Langkah-langkah untuk mengatasi kepupusan
semangat kejiranan dalam jiwa masyarakat.
Dewasa
ini, masyarakat dunia terlalu menumpukan perhatian terhadap kepentingan
material dan mengejar kesenangan hidup semata-mata sehingga melupakan salah
satu nilai kemanusiaan yang amat berharga iaitu semangat kejiranan. Berikutan
soal selidik yang telah dijalankan, didapati bahawa 65.2% daripada masyarakat
Malaysia tidak mengenal atau mengetahui nama-nama jiran mereka apatah lagi
mewujudkan silaturrahim yang erat antara kedua-dua belah pihak. Nilai moral
yang semakin pupus ini menyebabkan kepincangan sosial berlaku dalam kalangan
masyarakat walaupun dari segi lahiriahnya, keadaan hidup masyarakat lebih maju
dan mewah. Oleh itu, beberapa langkah yang efektif perlu diambil bagi
memulihkan semangat kejiranan yang kian memudar dalam jiwa masyarakat ini.
Langkah
yang perlu dipraktikkan oleh setiap golongan masyarakat iaitu mereka perlu
mengamalkan semangat atau sikap kejiranan secara menyeluruh dan holistik dalam
kehidupan seharian untuk mengelakkan semangat ini daripada pupus. Hal ini
demikian kerana, kesedaran terhadap kepentingan semangat kejiranan perlulah
lahir daripada ahli masyarakat itu sendiri supaya mereka sentiasa
mengamalkannya dengan ikhlas dan secara berterusan. Seterusnya, keadaan sosial
masyarakat akan bertambah baik dengan kewujudan sikap mengambil berat terhadap
jiran ini. Contohnya, sebagai seorang jiran, kita perlulah mewujudkan hubungan
yang erat dengan ahli masyarakat yang lain dan saling membantu supaya kerja
yang sukar dapat dipermudah bertepatan dengan peribahasa, yang berat sama
dipikul, yang ringan sama dijinjing. Tegasnya, semangat kejiranan dapat ditanam
dalam diri setiap lapisan masyarakat jika mereka mengutamakan serta mengamalkan
perkara ini dalam kehidupan seharian.
Selain
itu, sebagai seorang jiran, kita perlulah bertegur sapa antara satu sama lain
untuk menghidupkan semangat kejiranan di kawasan tempat tinggal masing-masing.
Melalui amalan ini, kita akan dapat mengenal jiran secara peribadi dan
seterusnya mewujudkan hubungan persahabatan yang erat dengan mereka. Antara
perkara yang perlu dititikberatkan dalam usaha ini iaitu sentiasa bermanis muka
apabila bersua, bertanya khabar jiran dan bercakap hal-hal yang baik sahaja
tanpa mengguris hati jiran. Menurut agama Islam, senyuman dan kata-kata yang
baik itu satu sedekah, kita wajib mengamalkannya agar tali silaturrahim dan
juga perpaduan antara jiran dapat diutuhkan lalu mengukuhkan semangat kejiranan
dalam kalangan masyarakat. Jelasnya, sikap sentiasa bertegur sapa antara satu
sama lain merupakan elemen yang amat esensi dalam mewujudkan semangat kejiranan
dalam sesebuah masyarakat.
Dalam
pada itu, amalan kunjung-mengunjungi ke rumah jiran juga amat perlu bagi
menaikkan semangat kejiranan dalam sesebuah entiti masyarakat. Seseorang ahli
masyarakat yang baik hendaklah sentiasa menziarahi rumah jirannya terutamanya
apabila terdapat kejadian-kejadian yang amat signifikan seperti kematian ahli
keluarga, kelahiran cahaya mata dan majlis rumah terbuka bagi menyambut upacara
perayaan dalam agama masing-masing. Bagi jiran yang telah kehilangan salah
seorang ahli keluarganya, amalan ziarah-menziarahi ini secara tidak langsung
dapat mengurangkan tekanan atau bebanan yang dihadapi olehnya disebabkan
bantuan dan juga sedekah yang disumbangkan oleh rakan-rakan yang datang
berkunjung ke rumah. Sebaliknya, jika terdapat kelahiran anak ataupun majlis
rumah terbuka, kehadiran seseorang itu dapat menceriakan suasana serta
menggembirakan jiran yang mengadakan sambutan tersebut. Oleh itu, ahli-ahli
masyarakat perlu sentiasa berkunjung ke rumah jiran mereka agar semangat
kejiranan yang kental dapat diwujudkan dan dikekalkan.
Sehubungan
dengan itu, komuniti masyarakat hari ini haruslah menjadi insan yang baik dengan sentiasa menjaga
kebajikan jiran tanpa mengira waktu bagi membajai semangat kejiranan dalam
setiap golongan masyarakat. Hal ini dapat dilaksanakan dengan sentiasa
menghulurkan bantuan apabila diperlukan oleh jiran yang merangkumi bantuan kewangan,
tenaga dan khidmat. Sebagai contoh, kita wajib memberikan sumbangan apabila
mereka menghadapi sebarang kesulitan sama ada melalui wang, tenaga kerja
ataupun memberikan kata-kata semangat jika tidak mampu. Seterusnya, beban yang
dihadapi oleh mereka akan berkurangan, keakraban persahabatan dengan jiran
dapat ditingkatkan dan permuafakatan bersama dapat diwujudkan, bak kata
peribahasa, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Justeru,
apabila setiap lapisan masyarakat menjaga kebajikan jiran masing-masing, nilai
kerjasama dan muafakat yang lahir akan mengukuhkan lagi semangat kejiranan.
Di
samping itu, langkah yang selalu diabaikan oleh masyarakat masa ini adalah
mengawasi rumah jiran waktu mereka pulang ke kampung yang merupakan usaha
efektif ke arah mengutuhkan semangat kejiranan. Perkara ini termasuklah menjaga
keselamatan rumah dan barang-barang berharga kepunyaan mereka daripada
diceroboh atau dicuri. Misalnya, kita sebagai seorang ahli masyarakat yang
berguna perlu sentiasa memantau kawasan rumah mereka untuk mengelakkan perkara
yang tidak diingini berlaku seperti kecurian, pencerobohan dan mungkin juga
pembunuhan penduduk di kawasan tersebut. Oleh sebab itu, sikap waspada harus
ditanam dalam diri setiap golongan masyarakat kerana malang tidak berbau,
selain itu, hubungan silaturrahim dengan jiran juga dapat dikukuhkan kerana
sikap ini dapat menimbulkan rasa terhutang budi dalam diri mereka bak kata
peribahasa, hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati. Jelaslah di
sini bahawa dengan mengawasi rumah jiran sewaktu mereka tiada di rumah bukan
sahaja dapat mengelakkan kemalangan malah akan mewujudkan semangat kejiranan
dalam sesebuah komuniti.
Semangat
kejiranan juga dapat diwujudkan dan dikekalkan jika setiap golongan masyarakat
menjaga nama baik jiran mereka. Demi menjadi seorang ahli komuniti yang baik,
kita perlulah sentiasa menjaga maruah dan nama baik jiran kita di samping tidak
menyebarkan fitnah atau mendedahkan aib mereka. Hal ini seterusnya akan
menyebabkan para jiran mempunyai rasa hormat dan kasih sayang terhadap
masyarakat sekeliling yang telah menunjukkan sikap serta akhlak yang murni buat
mereka. Oleh yang demikian, kita perlulah menzahirkan keikhlasan terhadap jiran
dengan mengelakkan daripada menyebarkan perkara-perkara yang tidak baik atau
tidak benar kepada orang ramai termasuklah rahsia, aib diri serta keluarga
jiran dan juga tuduhan yang tidak mempunyai bukti kukuh. Sesungguhnya dosa
memfitnah itu lebih berat daripada dosa membunuh. Tegasnya, kita semua perlu
menjaga nama baik jiran demi mengekalkan keamanan dan semangat kejiranan dalam
sebuah masyarakat.
Kesimpulannya, setiap golongan masyarakat perlu memainkan
peranan yang amat besar bagi memastikan semangat kejiranan tidak pupus dalam
jiwa mereka. Usaha dan langkah yang rapi serta efektif perlulah dilaksanakan
agar hasrat ini dapat dicapai bertepatan dengan peribahasa, yang bulat takkan
datang bergolek, yang pipih takkan datang melayang. Kita semua haruslah
bersikap saling membantu dan melengkapi antara satu sama lain supaya suasana
kehidupan yang harmoni dan sejahtera dapat diwujudkan. Hal ini juga demikian
supaya wawasan pembangunan modal insan yang syumul dapat dijayakan dan
seterusnya dapat melahirkan masyarakat serta negara yang maju bukan sahaja dari
aspek material malah dari aspek sosial dan sahsiah juga.
This comment has been removed by the author.
ReplyDeleteTerima kasih banyak!
ReplyDelete