Thursday, 5 September 2013

FOKUS KOMSAS -PMR

WARKAH KEPADA GENERASI
(Amiruddin Md Ali Hanafiah)


Generasiku tercinta
Kalian adalah kelompok bertuah
Yang sempat berteduh di langit alaf baru
Dengan keberanian sebagai bangsa bermaruah
Ditanah merdeka milik abadi kita.

Generasiku yang bijak bestari
Ini bumi suci perjuangan nenek moyang
Yang bersumpah setia memertabatkan bangsa
Mendaulatkan tanah air; mencipta kebebasan
Membina merdeka yang kalian diami.

Penutup warkah ini
Ingin kuingatkan: jangan biarkan akar sejarah
Tercabut dari bumi bertuah ini.

Maksud Rangkap 1
Penyajak menjelaskan bahawa generasi muda sebagai golongan yang beruntung kerana hidup pada zaman sekarang. Mereka hidup sebagai bangsa yang bermaruah di negara yang merdeka.

Maksud Rangkap 2
Penyajak mengingatkan generasi muda yang berilmu bahawa negara yang didiami oleh mereka sekarang merupakan hasil perjuangan nenek moyang mereka yang berusaha mendapatkan kemerdekaan negara.

Maksud Rangkap 3
Penyajak mengakhiri pesanannya agar kita semua tidak melupakan sejarah negara.
TEMA
Sajak ini mengemukakan tema peringatan dan pesanan kepada golongan muda/generasi sekarang tentang sejarah kemerdekaan negara.


PERSOALAN
1. Persoalan generasi muda yang bertuah kerana dapat hidup di sebuah negara yang merdeka.
2. Persoalan kemerdekaan negara merupakan hasil perjuangan dan pengorbanan nenek moyang kita.
3. Persoalan kepentingan sejarah kemerdekaan negara.



GAYA BAHASA

1. Metafora 
tanah merdeka (Rangkap 1, baris 5)
istana merdeka (Rangkap 2, baris 5)
akar sejarah (Rangkap 3, baris 2)
2. Sinkope
ingin kuingatkan: jangan biarkan akar sejarah (Rangkap 3, baris 2)
3. Asonansi
dengan keberanian sebagai bangsa bermaruah. (Rangkap 1, baris 4)
pengulangan vokal ’a’
4. Aliterasi
tercabut dari bumi bertuah ini. (Rangkap 3, baris 3)
pengulangan konosonan ‘t’.



NADA
Sajak ini bernada patriotik.


BENTUK

1. Sajak ini terdiri daripada tiga rangkap.
2. Rima akhir bebas.
3. Jumlah baris serangkap bebas
Contohnya : Rangkap 1-5 baris, Rangkap 2 – 5 baris dan Rangkap 3 – 3 baris).
4. Jumlah perkataan sebaris adalah antara dua hingga tujuh patah kata.
5. Jumlah suku kata sebaris adalah antara tujuh hingga enam belas suku kata.



NILAI
1. Nilai kesyukuran
Penyajak mengajak generasi muda bersyukur dengan nikmat kemerdekaan negara.
2. Nilai pengorbanan
Nenek moyang kita sanggup berkorban demi mendapatkan kemerdekaan negara daripada penjajah.
3. Nilai cinta akan negara
Semangat cinta akan negara amat penting dalam diri seseorang agar kita sama-sama dapat berusaha untuk memajukan negara.



PENGAJARAN
1. Kita hendaklah menghargai nikmat kemerdekaan negara agar kita tidak lupa untuk mempertahankannya.
2. Kita perlulah sanggup berjuang dan berkorban demi kemerdekaan negara.
3. Kita seharusnya sedar betapa pentingnya kemerdekaan kepada negara agar negara kita tidak lagi dijajah pada kemudian hari.
4. Kita janganlah lalai dengan nikmat dan kesenangan yang kita nikmati selama ini kerana kelalaian tersebut boleh menyebabkan kita kembali dijajah oleh musuh.


SOALAN PEMAHAMAN
1. Kemukakan maksud rangkap pertama sajak ’Warkah Kepada Generasi’.
2. Pada pendapat anda, mengapa generasi sekarang perlu mengenang jasa para pejuang kemerdekaan negara?

Jawaban:
1. Maksud rangkap pertama sajak ini ialah Penyajak menjelaskan bahawa generasi muda sebagai golongan yang beruntung kerana hidup pada zaman sekarang. Mereka hidup sebagai bangsa yang bermaruah di negara yang merdeka.
2. Pada pendapat saya, generasi sekarang perlu mengenang jasa pejuang kemerdekaan negara:
a. Supaya mereka menghargai kemerdekaan yang dimiliki sekarang
b. Mereka telah banyak berkorban untuk mempertahankan negara sehingga mencapai kemerdekaan.
c.Supaya generasi sekarang dapat mengerti nilai perjuangan

d. Dapat menanam semangat patriotik dalam diri generasi sekarang.

No comments:

Post a Comment