Wednesday, 7 October 2020

BAHAN BACAAN TAMBAHAN

 

Manfaatkan Masa Tingkat Hubungan Ibu Bapa da Anak

Oleh: Dr Norsayyidatina Che Rozubi

 

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan kempen Stay Home, Stay Safe perlu digunakan oleh ibu bapa untuk meluangkan semaksimum ruang bersama anak. Ibu bapa perlu melihat tempoh ini sebagai pemurnian dalam hubungan mereka dengan anak. Kita perlu melihat setiap masalah dari aspek positif kerana cara ibu bapa berfikir, bertindak dan beremosi sangat mempengaruhi perspektif kanak-kanak melihat dunia.

Peluang ini perlu digunakan untuk membina sebanyak mungkin masa berkualiti bersama anak di rumah. Sebenarnya, terdapat banyak aktiviti boleh dilaksanakan bersama anak yang dapat menambah kemesraan dalam hubungan. Tempoh ini bukan sahaja mewujudkan perhubungan yang lebih positif malahan membina memori indah.

Sekolah sering dilihat sebagai lokasi dan latar terbaik dalam mendidik kanak-kanak, tetapi urusan pendidikan bukan sahaja menjadi tanggungjawab guru, bahkan amanah kepada ibu bapa. Tempoh di rumah pada ketika ini boleh digunakan oleh ibu bapa untuk mengajar anak mengenai adab khususnya menghormati orang lebih tua termasuk guru dan ahli keluarga lain. Menerapkan nilai murni dan contoh akhlak yang baik juga perlu menjadi keutamaan.

Selain itu, aspek kesihatan perlu dititikberatkan dengan membantu anak untuk memahami situasi wabak COVID-19 dengan bahasa yang mudah difahami. Mereka perlu dibantu untuk mengetahui langkah kebersihan dan keselamatan, selain diterangkan mengapa perlu berada di rumah dalam tempoh ini.

Kanak-kanak sebenarnya lebih mudah melalui proses penyesuaian dan pembaharuan berbanding orang dewasa. Sebagai ibu bapa, kita perlu menggunakan ruang ini untuk membantu mereka menyesuaikan diri dengan situasi yang melanda negara. Mereka akan lebih memahami apa yang berlaku dengan penerangan jelas dengan laras bahasa bersesuaian oleh ibu bapa. Ibu bapa juga digalakkan membantu kanak-kanak untuk belajar berjimat cermat dari segi kewangan, makanan dan tenaga, sekali gus menghargai dan bersyukur dengan apa yang dimiliki.

Penyesuaian ini perlu ditangani dengan baik agar kesejahteraan psikologi kanak-kanak dalam tempoh PKP dalam keadaan yang optimum. Kanak-kanak juga seperti orang dewasa yang tertangguh dalam melakukan sesuatu akibat pelbagai tuntutan. Oleh itu, dalam tempoh ini ibu bapa perlu membantu kanak-kanak menyiapkan semua urusan tertangguh seperti kerja sekolah, menyusun fail dan nota dan mengemas bilik sendiri serta menyusun perancangan akademik. Ini untuk memastikan urusan akademik mereka tidak tercicir.

Ibu bapa yang kreatif pula boleh menggalakkan anak untuk mencuba sesuatu yang baharu. Contohnya membina hobi baharu yang tanpa disedari mencungkil bakat dan potensi kanak- kanak. Mereka perlu digalakkan membuat sesuatu yang baharu seperti mempelajari bahasa asing atau mencuba kemahiran lain. Golongan ibu bapa perlu kreatif dan kritis dalam memastikan tempoh ini dapat ditangani dengan baik oleh anak-anak serta membentuk personaliti unggul dalam diri mereka.

Tempoh ini juga waktu terbaik untuk kita semua merenung untuk berubah menjadi lebih baik dalam membentuk anak yang sejahtera dalam menghasil generasi Malaysia yang cemerlang dan berakhlak.

 

 

Penulis adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Psikologi Kaunseling, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

LATIHAN KARANGAN: DIMENSI KELUARGA

 

Dalam menghadapi dunia yang semakin mencabar ini pelajaran sangat  penting dalam kehidupan seseorang. 

 

Huraikan peranan ibu bapa untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.

Proklamasi keluarga bahagia tunjang kemakmuran negara jelas memanifestasikan bahawa institusi keluarga terutamanya ibu bapa memainkan peranan yang afdal dalam membentuk hala tuju anak-anak pada masa hadapan. Kejayaan anak-anak dalam bidang akademik bukanlah sekadar ilusi atau fatamorgana semata-mata tetapi memerlukan komitmen yang jitu daripada ibu bapa.. Pernyataan ini terbukti apabila terdapat ramai pelajar sekolah rendah, sekolah menengah mahupun mahasiswa yang telah meraih pencapaian cemerlang dalam pelajaran mereka. Kontradiksinya, di sebalik kejayaan tersebut terselit resepi yang tidak diketahui orang serta seribu satu onak dan ranjau yang telah diharungi. Dalam hal ini, dua orang insan iaitu ibu dan bapa yang telah memberikan semangat dan asuhan sejak hari pertama kita menjejakkan kaki ke dunia ini amat berjasa terhadap kehidupan kita. Mereka menjaga kita dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh. Mereka berhempas pulas membanting tulang mencari rezeki setiap hari supaya mampu menampung kehidupan anak-anak. Pendidikan oleh kedua-dua ibu bapa dapat membantu anak-anak menentukan masa depan mereka. Hal ini demikian kerana anak-anak diibaratkan sebagai kain putih dan ibu bapalah yang mencorakkannya sama ada seindah warna pelangi atau semalap pelita yang kehabisan minyak. Ibu bapa menggalas tanggungjawab yang besar dengan memberi tunjuk ajar dalam pelajaran dan berdoa untuk anak-anak supaya mencipta kejayaan. Mereka menjadi tonggak kepada anak-anak melalui sokongan moral dan menyediakan keperluan asas anak mereka. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran? 

 

            Umum mengetahui bahawa peranan perdana yang dimainkan oleh kedua-dua ibu bapa adalah dengan mengutamakan iklim rumah tangga yang dibina dalam situasi yang aman dan damai. Ibu bapa hendaklah menyediakan tempat belajar yang kondusif untuk anak-anak dengan semua buku rujukan supaya anak-anak dapat memfokuskan diri dalam pelajaran dengan sepenuhnya. Anak kunci keamanan dan kebahagiaan rumah tangga ialah sikap saling memahami, berkasih sayang dan tambatan cinta yang luhur dan abadi. Ibu bapa berperanan dalam mengekalkan keharmonian dan keceriaan rumah tangga supaya menjamin anak-anak dapat membesar dengan gembira, selamat dan sihat. Ibu bapa hendaklah membebaskan anak-anak daripada sebarang masalah dengan memberi dorongan, tunjuk ajar, nasihat dan didikan kerohanian sejak awal usia persis kata peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa harus mengelakkan diri daripada bergaduh atau bertengkar di hadapan anak-anak kerana akan memberikan tekanan dan menakutkan mereka. Sekiranya perkara ini berlarutan, maka anak-anak tidak akan mampu memberi perhatian terhadap pelajaran dan menyebabkan masalah psikologi. Perpecahan keluarga juga mengganggu kesejahteraan rumah tangga. Dalam pada itu, ibu bapa memainkan peranan yang signifikan dalam menjamin kedamaian dan keharmonian antara ahli keluarga agar mentaati konsep rumahku syurgaku untuk kepentingan semua anggota terutamanya anak-anak. Secara ringkasnya, dapatlah dikatakan bahawa ibu bapa memikul pundak yang dominan dengan sentiasa bertolak ansur antara satu sama lain demi menjamin kerukunan iklim rumah tangga. 

 

            Sesungguhnya, kita sedia maklum bahawa ibu bapa wajar mengambil inisiatif secara beristiqamah dalam mengawasi perkembangan dan pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya. Rakan sebaya anak-anak berperanan besar dalam mempengaruhi mereka dalam kehidupan harian. Anak-anak selalunya akan memilih rakan yang mempunyai sifat, kelakuan dan identiti yang hampir sama untuk bergaul. Oleh hal yang demikian, ibu bapa haruslah mengawal pergaulan dan tingkah laku mereka dengan menjejaki lokasi anak-anak mereka. Rakan sebaya mampu mempengaruhi pemikiran anak-anak yang masih tidak dapat membezakan kebenaran dan kebatilan sesuatu perkara itu. Kealpaan mereka dalam menentukan  yang mana intan, yang mana kaca  akan menyebabkan mereka terjerumus ke dalam kancah kebejatan sosial. Janganlah menyesal kemudian kerana pada ketika itu nasi sudah menjadi bubur tetapi bertindak pada masa yang sesuai agar tidak menyesal pada kemudian hari. Anak-anak hendaklah diawasi sepanjang masa. Sekiranya ibu bapa mendapati mereka mengalami perubahan sifat atau tingkah laku, maka tindakan yang tegas hendaklah diambil untuk mencorakkan akhlak mereka. Ibu bapa haruslah meluangkan masa untuk menemani dan berbual-bual bersama dengan anak-anak tentang masalah yang dihadapi malahan menasihati mereka agar menjauhi rakan-rakan yang bermasalah disiplin sehingga mampu menjejaskan masa depan mereka. Pendek kata, ibu bapa seyogianya mengambil tahu perkembangan dan pergaulan anak-anak demi memastikan mereka menumpukan perhatian terhadap pelajaran untuk menjamin kejayaan yang cemerlang pada masa depan.

 

            Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa patut memastikan anak-anak mendapat pendidikan kerohanian yang secukupnya. Ahli fizikteori Albert Einstein pernah berkata bahawa agama tanpa ilmu adalah buta, ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Hal ini memang membuktikan bahawa agama atau ilmu kerohanian dan ilmu saling berkaitan antara satu sama lain. Pegangan agama yang kukuh dapat membentuk sahsiah dan akhlak mulia seseorang itu untuk mendorongnya ke jalan yang tepat. Didikan kerohanian hendaklah didedahkan sejak awal usia anak-anak lagi untuk menjadi pedoman hidup agar anak-anak dapat mengelakkan diri daripada perbuatan maksiat dan salah laku. Didikan ini dapat membentuk keperibadian mulia seseorang untuk menyayangi diri dan alam serta menjamin keharmonian hidup. Ibu bapa boleh mengambil pendekatan dengan mendaftarkan anak-anak mereka mengikuti program berkaitan dengan kerohanian untuk mengisi masa lapang anak-anak di samping memperoleh faedah daripadanya. Anak-anak juga akan mengikut ajaran agama dengan berdoa supaya memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Ibu bapa hendaklah menjadi entiti mithali kepada anak dengan menuruti ajaran agama oleh sebab peribahasa ada menukilkan bahawa ke mana tumpahnya kuah, jika tidak ke nasi. Secara realitinya, anak-anak sering meniru perbuatan ibu bapa mereka. Jelaslah malahan sudah terang lagikan bersuluh bahawa ibu bapa harus menjadi suri teladan dengan mendidik anak-anak melalui ilmu kerohanian yang secukupnya. 

 

            Pada hemat saya, suatu hakikat yang wajar diterima ialah ibu bapa hendaklah selalu berhubung dan berbincang dengan pihak sekolah serta mengadakan sumbang saran dengan guru-guru tentang anak-anak mereka. Ibu bapa hendaklah menggunakan peluang melalui majlis tertentu yang dianjurkan oleh pihak sekolah untuk mengetahui perkembangan anak-anak dan tingkah laku mereka di sekolah. Dengan ini, ibu bapa boleh mengambil tindakan untuk menambah baik kelemahan subjek anak-anak dan tingkah laku mereka. Perjumpaan tersebut juga menjadi satu pentas supaya ibu bapa dapat meluangkan masa untuk lebih memahami anak-anak dan keputusan akademik mereka. Hubungan yang akrab antara pihak sekolah dengan ibu bapa seperti aur dengan tebing  dapat meningkatkan prestasi anak-anak. Pada masa yang sama, ibu bapa harus menjadi pendengar yang baik dengan memahami masalah anak-anak mereka. Ibu bapa juga boleh berbincang tentang cara untuk meningkatkan prestasi anak-anak bersama dengan guru di sekolah. Ibu bapa harus menggalakkan anak-anak untuk meluahkan sebarang masalah yang dihadapi terhadap guru yang mengajar. Masalah dan kesedihan anak-anak mestilah dikongsi bersama-sama agar perasaan tersebut tidak akan terpendam yang akan menjadi satu tekanan dalam diri anak-anak. Ibu bapa juga harus memastikan anak-anak yang bermasalah disiplin diberi amaran dan hukuman yang sesuai untuk mendisiplinkan mereka agar tekun menuntut pelajaran. Dengan bertunjangkan kesahihan fakta, hakikatnya dapatlah kita simpulkan bahawa melalui perbincangan dengan pihak sekolah dapat membantu anak mencapai kecemerlangan dalam pelajaran. 

 

 

[ ibu bapa haruslah menyediakan kemudahan yang lengkap untuk anak-anak belajar. - buku-buku rujukan dan buku latihan -membuat ulang kaji secara sempurna dan menyeluruh - Tempat belajar bersih dan senyap - menjadi gangguan semasa anak-anak sedang belajar - Latihan dan bahan rujukan yang lengkap - memahami subjek-subjek yang diajar di sekolah dengan lebih jelas dan teliti. - meluangkan masa untuk memberi tunjuk ajar kepada anak-anak - menjamin pemahaman dan penguasaan pelajar berkaitan sesuatu topik. - memperoleh penjelasan secara terperinci. – malu berkayuh perahu hanyut, malu bertanya sesat jalan - memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam setiap peperiksaan yang dihadapi. - membentuk anak-anak yang berkeyakinan untuk meraih kejayaan dalam pelajaran – ilmu ibarat pelita yang menjadi penyuluh ketika berada dalam kegelapankeluarga yang marem dan sakinah - tempat yang paling baik – Sikap yang positif haruslah disemai dalam jiwa anak - menjamin kesejahteraan hidup - pembentukan keperibadian mulia mereka]

 

 

            Sebagai menggulung segala lontaran idea yang dibicarakan, memang tidak dapat dipertikaikan bahawa ibu bapa perlulah memainkan peranan yang optimum dan cakna akan kejayaan anak-anak dalam pelajaran. Dalam hal ini, ibu bapa tidak harus mementingkan kerja mereka sehingga mengabaikan pelajaran anak-anak tetapi perlu mengutamakan kerukunan iklim rumah tangga. Anak-anak yang masih belum matang seperti terungkap dalam peribahasa umur setahun jagung darah setampuk pinang memerlukan pengawasan daripada ibu bapa terutama dalam pergaulan dengan rakan sebaya. Rentetan itu, pendidikan kerohanian tidak boleh diabaikan sama sekali agar anak tidak menjadi seolah-olah kapal kehilangan nakhoda. Ibu bapa juga wajar mengikuti perkembangan anak-anak dan sering bertukar-tukar pendapat dengan guru di sekolah. Seperkara lagi, anak-anak yang memerlukan sokongan moral seharunya disediakan kemudahan yang secukupnya di rumah agar terus mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Bertitik tolak daripada itu, ibu bapa tidak patut memberi tekanan yang berlebihan terhadap prestasi mereka kerana anak-anak juga memerlukan ruang tersendiri untuk melepaskan tekanan dalam pelajaran. Maka, untuk menjamin masa depan anak-anak agar dapat meraih kejayaan dalam pelajaran, ternyatalah bahawa ibu bapa merupakan agen pertama dalam membantu mereka ke arah kejayaan. Kalau bukan ibu bapa siapa lagi yang akan memikul obligasi vital ini?

Penggunaan Ungkapan / Kata-kata Menarik Dalam karangan Dimensi Keluarga

 

Penggunaan Ungkapan / Kata-kata Menarik Dalam karangan Dimensi Keluarga

                                        

BIL

PENGGUNAAN UNGKAPAN /KATA-KATA MENARIK

PERENGGAN

 

1

Ibu bapa hendaklah sedar bahawa tanggungjawab membahagiakan keluarga merupakan amanah dan ibadah  malah menjadi motivasi dalam melahirkan institusi  keluarga yang harmoni dan harmonis kerana anak-anak yang salah dididik merupakan anak yang ‘hilang’.

 

 

2

Ibu bapa seharusnya menyuburkan didikan kerohanian dalam sanubari anak-anak lantaran ilmu dunia sebagai alat untuk kesenangan hidup sementara ilmu agama sebagai pengimbang dan kedamaian batiniah.

 

 

3

Sebagai peneraju bahtera rumah tangga, bapa hendaklah mengetepikan ego dengan menerima hakikat bahawa bukan semua masalah dapat diselesaikan secara bersendirian tetapi memerlukan runding cara dan sumbang saran sesama anggota keluarga yang lain.

 

 

4

Sesungguhnya, keluarga menjadi markas utama untuk membentuk modal insan  cemerlang. Keluarga yang porak peranda akan memberi impak negatif kepada masyarakat setempat. Oleh itu, persefahaman yang wujud dalam kalangan ahli keluarga dapat membentuk masyarakat madani yang harmoni dan harmonis.

 

 

5

Ibu bapa hendaklah menjadi suri teladan kepada anak-anak selain membimbing mereka dengan meletakkan asas akhlak yang terpuji serta mengutamakan prinsip yang muda disayangi, dan yang tua dihormati

 

 

6

Andai kata anak-anak ketandusan kasih sayang, sudah pasti mereka akan mencari haluan lain untuk melepaskan diri daripada kepompong ketidakselesaan. Natijahnya, mereka akan mula berjinak-jinak dengan najis dadah dan tidak mustahil akan terjerumus dalam kancah kemaksiatan. Rentetan itu, ibu bapa seyogianya mengutamakan anak-anak mereka berbanding dengan hal-hal lain.

 

 

7

Ibu bapa perlu bertindak sebagai agen signifikan sebagai pencorak  karakter anak-anak agar mereka tidak mencetuskan cangkaliwang pada hari muka

 

 

8

Intihanya, ibu bapa perlu memantapkan kemahiran keibubapaan mereka  dalam mendidik anak-anak. Kita tidak mahu remaja-remaja yang bobrok dan kaya dengan pidana dihasilkan. Sebaliknya, kita inginkan barisan remaja yang berkaliber, syumul dan utopia hasil didikan  ibu bapa. Marilah kita berubah sebelum padi di tangan menjadi lalang.  Ayuhlah ibu bapa, berkorbanlah demi masa depan anak-anak tercinta.

 

 

Penggunaan Peribahasa Dalam karangan Dimensi Keluarga

 

Penggunaan Peribahasa Dalam karangan Dimensi Keluarga

 

BIL

PENGGUNAAN PERIBAHASA DALAM AYAT

PERENGGAN

 

1

Sudah tentu sesuatu perkara yang berlaku tentu ada sebab-sebab yang mendorongnya kerana kalau tidak berada-ada masakan…………………………… …………………………………………….     Hakikatnya, pembentukan keperibadian mulia anak-anak bermula daripada institusi keluarga                                                                     

 

2

Malangnya, kebanyakan ibu bapa kini yang terlalu mementingkan kerjaya menyebabkan anak-anak mereka di rumah berasa tersisih seperti kata peribahasa;  anak kera di hutan …………………………………………………………………

 

3

Ibu bapa merupakan uswah hasanah kepada anak-anak di rumah, justeru mereka mestilah sentiasa bersikap penyayang dan berbudi pekerti mulia. Hal ini terungkap dalam peribahasa yang berbunyi ke mana tumpahnya kuah ……………………. ……………………………………………………………………..

 

4

Anak-anak yang berfikiran kudus akan sentiasa mencontohi kelakuan ibu bapa mereka persis kata orang tua-tua bagaimana contoh…………………………… ……………… , justeru ibu bapa seyogianya menjadi tempat luahan isi hati dan penyimpan rahsia yang paling dipercayai anak-anak.

 

5

Lantaran itu, ibu bapa sewajarnya mengindoktrinasikan pucuk-pucuk hijau dengan nilai-nilai murni kerana anak-anak remaja kini sering melibatkan diri dalam kebejatan sosial dan budaya hedonisme yang begitu cepat merebak bagai .................................................................................

 

6

Melalui didikan dan ajaran yang baik, sudah tentu anak-anak akan tahu cara-cara untuk membezakan antara kebenaran dengan kebatilan. Mereka tahu menilai yang mana intan, ………………………………………………………………………   Lantaran  itu, memang tidak dapat disangkal lagi bahawa institusi keluarga  merupakan uslub yang represif dalam membentuk keperibadian anak-anak.

 

 

7

Ibu bapa mestilah menjalankan obligasi masing-masing secara beristiqamah. Kegagalan ibu bapa berperanan sebagai pembimbing anak-anak dengan bersikap seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus …………………………………… …………………………………………………………... sudah pasti akan mengundang padah terhadap masa depan negara.

 

8

Jikalau anak-anak kini berjaya membentuk keperibadian yang mulia, sudah tentu mereka akan menjadi sandaran negara seperti yang terungkap dalam kata-kata mutiara  pemuda harapan negara, …………………………………………….

 

TATABAHASA

 


FORMAT BARU KERTAS BM SPM 2021

 


Wednesday, 21 August 2019

PLOT NOVEL JENDELA MENGHADAP JALAN


PLOT NOVEL JENDELA MENGHADAP JALAN
 Permulaan (Eksposisi)
·         Lili pulang ke kampung datuknya di Dungun, Terengganu dengan menaiki bas.  Walaupun dia tidak gembira dengan percutiannya pada kali ini, namun dia ikutkan sahaja kehendak ibunya supaya ibunya tidak berasa kecil hati.
·         Dalam perjalanan ke Dungun, Lili bertemu Danel dan juga Geetha di dalam bas.
·         Rumah datuk dan nenek Lili di Pekan Sentosa sungguh nyaman, cantik dan dipenuhi dengan bendang.

Perkembangan
·         Datuk menghadapi situasi getir di kampung akibat penggantian kubah surau.
·         Kekalutan turut timbul apabila Sugi dikatakan memujuk orang kampung untuk menjual tanah bagi pembinaan kawasan perumahan di kampung datuk.
·         Datuk didatangi oleh orang dari bandar untuk mendapatkan rawatan secara tradisional.
·         Geetha memaklumkan kepada Lili bahawa datuknya telah berjaya menyembuhkan ibunya iaitu Latchumi yang sakit dengan menggunakan herba tradisional.
·         Danel sering datang untuk membantu nenek memasak kerana menganggap nenek seorang yang pandai memasak dan masakan nenek sangat sedap.
·         Danel berbual mesra dengan datuk dan menerangkan kepentingan perubatan moden. Namun, cara Danel yang berhemah menyebabkan datuk tidak berkecil hati.
·         Danel sering menulis artikel tentang pisang.
·         Lili diculik oleh anak-anak Che Jah, namun berjaya diselamatkan oleh Danel.

Konflik
·         Konflik dengan diri sendiri
o    Datuk berhasrat untuk tidak lagi mencari akar-akar kayu akibat sindiran nenek namun minatnya tetap dengan perubatan tradisional menyebabkan datuk keliru.

·         Konflik dengan orang lain
o    Datuk berasa terkesan apabila nenek selalu menyindir  sikapnya yang lebih mengutamakan perubatan tradisional berbanding perubatan moden.
o    Che Jah berasa sangat kecewa dengan sikap suaminya Seman yang melakukan keganasan dengan memukul anak-anak mereka iaitu Haziq dan Rafiq sehingga cedera. Oleh sebab tidak tahan dengan tindakan suaminya  itu Che Jah minta diceraikan.
o    Lili berkonflik terhadap permintaan ibunya supaya dia tinggal di kampung setelah tamat persekolahannya.  Lili tidak gembira dengan permintaan ibunya itu tetapi demi kegembiraan hati ibunya, permintaan ibunya itu dituruti.

Klimaks / Puncak
·         Che Jah memaklumkan bahawa suaminyalah yang melarikan kubah surau. Selama ini penduduk kampung menuduh Haziq dan Rafiq, namun tuduhan mereka tidak benar.

Peleraian
·         Kak Hamimah mencadangkan Che Jah membuat laporan polis supaya suaminya itu dapat diberkas dan dipulihkan.
·         Suami Che Jah ditangkap di belakang pondok dusun.
·         Haziq diberi herba sebagai penawar oleh datuk.
·         Rafiq dihantat ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
·         Sugi tidak mengaku ada kaitan dengan wakil pemaju perumahan yang memujuk penduduk kampung menjualkan tanah mereka.
·         Datuk dituduh melindungi anak-anak Che Jah yang menculik Lili.
·         Sugi memaklumkan bahawa dia berhasrat memajukan tanah penduduk kampung dengan projek agripolitan dan penanaman Jatropha Cuncas.
·         Ibu pulang ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas tanpa ayah.
·         Lili pulang ke Kuala Lumpur untuk menghadiri majlis perpisahan pengetuanya.
·         Haziq dan Rafiz kembali semula ke sekolah untuk menduduki PMR.


PLOT PROSA TRADISIONAL BURUNG TERBANG DIPIPISKAN LADA


PLOT PROSA TRADISIONAL BURUNG TERBANG DIPIPISKAN LADA

BINAAN PLOT

1.   Peristiwa-peristiwa dalam cerita ini dijalin secara kronologi.

2.    Bahagian pengenalan atau eksposisi cerita ini mengisahkan Raja Siam memerintahkan Melaka agar menghantar surat sembah.  Namun demikian, Sultan Melaka tidak mahu memberikan surat sembah tersebut.  Oleh itu, Raja Siam, iaitu Raja Bubunnya memerintahkan tenteranya di bawah pimpinan Awi Cakri untuk menyerang Melaka.  Sultan Melaka mengarahkan rakyatnya dikumpulkan untuk menghadapi ancaman tentera Siam.  Tun Perak mengumpulkan semua lelaki dari Kelang bersama-sama dengan isteri dan anak masing-masing.  Akhirnya, Siam berjaya dikalahkan di Muar.

3.   Cerita mencapai tahap perkembangan apabila Tun Perak diperintahkan oleh Sultan Melaka untuk menetap di Melaka dan dijadikan baginda sebagai bentara.  Kebijaksanaan Tun Perak sewaktu menyelesaikan dakwaan bahawa dia membuat aniaya telah mendorong Sultan Muzaffar Syah menaikkan pangkat beliau sebagai Perdana Menteri dengan gelaran Paduka Raja.

4.   Cerita memasuki peringkat perumitan apabila Seri Nara Diraja dan Paduka Raja tidak sefahaman.  Orang Melayu terbahagi kepada dua kumpulan, iaitu sebahagiannya yang lain menjadi pengikut Paduka Raja.  Sultan Muzaffar Syah berasa bimbang sekiranya perbalahan antara pembesar itu akan memudaratkan negeri Melaka.  Oleh hal yang demikian, Sultan Muzaffar Syah telah mengahwinkan Tun Kudu, iaitu saudara kepada Paduka Raja dengan Seri Nara Diraja.  Tindakan baginda berjaya menyatukan Seri Nara Diraja dengan Paduka Raja.  Selepas itu, paduka Raja dijadikan bendahara.

5.   Puncak atau klimaks cerita adalah apabila Siam menghantar tenteranya di bawah pimpinan Awi Dicu untuk menyerang Melaka.  Sultan Muzaffar Syah mengarahkan Bendahara Paduka Raja dengan dibantu oleh Seri Bija Diraja untuk mengusir tentera Siam.  Kebijaksanaan Bendahara Paduka Raja yang mengarahkan semua pohon kayu bakau, nyirih, dan tumpu api-api dibakar menyebabkan tentera Siam tersalah anggap dan kembali semula ke Siam kerana ketakutan.  Selepas itu, anakanda Raja Siam, iaitu Cau Pandan meminta dia diperlengkapkan untuk menyerang Melaka.  Berita Siam ingin menyerang Melaka telah diketahui oleh Raja Melaka.  Tuan Sidi Arab yang mempunyai ilmu telah membantu Melaka dengan menghalakan panahnya ke benua Siam untuk membunuh Cau Pandan dari jauh.  Cau Pandan berasa dadanya dipanah lalu muntah darah dan mati.  Kematian Cau Pandan menggembirakan hati Sultan Muzaffar Syah.

6.   Pada bahagian peleraian, Sultan Muzaffar Syah mangkat selepas memerintah Melaka selama 42 tahun.  Takhta Melaka digantikan oleh Raja Abdullah, iaitu anakanda Sultan Muzaffar Syah dengan gelaran Sultan Mansur Syah.