Monday 23 February 2015

Sinopsis Novel Jendela Menghadap Jalan (Edisi Terkini)

Jendela Menghadap Jalan

Sinopsis


Novel Jendela Menghadap Jalan diceritakan berdasarkan catatan Lili yang berlaku dalam bulan Ogos 2008. Novel ini mengisahkan sifat cekal dan keberanian Lili dalam menempuh berbagai-bagai permasalahan sosial dan kemasyarakatn yang berlaku sepanjang cuti persekolahannya di Kampung Sentosa. Cerita bermula apabila Lili dihantar pulang bercuti ke kampung kelahiran ibunya di Dungun, Terengganu dengan menaiki bas ekspres. Ibu berpesan kepada Lili tentang perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan semasa berada di kampung. Semasa dalam perjalanan ke Dungun, Lili berkenalan dengan Geetha, seorang gadis berketurunan India yang duduk di sebelahnya ketika di dalam bas ekspres.
            Lili menyukai panorama keaslian hutan di kampung ibunya. Lili berasa hairan melihat kebanyakan rumah di kampung itu dibina dengan kedudukan jendela-jendelanya menghadap jalan. Dalam pertemuan itu, nenek mengatakan bahawa Lili semakin besar dan Lili menghulurkan wang kiriman ibunya kepada nenek.
            Lili tekun menunggu dan berharap agar datuknya bercerita tentang kepentingan susunan rumah dan jendela rumah yang menghadap jalan. Namun, datuknya bercerita tentang kelebihan dan bagaimana akar-akar kayu berupaya merawati pesakit melalui kaedah rawatan tradisional. Nenek mengajak Lili ke kedai runcit Letchumi selepas hujan berhenti. Letchumi yang berbadan gempal menyambut mesra kedatangan nenek dan Lili. Lili telah bertemu semula dengan Geetha yang merupakan anak gadis Letchumi.
            Lili terkejut dengan kehadiran tetamu di rumah datuknya beberapa minit setelah mereka selesai sarapan. Danel memberitahu Lili tentang isu kubah surau yang hangat diperkatakan oleh penduduk kampung ekoran tiadanya permuafakatan. Danel berterus-terang tentang kunjungannya ke rumah datuk untuk menghentikan pengambilan ubat-ubatan herba tradisional oleh bapanya. Hal itu telah menyebabkan datuk berasa kecil hati. Datuk teguh dengan pendiriannya bahawa kaedah rawatan tradisional lebih baik berbanding dengan rawatan moden.
            Penduduk kampung bertelagah dan tidak bersepakat dalam isu pemasangan kubah pada bumbung surau usang. Nenek bercerita tentang nasib datuk Lili yang akan kehilangan lima lagi pesakitnya yang datang dari Kuala Lumpur apabila mereka telah menggunakan ubat ajaib untuk menyembuhkan penyakit. Datuk memberitahu Lili bahawa semua pesakitnya telah lari. Rashid terlupa untuk menghantar Lili ke rumah Geetha. Sebagai menebus kesalahannya, Rashid membawa Lili berjalan-jalan di pasar malam di pekan.
            Lili mengunjungi Geetha yang diserang demam. Geetha tidak seronok bercuti di kampung kerana dia berasa bosan. Geetha mendapat keizinan ibunya untuk pergi bermalam di rumah datuk Lili. Lili dan Geetha telah mendaki bukit untuk menikmati oemandangan matahari terbenam dari puncak bukit.
            Geetha dan Lili ke kedai runcit berhampiran untuk membeli barangan runcit. Mereka menyaksikan peristiwa anak-anak Che Jah yang dikejar oleh sekumpulan pemuda kerana teah mencuti harta benda ibunya sendiri. Che Jah menjerit dan sambil menangis mengenangkan sikap anak-anaknya yang tidak mengenang budi.
            Nenek meberikan keizinan kepada Danel untuk mengajak Lili ke pekan. Mereka singgah di restoren makanan segera. Mereka balik ke Kampung Sentosa dengan menaiki bas. Setibanya di kawasan kampung, Lili melihat Rafiq yang memegang senjata tajam dikejar oleh beberapa orang lelaki di belakangnya. Secara tiba-tiba, Rafiq menjadikan Lili sebagai orang tahanan dengan mengacukan pisau tajam berkilat di lehernya. Rafiq mengugut untuk mencederakan Lili jika ada antara lelaki itu yang mendekatinya. Lili pengsan.  Apabila Lili sedar, dia mendapati kedua-dua belah tangannya diikat ke belakang dan disembunyikan di sebuah pondok buruk. Lili mendengar suara Danel yang datang menyelamatkannya. Sebagai tanda kesyukuran kerana Lili selamat, datuk sempat mengajak beberapa orang jemaah yang ada di rumahnya untuk mengerjakan solat hajat.
            Nenek menasihati Lili agar tidak menyibuk hal keluarga Che Jah terutama yang melibatkan perihal Haziq dan Rafiq yang dikatakan berperangai macam syaitan. Ketika berada di rumah Che Jah, Lili memberitahu Che Jah bahawa dia memaafkan kesalahan Rafiq dan Haziq atas kejadian yang berlaku semalam. Che Jah terharu dan menangis mendengar kata-kata ikhlas Lili itu. Lili melihat sebuah lori membawa kubah surau. Dia juga baru kali pertama mendengar orang bertengkar tentang kubah surau. Nenek kebratan melepaskan Lili pergi kerana memikirkan aspek keselamatan dirinya. Danel dan Lili berbincang tentang isu pemasangan kubah pada surau atau pada bumbung masjid baharu yang bakal dibina suatu hari nanti.
            Berlaku suasana yang getir apabila Seman memukul sambil memaki hamun anaknya, Haziq. Orang ramai yang datang termasuk Lili dan Danel takut untuk meleraikan perbuatan kejam Seman itu. Dari dalam rumah kedengaran suara jeritan Che Jah yang meminta Seman agar menceraikannya. Nenek yang pulang lewat membawa perkhabaran bahawa Che Jah belum diceraikan suaminya. Ketika berbual dengan Lili, Kak Mimah memberitahu Lili bahawa dia bertugas sebagai penolong pegawai di Jabatan Kebajikan Masyarakat, Bahagian Warga Tua dan Keluarga. Lili sempat memberitahu Kak Mimah tentang kes keganasan rumah tangga yang berlaku di kampungnya itu.
            Kak mimah menyatakan kesanggupannya untuk membantu Che Jah menangani kes keganasan rumah tangganya dengan Seman setelah diceritakan panjang lebar oleh Lili. Geetha bersetuju mengikut Lili dan bermalam di rumah datuk Lili. Nenek gembira menyambut kedatangan Geethe di rumahnya. Nenek membenarkan Lili dan Geetha menziarahi Che Jah.
            Datuk memberitahu Lili bahawa Kak Mimah telah menghubunginya. Datuk bertekad hendak mengheret Seman ke penjara. Menurut datuk, Seman telah banyak melakukan kerosakan kepada hati orang lain, selain hati isteri dan hati anak-anaknya. Lili mengagak yang Geetha dan Danel mula jatuh cinta. Datuk berasa kesal kerana lambat bertindak untuk memperbetul segala masalah yang berlaku di kampung itu.
            Lili terdengar suara kecoh penduduk kampung di halaman rumah datuknya. Mereka datang melaporkan bahawa kubah telah dilarikan orang dan mengesyaki anak-anak Che Jah yang melakukan perbuatan itu. Lili melihat datuknya mengheret Haziq dan Rafiq ke halaman rumah sambil dibantu oleh dua orang pemuda lain.
            Haziq dan Rafiq kelihatan lemah dan ada kesan seperti dibelasah orang. Wajah Haziq lebam manakala hidung Rafiq berdarah. Mereka masuk ke dalam rumah dan merebahkan diri di lantai ruang tamu tanpa disuruh. Geetha membawakan Danel minuman panas. Akibat kebimbangan Haziq akan bertindak ganas, nenek mengawasi muka pintu dapur dengan batang penyapu dengan Danel pulla berdiri cuba melindungi Lili menyebabkan Geethe berasa cemburu dan beredar dari ruang tamu itu.
            Kak Mimah dan Nadia, dua orang pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat tiba di rumah datuk. Che Jah datang menemui Kak Mimah di rumah datuk. Dia menceritakan kejadian malangnya secara panjang lebar kepada Kak Mimah dan Nadia. Che Jah sangat bersetuju jika suaminya dibawa ke muka pengadilan kerana kubah yang dilarikan semalam adalah perbuatan jahat suaminya tetapi suaminya itu telah menghalakan segala perbuatan jahatnya kepada anak-anaknya yang sedang belajar untuk menjadi baik. Lili dan Geetha disuruh menjaga Rafiq dan Haziq di rumah ditemani Kak Bibah dan dua orang pakcik yang belum dikenali.
            Menurut Rashid, Sugi tidak terlibat dalam hal kemasukan dua orang wakil pemaju perumahan yang datang memujuk orang kampung untuk menjual tanah mereka. Che Jah membuat laporan polis berhubung dengan kes jenayah suaminya dan laporan akan disediakan untuk tindakan lanjut dari Jabatan Kebajikan Masyarakat minggu depan. Datuk tidak melatah dengan semua tuduhan penduduk kampung itu.
            Ibu menghubungi Lili. Dia berasa pelik dengan perubahan sikap anaknya yang tidak merungut sepanjang tempoh percutiannya di kampung. Sewaktu azan sudah berkumandang, Geetha dan Danel telah mengetuk dinding bilik Lili untuk mengejutkannya sekali gus mengajaknya melihat matahari terbit.
            Lili, Geetha dan Danel duduk di jeti nelayan memerhatikan keindahan matahari terbit. Ketika Lili tiba di rumah, dia melihat ibunya sedang berbual mesra dengan datuk dan neneknya. Menurut Lili, kebahagiaan yang paling bermakna kepadanya adalah apabila melihat ibunya berbual mesra dengan datuknya.
            Datuk Lili yang bernama Haji Abdul Rahman telah mengisahkan perjalanan hidupnya dari Kalimantan yang berpindah-randah hingga akhirnya membuka petempatan di Kapung Sentosa. Datuk Lili tabah menempuh berbagai-bagai rintangan dalam hidupnya hinggalah dia bertemu denga neneknya di sebuah tempat ajaib, 42 tahun dahulu.
            Nenek Lili bercerita bahawa dirinya bernama Hajah Aisyah Tan Abdullah dan berasal dari Tanah Besar China. Mengikut bapanya berhijrah ke Tanah Melayu ketika berusia 11 tahun bersama-sama dengan adik-beradiknya yang lain. Dia menetap di Tanah Melayu hingga bertemu jodoh dengan Haji Abdul Rahman. Nenek akhirnya memberitahu Lili sebab jendela dibina menghadap jalan supaya mudah untuk mengintai pergerakan Bintang Tiga dan sentiasa berjaga-jaga. Lili menerima sepucuk surat yang ditulis dan dihantar oleh Danel yang mengisahkan berbagai-bagai perkara. Lili mencatat segala peristiwa dan kejadian yang berlaku.
            Cerita diakhiri dengan Lili menyambung semula catatannya pada bulan Disember 2008. Dalam catatannya itu, Lili berasa lega dan gembira apabila semua ujian dan permasalahan sosial dan kemasyarakatn yang berlaku di Kampung Sentosa berjaya ditangani. Lili tidak sabar untuk kembali ke Kampung Sentosa bagi mendengar cerita datuknya tentang jendela menghadap jalan.


1 comment:

  1. thank you for this sinopsis ... truskan semngat buat vlog tauuuu biarr je ape org ckp yg penting abang ikhlas kongsi bahan dkt vlog abg ni ke org lain okeyhhhh SEMANGATTTTT

    ReplyDelete