Tuesday 15 April 2014

KARANGAN

Fungsi Perpustakaan Dalam Melahirkan Masyarakat Berilmu

Ilmu pelita hidup.  Kata-kata hikmat ini jelas menggambarkan ilmu pengetahuan merupakan sinar yang dapat memberikan panduan pada kehidupan manusia.  Di manakah kita  boleh  menimba ilmu pengetahuan?  Perpustakaanlahnya!  Perpustakaan atau dikenali juga khutub khanah merupakan gedung ilmu sama ada dalam bentuk bahan bercetak mahupun berbentuk audio dan video.  Menyedari hakikat peri penting perpustakaan maka kerajaan telah mendirikan perpustakaan  di ceruk rantau negara untuk kemudahan masyarakat menimba ilmu pengetahuan.  Hakikatnya, perpustakaan berperanan penting dalam membentuk masyarakat yang berilmu. Maka, apakah fungsi-fungsi perpustakaan dalam konteks  melahirkan masyarakat?

Fungsi perpustakaan yang dianggap signifikan termasuklah membangunkan modal insan.  Hal ini demikian kerana perpustakaan bertindak sebagai satu mekanisme pantas bagi pembangunan modal insan. Modal insan yang berilmu melalui pembinaan perpustakaan mampu merealisasikan aspirasi nasional.Perpustakaan bukan sahaja boleh meningkatkan kapasiti penyelidikan tempatan (R & D) tetapi juga menjadi pusat tumpuan untuk membolehkan  penyelidik berkomunikasi, mengenal pasti program dan penyelidikan yang bersesuaian dengan keperluan negara.  Buktinya, pertumbuhan perpustakaan yang lebih pesat bagai cendewan selepas hujan  dapat dilihat melalui carta pai yang diberikan terutama di kawasan pekan yang berjumlah 776 buah.   Jelaslah bahawa perpustakaan memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan.

Selain itu, perpustakaan juga berfungsi untuk membudayakan inovasi dalam kalangan rakyat Malaysia.  Oleh hal yang demikian inovasi dan kreativiti mampu dijadikan budaya rakyat negara ini bagi menyemarakkan pembangunan dan memperkukuh ekonomi negara.  Menurut Perdana Menteri, penekanan kepada inovasi amat penting kerana dalam jangka masa panjang Malaysia tidak perlu lagi terlalu bergantung kepada teknologi yang diimport.  Buktinya, perpustakaan didirikan di semua negeri dan juga wilayah serta desa dengan tujuan untuk meminimumkan jumlah orang yang berpengetahuan cetek seperti katak di bawah tempurung.  Oleh itu, rakyat Malaysia perlu berpegang pada prinsip membaca jambatan ilmu agar budaya inovasi dapat disemai sebagai keperluan untuk memajukan negara.

Fungsi perpustakaan yang tidak boleh dikesisikan termasuklah melahirkan golongan celik ilmu.  Secara purata, rakyat Malaysia hanya membaca dua muka surat setahun bahan ilmiah berbanding dua ratus muka surat rakyat Jepun.  Untuk mencapai Wawasan 2020, Malaysia perlu menjadi negara pencipta, bukannya negara pengguna dan satu-satu caranya adalah dengan banyak membaca.  Masa itu umpama pedang, jika kita tidak memancungnyan, ia akan memancung kita.  Justeru, kita patut bijak menggunakan masa lapang dengan berkunjung ke perpustakaan kerana orang yang tidak berilmu itu umpama pohon kayu tidak berbuah. Bagi kawasan yang tidak mempunyai perpustakaan awam, mereka boleh menggunakan perkhidmatan perpustakaan bergerak  92 buah yang disediakan oleh kerajaan.  Jelaslah bahawa perpustakaan berperanan penting dalam melahirkan golongan celik ilmu walau di mana sekalipun mereka berada.

Pendek kata, perpustakaan memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat yang berilmu.  Diharapkan perpustakaan dapat dilengkapkan dengan pelbagai kemudahan yang canggih seperti e-book.  Lantaran itu, masyarakat  perlu bijak menggunakan maklumat yang terdapat di perpustakaan dan digalakkan berkunjung ke perpustakaan kerana selangkah ke perpustakaan, sejuta meklumat diperoleh

No comments:

Post a Comment