Pages

Enjin Carian

Monday, 2 February 2015

Nota Tambahan Sajak Sang Gembala Kuda oleh Mohd Hashim Othman

SAJAK

Nota Tambahan Sajak Sang Gembala Kuda oleh Mohd Hashim Othman 

Maksud Sajak


Rangkap 1: Sang gembala kuda ialah seorang lelaki yang gagah. Berbekalkan keberanian yang dimilikinya, dia dengan angkuh merembat kuda dengan menggunakan cemeti untuk menakutkan kuda-kuda itu sambal menghalau kuda-kuda yang sedang berada di padang bersegera balik ke kandang.
Rangkap 2: Sementara itu, rumput dan jerami merupakan makanan yang lazim terhidang dan akan dimakan oleh kuda-kuda ketika lapar. Setelah kenyang, kuda-kuda itu tidak peduli akan nasib mereka dijadikan kuda tunggangan untuk menjejaki kuda-kuda yang lain.
Rangkap 3: Dengan kuasa yang ada padanya dan apabila sesekali bersuara nyaring, sang gembala kuda begitu berani dan yakin menunggang kuda-kuda itu menempuh segala rintangan dan kepayahan. Dia bijak menggunakan tipu helahnya dengan berpura-pura sebagai penyelamat maruah yang kononnya berjuang atas dasar kebenaran dan menentang segala penipuan.
Rangkap 4: Sang gembala kuda ialah seorang lelaki yang hanya ingin mengetahui kepantasan larian kudanya tanpa mempedulikan kepenatan kuda itu. Sang gembala kuda juga hanya tahu mengejar kejayaan tanpa mengambil kira kesengsaraan kuda itu. Sang gembala kuda hhanya mementingkan diri apabila kuda-kuda itu terus ditunggangi berulang-ulang kali tanpa rasa belas.

Tema

Sajak ini bertemakan kekuasaan penjaga kuda dan penganiayaan tenaga haiwan yang dilakukannya terhadap kuda-kuda tunggangannya. Berbekalkan kuasa yang dimiliki, dengan angkuh dan berani, penjaga kuda Berjaya menakutkan serta mengawal kuda-kudanya kembali ke kandang. Penjaga kuda hanya mementingkan diri dan sanggup menggunakan sepenuh tenaga kuda-kudanya tanpa mempedulikan nasib haiwan tunggangannya itu.

Persoalan

1.     Kekuasaan mempengaruhi gaya kepimpinan.
2.     Ketegasan dalam memimpin.
3.     Penganiyaan terhadap haiwan.
4.     Kepatuhan menurut pemerintah.
5.     Keberaniaan menempuh cabaran dan rintangan.
6.     Kebijaksanaan mengeksploitasi golongan yang lemah.
7.     Pasrah dan reda akan ketentuan Ilahi.

 

Bentuk Sajak

1.     Sajak ini berbentuk bebas atau tidak terikat.
2.     Sajak ini terdiri daripada empat rangkap.
3.     Bilangan barisnya tidak sama, iaitu rangkap pertama ada lima baris, rangkap kedua ada lima baris, rangkap ketiga ada sebelas baris, dan rangkap keempat ada  lapan baris.
4.     Jumlah patah kata  dalam setiap baris juga tidak sama, iaitu antara tiga hingga enam patah kata setiap baris.
5.     Jumlah suku kata  dalam setiap baris terdiri daripada lapan hingga tiga belas  suku kata.
6.     Rima akhir sajak ini bebas/tidak sama;  abcdd, abcab, aabccadecc, abaabacc.

Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi

1.     Pemilihan kata yang indah dan ayat atau baris yang dibentuk adalah puitis. Contohnya:
(a)   Rembat angkuhnya memacu takut – rangkap 1, baris 3
(b)   Meredah onak di rimba perburuan – rangkap 3, baris 5
2.     Epifora. Contohnya, perulangan kata ditunggangi – rangkap 4, baris 7 dan baris 8.
3.     Repetisi atau perulangan. Contohnya:
Ditunggangi dan ditunggangi – rangkap 4, baris 8.
4.     Penggunaan metafora. Contohnya:
(a)    Rimba perburuan
(b)   Paya penindasan
(c)    Cemeti durjana
5.     Personifikasi. Contohnya:
(a)   Rembat angkuhnya memacu takut – rangkap 1, baris 3
(b)   Pacuannya diiringi seribu keberanian – rangkap 3, baris 4
6.     Hiperbola. Contohnya:
Dimamah rakus kala lapar – rangkap 2, baris 3
7.     Sinkope. Contohnya:
Tak peduli nasib diri setelah kenyang – rangkap 2, baris 4
8.     Inversi. Contohnya:
Dan kuda-kuda itu ditunggangi – rangkap 4, baris 7
Sepatutnya: kuda-kuda itu ditunggangi dan
9.     Unsur bunyi:
(a)   Asonansi. (perulangan bunyi vokal). Contohnya:
i.                 sesekali suaranya lebih gempita
Dalam contoh ini, terdapat perulangan bunyi vocal I sebanyak tiga kali.
ii.               menentang semua kebobrokan
Dalam contoh ini, terdapat perulangan bunyi vocal e sebanyak tiga kali.
(b)   Aliterasi. (perulangan bunyi konsonan). Contohnya:
i.                 ditunggangi dan ditunggangi!
Dalam contoh ini, terdapat perulangan bunyi konsonan d sebanyak tiga kali.
ii.               dia melampar muslihat
Dalam contoh ini, terdapat perulangan bunyi konsonan m sebanyak dua kali.

Nada

Sajak ini bernada sinis. Nada sinis sesuai dengan sajak “Sang Gembala Kuda” yang menyatakan sikap mementingkan diri penjaga kuda dalam menjalankan tugasnya hingga menganiayai dan mengabaikan soal-soal penjagaan khusus terhadap haiwan itu.

Nilai

1.     Nilai tanggungjawab. Contohnya, penjaga kuda bertanggungjawab menjaga kuda tunggangannya dengan mengurus makan dan minum secara baik.
2.     Nilai keberanian. Contohnya, penjaga kuda berani menempuh berbagai-bagai kepayahan dan rintangan sewaktu menjaga kuda-kuda itu.
3.     Nilai kebijaksanaan. Contohnya, penjaga kuda bijak mengawal kuda tunggangannya detika dia menghalau kuda-kuda itu masuk ke kandang.
4.     Nilai kegigihan. Contohnya, penjaga kuda gigih melaksanakan tugasnya menjaga kuda-kuda tunggangan walaupun terpaksa menggunakan kekerasan terhadap kuda-kuda itu.
5.     Nilai kepatuhan. Contohnya, sekumpulan kuda digambarkan patuh akan arahan penjaga kuda.

Pengajaran

1.     Kita hendaklah bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas yang telah diberikan oleh ketua.
2.     Kita mestilah berani mengahadapi berbagai-bagai rintangan tanpa mudah berputus asa.
3.     Kita perlulah gigih berusaha dalam melaksanakan satu-satu tugas agar kejayaan dapat dikecapi akhirnya.
4.     Kita sewajarnya patuh akan arahan dan suruhan ketua demi keharmonian sesebuah organisasi.
5.     Kita hendaklah bijak dalam merancang dan menjalankan tugas dengan baik dan sempurna.




8 comments: