Sunday, 5 July 2015

PELAYARAN YANG PENUH PERISTIWA

PELAYARAN YANG PENUH PERISTIWA
Sinopsis
Awang Sulung Merah Muda belayar bersama-sama Tuan Puteri Dayang Seri Jawa.  Awing Sulung telah menyamar sebagai budak yang comot dan hitam menyebabkan Awang Sulung dipandang hina oleh Nakhoda Tua.  Setelah Awang Sulung menggantikan tempat Tuan Puteri Dayang Seri Jawa menjaga kemudi geliung (sejenis kapal perang/kapal layar/kapal dagang) maka Tuan Puteri Dayang Seri Jawa jatuh hati.
Awang Sulung mengarahkan kapal belayar mengikut tiupan angin.  Setelah tiga hari belayar, mereka sampai di Pulau Tapai.  Dayang Seri Jawa mengajak Awang Sulung berlabuh untuk mengambil kayu dan air yang telah kehabisan.  Kemudian, Tuan Puteri Dayang Seri Jawa berfikir hendak menguji kecekapan Awang Sulung, lalu menyuruh Si Kembang Cina mengambil buyung suasa dan meminta Awang Sulung mengambilkan air.  Awang Sulung tidak pergi ke pulau tetapi berkayuh deras ke tengah laut, tempat arus paling deras.  Apabila dirasa, air masin yang diambil Awang Sulung terasa manis seperti serbat.
Tuanku Nakhoda Tua memanggil semua anak geliung untuk memberitahu bahawa Laut Sekona Lingga merupakan kawasan lanun berbahaya.  Sesiapa yang dapat menyelamatkan seisi kapal itu akan dikahwinkan dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa.  Ramai yang bercita-cita memperisteri Tuan Puteri, terutamanya jurumudi.  Tuanku Nakhoda Tua meminta Tuan Puteri memanggil budak hitam (Awang Sulung) untuk disuruh melawan lanun di laut.  Setelah dipujuk, Awang Sulung pun mandi dengan limau selimpar pagar dan sabun mandi.  Tubuhnya yang hitam menjadi putih dan Tuan Puteri semakin terpikat.  Sesudah lengkap berpakaian pusaka tua warisan bonda, dia mengenakan keris dan pedang yang sakti lalu berjumpa ketua lanun.  Awang Sulung menyuruh ketua lanun Si Helang Laut, Si Kecil Muda Teruna, Si Kecil Muda Suara untuk mengambil Tuan Puteri supaya dijadikan penghalau ayam, penyapu rumah atau penggaru belakang mereka.  Mereka mengenali suara Awag Sulung lalu berasa takut.  Awang Sulung memberitahu ketua-ketua lanun bahawa pelayarannya kerana menemani Tuan Puteri pulang ke negerinya.  Tambahan pula, Awang Sulung berhutang dua puluh lapan rial dan emas sejangka tiga kepada Datuk Batin Alam.  Ketua-ketua lanun mengatakan akan memenuhkan kapal itu dengan rial batu dan emas. 
Tuan Puteri menafikan bahawa Awang Sulung sebagai tawanannya tetapi sebagai seorang pahlawan yang handal.  Awang Sulung menyatakan bahawa dia telah menewaskan Tuan Puteri Dayang Nuramah yang hendak merampasnya daripada tangan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa.  Awang Sulung memberitahu hendak pulang ke negerinya, Bandar Mengkalih  menyebabkan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa terkejut lalu pengsan.  Awang Sulung pun berpantun dan apabila tersedar, Tuan Puteri berpantun juga dengan pantun kasih sayang.  Setelah lanun-lanun yang dijamu pergi, jurumudi membuat helah dengan menikam seekor ayam dengan kerisnya.  Dengan keris berlumuran darah, jurumudi memberitahu Tuanku Nakhoda Tua bahawa dialah yang menyelamatkan kapal itu daripada serangan lanun.  Tanpa usul periksa, Tuanku Nakhoda Tua menitahkan Mualim Cik Mas menikahkan anaknya dengan jurumudi.  Tuan Puteri membantah kerana Tuanku Bertindak tanpa menyiasat.  Akhirnya, Awang Sulung pun dinikahkan dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa.  Setelah kenduri beberapa hari, kapal itu pun belayar meninggalkan Laut Pulau Salah Nama menuju ke Tanah Jawa.  Setelah Awang Sulung dan Tuan Puteri berbalas-balas pantun dengan menyindir jurumudi, sampailah kapal itu ke Negeri Pati Talak Terengganu.  Semasa berangkat, berlaku peristiwa aneh.  Segala alat kebesaran berbunyi sendiri dan disambut oleh seluruh isi alam.  Sebelum naik ke balairung seri, ayam Awang Sulung Merah Muda yang bernama Kinantan Suci telah menang berlaga dengan ayam negeri itu.




PERISTIWA BERGAMBAR  PELAYARAN YANG PENUH PERISTIWA




























































LATIHAN PETIKAN PELAYARAN YANG PENUH PERISTIWA


Mendengar suara itu lanun-lanun itu mulai gementar. Mereka kenal itulah suara Awang Sulung.  “Hai, baru ini kita kiamat,  kita sudah derhaka kepada penghulu kita sendiri dan kepada diri kita sendiri!”  bisik mereka sesama sendiri.
“Ampun Tuanku, patik tidak tahu bahwa Tuanku rupanya di dalam geliung panjang ini,” sembah mereka beramai-ramai dengan tubuh yang gementar.
“Beta tidak beritahukan pelayaran beta pada kalian kerana beta menemani Tuan Puteri Dayang Seri Jawa kembali ke negerinya.  Lagipun beta telah berhutang kepadanya sebanyak dua puluh lapan  rial batu dan emas sejangka tiga untuk melangsaikan hutang beta kepada Datuk Batin Alam.”
“Ampun Tuanku, janganlah Tuanku dukacita dengan hutang itu.  Sekiranya Tuanku hendak kembali ke Bandar Mengkalih, biarlah  patik isikan geliung ini penuh sarat dengan rial batu dan emas.”
Mendengar percakapan itu Tuan Puteri Dayang Seri Jawa tidak bersabar lalgi lalu menyampuk, “Wahai tuan-tuan sekalian, adakah patut orang yang serupa ini berhutang rial kepada patik?  Sebenarnya dagang yang hina inilah menjadi tawanannya.Dia seorang pahlawan yang handal.”

i.                       Berikan maksud berhutang rial.                                                                            [2 markah]

ii.                     Mengapakah Awang Sulung tidak memberitahu lanun-lanun itu tentang pelayarannya?                                                                                                                                                     [3 markah]

iii.                   Sekiranya anda Tuan Puteri Dayang Seri Jawa, apakah yang akan anda lakukan setelah mengetahui Awang Sulung ialah penghulu kepada lanun-lanun yang menyerang geliung panjangnya?                                                                                                            [3 markah]


No comments:

Post a Comment