Sunday 5 July 2015

LATIHAN PROSA TRADISIONAL : HIKAYAT SIAK

PROSA TRADISIONAL : HIKAYAT SIAK

Tuan Bujang (Raja Kecil) Dinobatkan

Tuan Bujang meminta izin daripada Sultan Pelembang hendak mengembara. Sultan Palembang mengizinkan sambil membekalkan pakaian keemasan dan keris kebesaran. Tuan Bujang mengembara ke Rawas. Di situ, Tuan Bujang berkahwin dengan anak Dipati Raja Kucing dan memperoleh seorang anak lelaki yang dinamakan Raja Alam. Tuan Bujang mengembara ke Jambi dan singgah di Batu. Di situ baginda berperang dengan Sultan Maharaja kerana berebut kebesaran. Tuan Bujang luka di paha kiri dan akhirnya Sultan Maharaja menang.

Tuan Bujang mengembara pula ke Minangkabau dan singgah di Pagaruyung. Tuan Bujang menghadap sultan dan baginda terkejut apabila melihat Tuan Bujang memberitahu bahawa dia akan menurut sahaja apa-apa yang diperintahkan. Puteri Jilan memerintahkan supaya Tuan Bujang pergi ke Siak untuk mengambil semula takhta kerajaan Negeri Johor dan menuntut bela atas kematian ayahandanya.

Tuan Bujang dinobatkan oleh Yamtuan Sakti dan baginda ingin menguji Tuan Bujang sebagai pewaris Minangkabau. Apabila semua rakyat berkumpul, Tuan Bujang dipakaikan alat kerajaan oleh Puteri Jilan. Mahkota kerajaan dipakaikan oleh Yamtuan Sakti di kepala Tuan Bujang sambil menyebut-nyebut salasilah Tuan Bujang. Apabila diperlakukan sedemikian, muka Tuan Bujang berubah seperti bunga raya kembang pagi sehingga tidak dapat dipandang akibat bercahaya. Apabila melihat keadaan sedemikian, semua orang sujud kepada Tuan Bujang sambil menyeru supaya Tuan Bujang berada dalam keadaan aman sebagai pemerintah yang agung. Tuan Bujang diberi gelaran Yang Dipertuan Raja Kecik.

Pada suatu hari, Puteri Jilan dan Yang Dipertuan Sakti membawa pedang kebesaran yang berasal dari Minangkabau. Puteri Jilan membekalkan rambutnya yang berukuran lima depa, dua butir kupang-kupang dan satu cap. Di dalam cap itu telah ditulis perjanjian supaya segala anak Minangkabau  menyembah Yang Dipertuan Raja Kecik dan jika enggan berbuat demikian maka akan terkena sumpah. Apabila selesai dibuat perjanjian, Yang Dipertuan Raja Kecik memohon daripada Yang Dipertuan Sakti dan Puteri Jilan untuk berangkat. Baginda dibekalkan dengan pembesar dan hulubalang. Puteri Jilan mengucapkan selamat kepada cucunya itu dan berharap akan beroleh perkara yang dihajati.


Kisah Raja Kecil

Baginda singgah di Bukit Batu sebelun tiba di Siak,. Di situ baginda membeli ikan terubuk beserta telurnya untuk dibawa ke Siak. Orang Siak tidak mengenali baginda dan baginda terpaksa bekerja sebagai Nakhoda Penangguk.

Baginda pergi ke Mengkalis untuk berjumpa dengan anak-anak Minangkabau. Baginda berjumpa dengan penghulu di situ sambil menyerahkan cap yang dibekalkan oleh Yang Dipertuan Sakti. Apabila melihat cap daripada Pagaruyung dan titah daripada Yang Dipertuan Sakti itu, semua orang menjadi terkejut dan takut. Semua penduduk Mengkalis berkumpul dan menyembah Yang Dipertuan Raja Kecik. Mereka akan menurut apa-apa sahaja yang diarahkan oleh baginda.

Baginda berangkat ke Batu Bahara dan mendapati ramai anak Mingkabau tinggal di situ. Baginda melantik penghulu di situ dan semuanya memberikan sokongan kepada baginda. Baginda ingin menyerang Johor.




Raja Kecil Menyerang Johor

Raja Bugis yang terdiri daripada Daeng Parani, Daeng Celak dan Raja Tuha datang ke Mengkalis menghadap Yang Dipertuan Raja Kecik. Mereka berbincang untuk menyerang Johor. Mereka membuat perjanjian jika berjaya menakluk Johor, baginda akan menjadi Yang Dipertuan Besar dan Daeng Parani akan menjadi Yang Dipertuan Muda. Setelah semuanya bersetuju, Daeng Parani meminta izin hendak ke Langat bagi mengambil segala orang Bugis yang berada di situ. Keesokannya, Sepucuk surat telah dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Johor untuk memberitahu anakanda Marhum Mangkat Dijulang hendak menuntut bela serta meminta supaya membaiki kota yang sudah rosak dan mendalamkan parit.

Apabila membaca surat tersebut, Yang Dipertuan Johor mengumpulkan seluruh rakyat supaya bersama-sama membaiki kota dan mendalamkan parit. Apabila tersebar berita bahawa anakanda Marhum Mangkat Dijulang akan datang, semua rakyat keluar kerana ingin berjumpa dengan Yang Dipertuan Raja Kecik dan memberitahu bahawa mereka juga datang dari Minangkabau. Apabila semuanya telah sempurna, baginda berangkat ke Johor sambil diiring oleh segala rakyat.

Apabila tiba di Johor, seluruh rakyat Johor menjadi gempar dan datang menghadap baginda. Mereka memberitahu jika benar baginda raja yang sebenar, baginda perlu membuat supaya air yang masin menjadi tawar. Baginda bersetuju dengan mengambil rotan untuk dilingkar dan memasukkan air ke dalamnya. Dengan Izin-Nya, air tersebut menjadi tawar. Seluruh rakyat Johor gembira dan mengaku bahawa baginda adalah pemerintah Johor. Baginda meminta supaya rakyat Johor menyembah dan menyembut ’daulat’.

Apabila baginda masuk ke negeri Johor, baginda dibedil. Anehnya meriam yang digunakan keluar air menyebabkan tiada bunyi. Baginda belayar sehingga sampai ke Pangkalan Rama. Baginda melompat ke atas jambatan. Baginda memegang pedang kerajaan yang bernama Sepurejab. Apabila hulubalang melihat baginda melompat sedemikian, merekapun segera melompat untuk mengiring baginda.

Apabila Yang Dipertuan Johor mendengar Yang Dipertuan Raja Kecik sudah masuk ke kota, baginda pun lari bersama anaknandanya dan pulang ke kampung  lama Bendahara. Yang Dipertuan Raja Kecik masuk ke istana dengan diiringi para pembesar. Baginda hairan apabila melihat Bendahara tiada di situ. Penghulu Istana memberitahu bahawa Bendahara telah melarikan diri.

Yamtuan Muda mengamuk dengan membunuh semua anak dan bininya kecuali seorang anak perempuan. Setelah berbuat demikian, dia menjadi takut dan lari ke hutan untuk bersembunyi. Yang Dipertuan Besar tidak mahu melarikan diri kerana memikirkan perbuatannya membunuh ayahanda Yang Dipertuan Raja Kecik ialah kesalahn berat. Dia ingin menyerahkan dirinya kepada Yang Dipertuan Raja Kecik. Baginda menyatakan bahawa tidak patut membunuh Yang Dipertuan Besar kerana dia sudah menyerah diri.

Apabila mengetahui Yamtuan Muda membunuh anak isterinya, baginda meminta pendapat Bendahara. Yamtuan Muda diperintah supaya dibunuh kerana kesalahan membunuh anak isterinya. Encik Apung, iaitu bonda kepada Yang Dipertuan Raja Kecik telah meninggal dunia. Baginda sangat bersedih apabila bondanya mangkat.

Baginda ingin mengahwini Tengku Tengah, anak Bendahara. Apabila tiba hari raya, semua anak Bendahara menghadap baginda kecuali Tengku Tengah yang tidak datang. Apabila terpandang Tengku Kamariah, baginda rasa berkenan dan mengambil cincin di jari Tengku Tengah untuk diberikan kepada Tengku Kamariah. Tengku Kamariah menangis dan bendahara memberitahu dia perlu menurut perintah Yang Dipertuan. Baginda memberitahu Bendahara untuk berkahwin dengan Tengku Kamariah. Bendahara menurut sahaja perintah Yang Dipertuan.

Baginda dirajakan di negeri Johor dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Syah. Baginda bernikah dengan Tengku Kamariah.

ASPEK-ASPEK KOMSAS DALAM HIKAYAT SIAK

ITEM
PERNYATAAN
HURAIAN
Tema
Pengembaraan anak raja untuk menuntut hak yang telah dirampas oleh orang lain
Yang Dipertuan Raja Kecik telah mengembara dari satu tempat ke satu tempat bagi membuktikan bahawa baginda merupakan keturunan raja iaitu anakanda Marhum Mangkat Dijulang sehinggalah baginda ditabalkan menjadi Sultan Johor.
Persoalan
Persoalan kesabaran akan membuahkan kejayaan
Kesabaran yang Dipertuan Raja Kecik mengembara dari satu tempat ke satu tempat membuahkan kejayaan apabila akhirnya baginda ditabalkan sebagai Sultan Johor
Persoalan kebenaran tetap terbukti apabila tiba masanya
Kebenaran Yang Dipertuan Raja Kecik sebagai pemerintah sebenar negeri Johor akhirnya terbukti apabila baginda ditabalkan menjadi Sultan Johor
Persoalan keberanian menuntut hak warisan keluarga
Tuan Bujang menuntut hak sebagai pemerintah sebenar negeri Johor apabila dirampas oleh Yang Dipertuan Johor setelah membunuh ayahandanya
Persoalan perpaduan dan kerjasama
Orang Minangkabau dan orang bugis telah berpadu tenaga untuk membantu Yang Dipertuan Raja Kecik menawan semula negeri Johor
Nilai
Kegigihan
Yang Dipertuan Raja Kecik gigih mengembara dari satu tempat ke satu tempat bagi membuktikan bahawa baginda adalah pemerintah sebenar negeri Johor
Keberanian
Yang Dipertuan Raja Kecik berani mempertahankan hak sebagai pemerintah sebenar negeri Johor
Baik hati/ pemaaf
Yang Dipertuan Raja Kecik telah memaafkan kesalahan Yang Dipertuan Johor kerana telah membunuh ayahandanya malah melantik pula sebagai bendahara
Kerjasama/ perpaduan
Orang Minangkabau dan orang Bugis telah bekerjasama membantu Yang Dipertuan Raja Kecik menyerang negeri Johor
Pengajaran
Kita hendaklah gigih berusaha untuk mencapai kejayaan
Yang Dipertuan Raja Kecik gigih berusaha mendapatkan kembali haknya sebagai pemerintah negeri Johor
Kita hendaklah berusaha menuntut hak yang telah dirampas oleh orang lain
Yang Dipertuan Raja Kecik sanggup berusaha mendapatkan kembali hak sebagai pemerintah negeri Johor yang telah dirampas oleh Yang Dipertuan Johor
Kita hendaklah bekerjasama dan bersatu bagi mencapai matlamat
Yang Dipertuan Raja Kecik meminta kerjasama daripada orang Minangkabau dan orang Bugis bagi membina kekuatan menyerang negeri Johor
Kita janganlah berdendam dengan orang lain kerana ia akan membawa perpecahan dalam masyarakat
Yang Dipertuan Raja Kecik tidak berdendam dengan Yang Dipertuan Johor walaupun telah membunuh ayahandanya kerana yang Dipertuan Johor telah menyerah diri dan insaf



Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
            Dan sampailah di Kuala Johor. Maka orang Johor pun gegerlah, mengatakan, “Tuan kita sudah datang!” Dan mana suku Laksamana, semuanya datang, menghadap baginda.Maka kata orang Johor, “ Jikalau betul asal tuan kami, minta ditawarkan air yang masin.”Dan titah baginda, “Baiklah.” Dan lalu diambil rotan, dilingkar, dimasukkan ke dalam air yang masin, menjadi tawarlah.” Lalu dimasukkan ke dalam lingkaran rotan itu. Maka segera diambilnya air itu. Dan, masing-masing minum air itu, sangat tawarnya, lagi sejuk rasanya. Maka segala orang Johor pun bersoraklah, “Ialah, tuanku patik, Tuanku Yang Maha Mulia ini!” Dan banyaklah yang mengikut baginda. Dan baginda pun bertitah kepda segala rakyat, “ Hendaklah kamu mengatakan ‘daulat’.”
            Maka baginda pun masuk ke Negeri Johor. Maka dibedil orang dari kubu Johor. Maka segala meriam pun keluar air pada mulut meriam. Satu pun tiada berbunyi. Maka baginda pun mudik, didayungkan oleh segala rakyat, sambil bertimang, berakung, lalu ke Pangkalan Rama, di atas jambatan dalam. Maka baginda pun melompat naik ke atas jambatan. Baginda memegang pedang kerajaan bernama Sepurejab, telah terhunus dari sarungnya. Setelah dilihat oleh hulubalang yang berempat baginda seperti kilat melompat naik ke atas jambatan, maka hulubalang keempat sama melompat dengan pedang terhunus, mengiringkan baginda, dengan segala Orang Besar-besar, masing-masing dengan pedang dan perisai, seperti hadamat bunyinya.
i. Berikan maksud hadamat bunyinya.
Maksudnya: suasana yang riuh-rendah/suasana yang bising
( 2 markah )
ii. Nyatakan perkara-perkara pelik yang berlaku apabila ‘baginda’ sampai ke Kuala Johor dan
Negeri Johor.
P1 air masin berjaya ditawarkan oleh baginda/menjadi tawar ( 1 markah )
P2 air tawar boleh diminum ( 1 markah )
P3 air tawar sangat sejuk ( 1 markah )
P4 meriam yang ditembak mengeluarkan air ( 1 markah )
P5 tiada sebuah pun meriam meletup ( 1 markah )
( 3 markah )
iii. Pada pendapat anda, apakah kelebihan-kelebihan lain yang perlu ada pada diri ‘baginda’
jika ‘baginda’ hidup pada zaman sekarang.

baginda’ mesti
P1 mempunyai pegangan agama dan moral yang tinggi ( 1 markah )
P2 mempunyai kelayakan akademik/pelajaran bertaraf universiti ( 1 markah )
P3 bijak mengendalikan teknologi maklumat ( 1 markah )
P5 mahir menggunakan senjata moden seperti peluru berpandu ( 1 markah )
P6 berpengetahuan luas tentang isu global/antarabangsa ( 1 markah )
P7pandai menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara-negara luar ( 1 markah)
P8 mahir mengendali dan membangunkan ekonomi negara ( 1 markah )
P9 bijak mengendalikan isu-isu strategik di peringkat global
isu pendatang asing, perang saudara,sempadan negara ( 1 markah )
P10 mempunyai barisan pemimpin dan pentadbir yang bijak/ berpelajaran
tinggi/mahir menguruskan negara dan hal ehwal antarabangsa (1 markah )
( 3 markah )
LATIHAN KENDIRI:
Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
            Hatta, pada waktu itu Raja Bugis pun datang ke Mengkalis, Daeng Parani, dan Daeng Celak, dan Raja Tuha. Lalu ia mendapatkan baginda, kerana sudah berkenalan dengan baginda, tatkala di Bangkah Kota; baginda duduk dengan Sultan Palembang. Dan serta bertemu dengan baginda, lalu berbicara, hendak melanggar Johor. Daeng Parani pun meminta perjanjian, jikalau dapat Johor, baginda menjadi Yang Dipertuan Besar; Daeng Parani menjadi Yang Dipertuan Muda. Sudah putus muafakat , dan Daeng Parani minta hendak pergi ke Langat, dan mengambil segala Bugis yang ada di sana. Dan barang bila esok, hendak pergi menyuruh membawa surat ke Johor kepada Yang Dipertuan Johor mengatakan, paduka anakanda hendak menuntut kematian Marhum Mangkat Dijulang. Dan jikalau kota yang buruk, suruh baiki kota; yang parit tohor, suruh dalamkan.

            Dan serta sampai surat itu ke Johor, maka Yang Dipertuan Johor pun mengampungkan segala orang besar-besar, muafakat, menyuruh membaiki kota, parit. Dan sudah masyhur khabar itu, mengatakan anak Marhum Mangkat Dijulang sudah keluarlah; segala rakyat pun datang, dibawa oleh Raja Negara Selat. Dan serta sampai, bertemu dengan Yang Dipertuan di Mengkalis, mengatakan tuan dari Johor. Dan segala Minangkabau mengatakan tuan dia, datang dari Minangkabau.
Hatta, lalu berkelahi. Maka titah baginda, “Janganlah engkau berkelahi, sama-sama bekerjalah.” Dan baginda pun menyiapkan perahu, kecil besar. Setelah sudah, sampailah ketika yang sempurna, maka baginda pun berangkat ke Johor. Dan segala rakyat Selat, dan segala yang di lahut, semuanya mengiringkan baginda.

(i) Berikan maksud mengampungkan segala orang besar-besar.                                                [ 2 markah ]
(ii) Apakah perjanjian yang dibuat antara baginda dengan Daeng Parani?                                  [ 2 markah ]
(iii) Berikan kebaikan bekerjasama dalam melakukan sesuatu pekerjaan?                                 [ 4 markah ]




No comments:

Post a Comment