Pages

Enjin Carian

Saturday, 5 September 2015

CONTOH TEKS UCAPAN PERASMI MAJLIS ANUGERAH CEMERLANG

DRAF
TEKS UCAPAN




Yang Berbahagia




BERSEMPENA



HARI ANUGERAH CEMERLANG KVAS 2015






PADA 27 SEPTEMBER 2015  (RABU) PUKUL 8.30 PAGI  DI DEWAN WAN MOHD SAMAN, KVAS.
.





Selamat Sejahtera dan Salam Satu Malaysia

Terima kasih  Pengacara Majlis.

Yang Berusaha Encik Ridhwan Zalay, Pengarah KV Alor Setar
Yang Dihormati Encik Fuad  Bin Razali Yang Dipertua PIBG KVAS, Naib YDP PIBG
Tn Hj Ahmad Bin Othman, Timbalan Pengarah Akademik  ,
Tn Haji Ahmad Zakil b Nik Hamid, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik,
Puan Hajah Che Rohana Binti Cha , Ketua Unit jaminan Kualiti . Pengarah Kolej Vokasional Zon Kedah dan Perlis, Pengetua-pengetua SMT, Pengetua dan Guru Besar dalam Kompleks Pendidikan, Pengetua-pengetua SMK harian dan wakil, AJK PIBG SMVAS,  Ibu bapa / Waris Pelajar , para pensyarah, guru-guru, para pelajar dan hadirin yang dikasihi sekalian.

Beras kunyit saya taburi,
                                      Air mawar direnjis wangi.
                             Berkembang kasih menabur budi,
                                      Undangan tuan amat disanjungi.

Terlebih  dahulu saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kerana sudi menjemput saya untuk merasmikan Majlis Hari Anugerah Cemerlang KV ALOR SETAR, bagi tahun 2015. Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak kolej yang berjaya mengadakan program ini sebagai satu program tahunan demi kepentingan para pelajar. Walau apa pun nama yang diberi untuk majlis seperti ini, yang pasti Majlis Hari Anugerah Cemerlang merupakan satu majlis khas untuk meraikan pelajar-pelajar yang telah membuktikan kecemerlangan mereka dalam bidang akademik. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada pelajar-pelajar cemerlang kolej ini.


Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
Pada hari ini, kita mendapati peranan pendidikan telah berubah dengan jelas daripada fungsi tradisionalnya. Para pelajar bukan sahaja datang ke sini untuk belajar tetapi untuk dididik sebagai pewaris negara agar menjadi modal insan yang berilmu dan berakhlak mulia.  Hal ini selari dengan salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), iaitu meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan. Dalam konteks ini, NKRA itu sendiri merupakan satu inovasi dasar dan strategi yang ampuh dalam merealisasikan hasrat untuk memantapkan kualiti pendidikan negara. Kita perlu bersedia untuk melakukan pembaharuan dan pembugaran dalam sistem pendidikan melalui inovasi dasar dan strategi yang berterusan.

Sistem pendidikan kita mestilah sentiasa dinamik dan progresif serta bersedia untuk melalui proses perubahan dan pembaharuan seiring dengan peredaran zaman. Lantaran Kementerian Pendidikan telah memperkenalkan Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) sejak tiga tahun yang lalu sebagai kayu ukur kompetensi para pelajar. Dengan kata lain, kita perlu melahirkan para pelajar yang cemerlang dan kompeten iaitu mencapai standard kualiti untuk merealisasikan aspirasi dan agenda negara.


Hadirin sekalian,
Cendekiawan  ada menyatakan tiada kejayaan semanis madu tanpa usaha sepahit hempedu. Oleh itu, pelbagai usaha dilakukan untuk menjadikan para pelajar sebagai peneroka ilmu dan bukan sekadar pengikut amat penting bagi mempersiapkan generasi muda dengan keperluan abad ke-21. Selama ini, kita beranggapan penglibatan ibu bapa dengan pembelajaran anak-anak mereka di sekolah berlaku secara semula jadi. Namun, dengan perubahan zaman dan cabaran semasa, usaha secara bersepadu dan bersungguh-sungguh melalui satu kaedah perlu dilakukan oleh semua lapisan masyarakat supaya dapat menyumbang kepada kejayaan anak-anak. Seyogianyaibu bapa menitikberatkan soal pembelajaran secara berterusan bukan sahaja di sekolah tetapi juga di rumah.

Sebagai ibu bapa kita juga perlu melakukan refleksi kendiri atau bermuhasabah, apakah memadai atau cukup setakat menyerahkan tanggungjawab kepada guru-guru dan pihak sekolah semata-mata. Ibu bapa perlu memastikan usaha yang dimulakan di sekolah akan diteruskan apabila murid-murid balik ke rumah. 

Tuan-tuan dan puan-puan,
Mahatma Gandhi ada menyatakan bahawa kepuasan terletak pada usaha, bukannya kejayaan. Maka kepimpinan institusi pendidikan seperti KVAS perlu memacu penghasilan daya kreativiti dan inovasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran secara berterusan. Bagi menghasilkan pendidikan yang bermutu, para pengajar perlu melakukan anjakan paradigma dalam melaksanakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang menggalakkan para pelajar untuk berfikir secara kreatif dan inovatif terutama para pelajar di sini yang berfokuskan kemahiran.  Kita perlu berganjak daripada pendekatan model kilang penghasilan pendidikan (factory model of producing education) kepada model penciptaan pengajaran dan pembelajaran yang memberangsangkan minda, yang menguji daya kreativiti dan inovasi, yang mencungkil keupayaan menyelesaikan masalah dan yang mengasah ketajaman penaakulan (reasoning) para pelajar. Ertinya, orientasi pengajaran dan pembelajaran mesti berganjak daripada pembelajaran berbentuk hafalan (rote learning) kepada pembelajaran yang memberangsangkan akal (mind stimulating learning).


Imam Al-Ghazali pernh berkata bahawa ‘Beriman dan beramal sumbernya ialah ilmu.  Ilmu diperoleh dengan belajar.  Tiada ertinya iman kalau tiada amal dan tiada erti amal kalau tiada keikhlasan
Oleh itu, para pendidik perlu sedar orang ramai terutama ibu bapa sentiasa mengukur pencapaian  berdasarkan standard kualiti yang telah dijanjikan. Para pendidik jangan cepat berasa puas dengan pen­capaian  pada hari ini. Seorang pendidik mesti sentiasa berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatan agar per­khidmatan pendidikan akan menjadi contoh kepada perkhidmatan yang lain. Seperti yang kita semua sedia maklum, para pelajar merupakan tiang negara dan bakal pemimpin negara kerana  Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Jadi pengasuhan, bimbingan dan dorongan dari segi semua aspek hidup dari peringkat awal lagi adalah amat penting. Pencapaian mereka dari segi akademik sahaja tidak memadai. Malahan pembangunan dan perkembangan yang tinggi dalam aspek keperibadian juga adalah perlu diberi perhatian yang sama berat.

Saya percaya sambutan Majlis Hari Anugerah Cemerlang pada hari ini adalah selari dengan matlamat memberi dorongan dan memotivasikan para pelajar agar terus berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam semua bidang. Diharapkan semoga program seumpama ini dapat berterusan pada masa-masa akan datang bukan sahaja untuk pelajar yang cemerlang tetapi juga yang kurang cemerlang tetapi ada peningkatan atau kemajuan.


Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada para pelajar yang akan menerima hadiah nanti atas pencapaian mereka dan diharapkan pencapaian kecemerlangan tersebut tidak berakhir di sini sahaja. Teruskanlah kecemerlangan itu sampai bila-bila. Segala kejayaan ini tidak seharusnya melekakan kita. Benar kita telah mencipta banyak kejayaan, tetapi ini tidak bermakna bahawa kita boleh selesa berpeluk tubuh mengharapkan setiap kejayaan yang dicipta pada masa lalu akan berulang dengan sendirinya pada masa hadapan. Hakikatnya, kita sedang menghadapi pelbagai cabaran baru yang menuntut supaya kita sentiasa meneroka ilmu terkini, melakukan inovasi dan berusaha untuk melangkaui sempadan kecemerlangan.

Kepada para pelajar yang tidak menerima hadiah, janganlah kecewa tetapi ingatlah pesanan saya ini. Untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang, kita harus mempunyai sikap rajin berusaha dan tidak mudah berputus asa. Berpeganglah pada prinsip alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Saya percaya para pelajar yang mendapat anugerah pada hari ini merupakan mereka yang rajin berusaha dan konsisten dalam usaha. Mereka yang cemerlang ini biasanya rajin pada tiap-tiap hari dan bukannya rajin menjelang peperiksaan semata-mata atau rajin mengikut musim.. Saya percaya jika para pelajar dapat mencontohi mereka yang menerima anugerah pada hari ini, anda juga pasti akan berada di kerusi tersebut pada tahun akan datang.





Tuan-tuan dan puan-puan yang hormati sekalian,
Ibnu Rusyd, seorang tokoh ilmuwan Islam pernah menukilkan antara lainnya bermaksud, "Kepuasan yang sejati lahir daripada keabadian bersama". Dalam hal ini, semua pihak semestinya berganding bahu dan mengatur langkah sederap berusaha untuk merealisasikannya. Hasil gabungan kerjasama mantap yang terjalin, satu jaringan kecemerlangan akademik yang tinggi mampu digapai. Kita perlu menjadikan hubungan antara warga kolej dan ibu bapa sebagai hubungan yang berasaskan rasa tanggungjawab bersama, saling memerlukan dan sentiasa menyokong antara satu sama lain, bak kata peribahasa seperti aur dengan tebing.
Pemimpin dan barisan tenaga pengajar kolej  ini boleh bertukar ganti; boleh datang dan pergi, namun organisasi  mesti dipertahankan walau sesiapa pun yang menerajui dan memacunya. Ingatlah, kecemerlangan yang ingin kita capai tidak boleh ditolak-ansurkan. Semua pihak termasuk  ibu bapa dan pelajar patut memberi sokongan padu kepada pihak pentadbir kolej jika semua mimpi indah tentang kecemerlangan ingin direalisasikan.

Akhir kata, saya ingin mengambil kesempatan sekali lagi mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak KVAS kerana berjaya menganjurkan Majlis Hari Anugerah Cemerlang tahun ini.

Sebelum saya berundur diri, saya juga ingin menarik perhatian hadirin sekalian pada gurindam ini;

          Jika murid mendengar kata
          Tidak guru berkata cela
          Jika ibu bapa bekerjasama
          Tidaklah anak berdukacita

          Jika kita seia sekata
          Tiada timbul sengketa

          Jika seiring kita berusaha
          Pasti semua akan berjaya


Digerak oleh iltizam mencapai kecemerlangan, saya dengan lafaz Bismillahhir­rahmannirahim (Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Penyayang) MERASMIKAN, Majlis Hari Anugerah Cemerlang, tahun 2015.


  

2 comments: