Tuesday 29 December 2015

Novel Songket Berbenang Emas

Latar Belakang Penulis Novel ( Khairuddin Ayip)

            Khairuddin bin Ayip lahir pada 25 Februari, 1962 di Karnpung Jelotong, Parit Raja, Batu Pahat, Johor. Beliau merupakan anak keenam daripada sembilan adik beradik. Ayahnya pekerja JPT sementara ibunya seorang penoreh getah. Pada tahun 1969, beliau mendapat pendidikan awal di SK Pintas Raya dan pada tahun 1975, beliau meneruskan persekolahan di SM Tun Ismail sehingga lulus SPM. Pada tahun 1980, Khairuddin melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam di SM Dato' Bentara Luar. Setelah lulus STP, pada tahun 1982 hingga 1984 beliau mengikuti kursus dalam bidang Pendidikan Sekolah Menengah, Pendidikan Seni dan Pengajian Melayu di Maktab Perguruan Temenggung Ibrahim, Johor Bahru. Mulai tahun 1985, Khairuddin bertugas sebagai guru di SRK Sri Petaling, Petaling Jaya. Setelah sepuluh tahun di sekolah tersebut, beliau bertugas di SR Seksyen 18, Shah Alam sebagai Penyelia Petang. Bermula Disember 1995, bertugas sebagai Guru Penolong Kanan I di SK Seksyen 20, Shah Alam. Mulai bulan Julai 1996, beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang Pengkhususan Bahasa dan Linguistik Melayu, Fakulti Bahasa Moden dm Komunikasi, Universiti Putra Malaysia. Setelah tamat, pada tahun 1999 beliau bertugas di SM Teknik, Shah Alam, Selangor.  Kini beliau bertugas sebagai Pegawai School Improvement Specialist Coaches (SISC) di Pejabat Pendidikan Daerah Petaling Perdana, Selangor.

            Latar tempat tinggal banyak mempengaruhi Khairuddin dalam bidang penulisan. Tempat lahir beliau Kampung Parit Jelotong, merupakan kampung tradisi masyarakat berketurunan Jawa yang letaknya empat kilometer dari pekan Parit Raja,. Beliau melalui kehidupan sebagai warga kampung, penghuni asrama sekolah pada tahun 1981 dan sewaktu mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Temenggung Ibrahim.  Kehidupannya banyak berubah semasa bertugas di SRK Sri Petaling, sekolah elit yang menempatkan anak menteri, kerabat raja, datuk, orang berpangkat besar dan golongan berada. Selain itu, beliau  melihat pelbagai ragam kehidupan manusia yang baik hinggalah penagih dadah dan pelacur. Hidup di kawasan Chow Kit yang terlalu keras, pentingkan diri dan nekad, secara tidak langsung membentuk dirinya menjadi berani hadapi segala kemungkinan.

            Khairuddin mendapat dorongan awal sebagai penulis kerana minat membaca buku dan novel bersiri Dewan Pelajar serta faktor keluarga, apabila menatap karya abangnya Shamsuddin, Zainuddin dan Baharuddin yang sering terpampang melalui media massa. Pada tahun 1975, beliau mula menulis dan karyanya yang pertama tersiar dalam Berita Harian semasa beliau di tingkatan tiga. Karya pertamanya dibayar sebanyak RM1O.OO menerusi rencana yang tersiar dalam majalah Teruna. Pada tahun 1980, sewaktu menunggu keputusan SPM, Khairuddin menulis novel Cinta Yang Rapuh yang diterbitkan oleh Knight Publising dengan imbuhan RM250.00. Waktu itu mulai timbul keyakinan bakat dirinya dalam bidang penulisan. Setahun kemudian, beliau menulis novel Pelangi Senja yang diterbitkan oleh Tra-tra Publishing pada tahun 1983. Semasa menunggu keputusan STP, beliau menggarap novel Ayahku Ayahku Jua (diterbitkan dengan judul Guruku Ibuku Jua), yang berjaya mendapat tempat ketiga Peraduan Hadiah Sastera Esso-GAPENA 11, 1982.
            Beliau semakin yakin setelah menangi anugerah dan ayahnya mulai merestui minat beliau. Mulai detik itu beliau terus berkarya, menulis puisi, cerpen, drama radio dan drama pentas.

Sinopsis Keseluruhan Novel
            Novel ini mengisahkan kehidupan Dahlia, seorang pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan Temenggong Ibrahim, Batu Pahat yang pintar dan disenangi oleh teman-temannya seperti Kavita dan Siti Wangi. Namun, Dahlia menghadapi masalah keluarga hingga mengganggu tumpuannya terhadap peperiksaan STPM yang bakal didudukinya. Ibunya iaitu Saleha dimasukkan ke Hospital Permai, Johor Bahru kerana kemurungan dan hilang ingatan.  Ayahnya pula iaitu Embong dimasukkan ke wad 4 Hospital Batu Pahat kerana pahanya dipatuk ular tedung. Adiknya iaitu Abu Bakar tidak mendengar kata / bersikap degil  setelah tersilap memilih rakan. Dia tergamak menjual kambing peliharaan ayahnya demi mendapatkan wang kerana dia tidak bekerja setelah mendapat pangkat 3 dalam SPM. Dia juga pada mulanya tidak menghiraukan masalah yang melanda keluarganya walaupun dia anak lelaki tunggal dalam keluarga Dahlia. Nenek Kiah pula beranggapan bahawa keluarga Dahlia ditimpa nasib malang kerana beranggapan rumah yang didiami oleh mereka berhantu. Nenek Kiah juga sering mencemuh mereka berbanding anak cucunya yang lain. Dengan hasutan Seman iaitu bapa saudara Dahlia, Nenek Kiah mengambil keputusan untuk menjual tanahnya yang diduduki / ditumpangi oleh keluarga Dahlia. Namun begitu, Tauke Lim menawarkan pertolongannya tanpa mengharapkan balasan atau ganjaran.
            Sebagai anak sulung, Dahlia terpaksa memberikan perhatian kepada keluarganya. Sementelahan, adik-adiknya iaitu Mawar (pelajar sekolah berasrama penuh), Kiambang (pelajar tingkat 1 / berusia 13 tahun), Melati (11 tahun) dan Anggerik (1 1/2 tahun) masih belum mampu berdikari. Apabila ibunya dirawat di Hospital Permai, dia terpaksa memilih untuk keluar dari asrama untuk menjaga adik-adiknya. Apabila masalah kelurganya makin meruncing, Dahlia bertekad untuk berhenti sekolah, dan bekerja di kilang bagi menyara adik-adiknya yang masih bersekolah. Dahlia tetap dengan keputusannya walaupun dinasihati oleh cikgu Hisyam. Setelah ibunya dibenarkan keluar dari wad, kampung mereka dilanda banjir besar. Rumah mereka dihanyutkan manakala mereka sekeluarga pula dipindahkan ke pusat pemindahan banjir (balai raya bersaiz 50m X 20m) yang terputus bekalan air dan elektrik. Namun begitu, Dahlia tetap tabah mengulang kaji pelajarannya sehingga mendapat pujian daripada Encik Daim (wakil perbadi Ahli Parlimen Sri Gading).
            Tekanan kian bertambah kerana hubungan akrabnya dengan Azhari dipandang serong oleh jiran-jirannya. Tindakan berani Dahlia terjun ke sungai untuk menyelamatkan Said tidak dihargai malah dicemuh pula kerana gagal menyelamatkannya. Walau bagaimanapun Dahlia tetap tabah menghadapi dugaan demi dugaan yang menimpanya.  Setelah keadaan dan masalah keluarganya reda, Dahlia mengambil keputusan untuk menyambung pelajarannya semula. Memandangkan peperiksaan STPM cuma tinggal seminggu lagi (Hari Isnin- 29 November), Dahlia menemui cikgu Salwani bagi meminta kebenaran untuk tinggal di asrama. Majlis pertunangannya dengan Azhari pula akan diadakan pada 30 Disember setelah tamat peperiksaan STPM.
            Berkat kesabarannya menghadapi pelbagai dugan hidup, dia terpilih untuk melanjutkan pelajaran ke Jepun dalam kursus Pengurusan Perniagaan peringkat ijazah pertama selama 4 tahun. Oleh itu, Dahlia akan mengikuti kursus bahasa Jepun di Universiti Malaya selama 6 bulan yang bermula 2 Januari. Dahlia dipilih berdasarkan keputusan SPM dan peperiksaan semesternya yang cemerlang. Dia perlu mendaftarkan dirinya pada 31 Disember, dan pada hari tersebut juga akan berlangsung minggu suai kenal. Dengan itu, Dahlia perlu bertolak ke Kuala Lumpur pada 30 Disember iaitu pada hari pertunangannya.
            Dahlia tidak menghadiri majlis pertunangannya kerana keluarga Azhari terlambat sampai ke rumah keluarga Dahlia ekoran pak cik Azhari yang menjadi jurucakap majlis pertunangan lambat tiba. Haji Sulaiman iaitu ketua kampung telah menghantar Dahlia ke stesen bas Bandar Penggaram untuk ke Kuala Lumpur. Haji Sulaiman juga menyerahkan sumbangan penduduk kampung sebanyak RM500.00 kepada Dahlia. Daripada jumlah tersebut Tauke Lim telah menyumbang sebanyak RM300.00.  walau bagaimanapun Azhari sempat bertemu dengan Dahlia sebelum bas bertolak ke Kuala Lumpur. Dalam pertemua tersebut, beliau telah menghadiahi Dahlia sehelai kain songket merah berbenang emas bagi mengingatkan Dahlia agar dia sentiasa menjaga tatasusila dan budaya masyarakat Timur walau di mana-mana dia berada.




21 comments:

  1. Sinopsis mengikut bab ada?

    ReplyDelete
  2. Sinopsis Bad 1-28 Ade x ? :/

    ReplyDelete
  3. Kena tunggu la sebulan dua lagi sebab novel ini sukatan yang baru digunapakai pada tahun ini . Harap nota lengkap dapat keluar dalam masa terdekat .

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum,
    Harap maaf jika telah menyalin tanpa kebenaran. Kandungan yg disalin telah dikeluarkan. Terima kasih atas teguran anda. Saya terima dengan hati terbuka...kerana memang kekhilafan saya tidak menyemak kerja anak buah saya. Maafkan saya dan halalkan trafik telah diperolehi darinya. (diharapkan jgn published komen ini)

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih.. maaf kiranya menyentuh perasaan Tuan

      Delete
  5. Boleh buat dk sinopsis bab 11...please

    ReplyDelete
  6. Boleh buat dk sinopsis bab 11...please

    ReplyDelete