Sunday, 14 February 2016

LATIHAN RUMUSAN

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian tulis satu rumusan tentang akibat tidak membaca bahan yang bermutu dan usaha-usaha untuk mengatasinya . Panjang rumusan anda mestilah tidak melebihi 120 patah perkataan.

          Banyak yang boleh kita andaikan sekiranya remaja hari ini tidak minat membaca.
Remaja akan ketinggalan tentang perkembangan pesat yang berlaku di dunia pada hari ini. Dunia hari ini berada di bawah telunjuk globalisasi yang menjadikan maklumat dan ilmu sebagai asas perkembangannya. Sekiranya remaja tidak gemar membaca dan kalau membaca pun menumpukan perhatian kepada hal-hal yang ringan dan bercorak hiburan, gosip, hal-hal picisan, tahayul, kisah-kisah artis dan penghibur semasa, dia tidak mencanai dan mengembangkan ilmu.
         Tanpa bahan-bahan baik yang dibaca, remaja tidak akan melatih diri untuk berfikir dan menganalisis. Generasi yang tidak berfikir tidak akan menghasilkan idea-idea yang bermakna. Dalam buku terkandung sumber maklumat dan ilmu yang amat berguna untuk remaja. Buku merakamkan idea-idea yang berbagai-bagai, menghimpunkan analisis manusia tentang sesuatu peristiwa atau keadaan dan mencatatkan fakta dan data yang ditemui penulis dan pengkaji terhadap pelbagai perkara. Buku membantu remaja berkongsi, mengetahui dan mendapat jalan ilmu tentang perubahan dan kemajuan.
          Masyarakat Barat dan Jepun amat gemar membaca. Membaca bukan saja menjadi tabiat sebahagian masyarakat mereka di segenap peringkat tetapi juga menjadi sebati dan ketagihan. Jika tidak membaca ada semacam kekosongan dalam hidup . Apabila mendapat bahan yang hendak dibaca ibarat seseorang mendapat teman yang sangat dikasihi. Sebab itu orang Barat dan Jepun mampu menempa kemajuan dan perubahan. Mereka membaca dalam kapal terbang, dalam kereta api, sambil menunggu bas dan apabila ada masa terluang.
          Tabiat membaca mesti dipupuk dan dilatih sejak kecil lagi. Anak-anak yang masih kecil elok didedahkan dengan bahan-bahan bacaan yang memikat minat mereka membaca. Walaupun pada peringkat awal anak-anak suka melihat gambar atau cerita-cerita yang bercorak kartun, galakan harus diberi supaya anak-anak suka membaca cerita. Fikiran kanak-kanak yang hanya didedahkan dengan bahan bacaan kurang bermutu tidak akan berkembang. Mereka hanya berupaya memikirkan perkara-perkara yang remeh. Tegal itu, apabila dewasa mereka tidak berupaya menghadapi desakan hidup yang lebih mencabar.
         Bagi remaja, membaca buku teks kadang-kadang menjadi suatu paksaan. Kalau tidak kerana tuntutan belajar dan ingin lulus dalam peperiksaan, buku teks akan terbiar begitu saja. Sesetengah pula berpendapat bahawa setelah tamat Sijil Pelajaran Malaysia, membaca sudah tidak perlu lagi. Banyak masa remaja dihabiskan di hadapan media elektronik bagi mendapatkan bahan-bahan yang bercorak hiburan, picisan malah kadang-kadang melalaikan. Para remaja harus memupuk kecenderungan membaca bahan-bahan yang baik dan berfaedah. Apa yang remaja baca ada kesannya pada minda, pada sikap mental malah pada tanggapan dan hobi.
          Sebuah negara yang sedang menuju tahap negara maju seperti Malaysia seharusnya memiliki generasi muda yang minat membaca. Kekuatan bagi sesebuah negara yang bakal maju banyak bergantung pada kemampuan ilmu pengetahuan dan pemikiran rakyatnya. Hal ini bermula sejak zaman remaja lagi. Sekiranya para remaja hanya cenderung membaca bahan-bahan ringan semata-mata dan tidak memiliki minat untuk meningkatkan ilmu pengetahuan, maka globalisasi yang sedang kita tempuh bakal menyebabkan kita terpinggir daripada arus maklumat, ilmu dan juga kemajuan. Proses negara maju harus seimbang dengan darjah berfikir rakyatnya. Darjah pemikiran rakyat hanya boleh meningkat sekiranya proses mendapatkan maklumat, menguasai ilmu, membandingkan bahan-bahan kajian dan meneliti penemuan-penemuan baru menerusi pembacaan. Pembacaan boleh berlaku sama ada menerusi media cetak ataupun elektronik seperti Internet.

Rangka Rumusan:

(A1)Petikan  membincangkan  ................................. .................................................
....................................................

            (A1)Akibatnya  termasuklah  ............................................... (A2) Selain itu, ................................. dan / serta .........................  (A3) Akibat lain termasuklah .............................................  selain  ....................................  (A4)Akhirnya, ...............................

            (A1)Usahanya   pula termasuklah pihak sekolah ......................................(A2) Di samping itu, ............................................................................ malah ...........................................................................

            (A1)Kesimpulannya,  ....................................................................... agar .......................... ...........

                 (.................patah kata)



No comments:

Post a Comment