Wednesday, 24 August 2016

Cerpen Munsyi oleh Husna Nazri

Cerpen Munsyi oleh Husna Nazri


Sinopsis - Cerpen ini mengisahkan hasrat Mel (’saya’) iaitu seorang anak muda kampung untuk berhijrah ke kota tetapi dihalang oleh bondanya yang bimbang anaknya itu akan terpengaruh oleh budaya-budaya negatif di bandar.  Pada pendapat bondanya, Mel masih belum mantap bahasa ibunda dan jati dirinya.  Hal ini demikian kerana bonda sedar bahawa anaknya masih belum dilengkapi ilmu pengetahuan yang secukupnya. Menurut bondanya lagi, warga kota sudah hilang nilai-nilai tradisi seperti cinta akan agama, bahasa dan bangsa.  Penjajah telah berjaya menyemai sentimen perkauman dalam kalangan rakyat sehingga pernah tercetusnya pertumpahan darah akibat permusuhan antara kaum.  Mel akur akan permintaan bonda untuk menangguhkan penghijrahannya ke kota. Penduduk kota yang berbilang kaum mengamalkan sikap perjudis dan berprasangka. Mereka amat mengutamakan kepentingan diri masing-masing. Oleh itu, bonda menasihati Mel agar memelihara agama, bahasa dan negara supaya terus dihormati dan disegani.  Selain itu, anak-anak muda perlu berani mempertahankan nilai dan kepetingan bahasa sendiri. Bonda mengharapkan agar Mel menghargai jasa nenek moyang yang membebaskan tanah air daripada penjajahan
Sebagai seorang warga yang bersifat patriotik, bonda banyak memiliki kitab atau buku lama yang berkaitan dengan bahasa,dan sejarah.  Buku-buku tersebut selalu dibaca oleh Mel.

 

Setelah Mel berasa mampu berjuang di kota barulah bonda membenarkannya ke bandar untuk meneruskan kehidupan.  Hal ini demikian kerana dia memerlukan kerjaya untuk masa depannya. Hasratnya telah mendapat restu daripada bonda Namun, bonda berpesan agar Mel menjaga dua perkara iaitu agama dan bangsa.  Sebelum berangkat ke kota, bonda mengamanahkan Mel agar memberikan kitab-kitab lama kepada seorang sahabat lamanya yang tinggal di bandar. Sahabatnya itu bernama Munsyi. Menurut bonda, hanya Munsyi yang layak menyimpan khazanah lama itu. Setibanya di kota, Mel Berjaya menjejaki Munsyi. Beliau menetap di perkampungan tradisi di pinggir kota. Mel berpeluang berkenalan dan bermesra dengan Munsyi serta menyerahkan puluhan kitab lama kepadanya.
Pada  pengamatan Mel, Munsyi merupakan seorang yang sangat mencintai bangsa dan budayanya.   Di bandar, Mel melihat golongan mudanya telah hilang identiti dan jati diri.  Mel mendapat perkhabaran bahawa sebuah syarikat perumahan telah diarahkan untuk merobohkan kawasan perkampungan pinggir kota yang didiami oleh Munsyi bersama-sama  dua puluh buah keluarga yang lain. Bangunan mewan dan hotel bertaraf lima bintang akan didirikan di situ. Kerja-kerja perobohan rumah kediaman dijalankan oleh pihak terbabit. Anggota penguat kuasa pula menghalang demonstrasi penduduk.

Mel terkedu apabila melihat rumah Munsyi bersama-sama dengan puluhan buku yang diberikan oleh bondanya diranapkan oleh jentera berat. Kesedihannya semakin bertambah apabila mengenangkan satu-satunya tanah rizab bangsa di pinggir kota itu akan dimiliki oleh saudagar asing yang kaya raya. Tanda Tanya berlaku dalam diri Mel apabila dia gagal menjejaki orang tua yang bernama Munsyi itu. Akhirnya, rumah Munsyi dirobohkan namun Munsyi tidak kelihatan di mana-mana.  Orang tua yang merupakan pejuang bahasa itu telah menghilangkan diri.

 

 


Tema - Semangat cinta akan agama, bangsa, Bahasa dan budaya yang tersemai dalam jiwa sekumpulan warganegara -  bonda meminta anaknya iaitu Mel melengkapkan diri dengan ilmu agama dan kemahiran bahasa agar menjadi benteng yang ampuh daripada pengaruh luar yang begitu kuat melanda negara.


Plot Cerpen Munsyi


Flowchart: Extract: Plot
 


















Latihan Bergambar Cerpen Munsyi




Watak dan Perwatakan

 

Watak utama – Mel : Anak lelaki kepada bonda / patuh akan nasihat dan arahan bondanya - tidak membantah ketika ibunya melarang dia berhijrah ke Bandar  / Seorang yang rasional apabila bersetuju dengan pandangan bondanya bahawa di kota terdapat berbagai-bagai ragam manusia yang kehilangan identiti dan jati diri. / Dia amat mengagumi tokoh-tokoh dahulu yang banyak berjasa kepada agama, bahasa dan negara / Seorang yang amanah - menyampaikan amanah bondanya iaitu buku-buku yang sepatutnya diserahkan kepada Munsyi ketika pergi ke Bandar / gemar membaca - mengkaji teks Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah serta membaca banyak buku lama milik ibunya /  tidak mudah putus asa - meminta izin ibunya sekali lagi apabila sudah lebih bersedia untuk tinggal di kota walaupun hasratnya itu pernah ditolak oleh ibunya.

Watak Sampingan


1. Bonda :  Ibu kepada Mel / kuat mempertahankan agama, bahasa, budaya dan adat resam turun-temurun / banyak memberikan kata-kata nasihat kepada anaknya / berpengetahuan tentang selok-belok sejarah tanah air / banyak menyimpan khazanah lama khasnya kitab-kitab lama bertulisan jawi / memberikan kebenaran kepada Mel berhijrah ke kota setelah berpuas hati bahawa Mel sudah memiliki pegangan agama yang kuat dan menguasai kemahiran bahasa / berpengetahuan luas - bercerita kepada Mel tentang sejarah pahit tanah air / bersifat patriotik - menasihati Mel agar memelihara agama, bahasa ibunda dan negara / Rasional - mengizinkan Mel berhijrah apabila didapati anaknya itu sudah mantap ilmu dan jati dirinya.


2. Munsyi : Sahabat baik kepada bonda dan tinggal di kota / berusia emas dan mempunyai janggut yang menutupi sebahagian mukanya yang putih bersih/ Orang yang layak menyimpan khazanah lama/Rumahnya dirobohkan oleh pihak yang berkuasa untuk dibangunkan bangunan mewah/ Seorang pejuang bahasa / Dia menghilangkan diri setelah rumahnya dirobohkan / Seorang yang cinta akan budaya tradisional - berpakaian tradisi Melayu yang lengkap dengan keris ketika menyambut kedatangan Mel / Seorang yang mengalu-alukan tetamu - Munsyi tersenyum dan menjemput Mel masuk ke rumahnya.


Latar

Latar Tempat : Kampung - Bonda dan Mel tinggal di kampung. / Kota - Kebanyakan warga kota sudah hilang nilai tradisi. / Sebuah perkampungan tradisi di pinggir kota yang merupakan tanah rizab Melayu - Musnyi menetap di perkampungan itu.

 

Latar Masa :  Lima ratus tahun yang lampau  negara kita dijajah oleh kuasa luar pada waktu itu / Minggu pertama berada di kota - Mel menyaksikan kerapuhan jiwa anak-anak muda yang dihanyutkan keseronokan hidup dengan memperdagangkan maruah dan peribadi / Beberapa purnama - Mel tidak bertemu dengan Munsyi di perkampungan pinggir kota. / Seminggu yang lepas - Jentera-jentera berat bersiap untuk meruntuhkan rumah-rumah kayu using di perkampungan pinggir kota. Latar masa / Zaman pemerintahan penjajah - Penjajah telah memerintah negara menggunakan sistem pecah dan perintah / Zaman selepas merdeka - Rakyat sibuk mengejar harta dan pangkat sehingga lupa akan nilai, bahasa dan agama selepas dijajah.




Latihan Pemahaman:


          “Tapi, dunia ini sudah berubah, bonda. Kita bukan lagi hidup pada zaman perjuangan menentang musuh penjajah. Sekarang kita hidup dalam dunia yang mengejar harta, pangkat dan kekayaan di bumi mewah ini. Tanah air ini bukan milik bangsa kita sahaja. Kita hidup dengan perkongsian hak dan identiti yang sama rata. Sejarah lama tidak perlu dibangkitkan lagi.” Bonda merenung mata saya dengan ekor pandangan yang penuh prejudis. Dihela nafas panjang-panjang menahan rasa sebelum bersuara, “Mel, sejarah bukan buta. Sejarah ialah guru yang tidak pernah berdusta. Bangsa yang membaca dan mengkaji sejarah silam tidak akan melakukan kesilapan kali kedua. Lihat bangsa Yahudi yang terus mencipta kejayaan besar dari zaman ke zaman kerana mengkaji sejarah lampau. Mereka membina agenda besar untuk bangsa dan keturunannya.”
          Kata-kata bonda itu seolah-olah menikam tajam ke dalam urat-urat saraf saya. Saya pandang bonda sambil mengangguk sebelum kembali membelek helaian demi helaian kitab-kitab lama yang hampir lusuh dan tertanggal kulitnya.
          Perkataan-perkataan yang tertulis dalam Jawi itu masih mampu saya baca dan fahami walaupun agak perlahan.
          Sejarah dan kisah bangsa saya pada zaman silam yang berjaya membina ketamadunan dunia cukup membanggakan saya. Saya selusuri bab demi bab dalam teks Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah dengan rasa besar hati.

       i.          Apakah kata-kata Mel yang tidak menyenangkan bondanya?                                         [2 markah]

     ii.          Pada pendapat anda, apakah kepentingan mempelajari sejarah tanah air?                [3 markah]

    iii.          Huraikan satu latar masyarakat yang terkandung dalam petikan di atas dan satu lagi latar masyarakat daripada cerpen yang tidak terdapat dalam petikan.                                         [4 markah]




2 comments: