Thursday 27 February 2014

LATIHAN KARANGAN: WAWANCARA

LATIHAN:

TULIS SEMULA KARANGAN JENIS WAWANCARA DI BAWAH AGAR MENCAPAI MARKAH CEMERLANG.


.   Anda mewakili sidang pengarang Majalah Tunas Sastera untuk mewawancara seorang pegawai dan penggiat sastera tanah air.  Beliau berkhidmat di Pusat Perkembangan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka. Dalam wawancara tersebut, tumpuan anda berfokus kepada kegiatan badan tersebut dalam usaha memupuk bakat-bakat baru dalam bidang penulisan kreatif.

ISU       :
                        KEHENDAK SOALAN            :
                    FORMAT / KATA KUNCI   :
ARAHAN : Tulis semula karangan di bawah supaya mencapai tahap cemerlang.
Bidang kesusasteraan kian terpencil dalam zaman pembangunan ini.  Namun begitu,  Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tetap gigih dalam usaha memupuk dan memperkembang minat golongan muda agar meminati bidang kesusasteraan. Wakil Majalah Tunas Sastera berkesempatan mewawancara Dr. Zaidi Zainal  yang bertugas di Bahagian Perkembangan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka.   Untuk tatapan umum , di bawah ini merupakan hasil perbincangan saudari Anis Rahayu dengan beliau.


Anis:    Dr. selaku tokoh sastera dan petugas di Dewan Bahasa dan Pustaka, apakah pandangan umum Dr.   terhadap sastera?

Zaidi:    Sastera sangat penting dalam kehidupan manusia.  Semua pelajar seharusnya mempelajari sastera baik secara formal atau tidak formal.  Suatu hal yang sangat rugi jika seseorang itu tidak mempelajari sastera.  Saya sangat menyedari kepentingan sastera maka saya mendorong anak-anak mempelajari sastera. Sekalipun pada mulanya mereka agak keberatan kerana pada mereka sastera itu tidak penting.  Saya membelikan mereka buku-buku sastera dan membimbing mereka mengenali sastera agar mereka tidak “buta sastera” .  Saya juga menyatakan kepentingan sastera itu kepada mereka.

Anis:    Bolehkah Dr. jelaskan secara lebih mendalam kepentingan mempelajari sastera?

Zaidi:    Untuk makluman anak-anak, sastera boleh membentuk jiwa kita agar kita menjadi manusia yang baik.  Pada pandangan saya manusia yang pandai dan bijak sahaja belum memadai untuk melaksanakan pelbagai matlamat negara termasuk menjayakan Wawasan 2020.  Apabila seseorang memiliki kepandaian sahaja,  hal ini  boleh mendorong seseorang menipu dan mencuri.  Umpamanya, terdapat kakitangan atau pihak atasan sesuatu agensi yang sanggup menipu, menjual maklumat sulit tempatnya bekerja kepada pihak lain.  Terdapat juga tokoh korporat yang belot dan banyak lagi pelakuan negatif yang dilakukan oleh mereka.  Oleh sebab itu,  hal yang sukar ialah seseorang itu menjadi orang pandai yang baik.  Hal ini boleh dipupuk dalam jiwa seseorang melalui pelajaran sastera.  Menenrusi sastera kita mempelajari watak baik dan watak jahat.  Watak yang baik kita contohi,  watak yang jahat kita jadikan sempadan.

Anis:    Dr. selaku salah seorang petugas dalam bahagian perkembangan sastera;  bolehkah Dr. jelaskan fungsi DBP dalam usaha memupuk dan melahirkan golongan penulis kreatif yang berwibawa khususnya di kalangan remaja?

Zaidi:    Di sekolah sastera diajar kepada para pelajar melalui pelbagai teori sastera.  Pelajar-pelajar akan mengenali watak dan perwatakan, gaya bahasa, teknik penulisan dan sebagainya.  Sementara DBP pula mahu menyampaikan hal yang lebih daripada itu tentang sastera kepada para remaja.  DBP mempunyai keinginan untuk melahirkan penulis kreatif  yang profesional;  yang memanfaatkan masa untuk berfikir, mencetuskan fikiran baru dan seterusnya menulis hasil pemikirannya itu yang boleh disalurkan kepada pembaca dalam bentuk novel, cerpen dan karya kreatif yang lain.

Anis:    Dalam usaha menghasilkan karya kreatif,  bersetujukah Dr. jika saya katakan bahawa penulis yang baik mesti berilmu pengetahuan dan memiliki pengalaman yang luas?

Zaidi:    Hal itu memang benar sekali.  Bidang penulisan kreatif sangat memerlukan ilmu dan pengalaman yang luas.  Dengan ilmu dan pengalaman yang pernah dilalui oleh seseorang penulis;  beliau  mampu membimbing pembacanya dengan cara yang kreatif.  Lebih-lebih lagi dalam penulisan itu diterapkan oleh penulis fikiran  baru dan bernas, menasihati dan mendidik para pelajar atau pembaca lain melalui karya yang dipaparkan oleh penulis.

Anis:    Bagi remaja yang bercita-cita menjadi penulis kreatif,  apakah langkah-langkah yang harus dilakukan oleh mereka dan adakah DBP pula mempunyai rancangan khusus untuk membantu golongan tersebut dalam bidang penulisan kreatif?

Zaidi:    Para remaja yang berminat dan bercita-cita untuk menjadi penulis; saya berpendapat mereka haruslah berusaha secara kendiri terlebih dahulu.  Maksudnya mereka haruslah memulakan usaha itu dengan menghsasilkan sebarang karya terlebih dahulu dan menghantarkanya kepada mana-mana penerbitan.  Oleh sebab itu, saya mengesyorkan karya tersebut dihantar kepada dua majalah DBP, iaitu Dewan Pelajar dan Dewan Siswa kerana kedua-duanya menyediakan ruangan khusus untuk penulis baru mengasah bakat dalam bidang penulisan.  Setakat ini DBP menggunakan pendekatan “cari” dan “pupuk”.  Kita berusaha mengesan kemunculan penulis-penulis baru yang berbakat dan rajin berkarya menerusi karya-karaya mereka yang disiarkan oleh penerbitan yang berwibawa.  Apabila golongan ini ditemui.  mereka akan dijadikan anak angkat dan DBP akan memberi motivasi serta mendorong mereka yang berbakat tadi dalam program-program yang diatur oleh pihak terbabit di DBP dengan kerjasama dengan sebuah badan penulisan yang tidak asing di Malaysia, iaitu PENA.  Salah satu program dalam bidang ini ialah bengkel penulisan yang diadakan dari semasa ke semasa.  Apabila tamat kursus atau perbengkelan, kita akan pastikan mereka akan teus menghasilkan karya-karya kreatif.  Setakat ini, usaha itu merupakan usaha yang kita laksanakan.  Insya-Allah kita masih merancang beberapa program susulan kepada kumpulan ini.  Setakat ini hanya 12 peserta yang dikenal pasti begitu gigih menghasilkan karya.

Anis:    Ada pendapat mengatakan bahawa lagi tinggi pengajiannya maka kian mampulah penulis itu menghasilkan karya yang baik.  Apakah Dr.  bersetuju dengan dakwaan ini?

Zaidi:    Lumrahnya, bukan semua penulis berpeluang melanjutkan pelajaran hingga ke menara gading.  Namun, saya tidak menafikan bahawa pencapaian yang baik dalam bidang pendidikan lazimnya dapat membantu penulis meningkatkan mutu karyanya.  Walau bagaimanapun,  ramai penulis yang berjaya lahir sebagai penulis ternama setelah melalui pengalaman berkrya yang berterusan, tanpa mengenal jemu dan putus asa.  Dakwaan saya ini berdasarkan bukti kebanyakan Sasterawan Negara berjaya sebagai penulis setalah melalui usaha gigih dan tidak kenal jemu  dalam bidang penulisan.  Karya-karya mereka dibaca dan ditatap oleh pelbagai lapisan pembaca sama ada di dalam atau di luar negara.  Hal ini menjelaskan bahawa ilmu itu tidak semestinya  diperoleh di bangku sekolah atau menerusi proses pendidikan formal sahaja tetapi ilmu juga diperoleh melalui pembacaan, perbincangan, mengikuti seminar, kursus dan sebagainya.

Anis:    Adakah bidang penulisan mempunyai risiko?

Zaidi:    Bidang ini memang mempunyai risiko.  Contohnya, apabila penulis ditipu oleh penerbit.  Walau bagaimanapun bukan semua penerbit bersikap demikian kerana masih ramai penerbit yang bertanggungjawab kepada penulis contohnya DBP sendiri yang tidak pernah mengabaikan hak penulis.
                                          
Anis:    Untuk mengakhiri wawancara ini, apakah harapan Dr. kepada penulis-penulis baru di tanah air kita ini?
                                                  
Zaidi:    Saya berharap penulis-penulis yang baru berjinak-jinak dalam bidang penulisan tidak mudah berputus asa sekiranya tulisannya tidak disiarkan oleh mana-mana penerbitan. Anggaplah perkara itu sebagai cabaran untuk menghasilkan karya yang labih baik.  Perkara yang penting, teruskan berkarya,  lambat laun karya yang dihasilkan itu akan disiarkan untuk tatapan umum.  Untum makluman penulis baru dan pembaca sekalian,  semua penulis yang terkenal pada waktu ini pernah mengalami hal-hal karya mereka dibakulsampahkan tetapi mereka tidak patah semangat, mereka terus berkarya. Akhirnya mereka mendapat nama dan terkenal dalam bidang penulisan.

Anis:    Terima kasih saya ucapkan atas kerjasama  yang Dr. berikan untuk menjayakan wawancara ini.

Zaidi:    sama-sama.        


No comments:

Post a Comment