Peranan keluarga dalam pembentukan disiplin anak-anak amat
penting dalam membentuk modal insan yang boleh membangunkan negara.
Bincangkan.
Sebagaimana kita sedia maklum, anak-anak bagaikan kain putih yang suci lagi kudus yang perlu diwarnakan oleh ibu bapa yang membesarkannya. Sebagai anak yang menjadi harapan ibu bapa, kita harus sedar bahawa segala perbuatan positif dan negatif akan mencerminkan imej keluarga. Sejak kecil, kita dibesarkan bagai menatang minyak yang penuh oleh orang tua kita. Setiap belaian kasih dan sayang yang diberikan kepada kita penuh dengan harapan masa depan. Malangnya, masalah sosial dan kadar jenayah bagai bisul menjadi nanah dalam masyarakat pada zaman yang penuh dengan cabaran. Saya berpendapat bahawa ibu bapa memainkan peranan penting dalam pembentukan disiplin anak-anak
Sebagaimana kita sedia maklum, anak-anak bagaikan kain putih yang suci lagi kudus yang perlu diwarnakan oleh ibu bapa yang membesarkannya. Sebagai anak yang menjadi harapan ibu bapa, kita harus sedar bahawa segala perbuatan positif dan negatif akan mencerminkan imej keluarga. Sejak kecil, kita dibesarkan bagai menatang minyak yang penuh oleh orang tua kita. Setiap belaian kasih dan sayang yang diberikan kepada kita penuh dengan harapan masa depan. Malangnya, masalah sosial dan kadar jenayah bagai bisul menjadi nanah dalam masyarakat pada zaman yang penuh dengan cabaran. Saya berpendapat bahawa ibu bapa memainkan peranan penting dalam pembentukan disiplin anak-anak
Jika
dibandingkan antara ibu bapa dahulu dengan ibu bapa zaman globalisasi ini, kita
dapat mengetahui bahawa anak-anak dulu lebih kerap dipukul. Sejak kempen
antidera diperluas, ibu bapa mula menjauhkan diri mereka dengan rotan. Daripada
perspektif orang tua-tua, setiap sebatan dan hukuman yang diterima dapat
memberi tamparan insaf kepada diri anak-anak yang melakukan kesalahan. Namun,
saya percaya bahawa ibu bapa perlu tegas dan mendisiplinkan anak-anak sejak
kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan pendisiplinan yang
kukuh dan ketegasan yang bertempat, anak-anak akan berfikir dua kali sebelum
melakukan kesalahan.
Selain ketegasan
dan pendisiplinan, pendidikan formal perlu disalurkan oleh ibu bapa demi
mematangkan fikiran anak-anak. Dengan pendidikan yang diterima, akal dan
perasaan ingin memberontak dalam kalangan anak dapat diatasi. Hal ini dikatakan
demikian kerana anak-anak dikawal ketat dari segi peraturan sekolah. Dengan
peraturan sekolah yang efektif dan jadual pelajaran yang ketat, nescaya
anak-anak tidak akan mempunyai masa yang terluang untuk melakukan perkara yang
membelakangkan undang-undang. Pendidikan formal yang efektif dapat menjadi
tulang belakang pendirian teguh anak-anak dalam mendisiplinkan diri agar tidak
melakukan perbuatan yang menconteng arang di muka ibu bapa.
Ajaran
agama dan moral merupakan elemen yang maslahat dalam memperkukuh keimanan diri
anak-anak demi mengekang hati dan perasaan yang ingin melanggar tatasusila.
Masalahnya kini, ibu bapa bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk
masing-masing kerana sibuk mengejar kebendaan dan kedudukan dalam masyarakat.
Mereka alpa dengan tanggungjawab keibubapaan yang asas, yakni mendidik
anak-anak dengan ajaran agama dan moral. Sebagai contoh, ibu bapa haruslah
menerangkan kepentingan menjaga moral dan tingkah laku yang murni demi
mengukuhkan sahsiah diri. Dengan saluran yang betul dan tepat, anak-anak dapat
didisiplinkan dan dibentuk menjadi modal insan yang berketerampilan dan
berkewibawaan.
Mengikut Doktor
Fazilah Kamsah, pakar motivasi yang terbilang, anak-anak akan menjadi
berdisiplin jika kita menerangkan sebab dan akibatnya jika dia membuat
kesalahan. Hal ini demikian kerana nasihat yang bernas daripada ibu bapa lebih
berkesan daripada jeritan marah yang membuang masa dan tenaga. Anak-anak perlu
diterangkan kesannya jika mereka merokok atau akibat daripada perbuatan
ketidakjujuran mereka. Langkah ini penting agar akal anak-anak yang waras dapat
dibentuk untuk membuat keputusan yang baik supaya tidak menyesal atas perbuatan
diri kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Langkah ini
amat penting agar anak-anak dapat dimatangkan dari segi psikologi sekali gus
pencorakan disiplin diri mereka terbentuk secara semula jadi.
Di samping itu,
ibu bapa mestilah menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka. Oleh
sebab bagaimana acuan, begitulah kuihnya; ibu bapa berperanan penting
mempamerkan disiplin yang tinggi di depan anak-anak. Tamsilannya, ibu bapa
haruslah membuang sampah di tong sampah dan menjaga kelakuan diri di khalayak
ramai agar dicontohi oleh anak-anak mereka. Anak-anak yang mencontohi sikap
positif ibu bapa pasti tidak akan membuat perkara yang menyalahi peraturan.
Oleh hal yang demikian, ibu bapa mestilah menjauhi sikap ketam yang mengajar
anaknya berjalan betul tetapi diri sendiri berjalan senget.
Pendek kata,
pencorakan disiplin anak-anak dari rumah, yakni daripada komitmen ibu bapa amat
berkesan. Ibu bapa harus menyedari hakikat bahawa masa depan anak-anak juga
ditentukan oleh ajaran dan teguran membina daripada mereka. Anak-anak yang
berdisiplin dapat meyakinkan ibu bapa dengan kejayaan akademik dan kokurikulum
sekali gus menjadi warga yang cemerlang, gemilang, dan terbilang. Oleh hal yang
demikian, saya berharap ibu bapa menginsafi tanggungjawab mereka dalam
pembentukan disiplin anak-anak agar tidak menyesal selepas anak-anak terjerumus
dalam kancah kebejatan sosial. Kebobrokan sikap anak-anak mestilah dikekang
daripada menjadi duri dalam daging masyarakat kerana nusa tercinta ini
memerlukan tenaga mereka untuk menggapai impian Wawasan 2020.
No comments:
Post a Comment