Monday 22 February 2016

GURINDAM BEBERAPA PETUA HIDUP (Za’ba)

GURINDAM BEBERAPA PETUA HIDUP (Za’ba)

Fikir dan Kata
Kurang fikir, kurang siasat,
Tentu dirimu kelak tersesat.

Fikir dahulu sebelum berkata,
Supaya terelak silang sengketa.

Perkataan tajam jika dilepas,
Ibarat beringin, racun dan upas.

Kalau mulut tajam dan kasar,
Boleh ditimpa bahaya besar.

Silang Sengketa
Siapa menggemari silang sengketa,
Kelaknya pasti berdukacita.

Silang selisih jangan dicari,
Jika tersua janganlah lari.

Ilmu
Jikalau ilmu tiada sempurna,
Tiada berapa ia berguna.

Ilmu kepandaian boleh dikejar,
Asal mahu rajin belajar.

Dunia Pergaulan
Dunia ini taman pergaulan,
Hendaklah pilih sahabat dan taulan.

Manusia dikenal sifat budinya,
Dengan dilihat siapa kawannya.

Burung yang sama corak dan bulu,
Selalu sekumpul ke hilir ke hulu.

Sifat-sifat yang Baik
Jikalau kamu bersifat budiman,
Dipandang sebagai bonda di taman.

Jikalau kamu bersifat dermawan,
Segala orang dapat kautawan.


Jikalau kamu bersifat pemurah,
Segala manusia datang menyerah.

Perbuatan yang Baik
Barang siapa berbuat jasa,
Mulia namanya segenap masa.

Menolong sesama wajib dan perlu,
Tetapi tolonglah dirimu dahulu.

Sifat-sifat yang Jahat
Telunjuk lurus kelengkeng berkait,
Hati sesama menjadi pahit.

Barang siapa berbuat khianat,
Tuhan kelak memberi laknat.
                                                         Kalung Bunga Za’ba, 2008 , Dewan Bahasa dan  Pustaka












Maksud Gurindam GURINDAM BEBERAPA PETUA HIDUP (Za’ba)
Rangkap 1
Peringatan kepada pembaca sekiranya kurang berfikir dan kurang menyelidik terlebih dahulu, pasti akan menyebabkan hidup menjadi sesat.

Rangkap 2
Saranan agar berfikir dahulu sebelum berkata-kata untuk mengelakkan sebarang salah faham dan sengketa sesama manusia.

Rangkap 3
Kata-kata yang kesat dan kurang sopan jika dituturkan boleh memudaratkan hidup masyarakat.

Rangkap 4
Sekiranya seseorang berbicara dengan kata-kata yang pedas dan kurang sopan boleh menyebabkan dia mengalami masalah yang besar.

Rangkap 5
Seseorang yang gemar hidup bermusuh akan sentiasa bermasalah
Rangkap 6
Saranan agar pembaca tidak menimbulkan persengketaan tetapi jika perkara itu berlaku perlulah diterima dengan tabah.

Rangkap 7
Ilmu yang tidak dipelajari dengan sempurna kurang lengkap dan kurang sesuai untuk diamalkan.

Rangkap 8
Ilmu pengetahuan dan kemahiran boleh dituntut selagi rajin untuk menuntut ilmu.

Rangkap 9
Saranan agar bijak memilih sahabat dan taulan di dunia yang di dalamnya mengandungi berbagai-bagai kerenah dan sifat manusia.

Rangkap 10
Sifat budi pekerti seseorang boleh dikenal melalui rakan taulan yang didampinginya.

Rangkap 11
Lazimnya, seseorang akan memilih dan mencari kawan yang sama sifat dan fiilnya untuk memudahkan mereka bekerjasama dan bergaul mesra.

Rangkap 12
Seseorang yang bersifat budiman akan sentiasa dipandang dan disanjung tinggi.

Rangkap 13
Seseorang yang bersifat dermawan akan dapat melawan hati orang di sekelilingnya.

Rangkap 14
Seseorang yang bersifat pemurah akan memudahkannya untuk mendapat bantuan dan pertolongan.

Rangkap 15
Nama seseorang yang membuat jasa akan disanjung pada setiap masa.
Rangkap 16
Saranan agar pembaca memperbaik kelemahan diri terlebih dahulu sebelum menolong sesama manusia

Rangkap 17
Perbuatan mengadu domba dan membuat fitnah boleh menyebabkan hubungan sesama manusia tidak harmoni.

Rangkap 18
Peringatan agar tidak melakukan perbuatan khianat sesama manusia kerana Tuhan pasti akan melaknati orang yang berbiat demikian


Tema
Gurindam “Beberapa Petua Hidup” bertemakan nilai-nilai murni yang dapat dijadikan pegangan dalam kehidupan manusia sehari-hari.  Nilai-nilai murni yang positif serta diamalkan ini nescaya dapat melahirkan insan yang bersahsiah dan berdisiplin.

Persoalan
1.      Kegigihan dalam membudayakan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian manusia.
2.      Kesungguhan dalam mengamalkan nilai-nilai murni.
3.      Rasional dalam membuat sebarang tindakan.
4.      Ketekunan dalam menuntut ilmu.
5.      Sanjungan masyarakat terhadap orang yang berjasa dan berhati mulia.
6.      Kerjasama dan budaya tolong-menolong sesama manusia.
7.      Keadilan Tuhan terhadap setiap tindak-tanduk manusia.

Bentuk Gurindam
1.      Gurindam “Beberapa Petua Hidup” ialah puisi terikiat/tidak bebas.
2.      Gurindam ini terdiri daripada lapan belas rangkap.
3.      Bilangan baris dalam setiap rangkap adalah sama, iaitu dua baris serangkap.  Baris pertama ialah syarat  dan baris kedua pula ialah jawab.
4.      Bilangan kata dalam setiap baris hampir sama, iaitu antara tiga hingga enam patah perkataan dalam sebaris.
5.      Bilangan suku kata dalam setiap baris terdiri daripada sembilan hingga dua belas suku kata.
6.      Rima akhir gurindam ialah aa.

Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi
1.      Antara unsur gaya bahasa yang terdapat dalam gurindam ”Beberapa Petua Hidup” termasuklah :
a)     Kata arkaik (kata klasik).  Contohnya: upas
b)     Kata pinjaman bahasa Arab.  Contohnya: khianat; laknat
c)     Perulangan atau repetisi.  Contohnya: Kurang fikir, kurang siasat,
d)     Peribahasa.  Contohnya: Telunjuk lurus kelengkeng berkait
e)     Simile.  Contohnya: Ibarat beringin, racun dan upas.
f)       Metafora.  Contohnya: mulut tajam dan kasar; taman pergaulan
g)     Inversi.  Contohnya: Tentu dirimu kelak tersesat.

2.      Antara unsur keindahan bunyi yang digunakan termasuklah:
a)     Asonansi.  Contohnya:
                                     i.          Perulangan vokal aPerkataan tajam jika dilepas
Dalam contoh ini, terdapat pengulangan bunyi vokal a sebanyak tujuh kali.

                                    ii.          Perulangan vokal i: Manusia dikenal sifat budinya
Dalam contoh ini, terdapat perulangan bunyi vokal i sebanyak empat kali.
b)     Aliterasi.  Contohnya:
                                     i.          Perulangan konsonan s: Supaya terelak silang sengketa
Dalam contoh ini, terdapat perulangan bunyi konsonan s sebanyak dua kali.
                                    ii.          Perulangan konsonan t: Tetapi tolonglah dirimu dahulu.
Dalam contoh ini, terdapat perulangan bunyi konsonan t sebanyak dua kali.

Nilai
1.      Nilai kebijaksanaan.  Contohnya, kita perlu bijak dalam memilih sahabt dan taulan di dunia yang diibaratkan sebagai sebuah taman pergaulan.
2.      Nilai rasional.  Contohnya, kita dinasihatkan agar berfikir dahlu sebelum berkata-kata untuk mengelakkan sebarang salah faham dan sengketa sesama manusia.
3.      Nilai kesopanan.  Contohnya, kita dituntut agar menjaga tutur kata supaya tidak menggores hati orang lain.
4.      Nilai kerajinan.  Contohnya, kita dinasihatkan agar rajin belajar untuk menambahkan ilmu dan kemahiran.
5.      Nilai mengenang jasa.  Contohnya, seseorang yang berjasa akan dikenang sepanjang masa.
6.      Nilai kerjasama.  Contohnya, sifat suka membantu dan menolong sesama insan perlu diamalkan.
7.      Nilai baik hati.  Contohnya, kita dituntut agar sentiasa berbudi sesama manusia.
8.      Nilai setia kawan.  Contohnya, seorang sahabat yang baik akan sentiasa mendorong rakannya ke arah kebaikan.

Pengajaran
1.      Kita hendaklah berfikir secara rasional dan mendalam terlebih dahulu sebelum menuturkan kata-kata untuk mengelakkan salah faham.
2.      Kita mestilah bijak memilih sahabat yang dapat memimpin kita ke jalan yang lurus dan benar.
3.      Kita perlulah menjaga tutur kata apabila berbicara dengan orang lain untuk mengelakkan sengketa. 
4.      Kita mestilah rajin belajar dengan bersungguh-sungguh untuk menambahkan pengetahuan.
5.      Janganlah kita mengadu domba dan membuat fitnah sehingga boleh menjejaskan hubungan baik sesama manusia.
6.      Janganlah kita berlebih-lebihan menolong orang lain sedangkan pada waktu itu sendiri berada dalam kesusahan.
7.      Kita hendaklah sentiasa berbudi sesama manusia agar dikenang orang.

LATIHAN GURINDAM BEBERAPA PETUA HIDUP
(i)               Apakah maksud rangkap kedua gurindam di atas?                                      [2 markah]
________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________

(ii)             Pada pendapat anda, mengapakah kita perlu berwaspada ketika menuturkan kata-kata kepada seseorang?
Nyatakan tiga alasan anda.                                                                          [3 markah]
_________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________

(iii)           Jelaskan dua nilai murni yang terkandung dalam gurindam tersebut.          [4 markah]
__________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________



33 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Sangat berguna..saya tingkatan 5 .dan saya rujuk jawapan daripada blog ini.:)

    ReplyDelete
  3. hi,kalau dia minta ciri puisi ni,kita patut ambik yang bentuk tu ke?

    ReplyDelete
  4. thanks a lot for helping me out...

    ReplyDelete
  5. Izinkan saya mengambil bahan nota daripada blog cikgu..nota cikgu sangat berguna

    ReplyDelete
  6. sangat membantu, terima kasih kerana berkongsi ilmu

    ReplyDelete
  7. terima kasih cikgu,,nota nota yang sangat membantu utk sayaa

    ReplyDelete
  8. Mohon untuk digunakan di dalam kelas, terima kasih.

    ReplyDelete
  9. saya mintak izin untuk ditulis sebagai nota saya n classmates saya ye😊

    ReplyDelete
  10. Assalam .. Thank you sebab memudahkan kerja saya .. mimtak izin untuk salin di dlm kelas ..
    Jazaka Allah Khairan Kasiran .😬😬

    ReplyDelete
  11. sangat bermanfaat!! izinkan saya ambil bahan ini sebagai bahan presentation saya .. terima kasih cikgu untuk nota yg sangat berguna ini:)

    ReplyDelete
  12. Kalau soalan minta huraiankan persoalan nak kena ambik yg persoalan tu ka?

    ReplyDelete
  13. terima kasih nota ni sangat membantu saya untuk ulangkaji.

    ReplyDelete
  14. thank you untuk semua maklumat ni.saya sangat menghargainya

    ReplyDelete
  15. Thank you so much! I am able to finish my presentation! ^v^

    ReplyDelete
  16. SANGAT MEMBANTU Untuk mengulangkaji. saya suka

    ReplyDelete
  17. Terima kasih nota yang padat ✨👍🏻

    ReplyDelete
  18. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  19. Sangat membantu. Terima kasih

    ReplyDelete
  20. izinkan saya ambil nota ni sangat membantu terima kasih

    ReplyDelete
  21. assalammualaikum,boleh send dalam bentuk soft copy?nak print.

    ReplyDelete