Sunday 30 March 2014

LATIHAN & JAWAPAN KELAS GANTI BULAN MAC 2014:


LATIHAN & JAWAPAN KELAS GANTI BULAN MAC 2014:

LATIHAN RUMUSAN:

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah untuk meningkatkan integriti Polis Diraja Malaysia dan kesan terhadap usaha tersebut. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Pada tahun 2007, genaplah 200 tahun usia pasukan Polis Diraja Malaysia  (PDRM)RM). Sejak diwujudkan, PDRM mula memperlihatkan pelbagai perubahan serta  pengalaman suka dan duka yang sering mencabar integritinya. Dengan kepesatan  perkembangan teknologi pada alaf ke-21, kredibiliti dan integriti PDRM sering teruji. PDRM bukan sahaja berhadapan dengan jenayah di dalam negara bahkan menerima ancaman hebat dari seluruh dunia. Seperti agensi kerajaan lain, PDRM terpaksa  berhadapan dengan masalah disiplin yang melibatkan anggotanya seperti salah guna  kuasa, rasuah dan jenayah. Kesan daripada masalah ini keyakinan rakyat terhadap  integriti polis pada tahap yang rendah

Salah satu kaedah praktikal untuk meningkatkan kredibiliti PDRM iaitu dengan meningkatkan kualiti modal insan melalui pendedahan pelbagai ilmu serta latihan yang berterusan dalam kalangan anggota PDRM. Selain itu, penambahan jumlah anggota PDRM sebanyak 60,000 orang daripada 97,000 orang sekarang juga berupaya meningkatkan integriti PDRM. Dengan peningkatan bilangan anggota polis ini diharapkan siasatan boleh dibuat secara cepat. Kerajaan pula wajar merestui dan membiayai hasrat PDRM untuk menubuhkan universiti polis.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) kerap menerima aduan berhubung dakwaan salah laku anggota PDRM. Antara aduan yang diterima termasuklah  siasatan polis yang lewat, salah guna kuasa, keganasan polis, penahanan tanpa penjelasan, kematian dalam tahanan, dan tidak membenarkan perhimpunan awam. Atas kepekaan kerajaan terhadap aduan-aduan ini maka satu Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan dan Perjalanan Pengurusan PDRM telah ditubuhkan

PDRM juga harus mempunyai hubungan yang mesra dengan masyarakat agar memperoleh tanggapan positif daripada mereka. Orang awam perlu dibenarkan membuat aduan di tempat urusan yang mudah. Hal ini demikian kerana sebelum ini sering berlaku pengadu diarahkan ke tempat lain. Tindakan harus dikenakan kepada anggota yang menyuruh berbuat demikian

Dalam usaha menjaga kebajikan anggota PDRM, Ketua Polis Negara mengusulkan kenaikan gaji anggota PDRM sebanyak 20%. Diharapkan kenaikan gaji polis pada kadar yang setimpal dapat mengurangkan kegiatan rasuah dalam kalangan anggota polis. Beliau juga mencadangkan kaedah proses kenaikan pangkat yang baharu. Melalui kaedah baharu ini diharap dapat melahirkan pegawai yang lebih berkualiti kerana mereka perlu melalui proses kenaikan pangkat yang tulus dan “bersih.” PDRM juga perlu meningkatkan program Rakan Polis (Rakan Cop) untuk merapatkan hubungan polis dengan rakyat. Kewujudan Rakan Cop memudahkan orang awam menyampaikan maklumat melalui SMS ataupun menelefon terus pihak polis. Gandingan pihak polis dengan orang awam perlu lebih erat terjalin seperti aur dengan tebing.


LATIHAN PEMAHAMAN:

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata mencabar integriti.                                                       [2 markah]

(ii) Apakah cabaran-cabaran yang sering dihadapi oleh Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga menggugat integritinya?

Berikan tiga cabaran tersebut.                                                                                           [3 markah]

(iii) Pihak polis sering dikritik kerana tidak membenarkan perhimpunan awam diadakan terutamanya oleh parti-parti politik. Pada pendapat anda, apakah alasan pihak polis tidak membenarkan perhimpunan awam diadakan?

Kemukakan empat alasan tersebut.                                                                                  [4 markah]

LATIHAN TATABAHASA:

Tukarkan cakap ajuk di bawah kepada cakap pindah tanpa mengubah maksud asalnya

Cikgu Ali : Daripada apa yang saya lihat, gelagat tiga orang pelajar itu jelas bertentangan dengan tatasusila sebagai pelajar sekolah.
Cikgu Siti : Saya akan mendapatkan pita video yang merakamkan gelagat ketiga -tiga orang pelajar itu

Cikgu Ali : Kesemua ini akan kita siasat bagi mendapat gambaran sebenarnya insiden yang terjadi. Saya memandang serius terhadap kejadian yang membabitkan tingkah laku pelajar semasa di sekolah.
Cikgu Siti : Jika Jawatankuasa Disiplin puas hati bahawa tingkah laku tiga orang pelajar itu melanggar tatasusila sebagai pelajar sekolah, mereka bakal berdepan dengan hukuman berat.

Cikgu Ali : Kita perlu bertindak tegas atas mana-mana pelajar yang melanggar disiplin.

Cikgu Siti : Kita akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Disiplin pada petang nanti.
                                                                                                                                                       [6 markah]

LATIHAN PROSA KLASIK:


Merah Silu mengupah orang dengan emas dan perak untuk membuat anderak besar. Besarnya anderak itu sekadar muat kerbau dua tiga ratus. Setelah siap, disuruh askar gemparkan kerbau liar itu ke arah muka anderak itu. Kerbau itu pun terkejut lalu lari masuk ke dalam mulut anderak itu dan tersangkut tanduknya lalu tersekat,tidak dapat masuk dan keluar. Pintu anderak itu disumbat seorang segumpal tanah. Pintu itu tertutup dan matilah kerbau itu. Kerbau yang di dalam anderak itu dijinakkan dengan mencucuk hidungnya.

            Sampailah khabar kepada Merah Hasum bahawa Merah Silu bermain dengan binatang liar yang tidak disukai oleh orang ramai. Tempat itu diberi nama Kerbau Kampung. Merah Hasum memanggil seorang hamba,katanya, “Pergi engkau katakan kepada saudaraku, Merah Silu, apa gunanya bermain binatang yang tiada berguna kepada orang yang banyak itu. Dia memberi aku malu. Jika dia tidak mendengar kataku ini, nyahlah dia dari negeri ini; janganlah ia duduk bersama-sama aku.”

           Hamba sahaya Merah Hasum menyampaikan nasihat itu kepada Merah Silu. Setelah mendengar dan menimbangkan kata-kata Merah Hasum itu, Merah Silu berfikir dalam hatinya, “Baiklah, jikalau Merah Hasum berkata demikian kepadaku, aku pun hendak mencari tempat diam.”

Dipetik daripada “Merah Silu”, diselenggara oleh Ismail Ahmad dalam antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)


i) Berikan maksud rangkai kata Sampailah khabar dalam petikan di atas              [2 markah]

ii) Apakah reaksi Merah Hasum apabila mendapat berita tentang Merah Silu?      [3 markah]

iii) Pada pandangan anda, wajarkah Merah Silu berpindah ke tempat lain?                                      [3 markah]


Latihan Kendiri:


i) Apakah maksud anderak besar dalam petikan di atas?                                              [2 markah]

ii) Nyatakan tindakan Merah Silu untuk menangkap kerbau liar?                                    [3 markah]

iii) Pada pendapat anda, apakah yang harus dilakukan jika berlaku perselisihan faham antara adik-beradik ?
                                                                                                                                                 [3 markah]

JAWAPAN RUMUSAN:

Pendahuluan:
Petikan membincangkan usaha-usaha / tindakan-tindakan untuk meningkatkan integriti Polis Diraja Malaysia dalam kalangan masyarakat di negara ini.(2m)

Isi-isi tersurat
1 Meningkatkan kualiti modal insan melalui pendedahan pelbagai ilmu serta latihan. (2m)
2 Penambahan jumlah anggota PDRM sebanyak 60,000 orang. (2m)
3 Kerajaan  wajar merestui dan membiayai hasrat PDRM untuk menubuhkan univesiti polis. (2m)
4 Menubuhkan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan dan Perjalanan Pengurusan PDRM telah ditubuhkan. (2m)
5 PDRM  harus mempunyai hubungan yang mesra dengan masyarakat. (2m)
6 Orang awam dibenarkan membuat aduan di tempat urusan yang mudah. (2m)
7 Ketua Polis Negara mengusulkan kenaikan gaji anggota PDRM sebanyak 20%. (2m)
8 Mencadangkan kaedah proses kenaikan pangkat yang telus dan "bersih." (2m)
9 PDRM juga perlu meningkatkan program Rakan Polis (rakan cop) (2m)

Isi-isi tersirat
1 Keyakinan masyarakat terhadap PDRM akan meningkat. (2m)
2 Undang-undang negara akan dapat ditegakkan. (2m).
3 Menarik minat masyarakat untuk menyertai PDRM. (2m).
4 Keamanan negara akan lebih terjamin. (2m)
5 Salah laku anggota polis akan berkurangan. (2m)

Kesimpulan
Kesimpulannya, setiap anggota polis perlu mempunyai komitmen ketika menjalankan tugas agar dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat. (2m)


JAWAPAN PEMAHAMAN

(i) mempersoalkan / mempertikaikan keutuhan / kewibawaan 2m
[maksimum 2 markah]

(ii) Tiga cabaran yang dihadapi oleh PDRM.
Berhadapan dengan masalah jenayah di dalam negara bahkan menerima ancaman hebat dari seluruh dunia 1m
masalah disiplin yang melibatkan anggotanya seperti salah guna kuasa, rasuah dan jenayah. 1m
Masalah keyakinan rakyat terhadap integriti polis pada tahap yang rendah. 1m
[maksimum 3 markah]

(iii) Pada pendapat saya, empat alasan tidak membenarkan perhimpunan:
Menjaga ketenteraman awam agar tidak berlaku sebarang rusuhan. 1m
Mengganggu perjalanan lalu lintas sehingga menyebabkan kesesakan. 1m
Memberikan gambaran buruk kepada masyarakat luar. 1m
Bimbang ada pihak-pihak yang ingin mengambil kesempatan untuk menghasut masyarakat. 1m
Membazirkan masa pihak polis untuk memantau peIjalanan perhimpunan.1m
(terima mana-mana jawapan lain yang sesuai) [maksimu


JAWAPAN TATABAHASA:

     Cikgu Ali menyatakan bahawa gelagat tiga pelajar itu jelas bertentangan dengan tatasusila sebagai pelajar sekolah. (1m) Cikgu Siti menyatakan bahawa beliau akan  mendapatkan pita video yang merakamkan gelagat ketiga-tiga pelajar tersebut. (1m)  Cikgu Ali menjelaskan bahawa kesemua tuduhan itu akan disiasat bagi mendapat gambaran  sebenarnya insiden yang terjadi. Beliau menjelaskan bahawa pihaknya memandang  serius kejadian yang membabitkan tingkah laku pelajar di sekolah. (1m) Cikgu Siti  menjelaskan bahawa jika lawatankuasa Disiplin berpuas hati tentang tingkah laku  tiga pelajar tersebut telah melanggar tatasusila sebagai pelajar sekolah, mereka bakal  berdepan dengan hukuman berat. (lm) Cikgu Ali menjelaskan bahawa pihaknya perlu  bertindak tegas terhadap mana-mana pelajar yang melanggar disiplin. (1m) Cikgu Siti  menyatakan bahawa pihaknya akan mengadakan mesyuarat lawatankuasa Disiplin  pada petang nanti. (1m)



JAWAPAN PROSA KLASIK: MERAH SILU

i) lubang besar, perangkap besar, kandang besar


ii) Tindakan Merah Silu;

Mengupah orang dengan emas dan perak untuk anderak besar / Menyuruh askar menggemparkan kerbau liar itu ke arah muka anderak itu / Pintu anderak disumbat dengan segumpal tanah / Pintu anderak ditutup

iii) Jika berlaku perselisihan faham antara adik-beradik;

Berbincang secara baik/bersemuka / Menggunakan orang tengah untuk berbincang
Menasihati supaya berbaik semula / Membawa perkara ini kepada pihak berkuasa 




Karangan - Binaan Perenggan Dalam Karangan

PENGGUNAAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DALAM PENDIDIKAN

• mesti dipilih berdasarkan kesuaiannya dari segi topik dan objektif pelajaran, latar belakang pelajar, saiz kelas dan keadaan fizikal bilik darjah. 

• mesti digunakan untuk mencapai sesuatu objektif pelajaran dan peringkat perkembangan pelajaran itu sama ada:
- pengenalan topik
- perkembangan pelajaran iaitu penerangan konsep
- penutup dan kesimpulan topik pelajaran
- penilaian kefahaman terhadap topic

• Digunakan mengikut masa yang sesuai iaitu masa yang dapat merangsang pembelajaran 

• Digunakan dengan merujuk kepadanya dan bukan sekadar untuk menunjuk-nunjuk sahaja. 

• Selepas digunakan tanggalkan atau ubah supaya tidak mengganggu pelajar yang seterusnya. 

• Setelah tamat sesi pengajaran, pamerkan untuk rujukan kelas di papan buletin kelas.

Ciri-ciri dan jenis teknologi pendidikan yang baik

• Alat yang dapat menjelaskan idea - idea yang kabur dan menrangkan isi-isi pelajaran.

• Alat yang besar dan jelas untuk dilihat oleh semua pelajar. ( Tulisan dan angka yang ditulis dalam mestilah besar dan jelas )

• Tulisan dan gambar perlu dipelbagaikan warnanya. (Gunakan plebagai warna  untuk memberi penekanan kepada perkataan-perkataan dalam topik yang ingin diajar.)



-        Penggunaannya mesti dirancang dalam tiga peringkat iaitu:
A) sebelum kegunaan – merancang masa dan cara  mengaitkannya dengan topik pengajaran.

B) semasa kegunaan - merancang ulasan dan penekanan aspek-aspek penting yang dapat membantu pembelajaran.

C) selepas kegunaan - merancang aktiviti lanjutan seperti soalan-soalan, kesimpulan dan penilaian.



Kepentingan Teknologi Pendidikan Dalam Pengajaran dan Pembelajaran


1.               membantu memperbaiki keseluruhan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran
2.               melicinkan proses pengajaran dan pembelajaran kerana berfokuskan isi-isi penting pada topik yang akan disampaikan
3.               menjimatkan masa, tenaga, dan wang
4.               mengelakkan rasa bosan pelajar dan mengekalkan minat pelajar malah dapat menghiburkan pelajar
5.               melibatkan pelbagai deria pelajar (penglibatan deria ini akan meningkatkan daya ingatan pelajar / Mengelakkan berlakunya salah tafsir terhadap konsep melalui deria lihat, dengar atau sentuh)
6.               memberi kelainan dan kepelbagaian dalam kaedah pengajaran
7.               memperkaya  pengalaman pelajar (media bergerak boleh memperkaya pengalaman murid. Kejadian yang tidak pernah dilihat atau dialami akan dapat disaksikan sendiri dan seolah-olah mereka mengalaminya.





Monday 17 March 2014

MERAH SILU

Merah Silu

 Merah Gajah yang berkahwin dengan Puteri Betong telah dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Merah Silu dan Merah Hasum. Pada suatu malam, sewaktu Puteri Betong tidur, Merah Gajah telah mencabut rambut berwarna keemasan di tengah kepala isterinya  yang menyebabkan keluar darah dari liang-liang rambut sehingga menyebabkan kematiannya.

Berita kematian Puteri Betong telah menimbulkan kemarahan ayahandanya iaitu Raja Muhammad dan mengambil tindakan membunuh Merah Gajah. Ayahanda Merah Gajah iaitu Raja Ahmad telah bertindak balas menyerang Raja Muhammad sehingga berlaku peperangan sengit menyebabkan kedua-duanya terbunuh termasuk sebilangan besar rakyat. Hanya yang tinggal Merah Silu dan Merah Hasum serta beberapa rakyat yang masih hidup dan mengaku taat setia kepada kedua-duanya untuk terus tinggal di negeri Semerlanga itu.
Merah Silu dan adiknya Merah Hasum berhasrat meninggalkan negeri itu kerana tidak ada sesiapa lagi kaum kerabatnya yang tinggal. Mereka berdua keluar meninggalkan negeri Semerlanga menuju ke sebuah negeri bernama Beruana. Mereka membuka perkampungan di tepi sungai. Suatu hari ketika di sungai, Merah Silu terlihat banyak ikan dan dia pergi ke hulu sungai menahan bubu. Beberapa kali bubu yang ditahannya dipenuhi dengan cacing gelang-gelang. Akhirnya dia mengambil keputusan membawa balik cacing gelang-gelang itu dan merebusnya di dalam kawah. Cacing itu telah bertukar menjadi emas dan buihnya menjadi perak menyebabkan Merah Silu menjadi kaya.

Pada suatu hari , Merah Silu menangkap kerbau liar tetapi tindakannya itu tidak disenangi oleh Merah Hasum kerana pada pendapatnya kerja itu tidak berfaedah dan hanya memalukan dirinya sebagai saudara kepada Merah Silu. Merah Hasum telah meminta Merah Silu menghentikan perbuatan tersebut dan menyuruh Merah Silu keluar dari negeri itu jika tidak mahu mendengar katanya. Akhirnya Merah Silu mencari petempatan baru dengan membawa segala harta dan kerbaunya. Merah Silu tiba di hulu Karang dan menetap di situ tetapi kehadirannya tidak disenangai oleh penduduk kampung kerana kerbau-kerbau itu memakan tanaman mereka.

Merah Silu berpindah lagi ke sebuah negeri bernama Buluh Telang. Di sini beliau bertemu dengan Megat Iskandar dan menyatakan hasratnya untuk tinggal di negeri tersebut dan menganggap Megat Iskandar sebagai bapanya. Megat Iskandar bersetuju membenarkan Merah Silu tinggal di situ dan boleh memelihara kerbau kerana ada ladang yang luas. Merah Silu suka menyabung ayam dan selalu memberi kerbau sebagai hadiah kepada sesiapa yang menyabung ayam dan mereka yang menontonnya. Megat Iskandar dengan persetujuan pembesar dan rakyat telah melantik Merah Silu menjadi raja di Rimba Jerun. Sultan Maliku’l- Nasar tidak bersetuju dan menyerang Merah Silu. Beberapa siri peperangan berlaku antara Merah Silu dengan Sultan Maliku”l- Nasar dan akhirnya sultan tewas dan Merah Silu menjadi raja di Rimba Jerun.


Watak dan Perwatakan

Watak Utama - Merah Silu - Anak sulung  Merah Gajah dengan Puteri Betong / Mempunyai saudara bernama Merah Hasum / Menjadi yatim piatu sejak kecil setelah kematian ibu dan ayahnya / Kaya - Cacing gelang-gelang yang direbusnya bertukar menjadi emas dan buihnya menjadi perak. / Suka menyabung ayam – Ramai juara sabung ayam datang bersabung ayam dengan Merah Silu. / Seorang yang tidak berputus-asa- Merah Silu berulang kali menahan bubu walaupun hasilnya hanya cacing gelang-gelang. / Seorang yang berani-- Merah Silu terlibat dalam beberapa siri peperangan /  Seorang yang pemurah- Merah Silu suka memberi hadiah kerbau kepada sesiapa yang terlibat dalam sabung ayam.

Watak Sampingan

1. Merah Hasum - Adik kepada Merah Silu / Menghormati saudara- Dia bersetuju dengan pandangan Merah Silu untuk berpindah dari negeri Semerlanga./  Tidak suka perkara sia-sia- Dia marahkan Merah Silu kerana menangkap kerbau liar. / Bersikap tegas – Dia menyuruh Merah Silu meninggalkan Beruana jika tidak mahu menghentikan perbuatan menangkap kerbau liar.

2. Megat Iskandar - Saudara kepada Megat Kedah dan Sultan Maliku”l-Nasar. / Tinggal di Buluh Telang. /  Mempunyai ladang yang luas. / Bapa angkat kepada Merah Silu. /  Tetap pendirian - Dia berperang di Kumat dengan  saudaranya Sultan Maliku’l-Nasar yang tidak bersetuju Merah Silu menjadi raja di Rimba Jerun / Seorang yang menghormati tetamu - Dia menjamu Merah Silu semasa kedatangan Merah Silu ke Buluh Telang.

3. Sultan Maliku”l- Nasar - Adik kepada Megat Iskandar dan Megat Kedah / Tegas- Dia tidak bersetuju dengan tindakan Megat Iskandar untuk melantik Merah Silu di Rimba Jerun. / Mempertahankan haknya sebagai raja di Rimba Jerun / Berani – Dia berperang dengan Megat Iskandar di Kumat.

UNSUR KOMSAS -TEMA
PERISTIWA
Ketabahan seorang anak raja dalam menghadapi cabaran hidup.


Merah Silu menjadi yatim piatu setelah kematian kedua-dua ibu bapa dan terpaksa merantau dengan adiknya Merah Hasum meninggalkan Semerlanga dan membuka petempatan baru di Beruana. Merah Silu terpaksa berpindah lagi kerana sikapnya tidak disenangi oleh adiknya. Dia berpindah ke Hulu Karang pula  tetapi tidak disukai oleh penduduk di situ kerana kerbau-kerbaunya telah merosakkan tanaman mereka. Merah Silu menetap pula di Buluh Telang apabila dipelawa oleh Megat Iskandar. Merah Silu menghadapi beberapa peperangan dengan Sultan Maliku’l-Nasar sehingga dia dirajakan di Rimba Jerun.

UNSUR KOMSAS –PERSOALAN
PERISTIWA
Persoalan perselisihan antara adik-beradik


Perselisihan faham antara Merah Silu dengan Merah Hasum kerana tindakan Merah Silu yang menangkap kerbau liar tidak disukai oleh Merah Hasum dan dianggap memalukannya
Persoalan perkara di luar logik akal


Keistimewaan keturunan raja yang digambarkan dengan peristiwa aneh , misalnya cacing gelang-gelang yang direbus oleh Merah Silu bertukar menjadi emas dan buihnya menjadi perak.

Persoalan keberanian anak raja

Merah Silu menghadapi beberapa peperangan dengan Sultan Maliku’l-Nasar sehingga dia dirajakan di Rimba Jerun

Persoalan sikap pemurah dalam kalangan masyarakat


Merah Silu yang suka menyabung ayam memberi hadiah seekor kerbau kepada orang yang terlibat menyabung ayam dan juga kepada yang hanya datang melihat sahaja malah dia juga memberi semula wang pertaruhan kepada mereka yang kalah.

Persoalan kegemaran berjudi dalam kalangan masyarakat

Merah Silu suka menyabung ayam dan mengunakan wang pertaruhan

UNSUR KOMSAS –NILAI
PERISTIWA
Nilai Taat Setia
Rakyat mematuhi perintah raja untuk berperang sehingga melibatkan banyak kehilangan nyawa.

.Nilai Murah Hati

Merah Silu menghadiahkan seekor kerbau kepada setiap orang yang hadir ke gelanggang sabung ayam..

 Nilai Keberanian

Merah Silu berani berperang menentang Sultan Maliku’l-Nasar untuk menjadi raja di Rimba Jerun.

.Nilai Berdikari

Merah Silu keluar mencari petempatan baru sendirian setelah dihalau oleh Merah Hasum.

UNSUR KOMSAS –LATAR MASYARAKAT
PERISTIWA
Golongan bangsawan
Merah Silu, Merah Hasum, Puteri Betong, Merah Gajah, Raja Ahmad, Raja Muhammad, Megat Iskandar,Megat Kedah, Sultan Maliku’l-Nasar

Masyarakat yang suka menyabung ayam
Ramai juara sabung ayam datang bermain menyabung dengan Merah Silu

Golongan bawahan
Orang yang diupah untuk mengorek lubang besar (anderak) bagi menangkap kerbau liar

Golongan askar
Golongan tentera yang terlibat dalam beberapa siri peperangan

Masyarakat yang suka membantu
Megat  Iskandar mempelawa Merah Silu menetap di  Buluh Telang

UNSUR KOMSAS –LATAR TEMPAT
PERISTIWA
 Negeri Semerlanga


Peperangan antara Raja Ahmad dengan Raja Muhammad menyebabkan kedua-duanya terbunuh. / Tempat asal Merah Silu dan Merah Hasum sebelum keluar merantau.

 Beruana
 
Perkampungan baru yang dibuka oleh Merah Silu dan Merah Hasum.
 
 Kerbau Kampung
 
Tempat Merah Silu menangkap kerbau liar.

Hulu Karang
 
Merah Silu tidak disukai oleh penduduk di situ kerana kerbau-kerbau Merah Silu merosakkan tanaman padi dan pisang mereka.

Negeri Buluh Telang


.Merah Silu menetap di situ setelah dipelawa oleh Megat Iskandar. / Tempat Merah  Silu mengamalkan hobinya menyabung ayam.

 Rimba Jerun
 

Peperangan antara Sultan Maliku”l-Nasar dengan Merah Silu. / Merah Silu menjadi raja  setelah Sultan Maliku’l-Nasar ditewaskan oleh Megat Iskandar di Kumat.


 LATIHAN PEMAHAMAN:
Baca prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

            Setelah beberapa lama Merah Gajah berkahwin dengan Puteri Betong dengan berkat kurnia Tuhan Yang Amat Berkuasa, Puteri Betong pun hamil. Setelah genap bulannya, Puteri Betong pun melahirkan seorang anak lelaki dan diberi nama Merah Silu. Selang beberapa lama kemudian, Puteri Betong pun hamil lagi.  Setelah genap bulannya, lahirlah lagi seorang anak lelaki dan diberi nama Merah Hasum.
            Puteri Betong mempunyai sehelai rambut berwarna keemasan di tengah kepalanya tetapi ia tidak diketahui suaminya sehinggalah pada suatu hari, terlihat suaminya ketika puteri sedang menyikat  rambut.
            Kata Merah Gajah kepada isterinya, ”Wah adinda, mari  hamba bantunkan rambut tuan puteri yang sehelai itu!”
            Jawab tuan puteri itu, ”Jika rambut hamba sehelai itu dicabut oleh tan hamba, alamat perceraian tuan hamba dengan hamba.”
            Beberapa kali diminta oleh Merah Gajah untuk mencabut rambut itu, tidak dibenarkan oleh isterinya. Pada suatu hari, semasa isterinya sedang tidur, Merah Gajah mencabut rambut isterinya yang berwarna keemasan itu. Baginda menyangka tiada apa-apa yang akan berlaku. Apabila rambut itu tercabut, keluarlah darah dari liang rambut. Sebaik sahaja darahnya berhenti maka Puteri Betong pun hilanglah.

i.                 Berikan maksud rangkai kata alamat perceraian tuan hamba dengan hamba  [2 markah]  tanda perpisahan antara kita berdua

ii.                Apakah peristiwa yang berlaku selepas Merah Gajah mencabut sehelai rambut di atas kepala isterinya? [3 markah] - darah keluar dari  liang rambut Puteri Betong / darah yang keluar sangat banyak  / Puteri Betong  tiba-tiba hilang setelah darah yang keluar itu berhenti / Puteri Betong berpisah dengan Merah Gajah selama-lamanya

iii.              Pada pandangan anda, bagaimanakah caranya untuk membentuk keluarga bahagia?  [3 markah] - kasih sayang sesama suami isteri / mengamalkan sikap toleransi sesama ahli keluarga / menyelesaikan masalah dengan cara bermusyawarah