Sunday, 3 November 2013

KARANGAN FOKUS SPM 2013

 Remaja cemerlang lahir daripada keluarga yang gemilang. Bincangkan peranan keluarga dalam membentuk keperibadian mulia anak-anak. Bincangkan

Peranan Keluarga Dalam Membentuk Anak-anak

Pengenalan
Institusi keluarga merupakan sebuah organisasi yang penting dalam membentuk dan mendidik anak-anak.
·        Yang mencorak anak-anak sejak kecil sama ada menjadi insan yang sempurna atau sebaliknya
·        Perlu dicorak dengan sebaik-baiknya supaya tidak menyesal pada kemudian hari
·        Melahirkan insan yang benar-benar cemerlang, gemilang dan terbilang

Idea-idea utama
Anak-anak mestilah diberikan didikan agama sejak kecil lagi
·        Dapat membezakan yang mana baik dan yang mana buruk
·        Tidak mudah terpengaruh atau terjebak dalam pelbagai gejala negatif
·        Didikan agama akan menjadi pendinding dan benteng yang menghalang mereka daripada berbuat sesuatu perkara yang bertentangan dengan ajaran agama yang dipraktikkan

Dalam membincangkan tajuk di atas, anak-anak mestilah diajar bertutur dengan penuh sopan santun.
·        Tidak bertutur dengan kasar atau mengeluarkan kata-kata yang biadab
·        Tidak meninggikan suara terhadap orang yang lebih tua daripadanya
·        Bijak menyusun kata-kata walaupun berada dalam apa jua situasi

Ibu bapa juga mestilah sentiasa memberikan sepenuh kasih sayang kepada anak-anak.
·        Banyak menghabiskan masa lapang dengan anak-anak
·        Sentiasa memahami da menyelesaikan masalah yang dihadapi
·        Anak-anak sentiasa menjadikan ibu bapa sebagai tempat mengadu dan bukannya melakukan perkara yang sebaliknya atas pengaruh rakan-rakan

Sudah terang lagi bersuluh, pemantauan ibu bapa terhadap anak-anak mestilah dilakukan secara berterusan
·        Penting terutama ketika anak-anak mereka berada di luar rumah
·        Sentiasa mengetahui dengan siapa anak-anak mereka bercampur
·        Anak-anak takut untuk terlibat dalam melakukan sesuatu perkara yang boleh memberikan aib kepada keluarga

Ibu bapa juga wajar berjumpa guru-guru di sekolah tempat anak-anak mereka menimba ilmu sekurang-kurangnya dua tiga kali setahun
·        Untuk mengetahui perilaku dan sahsiah anak-anak mereka semasa di sekolah
·        Untuk mengetahui prestasi anak-anak mereka dalam bidang akademik
·        Sentiasa memacu anak-anak mereka di landasan yang betul dalam melahirkan insan yang soleh dan solehah

Penutup
“ Melentur buluh biarlah dari rebungnya” amat bertepatan dengan peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak.
·         Janganlah apabila “sudah terhantuk baru hendak mengadah” ataupun yang lebih parah “apabila nasi sudah menjadi bubur”
·        Didiklah anak-anak kerana anak kita harta yang lebih berharga berbanding apa jua harta yang ada di alam maya pada ini
·        Berbangga kerana berjaya menjadikan anak-anak mereka insan yang sempurna di dunia mahupun di akhirat kelak


KARANGAN FOKUS SPM 2013

Hutan merupakan sumber semula jadi yang menjadi khazanah amat berharga. Namun begitu, hutan di negara ini hampir pupus akibat daripada penerokaan yang berterusan. Bincangkan kepentingan hutan dalam kehidupan.

Kepentingan Hutan Dalam Kehidupan

Pengenalan
Hutan merupakan khazanah semula jadi yang amat berharga kepada semua  kehidupan di dalam dunia ini
·        Telah diwarisi sejak zaman nenek moyang hingga hari ini
·        Perlu dipulihara dan dijaga dan bukannya diperkosa dengan sesuka hati
·        Disemaikan kepada masyarakat supaya menyayangi hutan dalam sanubari mereka
·        Agar hutan di negara kita tidak pupus pada suatu hari nanti

Isi-isi utama
Hutan memainkan peranan penting kepada setiap kehidupan di muka bumi ini
·        Menjadi habitat flora dan fauna sejak zaman-berzaman
·        Tempat pembiakan dan supaya pelbagai spesis yang hidup ini tidak pupus
·        Menjadi tatapan daripada generasi ke generasi yang lain
·        Mendatangkan kerugian yang amat besar andainya nanti sesetengah daripada flora dan fauna yang dulunya menjadi kebanggaan negara kini berada dalam lipatan sejarah

Hutan menjadi kawasan tadahan hujan yang penting kepada setiap kehidupan termasuk manusia
·        Menyalurkan air yang bersih yang membentuk sungai
·        Membebaskan gas oksigen untuk keselesaan pelbagai kehidupan
·        Melakukan aktiviti harian dengan lancar tanpa sebarang masalah
·        Dapat menjalani kehidupan dengan selesa tanpa sebarang masalah

Khazanah ini juga merupakan sumber mentah bagi memenuhi keperluan manusia
·        Membekalkan kayu untuk pembuatan pelbagai jenis perabot
·        Menghasilkan pelbagai jenis herba untuk ubat-ubatan tradisional
·        Sumber utama untuk membuat kertas melalui pelbagai jenis kayu-kayan
·        Sumber utama dalam perubatan tradisional dalam menghasilkan bahan-bahan perubatan

Hutan menjadi tempat kawalan suhu bumi sekiranya cuaca terlalu panas
·        Menyerap kepanasan yang berlebihan akibat faktor cuaca
·        Menjadi penghalang ribut taufan dengan menahan angin yang terlalu kencang
·        Mengelakkan berlakunya hakisan tanah yang buruk
·        Mendatangkan musibah kepada manusia seperti yang berlaku di negara-negara lain di dunia ini
Kawasan hutan juga menjadi tarikan pelancongan dalam dan luar negeri
·        Mempunyai pelbagai jenis air terjun, jeram dan sungai yang cantik
·        Memiliki pelbagai jenis flora seperti bungaan, cendawan, kayu-kayan
·        Menawarkan kehidupan yang unik seperti harimau, rusa, burung dan pelbagai lagi
·        Sesetengah daripada spesis flora dan fauna ini tidak terdapat di negara yang lain dan merupakan satu kebanggaan di negara kita

Penutup
Hutan perlu dipulihara daripada musnah akibat perbuatan manusia
·        Kegiatan pembalakan haram atau secara besar-besaran
·        Kesan pembangunan yang tidak dirancang atau membuta tuli
·        Hukuman yang berat wajar dikenakan terhadap golongan yang memusnahkan khazanah negara ini

·        Terus kekal untuk manfaat anak cucu kita pada masa depan

KARANGAN FOKUS SPM 2013

Semangat Kejiranan Yang Patut Diamalkan

Pengenalan
Jiran merupakan orang yang tinggal di sebelah rumah kita
·        Orang yang paling dekat untuk kita meminta pertolongan
·        Perlu menghormati jiran pada setiap masa tanpa mengira kaum
·        Dianggap saudara terdekat dan wajar dihormati seperti ahli keluarga sendiri
·        Bukan dianggap sebagai musuh dan tempat untuk melepaskan geram

Isi-isi Penting
Setiap golongan masyarakat perlu mengamalkan semangat kejiranan
·        Bantu membantu dan saling bekerjasama pada setiap masa
·        Meningkatkan perpaduan di kalangan pelbagai kaum di negara kita
·        Mendatangkan pelbagai manfaat yang besar dan berguna sekali
·        Kehidupan masyarakat menjadi lebih harmoni tanpa sebarang permusuhan

Perlu bertegur-sapa antara satu sama lain
·        Mengambil berat akan sesuatu perkara yang berlaku terhadap jiran
·        Mempererat hubungan antara jiran tetangga dari hari ke hari
·        Menolong mereka hika menghadapi sebarang musibah
·        Amalan bantu-membantu ini akan terus berpanjangan

Amalan kunjung-mengunjungi terhadap jiran
·        Mengunjungi jiran semasa hari-hari perayaan seperti Hari Raya Puasa, Tahun Baru Cina dan Deepavali
·        Dapat bertukar-tukar fikiran dan mengenali budaya mereka dengan lebih dekat
·        Mengenali hati budi jiran tetangga dengan lebih mendalam
·        Mudah dalam meminta bantuan kerana masing-masing memiliki kemahiran yang berbeza

Sentiasa menjaga kebajikan jiran tanpa mengira waktu
·        Membantu mereka semasa dalam kesusahan
·        Meringankan beban dan mereka akan berasa dihargai
·        Berasa bangga kerana jiran tetanggasentiasa mengambil berat terhadap diri mereka
·        Akan melakukan perkara yang sama jika perkara yang sebaliknya berlaku

Mengawasi rumah mereka waktu mereka pulang ke kampung
·        Memasang lampu pada waktu malam di rumah mereka
·        Menyiram pokok-pokok bunga mereka di halaman rumah
·        Menelefon mereka jika berlaku sesuatu perkara di rumah mereka
·         Tidak berasa bimbang jika terpaksa meninggalkan rumah dalam jangka waktu yang panjang

Penutup
Jiran umpama saudara kita yang terdekat dan perlu dihormati pada setiap masa
·        Perlu peka dan prihatin atas apa yang berlaku terhadap diri mereka
·        Sentiasa menyemai nilai-nilai murni terhadap jiran tetangga
·        Hubungan yang erat dapat dikekalkan sampai bila-bila
·        Wajar diteruskan oleh generasi muda agar tidak lupr ditelan zaman


KARANGAN FOKUS SPM 2013

Langkah-langkah untuk mengatasi kepupusan semangat kejiranan dalam jiwa masyarakat.

Dewasa ini, masyarakat dunia terlalu menumpukan perhatian terhadap kepentingan material dan mengejar kesenangan hidup semata-mata sehingga melupakan salah satu nilai kemanusiaan yang amat berharga iaitu semangat kejiranan. Berikutan soal selidik yang telah dijalankan, didapati bahawa 65.2% daripada masyarakat Malaysia tidak mengenal atau mengetahui nama-nama jiran mereka apatah lagi mewujudkan silaturrahim yang erat antara kedua-dua belah pihak. Nilai moral yang semakin pupus ini menyebabkan kepincangan sosial berlaku dalam kalangan masyarakat walaupun dari segi lahiriahnya, keadaan hidup masyarakat lebih maju dan mewah. Oleh itu, beberapa langkah yang efektif perlu diambil bagi memulihkan semangat kejiranan yang kian memudar dalam jiwa masyarakat ini.
               Langkah yang perlu dipraktikkan oleh setiap golongan masyarakat iaitu mereka perlu mengamalkan semangat atau sikap kejiranan secara menyeluruh dan holistik dalam kehidupan seharian untuk mengelakkan semangat ini daripada pupus. Hal ini demikian kerana, kesedaran terhadap kepentingan semangat kejiranan perlulah lahir daripada ahli masyarakat itu sendiri supaya mereka sentiasa mengamalkannya dengan ikhlas dan secara berterusan. Seterusnya, keadaan sosial masyarakat akan bertambah baik dengan kewujudan sikap mengambil berat terhadap jiran ini. Contohnya, sebagai seorang jiran, kita perlulah mewujudkan hubungan yang erat dengan ahli masyarakat yang lain dan saling membantu supaya kerja yang sukar dapat dipermudah bertepatan dengan peribahasa, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Tegasnya, semangat kejiranan dapat ditanam dalam diri setiap lapisan masyarakat jika mereka mengutamakan serta mengamalkan perkara ini dalam kehidupan seharian.
               Selain itu, sebagai seorang jiran, kita perlulah bertegur sapa antara satu sama lain untuk menghidupkan semangat kejiranan di kawasan tempat tinggal masing-masing. Melalui amalan ini, kita akan dapat mengenal jiran secara peribadi dan seterusnya mewujudkan hubungan persahabatan yang erat dengan mereka. Antara perkara yang perlu dititikberatkan dalam usaha ini iaitu sentiasa bermanis muka apabila bersua, bertanya khabar jiran dan bercakap hal-hal yang baik sahaja tanpa mengguris hati jiran. Menurut agama Islam, senyuman dan kata-kata yang baik itu satu sedekah, kita wajib mengamalkannya agar tali silaturrahim dan juga perpaduan antara jiran dapat diutuhkan lalu mengukuhkan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Jelasnya, sikap sentiasa bertegur sapa antara satu sama lain merupakan elemen yang amat esensi dalam mewujudkan semangat kejiranan dalam sesebuah masyarakat.
               Dalam pada itu, amalan kunjung-mengunjungi ke rumah jiran juga amat perlu bagi menaikkan semangat kejiranan dalam sesebuah entiti masyarakat. Seseorang ahli masyarakat yang baik hendaklah sentiasa menziarahi rumah jirannya terutamanya apabila terdapat kejadian-kejadian yang amat signifikan seperti kematian ahli keluarga, kelahiran cahaya mata dan majlis rumah terbuka bagi menyambut upacara perayaan dalam agama masing-masing. Bagi jiran yang telah kehilangan salah seorang ahli keluarganya, amalan ziarah-menziarahi ini secara tidak langsung dapat mengurangkan tekanan atau bebanan yang dihadapi olehnya disebabkan bantuan dan juga sedekah yang disumbangkan oleh rakan-rakan yang datang berkunjung ke rumah. Sebaliknya, jika terdapat kelahiran anak ataupun majlis rumah terbuka, kehadiran seseorang itu dapat menceriakan suasana serta menggembirakan jiran yang mengadakan sambutan tersebut. Oleh itu, ahli-ahli masyarakat perlu sentiasa berkunjung ke rumah jiran mereka agar semangat kejiranan yang kental dapat diwujudkan dan dikekalkan.
               Sehubungan dengan itu, komuniti masyarakat hari ini haruslah menjadi  insan yang baik dengan sentiasa menjaga kebajikan jiran tanpa mengira waktu bagi membajai semangat kejiranan dalam setiap golongan masyarakat. Hal ini dapat dilaksanakan dengan sentiasa menghulurkan bantuan apabila diperlukan oleh jiran yang merangkumi bantuan kewangan, tenaga dan khidmat. Sebagai contoh, kita wajib memberikan sumbangan apabila mereka menghadapi sebarang kesulitan sama ada melalui wang, tenaga kerja ataupun memberikan kata-kata semangat jika tidak mampu. Seterusnya, beban yang dihadapi oleh mereka akan berkurangan, keakraban persahabatan dengan jiran dapat ditingkatkan dan permuafakatan bersama dapat diwujudkan, bak kata peribahasa, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Justeru, apabila setiap lapisan masyarakat menjaga kebajikan jiran masing-masing, nilai kerjasama dan muafakat yang lahir akan mengukuhkan lagi semangat kejiranan.
               Di samping itu, langkah yang selalu diabaikan oleh masyarakat masa ini adalah mengawasi rumah jiran waktu mereka pulang ke kampung yang merupakan usaha efektif ke arah mengutuhkan semangat kejiranan. Perkara ini termasuklah menjaga keselamatan rumah dan barang-barang berharga kepunyaan mereka daripada diceroboh atau dicuri. Misalnya, kita sebagai seorang ahli masyarakat yang berguna perlu sentiasa memantau kawasan rumah mereka untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku seperti kecurian, pencerobohan dan mungkin juga pembunuhan penduduk di kawasan tersebut. Oleh sebab itu, sikap waspada harus ditanam dalam diri setiap golongan masyarakat kerana malang tidak berbau, selain itu, hubungan silaturrahim dengan jiran juga dapat dikukuhkan kerana sikap ini dapat menimbulkan rasa terhutang budi dalam diri mereka bak kata peribahasa, hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati. Jelaslah di sini bahawa dengan mengawasi rumah jiran sewaktu mereka tiada di rumah bukan sahaja dapat mengelakkan kemalangan malah akan mewujudkan semangat kejiranan dalam sesebuah komuniti.
               Semangat kejiranan juga dapat diwujudkan dan dikekalkan jika setiap golongan masyarakat menjaga nama baik jiran mereka. Demi menjadi seorang ahli komuniti yang baik, kita perlulah sentiasa menjaga maruah dan nama baik jiran kita di samping tidak menyebarkan fitnah atau mendedahkan aib mereka. Hal ini seterusnya akan menyebabkan para jiran mempunyai rasa hormat dan kasih sayang terhadap masyarakat sekeliling yang telah menunjukkan sikap serta akhlak yang murni buat mereka. Oleh yang demikian, kita perlulah menzahirkan keikhlasan terhadap jiran dengan mengelakkan daripada menyebarkan perkara-perkara yang tidak baik atau tidak benar kepada orang ramai termasuklah rahsia, aib diri serta keluarga jiran dan juga tuduhan yang tidak mempunyai bukti kukuh. Sesungguhnya dosa memfitnah itu lebih berat daripada dosa membunuh. Tegasnya, kita semua perlu menjaga nama baik jiran demi mengekalkan keamanan dan semangat kejiranan dalam sebuah masyarakat.

               Kesimpulannya,  setiap golongan masyarakat perlu memainkan peranan yang amat besar bagi memastikan semangat kejiranan tidak pupus dalam jiwa mereka. Usaha dan langkah yang rapi serta efektif perlulah dilaksanakan agar hasrat ini dapat dicapai bertepatan dengan peribahasa, yang bulat takkan datang bergolek, yang pipih takkan datang melayang. Kita semua haruslah bersikap saling membantu dan melengkapi antara satu sama lain supaya suasana kehidupan yang harmoni dan sejahtera dapat diwujudkan. Hal ini juga demikian supaya wawasan pembangunan modal insan yang syumul dapat dijayakan dan seterusnya dapat melahirkan masyarakat serta negara yang maju bukan sahaja dari aspek material malah dari aspek sosial dan sahsiah juga.                                                                                                                                                   

KARANGAN FOKUS SPM 2013

Peranan keluarga  dalam pembentukan disiplin anak-anak amat penting dalam membentuk modal insan  yang boleh membangunkan negara.
Bincangkan.

              Sebagaimana kita sedia maklum, anak-anak bagaikan kain putih yang suci lagi kudus yang perlu diwarnakan oleh ibu bapa yang membesarkannya. Sebagai anak yang menjadi harapan ibu bapa, kita harus sedar bahawa segala perbuatan positif dan negatif akan mencerminkan imej keluarga. Sejak kecil, kita dibesarkan bagai menatang minyak yang penuh oleh orang tua kita. Setiap belaian kasih dan sayang yang diberikan kepada kita penuh dengan harapan masa depan. Malangnya, masalah sosial dan kadar jenayah bagai bisul menjadi nanah dalam masyarakat pada zaman yang penuh dengan cabaran. Saya berpendapat bahawa ibu bapa memainkan peranan penting dalam pembentukan disiplin anak-anak
 Jika dibandingkan antara ibu bapa dahulu dengan ibu bapa zaman globalisasi ini, kita dapat mengetahui bahawa anak-anak dulu lebih kerap dipukul. Sejak kempen antidera diperluas, ibu bapa mula menjauhkan diri mereka dengan rotan. Daripada perspektif orang tua-tua, setiap sebatan dan hukuman yang diterima dapat memberi tamparan insaf kepada diri anak-anak yang melakukan kesalahan. Namun, saya percaya bahawa ibu bapa perlu tegas dan mendisiplinkan anak-anak sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan pendisiplinan yang kukuh dan ketegasan yang bertempat, anak-anak akan berfikir dua kali sebelum melakukan kesalahan.
Selain ketegasan dan pendisiplinan, pendidikan formal perlu disalurkan oleh ibu bapa demi mematangkan fikiran anak-anak. Dengan pendidikan yang diterima, akal dan perasaan ingin memberontak dalam kalangan anak dapat diatasi. Hal ini dikatakan demikian kerana anak-anak dikawal ketat dari segi peraturan sekolah. Dengan peraturan sekolah yang efektif dan jadual pelajaran yang ketat, nescaya anak-anak tidak akan mempunyai masa yang terluang untuk melakukan perkara yang membelakangkan undang-undang. Pendidikan formal yang efektif dapat menjadi tulang belakang pendirian teguh anak-anak dalam mendisiplinkan diri agar tidak melakukan perbuatan yang menconteng arang di muka ibu bapa.
 Ajaran agama dan moral merupakan elemen yang maslahat dalam memperkukuh keimanan diri anak-anak demi mengekang hati dan perasaan yang ingin melanggar tatasusila. Masalahnya kini, ibu bapa bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing kerana sibuk mengejar kebendaan dan kedudukan dalam masyarakat. Mereka alpa dengan tanggungjawab keibubapaan yang asas, yakni mendidik anak-anak dengan ajaran agama dan moral. Sebagai contoh, ibu bapa haruslah menerangkan kepentingan menjaga moral dan tingkah laku yang murni demi mengukuhkan sahsiah diri. Dengan saluran yang betul dan tepat, anak-anak dapat didisiplinkan dan dibentuk menjadi modal insan yang berketerampilan dan berkewibawaan.
Mengikut Doktor Fazilah Kamsah, pakar motivasi yang terbilang, anak-anak akan menjadi berdisiplin jika kita menerangkan sebab dan akibatnya jika dia membuat kesalahan. Hal ini demikian kerana nasihat yang bernas daripada ibu bapa lebih berkesan daripada jeritan marah yang membuang masa dan tenaga. Anak-anak perlu diterangkan kesannya jika mereka merokok atau akibat daripada perbuatan ketidakjujuran mereka. Langkah ini penting agar akal anak-anak yang waras dapat dibentuk untuk membuat keputusan yang baik supaya tidak menyesal atas perbuatan diri kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Langkah ini amat penting agar anak-anak dapat dimatangkan dari segi psikologi sekali gus pencorakan disiplin diri mereka terbentuk secara semula jadi.
Di samping itu, ibu bapa mestilah menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka. Oleh sebab bagaimana acuan, begitulah kuihnya; ibu bapa berperanan penting mempamerkan disiplin yang tinggi di depan anak-anak. Tamsilannya, ibu bapa haruslah membuang sampah di tong sampah dan menjaga kelakuan diri di khalayak ramai agar dicontohi oleh anak-anak mereka. Anak-anak yang mencontohi sikap positif ibu bapa pasti tidak akan membuat perkara yang menyalahi peraturan. Oleh hal yang demikian, ibu bapa mestilah menjauhi sikap ketam yang mengajar anaknya berjalan betul tetapi diri sendiri berjalan senget.

Pendek kata, pencorakan disiplin anak-anak dari rumah, yakni daripada komitmen ibu bapa amat berkesan. Ibu bapa harus menyedari hakikat bahawa masa depan anak-anak juga ditentukan oleh ajaran dan teguran membina daripada mereka. Anak-anak yang berdisiplin dapat meyakinkan ibu bapa dengan kejayaan akademik dan kokurikulum sekali gus menjadi warga yang cemerlang, gemilang, dan terbilang. Oleh hal yang demikian, saya berharap ibu bapa menginsafi tanggungjawab mereka dalam pembentukan disiplin anak-anak agar tidak menyesal selepas anak-anak terjerumus dalam kancah kebejatan sosial. Kebobrokan sikap anak-anak mestilah dikekang daripada menjadi duri dalam daging masyarakat kerana nusa tercinta ini memerlukan tenaga mereka untuk menggapai impian Wawasan 2020.

KARANGAN FOKUS SPM 2013

Malaysia merupakan antara negara yang mencatatkan jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya yang tertinggi di dunia. Keadaan ini banyak berpunca daripada pengguna yang hilang kesusilaan ketika memandu. Tulis sebuah rencana tentang langkah-langkah yang wajar diambil bagi menyedarkan pengguna jalan raya mengenai perkara tersebut.
Sedarlah  Demi Keluarga  Anda

Oleh: Muin Mohsein
Banyak slogan yang telah disarankan oleh kerajaan untuk menyedarkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati semasa memandu seperti “Jangan biarkan keluarga anda menunggu dalam tangisan” dan “Jangan jadikan jalan raya sebagai tempat berlumba”. Namun, didapati tidak banyak pengguna jalan raya yang betul-betul memahami seruan kerajaan tersebut. Kini, Malaysia telah disenaraikan sebagai salah sebuah negara yang mencatatkan  jumlah kematian tertinggi akibat kemalangan jalan raya. Senario ini merupakan satu keaiban bagi seluruh penduduk di Malaysia. Oleh itu, faktor-faktor kemalangan haruslah dikenal pasti supaya langkah-langkah yang wajar dapat diambil bagi menyedarkan pengguna mengenai perkara ini.
            Tidak dapat dinafikan bahawa kemalangan banyak berpunca daripada pengguna yang hilang kesusilaan ketika memandu.Komen yang sentiasa dapat kita dengar daripada pelancong  ialah negara kita mempunyai masyarakat yang bersopan santun kecuali ketika memandu. Antara contoh yang jelas ialah gelagat penunggang motosikal yang suka memecut dan memotong kenderaan lain dalam keadaan yang tidak selamat seperti di kawasan yang sempit, di selekoh, di garisan berkembar, dan memotong dari sebelah kiri kenderaan. Perdana Menteri kita pernah mengeluarkan kenyataan bahawa penunggang-penunggang motosikal tersebut mungkin menyangka bahawa mereka tidak akan menemui maut di jalan raya.
            Di samping itu, terdapat juga segelintir pemandu yang ingin mendapatkan keseronokan atau “thrill” ketika memandu laju. Pemandu-pemandu seperti ini akan tidak melepaskan peluang untuk memandu melebihi had laju yang telah ditetapkan bagi kawasan-kawasan tertentu. Malah, oleh sebab ingin memandu laju, mereka sanggup melakukan perkara-perkara yang dianggap “biadab” di jalan raya iaitu tidak mematuhi arahan lampu isyarat seperti tidak memberhentikan kenderaan mereka ketika lampu isyarat berwarna merah. Perkara-perkara yang dilakukan ini bukan sahaja membahayakan diri mereka sendiri malah nyawa pengguna jalan raya yang lain juga akan turut terancam.
            Kemalangan jalan raya telah dikenal pasti  sebagai pembunuh utama di negara kita. Menurut satu kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan, sebanyak 20 hingga 30 orang pengguna jalan raya telah terkorban setiap hari. Angka ini akan bertambah ketika musim-musim perayaan ketika jalan raya dan lebuh raya dibanjiri dengan pelbagai jenis kenderaan. Menurut laporan tersebut juga, kebanyakan kemalangan berlaku akibat pemandu atau penunggang motosikal yang bersikap angkuh, cuai , dan terlalu ingin cepat sampai ke destinasi masing-masing sehingga sanggup memandu secara kurang sopan. Sesungguhnya risiko yang diambil itu tidak setimpal dengan bencana yang diterima mereka.
            
“Kemalangan Sifar” merupakan slogan yang baru dilancarkan oleh kerajaan kita baru-baru ini. Selogan tersebut merupakan satu lagi langkah kerajaan untuk menginsafkan pengguna jalan raya yang memandu di jalan raya secara tidak sopan. Walaupun agak sukar untuk mendapatkan kemalangan sifar namun kita berharap kempen yang dijalankan itu akan dapat mengurangkan angka kematian yang amat membimbangkan itu.
            
Sementara itu, Jabatan Polis Bukit Aman pula telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa kebanyakan pengguna jalan raya di negara kita lebih takut menerima surat saman daripada takut akan maut di jalan raya. Oleh itu, dendaan melalui saman yang dikeluarkan serta penggantungan lesen memandu merupakan salah satu cara yang berkesan untuk mengurangkan jumlah pemandu yang hilang kesusilaan di jalan raya.. Operasi seperti “ops pacak” yang dijalankan oleh pihak polis ketika musim perayaan baru-baru ini sepatutnya dijalankan secara berterusan kerana operasi tersebut didapati berjaya mengurangkan kadar kemalangan yang sering berlaku di tempat-tempat yang telah dikenal pasti.
            Dalam perkembangan yang lain, kemalangan juga didapati banyak berlaku akibat pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk. Hal ini jelas kerana seseorang yang dipengaruhi minuman keras tidak akan dapat membuat agakan yang tepat dan sering hilang pertimbangan serta tidak pasti arah tuju kenderaan yang dipandunya akibat pemandangan yang kabur. 
Dalam hal ini, sekatan jalan raya sepatutnya diadakan secara berterusan terutamanya selepas jam 12 tengah malam. Hal ini demikian kerana pemandu yang mabuk selalunya berada di jalan raya ketika itu kerana baru keluar dari kelab malam atau pusat-pusat hiburan yang lain. Pemeriksaan kandungan alkohol melalui pernafasan sepatutnya dijalankan dengan lebih berhati-hati agar tidak ada sesiapa yang terlepas daripada peraturan jalan raya yang telah ditetapkan.
            Walaupun negara kita mempunyai undang-undang untuk mengawal pemandu yang tidak bersopan, namun pada pendapat saya, kesedaran dalam diri pemandu itu sendiri merupakan langkah yang paling berkesan untuk mengelakkan kemalangan. 
Dengan perkataan lain, pengguna jalan raya hendaklah mempunyai kesedaran sivik. Mereka sepatutnya sedar sikap mereka yang tidak bersopan ketika di jalan raya itu akan menyebabkan keluarga mereka menanggung sensara. Bayangkanlah seorang anak yang kehilangan ibu bapa, isteri yang kehilangan suami, atau penderitaan akibat kecacatan yang kekal sepanjang hayat; semua itu tidak setimpal dengan keseronokan yang bersifat sementara akibat menurut hawa nafsu.
            Sebagai warga negara pula, kita tidak mahu mencemarkan nama negara kita sebagai negara yang mempunyai pengguna jalan raya tidak bersopan yang terbanyak. Kita juga tidak mahu nama Malaysia dicatat sebagai negara yang mempunyai kematian terbanyak akibat kemalangan jalan raya. Oleh itu langkah-langkah yang wajar seperti yang telah dibincangkan hendaklah dilaksanakan segera. Sementara itu pemandu yang hilang kesusilaan hendaklah segera sedar dan cuba membaiki kelemahan mereka kerana saya yakin kita tidak mahu keluarga kita menunggu kepulangan kita dengan tangisan. Sedarlah demi keluarga anda yang tercinta!!


KARANGAN FOKUS SPM 2013

Malaysia kini dibanjiri oleh pekerja asing daripada pelbagai bangsa sebagai kesan dasar pintu terbukanya. Dasar tersebut telah membawa pelbagai implikasi buruk dan perlu diperketat semula. Huraikan kesan-kesan buruk dasar tersebut dan kemukakan langkah-langkah proaktif untuk membendungnya.
Pendahuluan:
Kedatangan pekerja asing ke negara kita bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan - Pekerja asing merujuk kamus bermaksud tenaga kerja yang datang dari negara lain seperti Indonesia, Bangladash, Filipina, Thailand, dan sebagainya – dianggap sebagai lombong emas kerana di mana ada gula, di situ ada semut – Sektor yang menjadi tumpuan – sektor pertanian, perkilangan dan perladangan – Dasar kerajaan yang membuka lebih luas peluang pelaburan serta memberi layanan dan kemudahan kepada pelabur asing untuk membina kilang mereka di sini merancakkan kedatangan mereka lagi – membawa kesan-kesan negatif
Isi-isi:
Kesan-kesan negatif:
(a) menyekat peluang pekerjaan penduduk tempatan – sikap majikan di negara gemar mengupah pekerja asing – kadar upah murah – sikap tidak memilih pekerjaan – hidup penduduk tempatan tersepit – kera di hutan disusui, anak di rumah mati kelaparan – Buktinya, hampir 2.1 juta rakyat tempatan hilang peluang pekerjaan – kadar pengangguran semakin meningkat
(b) Peningkatan jenayah - tidak mempunyai gaji yang mencukupi dan tidak mempunyai pekerjaan – kos sara hidup semakin meningkat sebagai akibat kemelut ekonomi global - pecah rumah, kecurian, rogol, rusuhan, dan lain-lain – Mantan Ketua polis Negara ( KPN) Tan Sri Musa Hassan mengakui pendatang asing yang melebihi 2.4 juta orang di negara ini menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah
(c) Kesan ekonomi – pengaliran keluar mata wang negara pada kadar yang banyak pada setiap bulan – merugikan negara dari segi tukaran wang asing dan menguntungkan negara asal pekerja asing ini -sistem transaksi canggih di bank-bank negara kita – proses pertukaran wang dapat dilakukan dengan mudah dan cepat serta perkhidmatan yang murah – Bukti statistik, sebanyak RM9.124 juta telah dihantar ke negara asal pekerja asing di antara bulan Januari hingga Jun 2008 – membebankan kewangan negara – RM1.169 juta digunakan sehari oleh kerajaan sebagai kos untuk penahanan PATI – akan merugikan negara dari segi kerancakan perniagaan dan melemahkan kerancakan ekonomi di negara kita
Langkah-langkah membendungnya:
(d) mengehadkan pergantungan kepada buruh asing - menimbulkan pelbagai masalah sosial dan keselamatan – pengambilan pekerja asing dalam sektor-sektor tertentu mengikut negara sumber yang diluluskan kerajaan - pihak berkuasa akan mampu memantau kehadiran dan pergerakan warga asing di negara ini - Dengan mengehadkan penyertaan pekerja asing dalam sektor perladangan dan pembantu rumah, mudahlah rakyat serta pihak berkuasa mempersoal dan mengambil tindakan segera ke atas kehadiran rakyat asing yang tiada permit kerja dalam sektor-sektor yang ditetapkan oleh kerajaan - Jelasnya, pihak ejen dan majikan yang mengambil pekerja asing perlu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan.
(e) menguatkuasakan undang-undang dengan lebih tegas - Hal ini kerana banyak pekerja asing adalah pendatang haram yang menyusup masuk dengan menggunakan dokumen palsu. Akta imigresen perlulah lebih tegas agar pendatang haram ini tidak berani bertindak lebih jauh. Perairan negara juga haruslah dikawal sepanjang masa untuk mengelakkan mereka menyusup melalui jalan laut.
Penutup:
Kedatangan pekerja asing ini tetap ada kebaikannya - kerajaan haruslah mengkaji segala aspek dari segi ekonomi, politik, dan sosial – kesejahteraan dan pembangunan negara.


KARANGAN FOKUS SPM 2013

Ibu bapa sebagai tunjang institusi keluarga sering disandarkan tanggungjawab berat dalam menjana kepimpinan anak-anak. Jelaskan peranan keluarga dalam memupuk ciri-ciri seorang pemimpin.

1: Memberikan kasih sayang kpd anak-anak
- Meluangkan masa mengawasi gerak-geri anak
- Pemimpin yang berjaya dan berakhlak- hubungan erat dengan individu lain - empati (kebolehan untuk memahami perasaan orang lain dan bersimpati)

2: Menerapkan didikan agama

- agama tidak harus diabaikan
- Anggapan bahawa agama tidak penting terutamanya dalam arus pemodenan teknologi satelit
- agama berfungsi untuk membentuk mentaliti dan moraliti *

* Mentaliti
~Kebijaksanaan atau kebolehan membuat perhitungan yang jauh sebelum bertindak dengan menilai antara yang baik dan buruk berdasarkan pertimbangan ilmu dan pengalaman.
~Keberanian atau kesungguhan serta kesanggupan menghadapi cabaran dan masalah serta risiko, baik yang berpunca dari luar diri atau dalam diri sendiri.
~Mempunyai inisiatif atau tindakan yang dimulakan sendiri tanpa menunggu orang lain datang kepadanya minta bertindak.
~Mempunyai kreativiti sendiri, terutamanya dalam menyelesaikan masalah-masalah yang wujud dalam organisasi.

* Moraliti
~Mempunyai disiplin diri yang unggul.
~Kebersihan jiwa terutamanya dari segi keadilan, amanah, ketenangan, kesabaran, keteguhan pendirian dan ketahanan diri.
~Iman yang teguh, terutama orang yang beragama Islam.



3: Menyediakan segala keperluan dan kemudahan

- persekitaran untuk belajar yang sesuai lagi selesa
- Bersedia untuk belajar daripada sesiapa dan rendah diri - buang yang keruh, ambil yang jernih
- Hubungan pasangan suami isteri/ ibu bapa atau antara adik-beradik yang erat dan harmonis memastikan perkembangan rohani dan jasmani yang seimbang

4: Menjadi contoh teladan yang baik
- Bukan sahaja mengajar/menerapkan nilai-nilai murni dalam minda anak-anak, tetapi juga perlu mempraktikkan dalam kehidupan seharian.
- Minat membaca adalah amat penting – membaca jambatan ilmu- pemimpin yang berkaliber dan berwibawa mesti mempunyai ilmu dan teknik untuk mengatasi segala masalah yang dihadapi.
- Seseorang pemimpin pandai membahagikan serta menggunakan masa sepenuhnya - bertindak bersesuaian dengan situasi

5: Hukuman dan galakan yang bersesuaian dan bertepatan adalah perlu dalam membentuk disiplin dalam diri anak-anak
- Jika kita tinjau daripada perspektif orang tua-tua, setiap sebatan dan hukuman yang diterima dapat memberi tamparan insaf kepada diri anak-anak yang telah melakukan kesalahan - tiada harimau membaham anaknya - sayangkan anak tangan-tangankan.
- Oleh itu, ahli-ahli keluarga terutamanya ibu bapa perlu tegas dalam mendisiplinkan anak-anak.


KARANGAN FOKUS SPM 2013

Pekerja di bawah umur atau tenaga buruh kanak-kanak merupakan isu yang sudah lama bersarang dalam masyarakat sejak dahulu hingga hari ini. Fenomena ini menjadi semakin popular terutamanya di negara dunia ketiga. Berikan cadangan-cadangan untuk menangani masalah ini.

Pengenalan

Negara-negara dunia ketiga seperti Afghanistan - salah sebuah negara yang paling miskin di dunia, di mana kanak-kanak adalah separuh daripada jumlah penduduk. Kanak-kanak yang bekerja bukanlah sesuatu yang mengejutkan di Afghanistan, tetapi sudah menjadi masalah sosial yang tegar dan kerajaan tidak mempunyai perancangan dan sumber yang cukup untuk menyelesaikannya.

Isi-isi:

1:Menguatkuasakan undang-undang- hukuman yang setimpal harus diimplementasikan
- Akta Buruh Kanak-kanak dan Orang Muda 1966 menetapkan syarat penggajian kanak-kanak di bawah umur 14 tahun dan pemuda yang berumur di bawah 16 tahun hanya dalam jenis pekerjaan yang sesuai dan di dalam perusahaan tertentu: tidak membahayakan nyawa, anggota, kesihatan dan moral.
- Objektif utama akta ini adalah untuk mengawal dan/atau melindungi mereka daripada eksploitasi dan tidak mengganggu persekolahan mereka. Majikan yang melanggar akta ini boleh dikenakan penalti tidak melebihi 6 bulan atau denda tidak melebihi RM2000.00 atau kedua-duanya sekali.

2: Organisasi masyarakat sama ada badan kerajaan ataupun badan bukan kerajaan (NGO) patut bergiat aktif dalam usaha untuk memastikan kanak-kanak supaya tidak dieksploitasi.
>>NGO: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF)
- berperanan penting untuk memelihara hak kanak-kanak serta melindungi kanak-kanak daripada keganasan yang dihadapi termasuklah penderaan dan kecederaan fizikal dan mental, pengabaian, eksploitasi dan penderaan seks
-Tabung Kanak-kanak telah ditubuhkan bagi menggubal satu akta yang berkesan untuk melindungi kanak-kanak.
>>Sebuah lagi organisasi politik yang tertua, yakni Gabungan Antara Parlimen(IPU),telah bergabung tenaga dengan UNICEF dalam melancarkan sebuah buku panduan yang telah direka khusus untuk menghentikan eksploitasi kanak-kanak.

3: Kawalan kastam yang ketat dan tanggungjawab angkatan Polis DiRaja Malaysia (PDRM)
- mencegah sebarang pemerdagangan manusia terutamanya kanak-kanak
- Dijangka lebih kurang 1.2 juta orang kanak-kanak menjadi mangsa pemerdagangan setiap tahun - dipaksa menjadi orang gaji, pekerja-pekerja kilang, malah hamba-hamba seks juga
- anggota polis menjalani latihan intensif di Pusat Latihan Pengaman Malaysia di Port Dickson bagi mengenal pasti serta menghulurkan bantuan kepada mangsa
- harus bertungkus-lumus dan bekerjasama menangkap biang keladi yang mengawal pemerdagangan kanak-kanak-2 serta mengheret pesalah-pesalah ke muka mahkamah dan dijatuhkan hukuman yang setimpal.

4: Kerjasama dan permuafakatan antara negara terutamanya negara2 jiran adalah amat penting dalam membanteras masalah ini.
- Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand wajar mewujudkan persefahaman, kerjasama serantau dan perkongsian bijak lebih-lebih lagi kekuatan teknologi, komunikasi dan jaringan keselamatan
- Laporan Tahunan Perdagangan Manusia yang dikeluarkan oleh Amerika Syarikat melibatkan usaha kerajaan negara-negara asing untuk mencegah perdagangan manusia, mendakwa penjenayah dan melindungi mangsa

5: Pendidikan sedunia
- Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat segelintir anggota masyarakat terutamanya ibu bapa tidak mengambil berat terhadap kepentingan pendidikan kanak-kanak, malah tidak memahami kesan-kesan buruk yang bakal dibawa oleh masalah kemiskinan.
- Sebagaimana yang kita sedia maklum, ilmu pengetahuan adalah amat penting bagi meneruskan kehidupan terutamanya dalam masyarakat kini yang dibuai arus modenisasi dan globalisasi.
- Oleh hal yang demikian, pihak berkuasa digesa supaya menggubal sebuah akta atau undang-undang bagi memastikan setiap kanak-kanak berpeluang menerima serta melanjutkan pelajaran sekurang-kurangnya sampai umur 18 tahun atau melengkapkan tahap sekolah menengah.


KARANGAN FOKUS SPM 2013

PERANAN IBU BAPA DALAM MEMBERIKAN SOKONGAN DAN DORONGAN KEPADA ANAK-ANAK DEMI MEMASTIKAN KECEMERLANGAN AKADEMIK ANAK-ANAK

               Keluarga boleh ditakrifkan sebagai kaum kerabat atau sanak saudara yang saling mengasihi, mencintai dan bersifat belas kasihan terhadap saudaranya yang lain. Tambahan pula, keluarga merupakan aset terpenting dalam kehidupan setiap insan. Seseorang yang tidak mempunyai keluarga, iaitu hidup sebatang kara, tidak mempunyai tempat bergantung untuk menumpang kasih serta hidup bagaikan layang-layang terputus tali. Pada tahun 2003, Malaysia pernah digemparkan dengan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Nur Amalina yang amat membanggakan. Hal ini kerana beliau berjaya mendapat 17A1 sekali gus menjadikan beliau pelajar cemerlang SPM 2003. Kejayaan ini adalah kerana Nur Amalina mempunyai sebuah keluarga yang penyayang dan sanggup memberikan sepenuh sokongan dan dorongan dalam bidang akademik beliau. Jelaslah bahawa faktor kejayaan anak-anak dalam bidang akademik banyak bergantung kepada dorongan dan sokongan daripada keluarga. Terdapat pelbagai jenis sokongan dan dorongan yang boleh diberikan oleh keluarga untuk memastikan kecemerlangan anak-anak kerana keluarga bahagia pemangkin kecemerlangan anak-anak.

               Antara peranan daripada keluarga ialah kepimpinan melalui teladan. Anak-anak akan lebih terdorong untuk mengikut jejak langkah kejayaan ibu bapa mereka kerana ibu bapa lebih mengenali dan rapat dengan anak-anak . Ibu bapa yang berjaya akan menjadi idola dan inspirasi untuk kecemerlangan anak-anak. Tambahan pula, kejayaan ibu bapa akan menyebabkan anak-anak cuba mememotivasikan diri mereka sekali gus merubah kehidupan mereka agar berjaya atau lebih berjaya daripada ibu bapa mereka. Dalam era globalisasi ini, kebanyakan ibu bapa yang berjaya mempunyai anak-anak yang berpotensi untuk berjaya seperti mereka. Buktinya, kajian statistik oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat mendapati hampir 50 peratus rakyat Malaysia terlibat dengan gejala negatif lazimnya mempunyai konflik keluarga. Oleh itu, benarlah bahawa kepimpinan melalui teladan merupakan dorongan yang boleh diberikan oleh keluarga untuk kecemerlangan anak-anak.

Malah, pada realitinya, ibu bapa sanggup memerah keringat, membanting tulang dan bekerja kerasdengan tulang empat kerat mereka agar memperoleh pendapatan yang lumayan dan mewah. Hal ini kerana ibu bapa mahu memberikan kemudahan dan keselesaan yang secukupnya kepada anak-anakbagai menatang minyak yang penuh. Semua ibu bapa menginginkan kejayaan daripada anak-anak supaya anak-anak mempunyai masa depan yang cerah. Mereka tidak mahu anak-anak mereka hidup susah.Sebagai contoh, ibu bapa yang tidak berkemampuan terpaksa kais pagi makan pagi, kais petang makan petang semata-mata untuk membiayai persekolahan anak-anak mereka. Dalam era modenisasi ini, pendidikan semakin memerlukan kos yang tinggi. Hal ini menyebabkan ibu bapa terpaksa bekerja dengan lebih kuat dan lebih masa untuk menampung kos pendidikan anak-anak mereka. Buktinya, mantan Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga pernah menyatakan bahawa wang ringgit bukanlah pengganti kasih sayang malah semua ibu bapa sanggup mengorbankan apa-apa sahaja untuk kebahagiaan cahaya mata mereka. Kenyataan ini membuktikan bahawa ibu bapa rela berkorban demi anak-anak mereka sekali pun terpaksa bergadai nyawa. Sudah terang lagi bersuluh bahawa pengorbanan ibu bapa menjadi dorongan untuk anak-anak cemerlang dalam bidang pelajaran.
Dorongan lain yang boleh diberikan oleh keluarga adalah dengan memberikan anak-anak didikan agama yang sempurna. Hal ini kerana anak-anak yang mempunyai didikan agama yang sempurna akan terang hati dan lebih mudah untuk menerima pelajaran. Mereka akan mempunyai prinsip hidup yang teguh, sekali gus menyebabkan mereka tidak mudah terpengaruh oleh gejala negatif yang semakin berleluasa seperti kudis dalam masyarakat marcapada ini. Kejayaan Nadia Amira yang cemerlang dalam SPM 2006 menunjukkan bahawa pelajar yang mempunyai didikan agama yang sempurna mampu meraih kejayaan. Albert Einstein pernah mengatakan bahawa agama tanpa ilmu adalah buta, manakala ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Oleh itu, jelaslah bahawa didikan agama yang sempurna merupakan salah satu dorongan yang boleh diberikan oleh keluarga demi kecemerlangan anak-anak dalam bidang akademik.


               Sebagai intiha, dorongan daripada keluarga merupakan faktor terpenting kejayaan anak-anak. Rentetan itu, ibu bapa serta ahli keluarga yang lain wajarlah bersatu padu bagai aur dengan tebingdan sama-sama berusaha seperti hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah untuk merealisasikan impian murni mereka. Dorongan keluarga dapat melahirkan anak-anak yang cemerlang, gemilang dan terbilang seperti yang dilaungkan mantan Perdana Menteri kita yang lebih dikenali sebagai "Pak Lah". Marilah kita buktikan kepada dunia bahawa pemikiran rakyat Malaysia tercinta ini tidak lagi dibelenggu atau tidak lagi umpama katak di bawah tempurung, malah telah bertamadun dalam menuju era globalisasi untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendahdengan negara lain untuk negara maju yang lain di seluruh sarwajagat ini.

KARANGAN FOKUS SPM 2013

Usaha-usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.

               Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan masyarakat di negara kita pada masa ini seperti yang didakwa oleh banyak pihak. Hal ini berlaku demikian kerana masing-masing sibuk dengan urusan sendiri yang menyebabkan mereka tidak menghiraukan perkara lain. Pada pendapat mereka, perkara yang penting dalam hidup ialah mereka perlu berusaha untuk mencari kekayaan dan hendak mencari wang untuk menambahkan pendapatan semata-mata. Oleh itu, mereka tidak menitikberatkan semangat patriotik dan tidak tidak mempedulikan sambutan hari kebangsaan, contohnya anggota masyarakat kita tidak mengibarkan bendera Malaysia ketika sambutan ulang tahun kemerdekaan negara dijalankan. Jadi, kita berharap agar semangat patriotik dalam kalangan masyarakat dapat ditingkatkan.

               Sebenarnya terdapat banyak cara yang boleh dijalankan untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita. Satu daripada caranya adalah dengan memberikan penekanan tentang proses pemupukan semangat patriotik dari bangku sekolah lagi. Perkara ini membolehkan semangat patriotik sebati dalam diri pelajar seperti kata peribahasa Melayu, “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Sekiranya semangat patriotik dapat dipupuk sejak kecil, sudah tentulah semangat patriotik akan terus diamalkan dan dikekalkan hingga dewasa. Tambahan pula, amalan ini penting kerana kita dapat melahirkan masyarakat yang sentiasa cinta akan negara dan tidak melakukan perkara-perkara yang akan memburukkan nama negara.

               Cara lain yang boleh dijalankan adalah dengan membuat pengubahsuaian dan memberikan penekanan tentang aspek semangat patriotik ini dalam kurikulum di sekolah dan di institusi pengajian tinggi. Sekiranya perkara ini dilakukan, murid-murid akan memahami dan menghayati semangat patriotik kerana aspek tersebut dipelajari dalam mata pelajaran tertentu. Dengan perkataan lain, perkara itu akan dipelajari secara formal di dalam kelas, diuji dalam peperiksaan dan seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian. Oleh hal yang demikian, semangat patriotik itu akan terus subur dalam sanubari murid-murid hinggalah selepas mereka menamatkan persekolahan atau pendidikan mereka di institusi pengajian tinggi.

               Pihak yang bertanggungjawab hendaklah menjalankan kempen secara besar-besaran melalui media massa. Kempen-kempen yang berkaitan dengan semangat patriotik ini akan memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita Oleh itu, Kementerian Penerangan Malaysia, di samping media elektronik seperti televisyen dan radio memang berkesan untuk menyuburkan dan meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Dengan perkataan lain, televisyen dan radio hendaklah menyiarkan rancangan atau program yang dapat meningkatkan semangat patriotik seperti menyiarkan rencana tentang pejuang-pejuang kemerdekaan negara. Selain itu media elektronik itu juga hendaklah menayangkan filem seperti “Bukit Kepong”, “Paloh”, dan drama-drama yang berkaitan dengan semangat cinta akan negara.

               Agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab pula perlulah menjalankan aktiviti yang bersesuaian dengan usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat agar dapat memupuk semangat ini. Aktiviti tersebut boleh dijalankan di kampung-kampung dan juga di kawasan perumahan. Oleh itu, aktiviti seperti sambutan hari kemerdekaan pada peringkat taman perumahan dan kampung perlulah digalakkan. Di samping itu, Jabatan Penyiaran atau stesen televisyen juga perlu mengadakan forum tentang semangat patriotik dengan menjemput tokoh-tokoh akademik daripada pelbagai bangsa dan juga tokoh masyarakat yang memperjuangkan semangat kebangsaan suatu masa dahulu. Aktiviti tersebut bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotik malahan dapat mengeratkan perpaduan antara kaum di negara kita.

               Semangat patriotik juga dapat dipupuk melalui contoh dan teladan daripada pemimpin-pemimpin negara dan pemimpin masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Dengan cara itu, anggota masyarakat akan mencontohi pemimpin-pemimpin mereka yang memiliki semangat patiotik yang tinggi. Para pemimpin perlulah selalu mengingatkan dan menekankan kepentingan menghargai kemerdekaan yang telah dicapai hasil perjuangan dan titik peluh pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdahulu dan menghayatinya dengan sepenuh hati. Hal ini penting kerana, kemerdekaan yang dinikmati ini hendaklah dihayati, dijaga dan dikekalkan sampai bila-bila. Sekiranya perkara ini tidak dititikberatkan oleh semua orang sudah pasti kemerdekaan yang dinikmati sukar untuk dipertahankan dan tidak tidak akan memberi makna lagi kepada generasi yang akan datang.

               Oleh hal yang demikian, usaha-usaha untuk memupuk semangat patriotik perlulah dijalankan sepanjang masa tanpa henti. Hal ini demikian kerana, semangat patriotik ini penting untuk melahirkan warganegara yang cinta akan negaranya dan pasti akan menjadi individu yang berguna kepada bangsa, agama dan negaranya sendiri. Individu yang memiliki semangat patriotik yang tinggi juga akan sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan negaranya agar mencapai kemajuan dan pembangunan dengan cepat, setanding dengan negara-negara maju yang lain. Skiranya semangat patriotik tidak dapat dipupuk dalam kalangan remaja, pastilah mereka tidak ada perasaan cinta akan negara dan menyebabkan mereka hilang jati diri. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing agar semangat patriotik dapat dipupuk dan disuburkan dalam kalangan masyarakat.