LATIHAN KARANGAN:
Selaku
aktivis dalam Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), anda telah dijemput untuk
menyampaikan ceramah kepada sekumpulan remaja. Tajuk ceramah anda ialah, “Dadah
Musuh Negara: Peranginya Habis-habisan”.
Tulis
teks ceramah anda selengkapnya.
Salam
sejahtera dan salam muhibah,
Terima
kasih kepada Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berbahagia Pengarah
Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Desa, ketua-ketua masyarakat, dan seterusnya
para remaja yang dikasihi sekalian.
Peribahasa lama ada mengingatakan kita
bahawa ingat sementara belum kena, jimat sementara belum habis. Peribahasa ini
menjadi sumber nasihat agar masyarakat sentiasa berwaspada terhadap sesuatu
anasir yang boleh menimbulkan pelbagai implikasi negatif kepada kehidupan kita.
Salah satu daripadanya ialah najis dadah yang emnjadi musuh nombor satu negara.
Dadah merupakan anasir paling berbahaya
dalam masyarakat yang seyogianya kita jauhi malah perlu diperangi
habis-habisan.
Hadirin
sekalian,
Kita sering mendengar sindiran orang
tua-tua, jikalau rosak kerana perempuan habis tenaga berhenti, jikalau rosak
kerana berjudi habis wang berhenti, dan jikalau rosak kerana mencuri lepas
tertangkap berhenti. Sebaliknya, jikalau seseorang itu rosak dengan mengambil
dadah, tempat terakhir ialah mati. Sesungguhnya, atas rasa tanggungjawab
tersebutlah saya mengambil amanah ini demi kepentingan masyarakat betapa
perlunya kita menyedari bahayanya ancaman dadah terhadap masyarakat. Lantaran
itu, saya amat berterima kasih atas keprihatinan semua pihak untuk memerangi
gejala najis dadah ini. Dengan hal yang demikian, bersempena dengan peluang
yang keemasan ini, saya akan menyampaikan sebuah ceramah yang bertajuk, “Dadah Musuh Negara: Peranginya
Habis-habisan”.
Tuan-tuan
dan puan-puan sekalian,
Dadah dalam definisi yang mudah ialah
sejenis candu. Candu tersebut telah diproses untuk digunakan sebagai sumber
pelali dan penahan sakit dalam amalan perubatan pada zaman silam. Walau
bagaimanapun, dengan pengaruh teknologi dan kemajuan dalam bidang farmaseutikal
pelbagai bentuk dadah dihasilkan. Antaranya adalah untuk perdagangan dalam
teknologi ubat-ubatan. Walau bagaimanapun, akibat penggunaan yang
berlebih-lebihan, fungsi dadah sebagai bahan pelali telah disalahgunakan
sehingga mengakibatkan gian atau ketagih yang keterlaluan. Akhirnya dadah dalam
bentuk morfim, heroin, marijuana, syabu, dan ekstasi telah menjadi sumber
khayal yang amat diperlukan oleh penagih tegar. Disebabkan kandungan kafien dan
narkotina yang tinggi kandungan dadah yang berlebihan dalam darah telah
bertukar menjadi racun dan membahayakan penggunanya.
Remaja
yang dikasihi sekalian,
Pada hari ini dadah bukan lagi diambil
sebagai sumber untuk melepaskan gian seperti keletihan, menahan sakit atau
menjadi ubat penenang tetapi dadah mula menjadi ancaman besar terhadap
kesejahteraan hidup manusia. Dadah menjadi pembunuh senyap ibarat api dalam
sekam dan membawa ancaman seperti musuh dalam selimut. Setiap penagih tegar
akan terus berusaha mendapatkan dadah walaupun dirinya bagaikan bangkai
bernyawa. Pengaruh dadah dalam kalangan remaja juga seolah-olah mempunyai
tangan ghaib yang mampu menarik remaja dalam sekelip mata untuk berdampingan
dengan dadah. Dengan keajaiban itulah kini negara kita sedang berhadapan dengan
masalah bangkai bernyawa ini yang sudah meningkat sehingga 800 ribu orang
dengan kadar tujuh orang penagih baru dalam setiap hari. Demikianlah malapetaka
dadah yang boleh menghancurkan sesebuah tamadun atau negara. Tanpa menoleh ke belakang semula kita
tidak perlu mencari tentang di manakah silapnya sehingga begitu hebat serangan gejala dadah itu? Terlalu banyak
puncanya jikalau saya hendak perturunkan satu persatu. Namun apalah gunanya
kita mencari segala kesilapan yang lalu kerana usaha tersebut tidak mampu
menyelesaikan masalah. Justeru, dalam wacana minda yang sesingkat ini marilah
bersama-sama saya, kita menelusuri usaha-usaha yang boleh menyelesaikan masalah
ini. Sebagai anggota masyarakat tidak seorang pun yang boleh melihat fenomena
dadah sebagai masalah yang terpencil sebaliknya menjadikan tanggungjawab
bersama. Mungkin benar pada hari ini ahli keluarga kita tidak terjebak dengan
gejala tersebut, tetapi esok atau lusa bukan mustahil.
Hadirin
sekalian,
Sebagai ketua keluarga, suami
janganlah pula meletakkan tanggungjawab mengawal anak-anak kepada isteri sahaja.
Sebarang kesalahan anak terus dilemparkan kepada isteri. Cara ini tidak adil.
Si suami mesti tahu akan had dan kemampuan yang ada pada isteri. Bawalah
berbincang dengan isteri dan anak-anak agar mereka sentiasa berasa diri
didekati. Kasih sayang merupakan ubat penenang yang paling mujarab untuk
mencegah gejala yang terburuk dalam sejarah kebejatan sosial manusia itu. Kata
orang-orang tua elok kerja dengan muafakat agar semuanya membawa berkat.
Rakan-rakan
yang dikasihi sekalian,
Kepada anak-anak remaja, anggaplah
diri anda sebagai pahlawan. Anda mampu menepis segala ancaman jahat termasuklah
ancaman dadah. Sebagai remaja perkasa, amatlah daif apabila kita sendiri gagal
untuk membawa diri kita menentukan antara yang baik dan yang buruk demi kebaikan
masa depan sendiri. Bijaksanalah dalam memilih rakan. Rakan bukan sekadar untuk
berseronok-seronok tetapi rakan mestilah mampu membimbing kita sama ada dalam
keadaan susah atau senang. Ingatlah, rakan ketawa beramai-ramai, rakan menangis
seorang diri. Sesungguhnya, negara amat berharap kepada sumbangan anda untuk
menjadi tenaga penggerak wawasan. Seandainya anda kecundang, kepada siapakah
yang harus diharapkan lagi untuk menguruskan negara ini?
Selain itu, semua agensi keselamatan
sama ada pihak polis, RELA, dan pihak berkuasa dalam masyarakat hendaklah
menjalin kerjasama bersepadu. Tugas penting kita adalah mengesan musuh dalam
selimut yang bersikap telunjuk lurus kelengkeng berkait yang sentiasa menangguk
di air keruh. Bedebah seperti ini yang perlu dicekup dahulu dan dibawa ke muka
pengadilan. Angkara merekalah yang menyebabkan ratusan ribu anak-anak peria
bunga bangsa tersungkur di tengah-tengah medan juang sebelum mereka mengenali
identiti diri. Golongan yang telah kaya-raya di atas kemusnahan orang lain
tidak boleh dibiar lama berkeliaran dalam masyarakat. Mereka inilah pengedar
dan penyebab gejala dadah bertambah rumit untuk diselesaikan.
Tuan-tuan
dan puan-puan,
Saya yakin, bencana dadah tidak akan
lunas sampai bila-bila masa pun. Bahayanya sudah menular ke peringkat global.
Namun kita harus tabah dan berusaha secara bijaksana agar gejala yang telah
memusnahkan ratusan ribu remaja itu terlerai juga, ibarat orang mementung ular,
ular dipentung biar mati, kayu pementung jangan patah, tanah datar jangan
pecah. Maka, ingatlah, “Dadah
Musuh Negara: Peranginya Habis-habisan”.
Masuk ke rimba semak diredah,
semak diredah ikut petanda;
Ambil dadah membawa padah,
kes gundah masalah berganda.
semak diredah ikut petanda;
Ambil dadah membawa padah,
kes gundah masalah berganda.
Sekian
terima kasih.
No comments:
Post a Comment