Usaha-usaha
untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.
Semangat
patriotik semakin luntur dalam kalangan masyarakat di negara kita pada masa ini
seperti yang didakwa oleh banyak pihak. Hal ini berlaku demikian kerana
masing-masing sibuk dengan urusan sendiri yang menyebabkan mereka tidak
menghiraukan perkara lain. Pada pendapat mereka, perkara yang penting dalam
hidup ialah mereka perlu berusaha untuk mencari kekayaan dan hendak mencari
wang untuk menambahkan pendapatan semata-mata. Oleh itu, mereka tidak
menitikberatkan semangat patriotik dan tidak tidak mempedulikan sambutan hari
kebangsaan, contohnya anggota masyarakat kita tidak mengibarkan bendera
Malaysia ketika sambutan ulang tahun kemerdekaan negara dijalankan. Jadi, kita
berharap agar semangat patriotik dalam kalangan masyarakat dapat ditingkatkan.
Sebenarnya
terdapat banyak cara yang boleh dijalankan untuk meningkatkan semangat
patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita. Satu daripada caranya
adalah dengan memberikan penekanan tentang proses pemupukan semangat
patriotik dari bangku sekolah lagi. Perkara ini membolehkan semangat
patriotik sebati dalam diri pelajar seperti kata peribahasa Melayu, “melentur
buluh, biarlah dari rebungnya”. Sekiranya semangat patriotik dapat
dipupuk sejak kecil, sudah tentulah semangat patriotik akan terus diamalkan dan
dikekalkan hingga dewasa. Tambahan pula, amalan ini penting kerana kita dapat
melahirkan masyarakat yang sentiasa cinta akan negara dan tidak melakukan
perkara-perkara yang akan memburukkan nama negara.
Cara
lain yang boleh dijalankan adalah dengan membuat pengubahsuaian dan
memberikan penekanan tentang aspek semangat patriotik ini dalam kurikulum di
sekolah dan di institusi pengajian tinggi. Sekiranya perkara ini dilakukan,
murid-murid akan memahami dan menghayati semangat patriotik kerana aspek
tersebut dipelajari dalam mata pelajaran tertentu. Dengan perkataan lain,
perkara itu akan dipelajari secara formal di dalam kelas, diuji dalam
peperiksaan dan seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian. Oleh hal yang
demikian, semangat patriotik itu akan terus subur dalam sanubari murid-murid
hinggalah selepas mereka menamatkan persekolahan atau pendidikan mereka di
institusi pengajian tinggi.
Pihak
yang bertanggungjawab hendaklah menjalankan kempen secara besar-besaran melalui
media massa. Kempen-kempen yang berkaitan dengan semangat patriotik ini akan
memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan semangat patriotik
dalam kalangan masyarakat di negara kita Oleh itu, Kementerian Penerangan
Malaysia, di samping media elektronik seperti televisyen dan radio memang berkesan
untuk menyuburkan dan meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan
masyarakat. Dengan perkataan lain, televisyen dan radio hendaklah menyiarkan
rancangan atau program yang dapat meningkatkan semangat patriotik seperti
menyiarkan rencana tentang pejuang-pejuang kemerdekaan negara. Selain itu media
elektronik itu juga hendaklah menayangkan filem seperti “Bukit Kepong”,
“Paloh”, dan drama-drama yang berkaitan dengan semangat cinta akan negara.
Agensi-agensi
kerajaan yang bertanggungjawab pula perlulah menjalankan aktiviti yang
bersesuaian dengan usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam
kalangan masyarakat agar dapat memupuk semangat ini. Aktiviti tersebut boleh
dijalankan di kampung-kampung dan juga di kawasan perumahan. Oleh itu, aktiviti
seperti sambutan hari kemerdekaan pada peringkat taman perumahan dan kampung
perlulah digalakkan. Di samping itu, Jabatan Penyiaran atau stesen televisyen
juga perlu mengadakan forum tentang semangat patriotik dengan menjemput
tokoh-tokoh akademik daripada pelbagai bangsa dan juga tokoh masyarakat yang
memperjuangkan semangat kebangsaan suatu masa dahulu. Aktiviti tersebut bukan
sahaja dapat memupuk semangat patriotik malahan dapat mengeratkan perpaduan
antara kaum di negara kita.
Semangat
patriotik juga dapat dipupuk melalui contoh dan teladan daripada
pemimpin-pemimpin negara dan pemimpin masyarakat tanpa mengira bangsa,
agama dan fahaman politik. Dengan cara itu, anggota masyarakat akan mencontohi
pemimpin-pemimpin mereka yang memiliki semangat patiotik yang tinggi. Para
pemimpin perlulah selalu mengingatkan dan menekankan kepentingan menghargai
kemerdekaan yang telah dicapai hasil perjuangan dan titik peluh pejuang-pejuang
kemerdekaan yang terdahulu dan menghayatinya dengan sepenuh hati. Hal ini
penting kerana, kemerdekaan yang dinikmati ini hendaklah dihayati, dijaga dan
dikekalkan sampai bila-bila. Sekiranya perkara ini tidak dititikberatkan oleh
semua orang sudah pasti kemerdekaan yang dinikmati sukar untuk dipertahankan
dan tidak tidak akan memberi makna lagi kepada generasi yang akan datang.
Oleh
hal yang demikian, usaha-usaha untuk memupuk semangat patriotik perlulah
dijalankan sepanjang masa tanpa henti. Hal ini demikian kerana, semangat
patriotik ini penting untuk melahirkan warganegara yang cinta akan negaranya
dan pasti akan menjadi individu yang berguna kepada bangsa, agama dan negaranya
sendiri. Individu yang memiliki semangat patriotik yang tinggi juga akan
sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan negaranya agar mencapai kemajuan dan
pembangunan dengan cepat, setanding dengan negara-negara maju yang lain.
Skiranya semangat patriotik tidak dapat dipupuk dalam kalangan remaja, pastilah
mereka tidak ada perasaan cinta akan negara dan menyebabkan mereka hilang jati
diri. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu dan memainkan peranan
masing-masing agar semangat patriotik dapat dipupuk dan disuburkan dalam
kalangan masyarakat.
No comments:
Post a Comment