Sunday, 17 May 2015

LATIHAN KARANGAN

PUNCA-PUNCA KEMALANGAN JALAN RAYA


                                               

                                                                       






KECUAIAN PENGGUNA             KEADAAN JALAN RAYA      KENDERAAN YANG
JALAN RAYA                              YANG TIDAK SELAMAT        TIDAK DISELENGGARA
                                                                                                      SECARA BERKALA










ARTIKEL SOKONGAN:

 

PENINGKATAN KEMALANGAN JALAN RAYA

Kemalangan dan kematian di jalan raya sudah menjadi masalah negara yang menghantui kita setiap hari. Kemalangan jalan raya banyak berlaku pada musim perayaan khususnya bukan sahaja membawa kerugian kepada keluarga mangsa, tetapi kerugian modal insan yang besar kepada negara Setiap nyawa yang hilang akibat kemalangan jalan raya merupakan kerugian kepada negara kerana banyak wang dan perbelanjaan telah dikeluarkan ke atas mereka bagi tujuan persekolahan, peperiksaan, serta latihan pekerjaan dan akhirnya tidak dapat memberi sumbangan kepada negara akibat terlibat dalam kemalangan. Pelbagai program telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan dalam usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya pada musim perayaan. Ops Pacak, Ops Sikap, Ops Statik, penggunaan helikopter untuk memantau pergerakan kenderaan, pengedaran poster, kempen kesedaran serta  penguatkuasaan dilakukan dan merupakan  metodologi yang digunakan oleh pihak  kerajaan untuk memastikan rakyat Malaysia sentiasa selamat ketika berada di jalan raya. Ops Sikap yang telah diadakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini adalah lebih bertumpu kepada sikap pengguna jalan raya yang menjadi faktor kemalangan dan peningkatan kadar kematian di jalan raya terutamanya pada musim perayaan. Namun,  jumlah kemalangan dicatatkan dan nahas jalan raya kini menjadi ancaman nombor satu di Malaysia yang semakin kritikal lebih-lebih lagi dengan penambahan jumlah kenderaan setiap tahun. Angka kematian bukan sahaja tidak pernah menurun malah pemandu-pemandu semakin rakus menjadikan jalan raya sebagai tempat untuk berlumba, selain mengambil kesempatan menguji kemampuan kenderaan masing-masingmemecut.
Menurut Menteri Pengangkutan, situasi itu cukup sedih dan mengecewakan. Keadaan ini kerana setiap tahun kerajaan telah membelanjakan RM9 bilion untuk pelbagai kempen keselamatan.  Kerugian yang dialami akibat kemalangan amat tinggi sekali. Kita dapati tiap-tiap tahun kerugian sampai RM9 billion meliputi kes insurans, kehilangan harta benda, dan lebih penting kehilangan kebolehan untuk cari pendapatan di masa hadapan.  Peringatan "Berhati-hati di Jalan Raya", "Patuhi Had Laju", "Kelajuan Membunuh", dan slogan "Pandu, Tunggang dan Jalan Dengan Selamat" serta "Anda Mampu Mengubahnya" menyegarkan kembali ingatan pengguna jalan raya agar berhati-hati semasa berada di atas jalan raya. Namun realitinya, pengguna jalan raya di Malaysia masih lagi cuai, lalai dan lupa walau diberikan dengan pelbagai peringatan serta slogan di sepanjang jalan raya.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut melahirkan rasa sedih dengan peningkatan jumlah kemalangan di jalan raya pada musim perayaan.  Peningkatan yang berlaku  terutama sekali di jalan negeri dan bandaran tidak sepatutnya berlaku kerana pelbagai kempen diadakan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai, sehingga Jabatan Keselamatan Jalan Raya ditubuhkan bagi menangani perkara itu. Jumlah kes kemalangan jalan raya terutamanya yang melibatkan motosikal membimbangkan kerajaan.
Kerajaan akan terus meneliti langkah terbaik bagi mengurangkan kadar kemalangan di negara ini dan meskipun langkah memperketat peraturan mungkin menerima bantahan banyak pihak. Pengguna jalan raya, kata beliau boleh menyalahkan jalan yang berlubang atau sempit sebagai punca kemalangan namun ia boleh dielakkan jika mereka berhati-hati dan tidak memandu laju. Justeru, Muhyiddin menasihati pengguna jalan raya agar lebih bertanggungjawab, menghargai nyawa, menghormati satu sama lain dan ingat kepada orang yang disayangi ketika memandu
Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan kemalangan terus meningkat setiap tahun dan pada musim perayaan tahun ini sahaja mencatatkan jumlah kemalangan adalah sebanyak 1609 kes kemalangan dan merupakan jumlah kemalangan yang paling tinggi dicatatkan  sejak beberapa tahun yang lalu.  Manakala keseluruhan jumlah kemalangan menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan kemalangan terus meningkat. Pada 2014 sebanyak 414,421 kemalangan direkodkan berbanding 397,330 kemalangan pada tahun sebelumnya
Keselamatan kereta juga merupakan salah satu faktor yang turut menyumbang kepada berlakunya kemalangan. Oleh  itu, setiap pemandu harus mengetahui serba sedikit mengenai komponen alat ganti kenderaan.  Keadaan ini penting supaya mereka tidak menjadi mangsa penipuan terhadap barangan tiruan yang digunakan dalam penggantian alat ganti  kenderaan mereka. Selain itu, penyelenggaraan juga perlu di lakukan mengikut piawaian dan jangka masa yang telah ditetapkan supaya kenderaan sentiasa berada dalam keadaan yang baik untuk pemanduan yang lancar dan selamat ke destinasi.
Analisis dalam beberapa Ops Sikap sebelum ini mendapati, sikap pemandu yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya dan tidak mempedulikan kenderaan lain menjadi punca berlakunya peningkatan kemalangan. Dengan kata lain, pemandu secara umumnya hanya mematuhi peraturan atau bersikap hipokrit apabila melihat  polis dan bukan kerana sikap untuk keselamatan jalan raya. Peraturan jalan raya sepatutnya dipatuhi atas dasar sedar tentang kebaikannya dan bukan takut untuk di saman pihak berkuasa. Antara punca yang menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya adalah kecuaian pemandu kenderaan itu sendiri. Ramai pemandu yang memandu dalam keadaan mengantuk. Biasanya keadaan mengantuk ini berlaku ketika tengah hari dan sebelah malam. Mereka yang memandu dalam keadaan mengantuk besar kemungkinan terlelap seketika semasa memandu. Seterusnya mengakibatkan kenderaan mereka terbabas ataupun melanggar kenderaan lain pada arah yang bertentangan.
Selain itu punca lain ialah kenderaan yang kurang sempurna sifatnya. Sebelum memandu kenderaan, kita seharusnya  memeriksa kenderaan kita supaya selamat untuk dipandu. Sebagai contohnya, keadaan minyak hitam, brek, bateri, air, dan lampu berada dalam keadaan baik. Terdapat pemandu yang tidak menghiraukan keadaan ini. Mereka mengabaikan kesempurnaan kereta mereka. Mereka tidak mengganti tayar yang haus. Apabila tayar kereta  sudah haus, sudah tentu daya cengkaman kenderaan itu akan berkurangan. Hal ini lebih membahayakan ketika hujan kerana sewaktu hujan, cengkaman tayar di permukaan jalan raya semakin berkurangan. Jelas di sini, tayar yang haus boleh menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya.
Secara konklusinya, pihak polis atau penguat kuasa telah berusaha sedaya-upaya untuk mengekang kemalangan daripada terus bertambah. Namun, soal keselamatan di jalan raya adalah menjadi tanggungjawab setiap individu sebagai pengguna jalan raya dan bukannya tanggungjawab pihak berkuasa atau kerajaan semata-mata. Pengguna perlu menganggap sasaran menurunkan statistik kemalangan jalan raya ke peringkat sifar merupakan satu tuntutan sosial. Usaha mensifarkan nahas jalan raya tidak kira sama ada sempena perayaan mahupun di luar musim perayaan bukanlah suatu perkara yang mustahil. Oleh demikian, setiap pengguna jalan raya haruslah mempunyai komitmen yang tinggi semasa menggunakan jalan raya supaya menjaga sikap dan tanggungjawab untuk pemanduan yang berhemah dan menjamin keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain.


No comments:

Post a Comment