Pages

Enjin Carian

Wednesday, 30 April 2014

LATIHAN LARAS BAHASA

LARAS BAHASA:

Laras Bahasa ialah variasi atau pelbagaian bahasa berdasarkan penggunaannya (bagi bidang tertentu)

LATIHAN:

Kenal pasti laras bahasa bagi petikan-petikan di bawah ini.

1. “Hutan sering dianggap sebagai ‘peparu hijau’ masyarakat. Hal ini demikian kerana pokok-pokok di hutan mengambil udara daripada atmosfera dan membebaskan oksigen yang penting untuk pernafasan manusia.”

Jawapan:………………………………………………..

2. “ Akta ini ialah satu perundangan buruh yang penting. Bersama-sama dengan peraturan dan arahan yang terkandung di dalamnya, akta ini menyediakan satu rangka kerja undang-undang yang menyeluruh melibatkan perkara seperti pembayaran upah, perlindungan bersalin, hari rehat, kerja pada hari rehat, waktu kerja, cuti tahunan, cuti sakit, dan sebagainya”.

Jawapan:……………………………………………….

3. “ Penggunaan cip pintar dalam dokumen rasmi sudah bermula. Mulai minggu lalu, dokumen perjalanan elektronik atau passport elektronik dilengkapi cip yang mempunyai cirri keselamatan serta teknologi tinggi akan digunakan di seluruh negara.”

Jawapan:………………………………………………..

4. “Obesiti merupakan penyakit yang berpunca daripada amalan pemakanan yang tidak seimbang dan tidak mengamalkan gaya hidup sihat. Kita perlu mengambil makanan yang seimbang iaitu yang mengandungi semua gizi yang diperlukan tubuh kita secara sederhana bagi setiap satunya.”

Jawapan:……………………………………………….



5. “Anda berasa letih dan tidak bermaya? Sampai bila anda mahu terus begini? – Jus Gamat Asli telah berada di pasaran setelah sepuluh tahun dalam kajian. Dapatan kajian kami membuktikan Jus Gamat Asli telah dapat menyembuhkan pelbagai penyakit lemah urat saraf, lemah anggota badan, kencing manis, darah tinggi dan kelesuan.Ya, setakat ini produk kami diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan.”


Jawapan:…………………………………………………..

Monday, 28 April 2014

AYAT MAJMUK /AYAT TUNGGAL

AYAT MAJMUK /AYAT TUNGGAL - Kenal pasti AYAT MAJMUK atau AYAT TUNGGAL

1.      Si Luncai kaya tetapi malas bekerja.
2.      Si Luncai gemar berfoya-foya.
3.      Si Luncai gemar berfoya-foya menghabiskan harta ayahnya.
4.      Siti Sianah seorang perempuan bermoral rendah.
5.      Siti Sianah gemar berhias diri.
6.      Emak Si Randang menyediakan nasi lemak berlaukkan sambal tumis  untuk tetamu.
7.      Emak Si Randang sangat baik hati.
8.      Orang berbudi sentiasa disebut-sebut oleh orang lain.
9.      Laksamana pergi ke Patani dengan membawa sepucuk surat rayuan daripada Raja.
10.  Laksamana ke Patani .
11.  Laksamana berasa sedih kerana ibu saudaranya sedang gering.
12.  Laksamana taat akan perintah raja lalu pergi ke Patani dengan segera.
13.  Sifat riak ialah suka menunjuk-nunjukkan  kelebihan diri kepada orang lain.
14.  Allah SWT tidak menyukai sifat riak dalam kalangan hamba-hambanya.
15.  Orang yang bersifat riak biasanya sombong.

16.  Kita mesti sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar sifat riak tidak bersarang dalam hati kita.

POLA AYAT

POLA AYAT - Kenal pasti POLA AYAT DASAR  ( POLA AYAT INTI): FN+FN,  FN+FK,  FN+FK,  FN+FS

1.      Pungut sedang merengek-rengek.
2.      Pungut ialah anak angkat Mak Timah.
3.      Mak Timah sayang akan Pungut.
4.      Pungut sudah berusia dua puluh empat tahun.
5.      Mak Timah dan Pungut di rumah anak lelaki Mak  Timah
6.      Israk yang baru pertama kali ke rumah Wah berasa tidak selesa.
7.      Wah menyayangi anak cucunya.
8.      Wah sayang akan Israk dan Mikraj.
9.      Adam pulang ke Kampung Sayong.
10.  Rumah Wah di tepi sungai.
11.  Wah tidak suka Israk dan Mikraj bertengkar di dalam rumahnya.
12.  Israk insaf setelah peristiwa lemas di sungai.
13.  Kita mesti ada jati diri dan pegangan agama yang teguh.
14.  Bijak  dan berani Pak Husain.
15.  Gembira Khalid bertemu Pak Husain.
16.  Pak Husain ialah Pahlawan Buntung.
17.  Memperdayakan tentera Jepun Pak Husain.
18.  Kami di Kampung Pulau Pak Amat ketika tentera Jepun menyerang.
19.  Kami ke Kampung Dal untuk bersembunyi.
20.  generasi sekarang belum menghayati erti kemerdekaan dengan sepenuhnya.
21.  Di tepi laut rumah Salmah.
22.  Tiang Cengal Dinding Sayong ialah tajuk drama .
23.  Salmah sedih kerana anak-anaknya mementingkan diri sendiri.
24.  Salmah yang sedang berdukacita mendapat berita suaminya masih hidup.
25.  Tuk Wali yang sangat cinta akan ilmu persilatan ditikam oleh cucunya sendiri.
26.  Tuk Wali  yang sudah tua masih kuat.
27.  Tuk Wali  garang.
28.  Mir yang sedih ditenteramkan oleh rakannya.
29.  Profesor Peter dan Zaman bertengkar.
30.  Zaman benci akan Pofesor Peter


LARAS BAHASA

- Laras Bahasa

Bina satu ayat bagi setiap frasa di bawah yang menunjukkan anda faham akan penggunaan dan    makna frasa tersebut.  Anda tidak boleh menambah imbuhan, menukar imbuhan , menggunakannya sebagai kata nama khas dan peribahasa.

             i) alat kawalan jauh (laras sains dan teknologi)
Alat kawalan jauh televisyen itu sudah rosak kerana terhempas ke lantai.

            ii) kepelbagaian biologi (laras sains ekologi)
Kepelbagaian biologi negara ini semakin terancam akibat pencemaran yang dilakukan oleh manusia.

             iii) mengaku tidak bersalah (laras undang-undang)
Perompak itu  mengaku tidak bersalah setelah tuduhan itu dibaca oleh pendakwa raya.

iv) menjunjung  titah perintah  (laras  bahasa diraja)
 Misi kemanusiaan ke Somalia  dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh kerana  menjunjung titah perintah Duli Yang Maha  Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.

            v) papan kekunci (laras sains komputer)
Makmal komputer sekolah telah membeli sepuluh buah papan kekunci yang baharu bagi menggantikan papan kekunci komputer yang telah rosak.

            Vi) servis bertukar tangan (laras sukan )
Servis bertukar tangan daripada Moo Inn kepada Lim Chong Wei setelah   bola tangkis yang dipukul itu terkeluar dari gelanggang.


Sunday, 27 April 2014

Cerpen Israk

Cerpen Israk (Erda Roslan Khairi) KOMSAS Ting 4

Sinopsis
Cerpen Israk mengisahkan Adam iaitu anak tunggal Wah, telah balik ke kampung bersama-sama isterinya Siti Hawa dan anak-anaknya, Israk dan Mikraj di Kampung Sayong Perak. Keadaan rumah yang serba kekurangan dari segi kemudahan asas dan keselesaan menyebabkan anaknya Israk berasa kurang senang dan tidak dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan kampung . Namun adiknya Mikraj suka akan suasana kampung dan menyebabkan mereka sering bertikam lidah. Hal ini berlaku kerana Israk telah dibesarkan di luar negara.Tindakan Israk yang sering menghina dan menggores perasaan Wah menimbulkan rasa kurang senang Mikraj dan dia sering mempertikaikan perbuatan Israk terhadap Wah. Perbezaan pendapat ini telah mencetuskan perang mulut antara mereka. Namun Wah tidak suka mereka bertengkar bagai anjing dengan kucing dan mahu mereka berbaik-baik semula walaupun hati Wah terluka. Suatu hari, bekalan air paip di kampung Sayong telah terputus menyebabkan Mikraj mencadangkan agar abangnya mandi di sungai. Namun, Israk telah terjatuh dan Wahlah yang berusaha menyelamatkan Israk sehingga naik ke tebing. Akhirnya, Israk insaf dan berubah. Dia mula memakai baju Melayu, makan nasi, dan mencari jering serta tempoyak untuk dimakan.


Tema
Perbezaan budaya dan kehidupan dalam sebuah keluarga sehingga mencetuskan pertentangan pandangan dan nilai.
Israk yang dibesarkan di Perth, Australia mempunyai pandangan yang berbeza dengan adiknya tentang kampung, kehidupan dan diri neneknya Wah.


Persoalan
1. Persoalan jati diri
Israk yang dibesarkan di Perth Australia tidak mempunyai jati diri ketimuran akibat persekitaran dan cara dia dibesarkan. Hal ini bertentangan dengan sifat adiknya Mikraj yang lebih kukuh dan teguh jati dirinya dengan adat ketimuran.

2. Persoalan kasih sayang seorang nenek terhadap cucunya.
Wah seorang nenek yang menyayangi cucunya, walaupun cucunya amat ego dan selalu melukakan hatinya namun Wah tetap sabar.Hal ini terpancar apabila Wah menyelamatkan Israk yang hampir lemas dengan tenaga tuanya.

3. Persoalan tanggungjawab bapa terhadap keluarga.
Adam menjalankan tanggungjawabnya kepada anak-anak. Dia membiasakan anak-anak dengan kehidupan kampung di tempat dia dibesarkan agar anak-anaknya tidak sombong dan lupa diri kerana biasa hidup mewah di bandar.


Plot
Binaan Plot

1. Permulaan
Adam, Siti Hawa, Israk dan Mikraj telah pulang ke rumah Wah di Kampung Sayong. Israk anak teruna Adam, kelihatan kurang selesa dengan suasana di kampung kerana selama ini dia dibesarkan oleh datuknya di Perth Australia.


2. Perkembangan
Mikraj, adik kepada Israk seorang remaja yang mudah menyesuaikan diri dengan kehidupan di kampong. Israk pula ego dengan statusnya sebagai orang bandar dan bakal
bergelar ahli korporat. Perselisihan pendapat antara dua beradik ini semakin memuncak apabila kelakuan dan tingkah laku Israk semakin keterlaluan terhadap Wah. Israk tidak patut menyakiti hati Wah kerana Wahlah yang menjaganya sejak berumur sehari. Pertikaman lidah antara dua beradik itu berlarutan dan telah menyebabkan Wah masuk campur serta menasihati kedua-dua cucunya agar jangan bertekak pasal dirinya lagi.


3. Klimaks
Keputusan air di kampung Sayong telah memaksa Israk ke sungai untuk mandi, setelah dicabar oleh adiknya Mikraj. Israk telah terjatuh ke dalam sungai dan telah diselamatkan oleh neneknya.


4. Peleraian
 Israk keluar dari bilik dengan berpakaian baju Melayu telah mengejutkan keluarganya. Israk mulai mencedok nasi dan gulai malah mencari jering dan tempoyak yang merupakan makanan yang paling tidak disukainya.


Teknik Penceritaan
1. Teknik Dialog

“Abang tak mahu pergi kebun? Apa kata abang pergi sebelum abang menjadi ahli korporat nanti,” rayu Mikraj.
“Tak perlu!” Israk menghayun kata-kata

 2. Teknik Imbas Kembali
Mikraj teringat akan peristiwa yang berlaku pada Wah semasa muda.
Ketika Wah masih remaja (tidak seperti remaja pada masa kini), Lebai Saleh pernah bertakhta di hati Wah. Tetapi terpisah setelah Lebai Saleh mengaji di Mesir………….Mikraj tersentak daripada lamunan yang melangit ketika Wah mengacannya.

 3. Teknik Pemerian
Pagi nirmala. Camar menyanyi mesra bersaing dengan cengkerik menunjuk ketangguhan. Daun-daun melambai-lambai setenang air Sungai Perak. Bot tambang sudah mula beroperasi.


Watak dan Perwatakan
Watak Utama

Israk
1. Anak sulung Adam dan Siti Hawa.
2. Merupakan cucu sulung Wah.
3. Ego dan sombong - Israk tidak selesa tinggal di kampung dan makan makanan kampung. seperti petai dan jering.
4. Biadap – Dia sering menyindir dan merungut tentang ketidakselesaan tinggal sehingga menyakiti hati neneknya.
5. Degil – Dia tidak menghormati Wah sebagai neneknya walaupun dinasihati oleh Mikraj.
6. Insaf – Dia sedar akan kesalahannya setelah dia jatuh ke dalam sungai dan diselamatkan oleh Wah.


Mikraj
1. Anak kedua pasangan Adam dan Siti Hawa.
2. Adik perempuan Israk dan cucu kedua Wah.
3. Berjiwa seni – dia berminat dalam bidang sastera dan mengajak Israk berkenalan dengan alam.
4. Penyayang - dia amat menyayangi Wah.
5. Bertanggungjawab - Tidak suka akan tindakan dan sikap abangnya yang keterlaluan terhadap neneknya Wah.

Wah
1. Merupakan ibu kepada Adam dan nenek kepada Israk dan Mikraj.
2. Sudah lanjut usia tetapi masih kuat dan bertenaga.
3. Alim dan taat akan agama – dia sentiasa berwuduk .
4. Penyayang - dia amat menyayangi cucu-cucunya.
5. Tabah - Wah memelihara anaknya seorang diri setelah kematian suaminya yang meninggal dunia sebelum kelahiran anak mereka.

Latar
Latar Masa

1. Musim durian
2. Pada waktu pagi - Israk jatuh di sungai ketika hendak mandi akibat ketiadaan air paip.
3. Kebanyakan peristiwa berlaku pada waktu siang.

 Latar tempat
1. Kampung Sayung iaitu tempat tinggal Wah.
2. Sungai Perak iaitu sungai yang terletak di tepi rumah Wah.
3. Rumah kayu milik Wah.

 Latar Masyarakat

1. Masyarakat yang menghormati orang tua – Mikraj amat menghormati Wah

 2. Masyarakat muda yang sukar menyesuaikan diri dengan suasana kampung.
Israk tidak selesa tinggal di kampung dan makan makanan kampung. seperti petai dan jering.

3. Masyarakat yang bertanggungjawab
Mikraj tidak suka akan tindakan dan sikap abangnya yang keterlaluan terhadap neneknya Wah.

4. Masyarakat yang penyayang
Wah amat menyayangi cucu-cucunya.


Gaya bahasa
1. Simile. ……pantas dan teratur sekali laksana seorang primadona.

2. Dialog
“Lama sampai?” aju Wah dan salam dihulurkan oleh tetamu dari Bukit Antarabangsa itu disambut dengan pantas.
“Baru”.Adam, anak tunggal Wah, segera menjawab.

3. Peribahasa. Sudah terhantuk baru terngadah
Macam anjing dengan kucing .
Bagai air dengan minyak. Entah bila akan bercantum.
Cari-cari bulu ayam bercantum jua akhirnya.

4. Pesonifikasi. Daun pokok pisang melambai-lambainya seolah-olah mengeji.

5. Metafora. Bara kata-kata


Nilai

1. Nilai menghormati ibu bapa.
Israk menolak baik pelawaan ayahnya untuk makan durian bersama-sama keluarganya
2. Nilai ketabahan.
Wah amat tabah membesarkan anaknya tanpa kehadiran suami.
3. Nilai keprihatinan
Mikraj amat prihatin akan perasaan neneknya yang sentiasa terguris dengan perbuatan dan kata-kata abangnya yang seolah-olah mengejek dan memperlekehkan kehidupan miskin neneknya.
4. Nilai kasih sayang
Wah amat menyayangi anak cucunya, sehingga sanggup menggunakan tenaga tuanya untuk menyelamatkan cucunya yang jatuh ke dalam sungai walaupun Israk selalu menyakiti hatinya.

Pengajaran
1. Kita hendaklah menghormati orang yang lebih tua daripada kita terutama dari segi percakapan dan perbuatan kita.

2        2. Kita mestilah mengetahui asal usul kita agar kehidupan kita selari dengan kehendak agama dan masyarakat

3        3. Kita haruslah menjaga perlakuan dan kata-kata kita terhadap sesiapa sahaja agar orang di sekeliling kita tidak merasa tersinggung dan kurang senang kepada kita.

4        4. Kita haruslah sentiasa bersyukur terhadap apa-apa sahaja yang kita nikmati kerana ada orang lain yang tidak bernasib baik seperti kita.

5        5. Kita mestilah berterima kasih terhadap apa-apa bantuan yang telah diterima.


Wednesday, 16 April 2014

MASALAH SALAH LAKU REMAJA

ISI – ISI PENTING SECARA UMUM BAGI TAJUK / ISU SALAH LAKU REMAJA

PUNCA/FAKTOR/SEBAB :

  1. Institusi kekeluargaan yang goyah.

·        Hubungan kekeluargaan yang longgar – akibat ibu bapa terlalu sibuk/mementingkan kerjaya hingga mengabaikan anak-anak –“ anak diriba diletakkan, kera di hutan disusui “– tidak  menyediakan ruang untuk bermesra dengan anak-anak – anak-anak kurang kasih sayang akan memberontak.
·        Ibu bapa menunjukkan contoh teladan yang negatif – pergaduhan suami isteri di hadapan anak-anak/kerap bergaduh /penderaan – emosi  anak-anak terganggu – mencari ketenangan di luar rumah – berkenalan dengan remaja liar – akhirnya melakukan jenayah.
·        Ibu bapa yang terlalu mengongkong –keluarga yang mengamalkan sikap terlalu tertutup dan menetapkan suatu undang-undang atau peraturan yang perlu diikuti oleh setiap ahli keluarga tanpa kompromi – remaja  rasa tertekan – jiwa  remaja memberontak – jika  berpeluang keluar daripada keadaan itu -  mereka akan melakukan apa-apa sahaja yang terlintas di fikiran tanpa berfikir panjang – menggunakan  jalan pintas menyelesaikan masalah – lari dari rumah/penyalahgunaan dadah/merokok
·        Keluarga yang terlalu memberikan kebebasan ini biasanya bersikap terbuka yang keterlaluan – tiada suatu peraturan atau ketetapan khusus yang diamalkan - keadaan ini juga tidak baik kerana para remaja memerlukan sesuatu yang dapat dijadikan panduan untuk menjalani kehidupan mereka - tanpa panduan, belum tentu mereka dapat melalui kehidupan ini dengan sebaik mungkin - mengakibatkan mereka mudah terjerumus ke arah gejala sosial yang pelbagai kini.
·        Ibu bapa yang terlalu memanjakan anak- anak – “bagai menatang minyak yang penuh” – tidak menegur kelakuan anak-anak yang kurang sopan kerana takut anak berkecil hati – mengikut  segala kemahuan anak-anak – anak-anak menggunakan kesempatan ini untuk keperluannya berseronok.
·        Harapan ibu bapa yang terlalu tinggi – mengharapkan anaknya mendapat keputusan cemerlang melebihi keupayaan dirinya – memberikan tekanan – mencari rakan yang dapat menghiburkannya/ kadangkala ibu bapa yang menetapkan jalan hidupnya pada masa akan datang – tidak  berpeluang mengikut naluri/cita-cita sendiri – remaja  mula memberontak.
·        Perceraian ibu bapa amat memberikan kesan mendalam terhadap anak-anak – mereka kehilangan kasih sayang daripada ibu atau bapa. Ibu / bapa tunggal perlu bekerja keras menyara mereka – tidak banyak meluangkan masa bersama mereka – mereka mencari keseronokan di luar.

  1. Pengaruh rakan sebaya.

  • Tersalah memilih rakan yang bersikap negatif/ mempunyai masalah disiplin – rakan merupakan antara orang yang rapat dengan seseorang remaja – menjadi tempat mereka meluahkan perasaan dan masalah setelah diabaikan oleh keluarga – terpengaruh dengan kelakuan buruk rakan sebaya – tertarik dengan cara rakan mengatasi  masalah mereka dengan mudah – vandalisme  /penyalahgunaan dadah dll
  • Perlakuan negatif ini disokong oleh rakan-rakan – menyebabkan mereka rasa kuat dan berani untuk melakukan aktiviti tersebut lagi – jika ramai penyokong, dia merasakan dirinya popular dan berstatus.
  • Menyahut cabaran daripada rakan sebaya - sanggup melakukan apa-apa sahaja untuk mengekalkan persahabatan/menjadi ahli sesuatu kumpulan / takut disingkirkan – diugut  dan mendapat balasan jika tidak melakukannya - merokok/penyalahgunaan dadah dll – mereka lupa bahawa “kawan juga kadangkala boleh makan kawan” - dalam keadaan ini ramai remaja terjerumus dalam gejala sosial.

  1. Pegangan agama yang rapuh.

  • Didikan agama yang kurang – menipiskan  tahap keimanan seseorang – didikan agama menjadi benteng yang yang kukuh untuk menahan diri seseorang untuk melakukan perbuatan yang tidak baik -  mereka tidak takut membuat dosa kerana berangggapan perbuatan tersebut tidak mendapat pembalasan  Tuhan pada masa itu juga.
  • Agama menggariskan panduan hidup perbuatan yang boleh dilakukan dan dilarang – tanpa didikan agama, remaja tidak dapat membezakan antara perbuatan yang baik dan batil/buruk – mereka tidak dapat bertindak secara rasional dan  lebih suka mengikut emosi untuk mengatasi sesuatu masalah – mudah terikut-ikut dengan keadaan persekitaran yang tidak sihat/ terpengaruh dengan gejala sosial.

  1. Pengaruh media massa (media cetak, media elektronik, Internet dll)

  • Media elektronik menayangkan rancangan yang ada unsur keganasan – kebanyakan remaja suka menonton televisyen – terpengaruh dengan watak antagonis /jahat – memberikan idea untuk melakukan gejala sosial.
  • Rancangan yang diimport dari Barat yang sering memaparkan gaya hidup yang bebas/mewah – remaja mula meniru cara hidup sedemikian.
  • Banyak rancangan dari Barat memaparkan remaja berani melawan nasihat ibu bapa kerana memperjuangkan hak kebebasan mereka – nilai hormat-menghormati semakin luntur antara ahli keluarga.
  • Rancangan memaparkan adegan-adegan yang mencolok mata dan mengghairahkan, lebih-lebih lagi bagi siaran yang berbayar.
  • Rancangan televisyen sebegini seolah-olah memberikan satu fahaman bahawa orang ramai boleh mengadakan seks rambang selagi tidak ada pencabulan hak dan kebebasan antara dua pihak. Budaya seperti inilah yang mendedahkan remaja kepada penyakit-penyakit kelamin yang berbahaya.
  • Lambakan bahan picisan yang berunsurkan seks – mudah didapati kerana dijual di merata-rata tempat – harganya murah dan mampu dibeli oleh remaja.
  • Selain video cakera padat (VCD), bahan-bahan pornografi juga mudah didapati melalui internet yang sukar dibuat tapisan oleh pihak yang berwajib.
  • Media massa juga menyampaikan maklumat tentang fesyen-fesyen terkini – remaja yang terpengaruh akan mula meniru fesyen tersebut – kebanyakannya mencolok mata – menyebabkan kes rogol.
  • Budaya kuning dari Barat disebarkan melalui media massa - memperkenalkan cara hidup yang pincang seperti “Hip-hop”, “punk”, “hippies”, “black metal”, “pink metal”, “one night stand”, seks bebas.

  1. Sikap remaja itu sendiri.

  • Perasaan ingin mencuba – naluri manusia yang normal untuk mencuba sesuatu yang baru bagi mendapatkan kesannya/dapat memuaskan nafsu ingin tahu – tidak dapat memisahkan diri daripada perkara tersebut yang pada asalnya sekadar ingin mencuba - menjadi “darah daging”.
  • Sikap remaja juga dahaga akan keseronokan – apa-apa sahaja benda-benda yang memberikan keseronokan kepada mereka akan dilakukan sama ada kerana terikut-ikut dengan sikap kawan-kawan atau pilihan sendiri. Hal menyebabkan remaja terlibat dengan rokok, pergaulan bebas, lepak, mat rempit, dadah dan sebagainya – ketika  ini perkara yang terlintas di pemikiran mereka hanya keseronokan tanpa memikirkan akibat perbuatan mereka itu kelak.
  • Tidak mahu mendengar nasihat ibu bapa – “bagai mencurah air ke daun keladi” - berasa diri mereka sudah dewasa dan berhak membuat keputusan sendiri – tidak suka ibu bapa mencampuri hal mereka.
  • Lebih suka mendengar nasihat/pandangan rakan/kekasih  – berasa seronok apabila bersama mereka kerana bebas membuat apa-apa yang digemari tanpa pengawasan ibu bapa.
  • Sikap kurang berkeyakinan kepada diri sendiri menyebabkan mereka bergantung kepada rakan-rakan membuat keputusan atau mengikut sahaja telunjuk mereka.
  • Mangsa penderaan yang ingin mengurangkan tekanan perasaan juga akan melakukan aktiviti-aktiviti tidak sihat ini.

  1. Sikap masyarakat

  • Sebahagian masyarakat  bersikap apati ( tidak peduli), individualistik dan materialistik - remaja ialah produk sistem sesebuah masyarakat - masyarakat yang pincang akhirnya akan melahirkan produk yang pincang.
  • Sikap sesetengah masyarakat kini yang mementingkan soal kebendaan dan tidak ambil peduli terhadap isu-isu sosial sememangnya merumitkan masalah yang sedia wujud.
  • Menurut kajian, kebanyakan masalah sosial banyak berlaku di bandar - golongan remaja melakukan gejala sosial bukannya tidak terpelajar tetapi generasi yang dilahirkan di bandar sukar dikawal.
  • Di kawasan bandar sesetengah penduduknya tidak ambil peduli terhadap apa-apa perkara  yang berlaku di sekeliling mereka - golongan remaja merasakan diri mereka bebas untuk meneruskan gejala negatif ini kerana mereka tahu tiada sesiapa yang mempedulikannya. 


KESAN / IMPLIKASI / MASALAH YANG TIMBUL:

  1. Menggugat kesejahteraan sosial.

·        Remaja menjadi liar - melakukan pelbagai gejala sosial tanpa perasaan bersalah – mengganggu ketenteraman awam – orang ramai berasa tidak selamat – sentiasa bimbang akan keselamatan diri dan keluarga – menjadi mangsa remaja bermasalah.


  1. Membantutkan pembangunan negara.

  • Remaja tidak berupaya memberikan sumbangan kepada negara – terjebak dengan kegiatan yang merosakkan diri seperti penyalahgunaan dadah – remaja menjadi tulang belakang kemajuan negara – menggagalkan usaha kerajaan  melaksanakan dasar-dasar pembangunan dengan berjaya  seperti RMK-9 – negara tidak lagi memiliki modal insan yang berkualiti untuk menggerakkan ekonomi negara tidak mempunyai daya saing yang kuat.

  1. Menjejaskan imej negara.

  • Negara-negara lain akan memandang rendah kredibiliti negara kita – gagal menangani masalah sosial negara – masalah sosial yang membabitkan pelancong asing – ragut/vandalisme dll – mengurangkan minat mereka untuk kembali melancong di sini – menceritakan kepada rakan-rakan yang lain – media massa asing mengheboh-hebohkan perkara tersebut - menjejaskan imej negara.

  1. Mencemarkan maruah keluarga.

  • Kerana nila setitik, rosak susu belanga – masyarakat hilang kepercayaan terhadap keluarga tersebut – maruah keluarga tercalar/jatuh dengan tindakan remaja tersebut – “menconteng arang ke muka” – menjejaskan masa depan adik-beradik yang lain – lebih teruk lagi jika menjejaskan emosi ahli keluarga yang tidak dapat menerima tekanan daripada  masyarakat – mengambil masa yang lama untuk memulihkan/mengembalikan maruah keluarga.

  1. Menjejaskan masa depan remaja .

  • Terlibat dalam gejala sosial menyebabkan mereka menjadi sampah masyarakat – dipandang hina –remaja tidak mempunyai hala tuju / matlamat yang jelas pada masa depan – tidak bercita-cita tinggi –jika sudah insaf – sukar  mendapat kepercayaan daripada masyarakat lagi/memandang serong – sukar mendapatkan pekerjaan – disisihkan keluarga yang tidak dapat menerima kelakuan mereka – hidup yang terumbang-ambing – akhirnya membunuh diri atau melibatkan diri secara serius apabila dewasa – menjadi musuh negara.


LANGKAH MENGATASI / MENANGANI / MEMBENDUNG:

  1. Peranan intitusi kekeluargaan.

  • Hubungan kekeluargaan - Ibu bapa ubah paradigma/cara berfikir untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan – tidak terlalu mengongkong/terlalu memanjakan akan-anak – kebebasan yang diberikan perlu ada batasan
  • Meluangkan masa dengan anak-anak – mendengar  masalah mereka – menjadi sahabat mereka – membawa keluarga bercuti – melakukan aktiviti yang menarik.
  • Ibu bapa perlu mengenali rakan anak-anak remaja mereka - jika perlu, sesekali meminta anak-anak supaya membawa rakan-rakan mereka ke rumah supaya dapat mengetahui latar belakang dan tingkah laku kawan-kawannya – memberikan nasihat jika ibu bapa mendapati kawan-kawan anak mereka mencurigakan dan dapat membawa masalah pada kemudian hari.
  • Pendidikan agama - Menerapkan didikan agama dan nilai-nilai murni dalam keluarga – sejak anak-anak masih kecil – dapat membantu anak-anak terjebak ke kancah gejala sosial – mempunyai benteng keimanan yang kukuh.
  • Sentiasa prihatin dengan perubahan sikap anak-anak – cara berpakaian/pertuturan/fizikal – menasihati dengan cara berhemah dan tidak memarahi secara melulu jika anak-anak telah berubah ke arah yang tidak sihat.
  • Menjadi model kepada anak-anak – menunjukkan teladan yang baik – anak-anak berkelakuan seperti ibu bapanya – pendidikan bermula dari rumah - bapa borek, anak rintik/ ke mana jatuhnya kuah, kalau tidak ke nasi/bagaimana acuan, begitulah kuihnya.
  • Ibu bapa perlu sentiasa menambahkan ilmu /kemahiran mendidik anak-anak/menjadi ibu bapa cemerlang – Seminar Keibubapaan – dengan ilmu yang ada dapat menangani segala masalah anak-anak muda zaman sekarang dengan bijak.

  1. Peranan masyarakat.

·        Memberi sokongan padu terhadap semua program yang dianjurkan oleh kerajaan- tidak memandang enteng segala kempen anjuran kerajaan-sama-sama  turut serta – tidak memberikan pelbagai alasan untuk lari dari tanggungjawab – sibuk/banyak kerja.
·        Membantu membimbing remaja yang tersalah langkah – tidak mengamalkan sikap mementingkan diri sendiri kerana beranggapan mereka bukan ahli keluarga sendiri – bersikap seperti enau dalam belukar , melepaskan pucuk masing-masing– mereka mungkin dapat mempengaruhi anak-anak kita – “jangan sudah terhantuk, baru terngadah” / “nasi sudah menjadi bubur”.
·        Menerima kembali remaja yang telah insaf dengan hati terbuka – “bumi mana tidak ditimpa hujan” - tidak memandang hina / memulaukan mereka– memberikan peluang untuk mereka berubah – pekerjaan/kepercayaan – supaya mereka tidak kembali melakukan kegiatan lalu.
·        Mengaktifkan/ menubuhkan Rukun Tetangga (RT) di kawasan tempat tinggal – RT merupakan satu program sukarela yang bertujuan untuk membantu dalam pembangunan masyarakat setempat di Malaysia – Peranan utama RT adalah untuk menganjurkan kumpulan-kumpulan rondaan yang bertugas pada waktu malam untuk mengurangkan kegiatan jenayah di sekitar kawasan kejiranan – anggota  kumpulan rondaan biasanya dianggotai oleh ahli-ahli masyarakat di kawasan kejiranan tersebut – jika RT aktif menjalankan rondaan, gejala sosial dapat dikurangkan.
·         
  1. Peranan sekolah.

·        Pihak sekolah mengenal pasti pelajar bermasalah disiplin – untuk memantau kelakuan mereka – untuk diberikan khidmat  kaunseling – pihak sekolah memberikan sokongan moral – mengadakan kem motivasi.
·        Sentiasa memaklumkan kes salah laku kepada ibu bapa – perbincangan  antara pihak sekolah dan ibu bapa diadakan –komunikasi dua hala dapat mengelakkan salah faham – penyelesaian dapat ditentukan.
·        Pelajar yang bermasalah diberikan hukuman berbentuk kerja amal – mengurangkan hukuman berbentuk fizikal – mengelakkan pelajar terlalu tertekan dan memberontak – mengurangkan kadar keciciran kerana diberhentikan/berhenti sekolah.
·        Menggalakkan pelajar menyertai aktiviti kokurikulum di sekolah – memenuhi masa dengan berfaedah – menimba pengalaman untuk bekerjasama,memimpin dan bertoleransi.

  1. Peranan media massa.

·        Media massa sebagai wahana menyampaikan informasi terkini berhati-hati memilih bahan yang ingin ditayangkan/diterbitkan – tidak terlalu bersikap terbuka dengan memilih bahan-bahan dari luar negara.
·        Mengutamakan bahan yang bermutu - tidak memilih bahan/rancangan yang diimport dari Barat – lebih sensitif dengan norma-norma masyarakat timur.
·        Tidak mementingkan keuntungan semata-mata/tidak mementingkan rancangan/bahan yang berbentuk komersial sahaja – mengehadkan rancangan yang bercorak hiburan – perlu menyelitkan rancangan/bahan yang berunsurkan pendidikan / ilmiah.

  1. Peranan kerajaan.

  • Melancarkan pelbagai kempen/program untuk pembangunan masyarakat, keluarga dan remaja.
  • Kempen Antibuli/Hari Tanpa Tembakau/Rumahku, Syurgaku/Program Rakan Muda/Program Latihan Khidmat Negara(PLKN) /Kempen Antidadah ( pilih yang bersesuaian dengan isu) – dapat mengurangkan masalah sosial dalam kalangan remaja. Melalui kempen ini, remaja mendapat penerangan yang jelas tentang sesuatu isu  ( dadah/buli/AIDS). Program Rakan Muda mendedahkan remaja dengan cara hidup yang sihat / remaja dilatih untuk berdisiplin menerusi PLKN.

  • Menguar-uarkan  kempen hingga ke kawasan luar bandar – memberikan peluang kepada remaja di luar bandar untuk mengetahui informasi-informasi terkini tentang sesuatu isu – ramai dalam kalangan mereka yang akan berhijrah ke bandar – kejutan budaya dapat dikurangkan  /lebih berhati-hati



Tuesday, 15 April 2014

KARANGAN

Fungsi Perpustakaan Dalam Melahirkan Masyarakat Berilmu

Ilmu pelita hidup.  Kata-kata hikmat ini jelas menggambarkan ilmu pengetahuan merupakan sinar yang dapat memberikan panduan pada kehidupan manusia.  Di manakah kita  boleh  menimba ilmu pengetahuan?  Perpustakaanlahnya!  Perpustakaan atau dikenali juga khutub khanah merupakan gedung ilmu sama ada dalam bentuk bahan bercetak mahupun berbentuk audio dan video.  Menyedari hakikat peri penting perpustakaan maka kerajaan telah mendirikan perpustakaan  di ceruk rantau negara untuk kemudahan masyarakat menimba ilmu pengetahuan.  Hakikatnya, perpustakaan berperanan penting dalam membentuk masyarakat yang berilmu. Maka, apakah fungsi-fungsi perpustakaan dalam konteks  melahirkan masyarakat?

Fungsi perpustakaan yang dianggap signifikan termasuklah membangunkan modal insan.  Hal ini demikian kerana perpustakaan bertindak sebagai satu mekanisme pantas bagi pembangunan modal insan. Modal insan yang berilmu melalui pembinaan perpustakaan mampu merealisasikan aspirasi nasional.Perpustakaan bukan sahaja boleh meningkatkan kapasiti penyelidikan tempatan (R & D) tetapi juga menjadi pusat tumpuan untuk membolehkan  penyelidik berkomunikasi, mengenal pasti program dan penyelidikan yang bersesuaian dengan keperluan negara.  Buktinya, pertumbuhan perpustakaan yang lebih pesat bagai cendewan selepas hujan  dapat dilihat melalui carta pai yang diberikan terutama di kawasan pekan yang berjumlah 776 buah.   Jelaslah bahawa perpustakaan memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan.

Selain itu, perpustakaan juga berfungsi untuk membudayakan inovasi dalam kalangan rakyat Malaysia.  Oleh hal yang demikian inovasi dan kreativiti mampu dijadikan budaya rakyat negara ini bagi menyemarakkan pembangunan dan memperkukuh ekonomi negara.  Menurut Perdana Menteri, penekanan kepada inovasi amat penting kerana dalam jangka masa panjang Malaysia tidak perlu lagi terlalu bergantung kepada teknologi yang diimport.  Buktinya, perpustakaan didirikan di semua negeri dan juga wilayah serta desa dengan tujuan untuk meminimumkan jumlah orang yang berpengetahuan cetek seperti katak di bawah tempurung.  Oleh itu, rakyat Malaysia perlu berpegang pada prinsip membaca jambatan ilmu agar budaya inovasi dapat disemai sebagai keperluan untuk memajukan negara.

Fungsi perpustakaan yang tidak boleh dikesisikan termasuklah melahirkan golongan celik ilmu.  Secara purata, rakyat Malaysia hanya membaca dua muka surat setahun bahan ilmiah berbanding dua ratus muka surat rakyat Jepun.  Untuk mencapai Wawasan 2020, Malaysia perlu menjadi negara pencipta, bukannya negara pengguna dan satu-satu caranya adalah dengan banyak membaca.  Masa itu umpama pedang, jika kita tidak memancungnyan, ia akan memancung kita.  Justeru, kita patut bijak menggunakan masa lapang dengan berkunjung ke perpustakaan kerana orang yang tidak berilmu itu umpama pohon kayu tidak berbuah. Bagi kawasan yang tidak mempunyai perpustakaan awam, mereka boleh menggunakan perkhidmatan perpustakaan bergerak  92 buah yang disediakan oleh kerajaan.  Jelaslah bahawa perpustakaan berperanan penting dalam melahirkan golongan celik ilmu walau di mana sekalipun mereka berada.

Pendek kata, perpustakaan memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat yang berilmu.  Diharapkan perpustakaan dapat dilengkapkan dengan pelbagai kemudahan yang canggih seperti e-book.  Lantaran itu, masyarakat  perlu bijak menggunakan maklumat yang terdapat di perpustakaan dan digalakkan berkunjung ke perpustakaan kerana selangkah ke perpustakaan, sejuta meklumat diperoleh