Thursday, 10 March 2016

DRAF TEKS UCAPAN PERASMI MESYUARAT PIBG

DRAF
TEKS UCAPAN




Yang Berbahagia Encik Ridhwan Bin Zalay,
Pengarah
Kolej Vokasional  Alor Setar



BERSEMPENA
MESYUARAT AGUNG PIBG  KVAS  2016









PADA 10 MAC 2016 (KHAMIS)   PUKUL 8.30 PAGI  DI DEWAN WAN MOHD SAMAN, KVAS.
.

Bismillah Hirrahman Nirrahim Assalamualaikum wbt & Selamat Sejahtera
Terima kasih  Pengacara Majlis.

Yang Berbahagia Encik Fuad  Bin Razali Yang Dipertua PIBG KVAS,
Naib YDP PIBG
Tn Hj Ahmad Bin Othman, Timbalan Pengarah Akademik  ,
Tn Haji Ahmad Zakil b Nik Hamid, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik,
Puan Hajah Che Rohana Binti Cha , Ketua Unit jaminan Kualiti ,
AJK PIBG KVAS,  Ibu bapa / Waris Pelajar , para pensyarah, guru-guru, para pelajar dan hadirin yang dikasihi sekalian.

Ibu bapa / Waris , para pensyarah,  dan hadirin yang dikasihi sekalian.
Syukur alhamdulillah dan salam serta selawat ke atas junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan para sahabat baginda. Saya ingin memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dan rahmat-Nya dapat kita bertemu dalam majlis yang amat bermakna ini. Saya berasa gembira melihat semangat, kerjasama dan iltizam yang ditunjukkan oleh semua pihak dalam melibatkan diri secara bersungguh-sungguh bagi menjayakan majlis ini. Saya amat prihatin terhadap usaha, keringat, semangat dan kerjasama yang ditunjukkan oleh semua pihak .

Para hadirin sekalian,
Pada hari ini, kita mendapati peranan pendidikan telah berubah dengan jelas daripada fungsi tradisionalnya. Para pelajar bukan sahaja datang ke sini untuk belajar tetapi untuk dididik sebagai pewaris negara agar menjadi modal insan yang berilmu dan berakhlak mulia.  Hal ini selari dengan salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), iaitu meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan. Dalam konteks ini, NKRA itu sendiri merupakan satu inovasi dasar dan strategi yang ampuh dalam merealisasikan hasrat untuk memantapkan kualiti pendidikan negara. Kita perlu bersedia untuk melakukan pembaharuan dan pembugaran dalam sistem pendidikan melalui inovasi dasar dan strategi yang berterusan.  Cabaran utama bagi sistem pendidikan negara kita terutamanya Kolej Vokasional pada masa akan datang adalah untuk menghasilkan sumber manusia yang berkualiti untuk membangunkan daya saing negara di peringkat global. Kita memerlukan sumber manusia yang mampu bersaing dalam senario ekonomi dunia berasaskan pengetahuan. Kita memerlukan generasi terpelajar yang disebut sebagai pekerja ilmu atau knowledge wokers, iaitu golongan terdidik yang bukan sahaja menguasai ilmu dan berkemahiran tinggi malahan memiliki dan mengamalkan sikap dan nilai-nilai positif untuk memajukan diri serta memakmurkan negara. Sesungguhnya, sesebuah negara yang ingin maju memerlukan golongan muda yang berkualiti, berkarisma, berwibawa dan berketerampilan.

Hadirin sekalian,
Perubahan dalam sistem pendidikan negara menuntut pengorbanan yang bukan kepalang daripada guru Oleh itu,  para guru atau pensyarah perlu mempersiapkan diri  dengan segala ilmu di dada agar aspirasi negara ini dapat direalisasikan. para guru atau pensyarah juga perlu ikhlas dalam melaksanakan  amanah yang diberi seperti kata-kata Imam Syafie;  barang siapa yang mengendaki akhirat, wajib baginya ikhlas kepada ilmu pengetahuan yang diajarnya.

 Oleh itu, saya menyeru kepada semua para guru atau pensyarah di sini  agar bergenggam tangan, berganding bahu, bangun sederap, mara sepakat, mengukuhkan tekad dan  memantapkan komitmen demi menyempurnakan amanah yang diberi dengan jujur, amanah dan penuh kerelaan dan suci hati untuk mencari keredhaan Allah SWT.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Sepanjang masa, pelbagai inisiatif, perubahan dan penambahbaikan sedang, serta telah dilaksanakan bagi meningkatkan motivasi  serta produktiviti. Sehubungan dengan itu, KPM melakukan pelbagai inisiatif bagi mengeluarkan pelajar lulusan Diploma dalam bidang kemahiran yang berpotensi tinggi. Pada masa depan juga kementerian bercadang untuk mewujudkan jurusan penerbangan di KV bagi menambah nilai kemahiran pelajar KV. Saya KV mampu menjadi "paragon of excellence". Pengetahuan atau ilmu bercambah begitu pesat dan mendadak, selaras dengan era pembangunan yang berganda. Begitu juga dengan sistem pendidikan di negara kita. Sistem pendidikan kita akan dimantapkan lagi agar sentiasa relevan, berciri global, berdaya saing dan sentiasa bergerak ke hadapan. Tiada sesiapapun yang dapat menafikan betapa pentingnya ilmu pengetahuan kepada setiap manusia. Di dalam Al-Quran terdapat banyak firman Allah yang mengingatkan kita tentang ketinggian, kemuliaan serta kelebihan orang yang berilmu.

Hadirin sekalian,
Saya juga suka mengingatkan kepada semua ibu bapa agar memberi sokongan padu yang tidak berbelah bahagi terhadap segala usaha murni pihak kolej. Saya yakin dengan penggemblengan tenaga dan penyatuan minda akan menyemarakkan budaya permuafakatan yang seterusnya akan pasti melahirkan generasi yang berwibawa dan maju dalam semua aspek. Perkara ini bersesuaian dengan hadis nabi yang bermaksud:  Hubungan orang mukmin dengan mukmin yang lain, seperti sebuah binaan yang saling kait mengait antara satu sama lain.
Dalam hal ini juga saya ingin mengambil kesempatan dengan mengingatkan para ibu bapa sekalian agar tidak membuat keputusan atau tindakan melulu berlandaskan perasaan tanpa usul periksa terhadap pihak kolej sekiranya mendapat aduan daripada anak-anak tuan puan. Sebagai golongan yang berfikiran matang, para ibu bapa seharusnya berbincang dengan pihak kolej untuk mendapat gambaran yang sebenar sekiranya berlaku sebarang masalah. Jangan mendengar daripada sebelah pihak sahaja.

Hadirin sekalian,
Cendekiawan  ada menyatakan tiada kejayaan semanis madu tanpa usaha sepahit hempedu. Oleh itu, pelbagai usaha dilakukan untuk menjadikan para pelajar sebagai peneroka ilmu dan bukan sekadar pengikut amat penting bagi mempersiapkan generasi muda dengan keperluan abad ke-21. Selama ini, kita beranggapan penglibatan ibu bapa dengan pembelajaran anak-anak mereka di sekolah berlaku secara semula jadi. Namun, dengan perubahan zaman dan cabaran semasa, usaha secara bersepadu dan bersungguh-sungguh melalui satu kaedah perlu dilakukan oleh semua lapisan masyarakat supaya dapat menyumbang kepada kejayaan anak-anak. Seyogianyaibu bapa menitikberatkan soal pembelajaran secara berterusan bukan sahaja di sekolah tetapi juga di rumah.

Sebagai ibu bapa kita juga perlu melakukan refleksi kendiri atau bermuhasabah, apakah memadai atau cukup setakat menyerahkan tanggungjawab kepada para pensyarah dan pihak kolej semata-mata. Ibu bapa perlu memastikan usaha yang dimulakan di kolej akan diteruskan apabila para pelajar balik ke rumah. 

Hadirin sekalian,
Mahatma Gandhi ada menyatakan bahawa kepuasan terletak pada usaha, bukannya kejayaan. Maka kepimpinan institusi pendidikan seperti KVAS perlu memacu penghasilan daya kreativiti dan inovasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran secara berterusan. Bagi menghasilkan pendidikan yang bermutu, para pengajar perlu melakukan anjakan paradigma dalam melaksanakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang menggalakkan para pelajar untuk berfikir secara kreatif dan inovatif terutama para pelajar di sini yang berfokuskan kemahiran.  Kita perlu berganjak daripada pendekatan model kilang penghasilan pendidikan (factory model of producing education) kepada model penciptaan pengajaran dan pembelajaran yang memberangsangkan minda, yang menguji daya kreativiti dan inovasi, yang mencungkil keupayaan menyelesaikan masalah dan yang mengasah ketajaman penaakulan (reasoning) para pelajar. Ertinya, orientasi pengajaran dan pembelajaran mesti berganjak daripada pembelajaran berbentuk hafalan (rote learning) kepada pembelajaran yang memberangsangkan akal (mind stimulating learning).

Imam Al-Ghazali pernah berkata bahawa ‘Beriman dan beramal sumbernya ialah ilmu.  Ilmu diperoleh dengan belajar.  Tiada ertinya iman kalau tiada amal dan tiada erti amal kalau tiada keikhlasan


Sebelum saya berundur diri, saya juga ingin menarik perhatian hadirin sekalian kepada kata-kata Saidina Ali r.a kepada Kamil Bin Ziyad dalam membezakan antara ilmu pengetahuan dengan harta kekayaan:

Ilmu itu lebih baik daripada harta
Ilmu akan menjagamu
Tetapi
Harta kamu yang menjaganya
Ilmu semakin bertambah jika diinfakkan
Tetapi
Harta sebaliknya semakin berkurangan jika dibelanjakan

Ilmu pembimbing tetapi harta dibimbing
Ilmu akan memberi ketenangan dalam hidup
Dan meninggalkan nama baik setelah wafatnya

Hasil harta akan hilang dengan hilangnya harta
Pemegang wang boleh sahaja mati dalam keadaan hidup
Tetapi
Ilmu tetap kekal sepanjang masa

Dengan itu, saya dengan lafaz Bismillah Hirrahman Nirrahim merasmikan Mesyuarat Agung PIBG Kolej  Vokasional Alor Setar  Tahun 2016
   

Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah , Wassalamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh.


4 comments:

  1. terbaik, izinkan saya menjadikan teks ucapan ini sebagai panduan utk sy menghasilkan teks ucapan perasmian mesyruarat
    pibg di sekolah sy. tq

    ReplyDelete
  2. mohon copy teksnya tuan ya. terima kasih.

    ReplyDelete
  3. mohon izin copy and paste sebagai panduan dan rujukan.

    ReplyDelete