Tuesday, 5 September 2017

Prosa Tradisional Kepimpinan Melalui Teladan

Petikan Prosa Tradisional
Baca petikan prosa tradisional di bawah dengan teliti, kemudian, jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

            Setelah datang kepada Patih Gajah Mada, Kertala Sari pun duduk menyembah. Maka kata Patih Gajah Mada, “Hai anakku Kertala Sari, sebab aku menyuruh mernanggil anakku ini, kerana pesan bapamu kepada aku. 'Jangan tiada dikasihi anakku ini,' kerana bapamu sudahlah mati dengan pekerjaan Seri Betara. Akan sekarang anakku hendak dijadikan penggawa agung."
            Setelah Kertala Sari mendengar kata Patih Gajah Mada itu, maka Kertala Sari pun terlalu sukacita hatinya, seraya menyembah kaki Patih Gajah Mada.
            Maka sembah Kertala Sari, "Endah apatah pekerjaan membunuh Ratu Melaka dan Laksamana itu? Pada hati manira, jika negerinya pun dapat manira alahkan dengan seorang kula juga, syahadan segala anak bininya orang Melaka itu pun dapat manira ambil. Adapun jika belum manira bunuh Ratu Melaka dan Laksamana itu belum mati, tiada mahu manira jadi penggawa."
            Setelah patih Gajah Mada mendengar demikian itu maka ia pun terlalu sukacita, seraya diperjamunya makan minum dan bersuka-sukaan dan diberinya persalin.
            Setelah sudah maka Kertala Sari pun dibawanya rnasuk menghadap Seri Betara. Maka sembah patih Gajah Mada, "Adapun penjurit tujuh orang yang dititahkan oleh paduka Betara pergi ke Melaka itu khabarnya sudah mati dibunuh oleh Laksamana ketujuhnya.

Dipetik daripada 'Kepimpinan Melalui Teladan' dalam antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul, Kementerian Pendidikan Malaysia
Ringkasan Plot Prosa Tradisional Kepimpinan Melalui Teladan

1.      Bahagian pengenalan atau eksposisi - Seri Betara Majapahit dan Patih Gajah Mada mendapat khabar sedih tentang kematian tujuh orang penjuritnya yang telah dibunuh oleh Laksamana di Melaka. Orang suruhan Patih Gajah Mada telah menemui Kertala Sari dan membawanya ke kediaman Patih Gajah Mada. Seterusnya, Patih Gajah Mada membawa Kertala Sari menghadap Seri Betara Majapahit. Seri Betara menitahkan Kertala Sari ke Melaka untuk membunuh Ratu Melaka dan Laksamana bagi menuntut bela atas kematian tujuh orang penjuritnya.

2.      Tahap perkembanganKertala Sari belayar ke Melaka bersama-sama dengan sepuluh orang pengikutnya. Kertala Sari menyamar dirinya sebagai orang Jawa untuk bersama-sama dengan penduduk kampung yang berketurunan Jawa di Melaka. Kertala Sari telah menyamar sebagai orang Patih Kerma Wijaya. Dia telah Berjaya mengenali Laksamana yang telah membunuh bapanya.

3.      Tahap perumitan - pada suatu malam Kertala Sari telah menceroboh rumah seorang saudagar yang kaya. Semua harta benda milik saudagar itu telah disamun dan bini saudagar itu turut dicabulnya. Kerta Sari mengulangi perbuatannya itu pada malam-malam yang berikutnya. Raja Melaka terkejut apabila dikhabarkan tentang kecurian itu. Raja Melaka menitahkan menitahkan Temenggung agar mengarahkan pengawal untuk berkawal bagi menjaga keselamatan rumah-rumah dan kampung. Temenggung telah mengerahkan lima ratus orang pengawal untuk berkawal bagi menjaga negeri Melaka. Pada malam berikutnya, rumah Bendahara pula dimasuki pencuri. Laksamana memberitahu raja bahawa pencuri yang sedang mengganas di Melaka mempunyai kuasa sakti dan berasal dari luar Melaka. Laksamana memohon kebenaran raja untuk menangkap pencuri itu. Laksamana memasang banyak senjata, lembing, tombak dan kayu di keliling istana . Laksamana cuba mengalihkan perhatian Kertala Sari agar tidak memasuki istana Raja Melaka dengan tipu muslihat itu. Setelah malam tiba, Laksamana memakai pakaian serba hitam dan dia ternampak Kertala Sari cuba masuk ke istana Raja Melaka untuk mencuri dan mengganggu isteri raja yang muda-muda itu. Ketika dia sampai di istana, dia terdengar bunyi senjata dan kayu yang dipalu dengan begitu bising. Kertala Sari tidak jadi masuk ke istana Raja Melaka.

4.      Tahap klimaks - Laksamana Berjaya membunuh Kertala Sari dengan menikam dadanya. Laksamana membuat tipu helah dengan menyamar sebagai penjahat dan berbaring di tengah pasar pada suatu malam. Selepas membunuh Kertala Sari, Laksamana telah mengambil keris dan memotong alat sulit Kertala Sari sebagai bukti bahawa beliaulah pembunuh Kertala Sari.

5.      Tahap peleraian banyak orang datang menghadap Raja Melaka dengan membawa anggota tubuh Kertala Sari dan mengaku bahawa merekalah yang membunuh Kertala Sari. Bendahara Melaka tidak mempercayai dakwaan mereka. Kemudian, Laksamana masuk menghadap Raja Melaka dengan membawa bukti keris dan alat sulit milik Kertala Sari yang telah dipotongnya. Raja Melaka memberi memberikan anugerah atas keberaniannya menewaskan Kertala Sari. Raja Melaka menitahkan Bentara Tun Kasturi mengerahkan rakyat untuk mendapatkan semula harta yang dicuri dan disembunyikan oleh Kertala Sari di Bukit Cina. Negeri Melaka kembali aman dan sentosa selepas Kertala Sari Berjaya dibunuh. Sementara itu, Patih Gajah Mada mendapat berita tentang kematian Kertala Sari yang telah dibunuh oleh Laksamana di Melaka. Patih Gajah Mada berusaha sedaya upayah mencari hulubalang yang mampu membunuh Laksamana dan menawan negeri Melaka.

(i)                          Berikan maksud terlalu sukacita hatinya.                                                                               [2 markah]
(ii)                        Nyatakan reaksi Patih Gajah Mada selepas rmendengar kata-kata Kertala Sari.                            [3 markah]
(iii)                      Patih Gajah Mada telah menyampaikan pesanan ayah Kertala Sari kepada Kertala Sari.
 Pada pendapat anda, mengapakah Patih Gajah Mada ingin menyempurnakan pesanan tersebut?

                                                                                                                                              [3 markah]

10 comments: