Pages

Enjin Carian

Thursday, 10 September 2015

CONTOH TEKS UCAPAN PERTANDINGAN INOVASI

DRAF TEKS UCAPAN PERASMIAN


YBHG



SEMPENA
PERTANDINGAN  INOVASI 2015


PADA

14 SEPTEMBER 2015 (ISNIN)

DI

DEWAN WAN MOHD SAMAN KVAS

















Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia,

Terima kasih  Pengacara Majlis.
Yang Berusaha Encik Ridhwan Zalay, Pengarah KV Alor Setar
Yang Dihormati Encik Fuad  Bin Razali Yang Dipertua PIBG KVAS, Naib YDP PIBG
Tn Hj Ahmad Bin Othman, Timbalan Pengarah Akademik  ,
Tn Haji Ahmad Zakil b Nik Hamid, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik,
Puan Hajah Che Rohana Binti Cha , Ketua Unit jaminan Kualiti . Pengarah Kolej Vokasional Zon Kedah dan Perlis, Pengetua-pengetua SMT, AJK Pertandingan Inovasi, para pensyarah, guru-guru, para pelajar dan hadirin yang dikasihi sekalian.

Beras kunyit saya taburi,
                                      Air mawar direnjis wangi.
                             Berkembang kasih menabur budi,
                                      Undangan tuan amat disanjungi.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian,

1. Saya bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Watalla kerana dengan izin-Nya saya dapat bersama tuan-tuan dan puan-puan dalam majlis pada pagi ini. Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pihak penganjur kerana sudi menjemput saya dan seterusnya memberi penghormatan untuk merasmikan Pertandingan Inovasi bagi tahun 2015 pada pagi ini.
2. Saya menyifatkan Pertandingan Inovasi ini bertujuan untuk menyemarakkan usaha dan budaya inovasi dalam kalangan warga kolej vokasional (KV) ke arah kecemerlangan dan keberkesanan         P & P. Pertandingan ini  sangat relevan dalam menjayakan agenda inovasi negara selain wadah untuk memartabatkan inovasi di negara ini khususnya yang melibatkan Kolej Vokasional. Pertandingan seumpama ini mampu membantu negara mencapai hasrat sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Hadirin sekalian,
3. Sesungguhnya, Pertandingan Inovasi yang diadakan pada hari ini begitu signifikan kepada kita semua. Selain merupakan kunci kejayaan kepada program kemahiran KV, malah bertujuan memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada warga KV yang telah memerah idea bagi mencetuskan keunikan dalam penciptaan inovasi-inovasi terkini yang relevan demi menghasilkan sesuatu yang terbaik untuk rakyat dan keberhasilan negara.

4. Inovasi pada hari ini telah menjadi penanda aras baru global dan sudah pasti menuntut kepada keupayaan penciptaan yang bukan sahaja bersifat baharu, unik dan bermanfaat tetapi juga mampu berfungsi sebagai pemangkin kepada kesejahteraan masyarakat.
Pertandingan ini memanifestasikan tahap daya fikir, kreativiti dan inovasi yang tinggi. Saya amat berharap kebolehan dan keupayaan ini dapat terus dibudayakan dan menjadi satu norma dalam menjalankan tugas harian; that creativity and innovation becomes the norm instead of the exceptionYang Amat Berhormat Pedana Menteri, yang telah melawat ke Google, Facebook dan Twitter di Lembah Silikon San Francisco Amerika Syarikat telah menyatakan BAHAWA “budaya inovasi penting kerana mampu menentukan apa-apa juga inovasi yang ingin dijayakan”.

5. Mengulas hal ini, Darrel Zahorsky, seorang perunding motivator terkenal daripada Harvard Business Working Knowledge telah menggariskan 7 prinsip asas membudayakan inovasi di peringkat individu iaitu:

ü Mengoptimumkan masa berimaginasi;
ü Mengumpul segala idea;
ü Memandang ke luar;
ü Menjadi People Centric;
ü Memanfaatkan segala jenis inovasi;
ü Bertanya soalan yang betul; dan
ü Menjadikan inovasi sebagai tabiat pemikiran

7 prinsip ini akan memastikan pembudayaan inovasi dalam sesebuah organisasi berjaya menghasilkan natijah yang lebih berimpak tinggi dan berkesan.

6. Perkara yang diperlukan ialah evolusi minda dan tindakan yang menentukan kejayaan pelaksanaan sesuatu inisiatif inovasi. Aliran idea dan pelaksanaan inovasi perlu bersifat dua hala, sama ada berbentuk top-down ataupun boleh juga datang daripada peringkat akar umbi (bottom-up). Inovasi telah memungkinkan sesuatu yang sebelum ini sukar dilakukan, menjadi mudah; yang dulu lambat diuruskan, menjadi cepat.  INOVASI TANPA HAD

7. Rahsia kejayaan SAMSUNG umpamanya dalam peningkatan struktur dan kecekapan pengurusan adalah melalui penerapan falsafahnya iaitu “Kami akan mencurahkan sumber daya manusia dan teknologi untuk menciptakan produk dan perkhidmatan, sehingga memberikan sumbangan yang lebih baik kepada masyarakat global”. Berasaskan falsafah ini, 20 tahun dahulu tidak ramai yang meramalkan bahawa SAMSUNG dapat mengubah dirinya dalam pengeluaran peralatan kos rendah kepada pemimpin dunia dalam R&D, pemasaran dan reka bentuk. Namun kini, SAMSUNG menjadi sebuah organisasi yang memberi tumpuan kepada peningkatan proses yang berterusan dengan memberi tumpuan kepada inovasi berasaskan “Blue Ocean Strategy”. Inovasi inilah yang menjadikan model SAMSUNG  terkehadapan dalam setiap produknya. SAMSUNG akhirnya mencipta jenama yang gagah menakluki pasaran global.  Hari ini SAMSUNG muncul sebagai sebuah syarikat yang konsisten menampilkan inovasi baharu dalam reka cipta teknologi gajet.

8. Inovasi bukan sahaja berperanan sebagai langkah kreatif untuk menyelesaikan masalah, bahkan turut merungkai kebuntuan akibat peraturan-peraturan lama yang membelenggu fikiran dan perkhidmatan. Iltizam untuk menempatkan negara berada dalam kelas negara maju global ternyata memerlukan pembudayaan inovasi dan kreativiti secara terancang dan konsisten .

Tuan-tuan dan Puan-puan,
9. Saya menyarankan agar setiap warga KV seharusnya mencontohi sikap dan pemikiran SAMSUNG dan Mac Funamizu. Kita mesti keluar daripada cara kerja yang rutin. Gaya serta kaedah penyampaian perkhidmatan perlu dilaksanakan di luar kelaziman, iaitu beyond ordinary; making the extraordinary looks so ordinary. Merenungi hakikat ini, saya teringat akan kata-kata Curtis Carlson, CEO SRI International yang menyatakan bahawa “Business as usual is a recipe for disaster”.

10. Di samping itu, kita perlu sentiasa bermuhasabah, mencari kekurangan dan kelemahan diri dan organisasi untuk penambahbaikan dan peningkatan. Dalam masa yang sama, kita perlu membentuk satu gandingan yang mantap dan bergerak sebagai satu pasukan. Benarkan kritikan yang membina dan profesional. Malah, beri penghargaan kepada mereka yang mengkritik kita. Jadikan setiap kelemahan dan kekurangan itu sebagai satu kelebihan dan peluang untuk kita menghasilkan sesuatu yang lebih kreatif dan inovatif.

11. Laporan Global Competitiveness Report 2013-2014 pula telah meletakkan Malaysia sebagai negara ke-24 paling berdaya saing dalam kalangan 148 negara; naik satu kedudukan daripada tahun sebelumnya. Pencapaian kita yang masih tidak konsisten ini seharusnya menjadi pembakar semangat untuk kita terus berusaha dengan lebih gigih terancang dan bersepadu mendaki puncak kegemilangan di peringkat global. Pertandingan seumpama ini dapat dijadikan platform ke arah tersebut. Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.


12. Impian kita untuk menyaksikan KV menjadi penggerak inovatif yang unggul di negara ini menghendaki perubahan berskala besar dan drastik. Cabaran-cabaran semasa yang muncul, sama ada secara kita sedar ataupun tidak, perlulah diatasi dengan langkah penyelesaian yang kreatif dan bijaksana. Kita mestilah senantiasa bersiap siaga untuk berdepan dengan apa jua cabaran bagi memastikan usaha-usaha yang dilaksanakan mencapai kejayaan. Ingatlah pesan Salahuddin al-Ayubi – “Aku meminta kekuatan dan kemenangan, tetapi diberiNya aku masalah dan musuh agar aku dapat menggunakan kebijaksanaan….”


Hadirin Sekalian,
13. Pertandingan yang diadakan ini merupakan mekanisme untuk menggalakkan setiap warga KV memberikan dan berkongsi idea-idea kreatif selain bernas dalam memudah cara tugas-tugas seharian supaya lebih efisien dan efektif.  Cetusan idea yang baik tidak semestinya datang daripada pihak pengurusan sahaja, malah daripada siapa sahaja. Setiap warga KV mempunyai peranan untuk menyumbang idea yang terbaik. Malah daripada sesiapa sahaja yang mampu menyumbang kepada penambahbaikan. Asalkan kita terbuka untuk menerima cadangan. Itulah sebabnya kita perlu sentiasa terbuka untuk menerima cadangan. Inovasi tidak semestinya mencipta sesuatu yang baharu. Sebaliknya, inovasi mungkin menghapuskan perkara yang lama, yang sepatutnya luput, tetapi masih juga dilakukan. Sekiranya kita sendiri tidak mampu mencadangkan atau tidak terfikir untuk mencadangkannya, kecemerlangan boleh juga dicapai sekiranya kita pantas menghayati cadangan orang lain, dan bersetuju untuk melaksanakannya dengan cepat.

14. Penganjuran Peryandingan Inovasi pada hari ini merupakan satu strategi penting Bahagian VTEK dalam memperkukuh budaya inovasi dalam kalangan warga KV. Matlamat akhir strategi ini adalah untuk memberi peluang kepada warga KV memainkan peranan yang lebih besar dalam bidang pendidikan inovasi. Sesuatu yang diungkapkan 100 tahun dahulu boleh dijadikan panduan. Renungi kata-kata Benjamin Franklin,

If you would not be forgotten
As soon as you are dead and rotten
Either write things worth reading
Or do things worth the writing.


15. Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pihak terutama KV Alor Setar yang telah menjayakan Pertandingan Inovasi pada hari ini. Semoga usaha-usaha yang dilaksanakan dapat memastikan warga KV  terus bergerak pantas dan berfungsi dengan berkesan bagi membolehkan masyarakat mendapat perkhidmatan yang terbaik, sekali gus memastikan KV terus relevan dan diperlukan dalam memacu pembangunan negara. Sama-samalah kita berdoa agar setiap usaha yang kita rencanakan ini memenuhi agenda yang dihasratkan dalam usaha menjayakan impian Malaysia menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

17. Dengan kata-kata itu, saya dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim (Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Penyayang) saya merasmikan Pertandingan Inovasi Tahun 2015 ini.  Sekian dan terima kasih.



Saturday, 5 September 2015

CONTOH TEKS UCAPAN PERASMI MAJLIS ANUGERAH CEMERLANG

DRAF
TEKS UCAPAN




Yang Berbahagia




BERSEMPENA



HARI ANUGERAH CEMERLANG KVAS 2015






PADA 27 SEPTEMBER 2015  (RABU) PUKUL 8.30 PAGI  DI DEWAN WAN MOHD SAMAN, KVAS.
.





Selamat Sejahtera dan Salam Satu Malaysia

Terima kasih  Pengacara Majlis.

Yang Berusaha Encik Ridhwan Zalay, Pengarah KV Alor Setar
Yang Dihormati Encik Fuad  Bin Razali Yang Dipertua PIBG KVAS, Naib YDP PIBG
Tn Hj Ahmad Bin Othman, Timbalan Pengarah Akademik  ,
Tn Haji Ahmad Zakil b Nik Hamid, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik,
Puan Hajah Che Rohana Binti Cha , Ketua Unit jaminan Kualiti . Pengarah Kolej Vokasional Zon Kedah dan Perlis, Pengetua-pengetua SMT, Pengetua dan Guru Besar dalam Kompleks Pendidikan, Pengetua-pengetua SMK harian dan wakil, AJK PIBG SMVAS,  Ibu bapa / Waris Pelajar , para pensyarah, guru-guru, para pelajar dan hadirin yang dikasihi sekalian.

Beras kunyit saya taburi,
                                      Air mawar direnjis wangi.
                             Berkembang kasih menabur budi,
                                      Undangan tuan amat disanjungi.

Terlebih  dahulu saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kerana sudi menjemput saya untuk merasmikan Majlis Hari Anugerah Cemerlang KV ALOR SETAR, bagi tahun 2015. Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak kolej yang berjaya mengadakan program ini sebagai satu program tahunan demi kepentingan para pelajar. Walau apa pun nama yang diberi untuk majlis seperti ini, yang pasti Majlis Hari Anugerah Cemerlang merupakan satu majlis khas untuk meraikan pelajar-pelajar yang telah membuktikan kecemerlangan mereka dalam bidang akademik. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada pelajar-pelajar cemerlang kolej ini.


Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
Pada hari ini, kita mendapati peranan pendidikan telah berubah dengan jelas daripada fungsi tradisionalnya. Para pelajar bukan sahaja datang ke sini untuk belajar tetapi untuk dididik sebagai pewaris negara agar menjadi modal insan yang berilmu dan berakhlak mulia.  Hal ini selari dengan salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), iaitu meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan. Dalam konteks ini, NKRA itu sendiri merupakan satu inovasi dasar dan strategi yang ampuh dalam merealisasikan hasrat untuk memantapkan kualiti pendidikan negara. Kita perlu bersedia untuk melakukan pembaharuan dan pembugaran dalam sistem pendidikan melalui inovasi dasar dan strategi yang berterusan.

Sistem pendidikan kita mestilah sentiasa dinamik dan progresif serta bersedia untuk melalui proses perubahan dan pembaharuan seiring dengan peredaran zaman. Lantaran Kementerian Pendidikan telah memperkenalkan Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) sejak tiga tahun yang lalu sebagai kayu ukur kompetensi para pelajar. Dengan kata lain, kita perlu melahirkan para pelajar yang cemerlang dan kompeten iaitu mencapai standard kualiti untuk merealisasikan aspirasi dan agenda negara.


Hadirin sekalian,
Cendekiawan  ada menyatakan tiada kejayaan semanis madu tanpa usaha sepahit hempedu. Oleh itu, pelbagai usaha dilakukan untuk menjadikan para pelajar sebagai peneroka ilmu dan bukan sekadar pengikut amat penting bagi mempersiapkan generasi muda dengan keperluan abad ke-21. Selama ini, kita beranggapan penglibatan ibu bapa dengan pembelajaran anak-anak mereka di sekolah berlaku secara semula jadi. Namun, dengan perubahan zaman dan cabaran semasa, usaha secara bersepadu dan bersungguh-sungguh melalui satu kaedah perlu dilakukan oleh semua lapisan masyarakat supaya dapat menyumbang kepada kejayaan anak-anak. Seyogianyaibu bapa menitikberatkan soal pembelajaran secara berterusan bukan sahaja di sekolah tetapi juga di rumah.

Sebagai ibu bapa kita juga perlu melakukan refleksi kendiri atau bermuhasabah, apakah memadai atau cukup setakat menyerahkan tanggungjawab kepada guru-guru dan pihak sekolah semata-mata. Ibu bapa perlu memastikan usaha yang dimulakan di sekolah akan diteruskan apabila murid-murid balik ke rumah. 

Tuan-tuan dan puan-puan,
Mahatma Gandhi ada menyatakan bahawa kepuasan terletak pada usaha, bukannya kejayaan. Maka kepimpinan institusi pendidikan seperti KVAS perlu memacu penghasilan daya kreativiti dan inovasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran secara berterusan. Bagi menghasilkan pendidikan yang bermutu, para pengajar perlu melakukan anjakan paradigma dalam melaksanakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang menggalakkan para pelajar untuk berfikir secara kreatif dan inovatif terutama para pelajar di sini yang berfokuskan kemahiran.  Kita perlu berganjak daripada pendekatan model kilang penghasilan pendidikan (factory model of producing education) kepada model penciptaan pengajaran dan pembelajaran yang memberangsangkan minda, yang menguji daya kreativiti dan inovasi, yang mencungkil keupayaan menyelesaikan masalah dan yang mengasah ketajaman penaakulan (reasoning) para pelajar. Ertinya, orientasi pengajaran dan pembelajaran mesti berganjak daripada pembelajaran berbentuk hafalan (rote learning) kepada pembelajaran yang memberangsangkan akal (mind stimulating learning).


Imam Al-Ghazali pernh berkata bahawa ‘Beriman dan beramal sumbernya ialah ilmu.  Ilmu diperoleh dengan belajar.  Tiada ertinya iman kalau tiada amal dan tiada erti amal kalau tiada keikhlasan
Oleh itu, para pendidik perlu sedar orang ramai terutama ibu bapa sentiasa mengukur pencapaian  berdasarkan standard kualiti yang telah dijanjikan. Para pendidik jangan cepat berasa puas dengan pen­capaian  pada hari ini. Seorang pendidik mesti sentiasa berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatan agar per­khidmatan pendidikan akan menjadi contoh kepada perkhidmatan yang lain. Seperti yang kita semua sedia maklum, para pelajar merupakan tiang negara dan bakal pemimpin negara kerana  Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Jadi pengasuhan, bimbingan dan dorongan dari segi semua aspek hidup dari peringkat awal lagi adalah amat penting. Pencapaian mereka dari segi akademik sahaja tidak memadai. Malahan pembangunan dan perkembangan yang tinggi dalam aspek keperibadian juga adalah perlu diberi perhatian yang sama berat.

Saya percaya sambutan Majlis Hari Anugerah Cemerlang pada hari ini adalah selari dengan matlamat memberi dorongan dan memotivasikan para pelajar agar terus berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam semua bidang. Diharapkan semoga program seumpama ini dapat berterusan pada masa-masa akan datang bukan sahaja untuk pelajar yang cemerlang tetapi juga yang kurang cemerlang tetapi ada peningkatan atau kemajuan.


Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada para pelajar yang akan menerima hadiah nanti atas pencapaian mereka dan diharapkan pencapaian kecemerlangan tersebut tidak berakhir di sini sahaja. Teruskanlah kecemerlangan itu sampai bila-bila. Segala kejayaan ini tidak seharusnya melekakan kita. Benar kita telah mencipta banyak kejayaan, tetapi ini tidak bermakna bahawa kita boleh selesa berpeluk tubuh mengharapkan setiap kejayaan yang dicipta pada masa lalu akan berulang dengan sendirinya pada masa hadapan. Hakikatnya, kita sedang menghadapi pelbagai cabaran baru yang menuntut supaya kita sentiasa meneroka ilmu terkini, melakukan inovasi dan berusaha untuk melangkaui sempadan kecemerlangan.

Kepada para pelajar yang tidak menerima hadiah, janganlah kecewa tetapi ingatlah pesanan saya ini. Untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang, kita harus mempunyai sikap rajin berusaha dan tidak mudah berputus asa. Berpeganglah pada prinsip alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Saya percaya para pelajar yang mendapat anugerah pada hari ini merupakan mereka yang rajin berusaha dan konsisten dalam usaha. Mereka yang cemerlang ini biasanya rajin pada tiap-tiap hari dan bukannya rajin menjelang peperiksaan semata-mata atau rajin mengikut musim.. Saya percaya jika para pelajar dapat mencontohi mereka yang menerima anugerah pada hari ini, anda juga pasti akan berada di kerusi tersebut pada tahun akan datang.





Tuan-tuan dan puan-puan yang hormati sekalian,
Ibnu Rusyd, seorang tokoh ilmuwan Islam pernah menukilkan antara lainnya bermaksud, "Kepuasan yang sejati lahir daripada keabadian bersama". Dalam hal ini, semua pihak semestinya berganding bahu dan mengatur langkah sederap berusaha untuk merealisasikannya. Hasil gabungan kerjasama mantap yang terjalin, satu jaringan kecemerlangan akademik yang tinggi mampu digapai. Kita perlu menjadikan hubungan antara warga kolej dan ibu bapa sebagai hubungan yang berasaskan rasa tanggungjawab bersama, saling memerlukan dan sentiasa menyokong antara satu sama lain, bak kata peribahasa seperti aur dengan tebing.
Pemimpin dan barisan tenaga pengajar kolej  ini boleh bertukar ganti; boleh datang dan pergi, namun organisasi  mesti dipertahankan walau sesiapa pun yang menerajui dan memacunya. Ingatlah, kecemerlangan yang ingin kita capai tidak boleh ditolak-ansurkan. Semua pihak termasuk  ibu bapa dan pelajar patut memberi sokongan padu kepada pihak pentadbir kolej jika semua mimpi indah tentang kecemerlangan ingin direalisasikan.

Akhir kata, saya ingin mengambil kesempatan sekali lagi mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak KVAS kerana berjaya menganjurkan Majlis Hari Anugerah Cemerlang tahun ini.

Sebelum saya berundur diri, saya juga ingin menarik perhatian hadirin sekalian pada gurindam ini;

          Jika murid mendengar kata
          Tidak guru berkata cela
          Jika ibu bapa bekerjasama
          Tidaklah anak berdukacita

          Jika kita seia sekata
          Tiada timbul sengketa

          Jika seiring kita berusaha
          Pasti semua akan berjaya


Digerak oleh iltizam mencapai kecemerlangan, saya dengan lafaz Bismillahhir­rahmannirahim (Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Penyayang) MERASMIKAN, Majlis Hari Anugerah Cemerlang, tahun 2015.