangan isi & menyusun isi mengikut keutamaan
4. Menulis karangan -berperenggan : pengenalan (1 perenggan), Isi (3  perenggan) & Penutup (1 perenggan) - melebihi  180 patah perkataan - tulisan kemas, bersih & mudah dibaca
5. Menyemak karangan - mengesan kelemahan & kesilapan : mengelakkan pemotongan markah - mengetepikan fakta yang tidak relevan
PERENGGAN PENDAHULUAN
            DEFINISI                                                           PERIBAHASA                          ISU SEMASA

                                                                                                                                                                                                                                           PENDAHULUAN

 


         PENDAPAT                                                        AYAT KEHENDAK SOALAN (AYAT TANYA

Contoh Perenggan Pendahuluan – Usaha-usaha Menangani Masalah Penderaan Kanak-kanak

[     ] Sudah terhantuk baru tengadah. [     ] Begitulah sikap kebanyakan rakyat Malaysia dalam menghadapi pelbagai isu termasuk isu penderaan kanak-kanak. [      ] Masalah yang menjadi duri dalam daging kepada negara kita ini sering dipolemikkan oleh media massa di negara kita kini. [       ] Menurut kajian yang pernah dilakukan penderaaan kanak-kanak banyak melibatkan mereka yang rapat dengan mangsa. [     ] Anak-anak sebenarnya penghibur  dalam rumah tangga  yang senantiasa menagih  belaian kasih sayang  [    ] Walau apa pun alasannya, penderaan kanak-kanak merupakan perbuatan yang tidak bertanggungjawab. [        ] Persoalannya, apakah usaha yang dianggap komprehensif dan ampuh bagi  menangani senario ini?

PERENGGAN  ISI
    ISI                          HURAIAN                        CONTOH / BUKTI                             KESIMPULAN    UTAMA         ( bagaimana / Mengapa + Peribahasa )                                                                                         KECIL
                                                                                                  
Contoh Perenggan Isi : Faedah Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)

[    ]Faedah yang dianggap signifikan sekiranya remaja  menyertai Program Latihan Khidmat Negara selama tiga bulan ialah mereka dapat memperoleh pengalaman yang sukar diperoleh di tempat lain.  [      ] Mengapakah dikatakan begitu? [      ] Para remaja yang menyertai program ini sudah tentu akan memperoleh pengalaman  melalui proses bina diri dan bercampur dengan pelbagai  remaja yang berlainan latar belakang. [     ] Program tiga bulan itu mendedahkan peserta kepada cabaran yang membawa mereka keluar daripada zon selesa di rumah.   [        ] Latihan itu bertujuan untuk membina kekuatan dan meningkatkan keyakinan dalam kalangan generasi muda yang bakal mewarisi kepemimpinan negara kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.   [       ] Hal ini terbukti apabila Program Latihan Khidmat Negara dapat mewujudkan  generasi muda negara yang  tidak mudah dipengaruhi oleh anasir luar.  [    ] Sudah terang lagikan bersuluh, setiap lepasan SPM wajar mengambil kesempatan ini untuk menimba pengalaman baru sebelum menceburi alam kehidupan yang mencabar  kerana hanya jauhari yang mengenal manikam.

PERENGGAN  PENUTUP
                        Kesimpulan                                                                                            Harapan

                                                                       
      PENUTUP 
 


                   Peribahasa / Ungkapan                                                                         Pendirian


Contoh Perenggan Penutup Kesan Media Elektronik Terhadap Masyarakat

[       ] Pendek kata, selain membawa kebaikan, media elektronik turut mengundang pelbagai gejala kepada rakyat dan negara.  [        ] Oleh itu, pihak kerajaan seharusnya memainkan peranan yang proaktif untuk menguatkuasakan Akta Penyiaran sedia ada.  [       ] Sekiranya usaha ini dilakukan dengan berkesan maka kita dapat menangkis serangan oleh budaya yang tidak sihat.  [Peribahasa]  Sebenarnya, media elektronik  mempunyai nilai positif  mahupun negatif  dan  terpulanglah kepada kita untuk memilihnya seperti yang dikatakan orang tua-tua  tepuk dada, tanya selera. [        ] Kalau bukan kita siapa lagi yang perlu memikul obligasi ini?