Pages

Enjin Carian

Monday, 17 April 2017

LATIHAN KARANGAN

KEPENTINGAN AKTIVITI KHIDMAT MASYARAKAT

Tulis Semula karangan di bawah agar mencapai tahap cemerlang:
            Kata-kata pujangga; hidup seperti pohon kayu yang lebat buahnya, tumbuh di tepi jalan, dilempar orang dengan batu, tetap dibalas dengan buah. Kata-kata tersebut sengaja dipetik untuk menunjukkan betapa perlunya  kita membuat kebaikan sepanjang hidup kiita. Sehubungan dengan itu, aktiviti khidmat masyarakat perlu diamalkan oleh rakyat Malaysia yang berbilang kaum kerana merupakan aktiviti yang berfaedah. Jadikan aktiviti ini sebagai budaya hidup. Hal ini bertepatan dengan bidalan yang berbunyi hidup kayu berbuah, hidup manusia biar berjasa.

            Menerusi aktiviti khidmat masyarakat, contohnya membersihkan taman perumahan, persekitaran tempat tinggal kita akan menjadi bersih. Apabila bersih akan terhindarlah penyakit yang mudah merebak seperti demam dengggi yang dibawa oleh nyamuk Aedes. Kita tidak boleh bergantung pada pihak berkuasa tempatan (PBT) sahaja sedangkan kita mempunyai tulang empat kerat. Oleh hal yang demikian aktiviti ini dapat menjimatkan harta kerajaan atau PBT. Sekiranya kita membersihkan kawasan tempat kita tinggal, sudah tentu pihak PBT dapat menjimatkan kos operasi. Dengan itu, wang yang dijimatkan boleh disalur untuk aktiviti yang lebih berfaedah seperti membina dewan serba guna yang boleh digunakan untuk pertemuan penduduk. Rakyat akan berasa selesa kerana banyak kemudahan disediakan di tempat mereka tinggal.. Apabila masyarakat bersama-sama membersihkan kawasan tempat tinggal, sudah tentu ada keinginan untuk memastikan kawasan persekitaran tempat tinggal kita sentiasa bersih.

            Melakukan aktiviti masyarakat dapat memperteguhkan ikatan silaturahim. Dengan mengambil contoh aktiviti bergotong royong ketika majlis perkahwinan, kita akan dapat mengenali lebih dekat  masyarakat tempat kita tinggal. Masyarakat kini yang sibuk bekerja dapat berbual mesra dan bertukar pengalaman  dalam sibuk bekerja membasuh pinggan, memasak atau mengemas.

            Selain itu, aktiviti masyarakat yang dilakukan secara ikhlas dapat menyelamatkan nyawa manusia.  Ketika kejadian banjir atau rumah terbakar, sikap prihatin masyarakat dapat membantu golongan yang berada dalam kesusahan selain menyelamatkan mangsa. Mangsa yang mungkin sebelum ini mementingkan diri sudah tentu akan insaf dan berasa rendah diri.

            Sesungguhnya aktiviti khidmat masyarakat memamng patut diamalkan oleh rakyat Malaysia. Sikap mementingkan diri seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing hendaklah disisih dalam kehidupan kita. Kebaikan yang kita curahkan akan dibalas dengan kebaikan juga. Segala-galanya perlu tanya kepada hati. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.


KARANGAN

CIRI-CIRI REMAJA CEMERLANG

     Remaja Berguna Mangkin Kerukunan Keluarga, Masyarakat dan Negara. Begitulah aforisme yang mengungkapkan signifikannya peranan remaja pada masa ini. Kata-kata menyuntik semangat ini menyeru  para remaja agar mempunyai iltizam yang kuat demi memajukan diri masing-masing. Mengikut kajian yang pernah dilakukan usaha yang gigih tanpa mengenal jemu serta memiliki sahsiah yang terpuji mampu menjadikan remaja anak watan yang berguna. Remaja kini begitu terdedah kepada pelbagai bentuk cabaran sama ada melalui pengaruh media massa, ajakan atau desakan daripada rakan  sebaya yang banyak mempengaruhi akidah mereka.  Remaja yang rata-ratanya mempunyai semangat inkuiri yang tinggi berserta gelodak keinginan  untuk mencuba sering berpegang pada falsafah membujur lalu, melintang patah ini  perlu dipandu dan ditarbiah ke jalan yang benar memandangkan remajalah yang bakal memegang tampuk pemerintahan negara ini. Namun demikian, amatlah malang kepada negara kita jika remaja yang diharap-harapkan akan sentiasa mendukung panji, Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara kini dikaitkan dengan isu keruntuhan akhlak. Perbuatan yang melanggar norma, aturan atau hukum dalam masyarakat yang dilakukan pada usia remaja ini dikatakan membawa petanda yang tidak baik kepada generasi akan kerana air perabung mengalir ke cucur atap. Oleh itu, remaja seharusnya memiliki ciri-ciri cemerlang demi kebaikan bersama. Persoalannya, apakah ciri-ciri remaja cemerlang dambaan negara?

           Menurut ilmuan sains yang terkenal iaitu Albert Einstein agama tanpa ilmu adalah buta, ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Dengan itu, jelaslah bahawa ciri signifikan remaja cemerlang ialah mereka akan mendalami ilmu agama dalam membentuk sahsiah diri yang terpuji. Mengapakah ciri ini dianggap penting? Hal ini demikian ilmu agama merupakan ilmu yang mendekatkan diri seseorang kepada Maha Pencipta. Tambahan pula, ilmu dan agama mempunyai hubung kait yang sangat rapat bagai api dengan asap. Seseorang yang mendalami ilmu tetapi tidak berlandaskan atau berpaksikan agama tidak akan merasai nikmat Tuhan.  Sebagai analoginya, akhlak  terpuji dan sempurna yang terkandung dalam kitab-kitab agama pastinya akan menjadi sumber  primer bagi membina pemahaman yang kukuh tentang kemuliaan dan kehebatan memiliki sahsiah yang terpuji. Pembelajaran melalui pembacaan dan penelaahan yang mendalam sebegini mampu memberi input yang berguna seperti memahami nilai  yang perlu dipraktikkan dalam kehidupan sehari-hari. Nilai-nilai seperti ketakwaan, kesabaran, kegigihan, keikhlasan dan itegriti memandu diri remaja membina peribadi mulia selain mampu memberikan anjakan paradigma  dalam melahirkan segala tindak tanduk berpaksikan tuntutan agama. Memang tidak dinafikan bahawa dengan mendalami ilmu agama, seseorang remaja itu mampu membentuk sahsiah diri yang terpuji malah tidak akan terjebak dalam isu keruntuhan akhlak remaja.

           Syurga  di bawah telapak kaki ibu. Proklamasi ini menjelaskan ciri remaja cemerlang seterusnya iaitu menumpahkan ketaatan sepenuhnya kepada ibu bapa. Hal ini demikian kerana ibu bapa merupakan insan yang paling dekat dengan diri remaja sesudah dilahirkan di muka bumi ini. Anak-anak dijaga dengan penuh kasih sayang   bagai menatang minyak yang penuh oleh mereka. Begitu besar pengorbanan ibu bapa terhadap remaja bermula dengan ibu yang mengandungkan mereka dengan jerih payah selama sembilan bulan sepuluh hari ditambah pula dengan jasa bapa yang bertungkus lumus mencari nafkah bagi menyara keluarga. Walaupun cuma untuk sesuap nasi tetapi itulah titik peluh ikhlas yang dilakukan oleh bapa. Secara relatifnya, remaja tidak seyogianya bersikap  seperti Si Tanggang atau Si  Malim Kundang yang merupakan anak derhaka terhadap ibunya. Remaja kontemporari seharusnya taat kepada ibu bapa dengan cara mendengar dan menerima nasihat yang diberikan mereka dengan tangan yang terbuka dan hati yang lapang. Pada masa yang sama mentaati ibu bapa merupakan amalan yang wajib ditunaikan setiap anak. Terdapat hadis  yang bermaksud, “Sesiapa yang ingin dipanjangkan umurnya dan ditambah rezekinya, maka hendaklah dia berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali silaturahim." Sudah terang lagikan bersuluh bahawa mentaati ibu bapa mampu menjadikan remaja sebagai individu yang mempunyai sahsiah diri terpuji dan terhalang daripada melakukan perkara-perkara yang merosakkan akhlak

           Kata-kata pujangga, berkawan biar seribu tetapi musuh jangan sesekali dicari.  Dengan itu, ciri terakhir yang tidak dapat dikesisikan kepentingannya termasuklah menjalinkan hubungan yang akrab dengan rakan dan taulan. Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata! seorang remaja akan meluangkan masa yang lebih bersama-sama rakan-rakannya berbanding dengan ibu bapa atau saudaranya. Hal ini demikian kerana selain keluarga tercinta yang dekat di hati, rakan merupakan tempat mengadu, mencurah perasaan dan berkongsi masalah. Sehubungan dengan itu, remaja seharusnya menjaga atau memelihara hubungan yang baik dengan rakan mereka. Seseorang yang mempunyai sahsiah diri yang terpuji harus seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Sebagai tamsilannya, seseorang remaja itu hendaklah memberikan pertolongan kepada rakan yang memerlukan bantuan kerana rakan yang baik akan membantu rakannya yang berada dalam kesusahan. Dalam kehidupan yang singkat ini, kita perlu berbaik-baik dengan semua orang dan bekerjasama dalam semua bidang kerana yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Sehubungan dengan itu,  rakan-rakan juga tidak akan berasa kekok sekiranya kita tidak bersikap bagai buntal kembung. Izharnya, jalinan hubungan yang baik dengan rakan-rakan menyebabkan kebejatan moral tidak akan ada dalam kamus hidup seseorang remaja  sejajar dengan visi  untuk menjadi remaja bersahsiah terpuji.


                  Secara holistiknya, gagasan dan obligasi untuk memupuk, membangunkan dan meningkatkan mutu akhlak dalam  kalangan remaja merupakan tanggungjawab besar. Sesungguhnya, amanah ini tidak dapat dilakukan dengan jayanya kecuali oleh remaja yang berjiwa besar dan mempunyai kualiti kemanusiaan yang tinggi. Saya yakin dengan izin Tuhan dan berlandaskan prinsip atau ciri di atas, remaja bersahsiah diri terpuji mampu dilahirkan. Mutiara kata ulamak tersohor Hamka dapat dijadikan pedoman dalam meniti kehidupan ini. Menurut beliau, “aku hairan melihat orang menyisir rambutnya setiap hari, tetapi tidak pernah menyisir otaknya, memperkemas dadanya, tidak pernah mencuci hatinya. Digosok kasutnya tetapi tidak akalnya.”  Lantaran itu, remaja tidak akan mlakukan perkara sia-sia yang akan menyesatkan mereka daripada landasan sebenar sebaliknya pemurnian hati, pemantapan akhlak, ilmu dan  akidah akan terus menjadi pegangan perjalanan hidup mereka. Semoga isu keruntuhan akhlak remaja akan lenyap agar tidak lagi menebarkan budaya negatif kepada generasi yang akan datang persis kata peribahasa, sebab nila setitik rosak susu sebelanga. Ayuh remaja, bertindaklah segera dalam memainkan peranan anda  demi mengekang isu keruntuhan akhlak yang sangat sinonim dengan golongan remaja!