AMALAN BERGOTONG ROYANG
“Hidup
sandar-menyandar bagai aur dengan tebing”. Berdasarkan maksud peribahasa
tersebut, huraikan faedah aktiviti amalan bergotong
royong dalam kehidupan kita seharian.
Dalam meniti kehidupan yang
bertunjangkan nawaitu materialistik dan individualistik marcapada, kita
seyogianya memahami maksud amalan bergotong royong. Amalan ini merupakan budaya
yang dipraktikkan sejak generasi dulu dan amalan ini dianggap tak basah dek
hujan, tak lekang dek panas. Peribahasa ini menunjukkan warisan budaya atau
amalan bangsa agar sentiasa releven dan diingati oleh masyarakat Malaysia ,
terutamanya generasi alaf baharu ini. Yang berlaku sekarang, budaya yang
diingini hanyalah keseronokan dan keselesaan yang tidak mahu
dipertanggungjawabkan. Fenomena ini melunturkan semangat memupuk amalan
bergotong-royong. Tepuk dada, tanya selera; berapa ramaikah yang tidak
mengenali maksud gotong-royong dan melaksanakannya? Berapakah peratus daripada
golongan muda generasi kini yang telah bergotong-royong untuk membersihkan
sesuatu tempat? Oleh hal yang demikian,kita mestilah mengenali faedah
bergotong-royong dan menjalankan kegiatan bergotong-royong ini.
Faedah dominan ialah amalan
bergotong-royong dapat memperindah tempat tinggal. Kebersihan tempat tinggal
merupakan keperluan asas untuk hidup dengan selesa. Dengan amalan
kemasyarakatan ini, tempat tinggal kita tidak akan menjadi sekadar indah
khabar daripada rupa. Sebagai insan biasa, kita tentu mahu akan kecantikan
tempat tinggal kita dipuji oleh orang lain. Dengan menjalankan amalan bergotong–royong
kita dapat memperindah sendiri kawasan tempat tinggal dan memahami jiran dengan
lebih mendalam. Fenomena ini persis peribahasa tak kenal maka tak cinta.
Sebagai contoh, apabila kawasan tempat tinggal kita sentiasa bersih dan indah,
rakan-rakan sendiri akan menyukai kawasan tempat tinggal kita secara langsung
dan akan sentiasa menziarahi kita. Sebagai seorang penghuni bumi, kita boleh
mengaktifkan diri dalam amalan bergotong-royong dapat menghijaukan bumi. Persis
kata peribahasa, sambil menyelam minum air. Dengan mengaktifkan diri dalam
amalan bergotong–royong, kita dapat lebih memahami kepentingan kegiatan
bergotong-royong dan akan mewujudkan masyarakat yang bekerjasama. Benarlah kata
peribahasa, bersatu kita teguh bercerai kita roboh . Lantaran itu, kita
harus mengapresiasi amalan ini sebelum kewujudannya tidak diketahui lagi; dan janganlah
kita lupa bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya.
Selain itu, amalan bergotong-royong
seyogianya menjadi satu daripada aktiviti kehidupan yang penting sebagai
langkah membersihkan tempat tinggal daripada menjadi vektor penyakit. Dengan
berbuat begitu, kita dapat mencegah dan menjauhi penyakit. Kata Tun Dr.
Mahathir, “mencegah lebih baik daripada mengubati”. Secara peribadi,
saya berpendapat bahawa kegiatan ini amat berfaedah dan mesti diamalkan sejak
kecil kerana meluntur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan menjadikan amalan
ini sebagai aktiviti penting dalam kehidupan, kita dapat banyak memperoleh
pengalaman dan pengetahuan daripada amalan tersebut. Kita juga dapat mengetahui
betapa senangnya untuk menyelesaikan sesuatu kerja dengan tenaga kerja yang
ramai jikalai kita mengaktifkan diri dalam kegiatan bergotong-royong. Biar saya
ambil contoh yang dekat dengan kita, amalan ini perlu dipraktikkan untuk
mengekalkan kesihatan dan keadaan yang selesa di kawasan tempat tinggal .
Justifikasinya, amalan ini harus menjadi amalan daripada satu generasi kepada
satu generasi.
Tak tumbuh tak melata, tak sungguh
orang tak kata! Hal
ini demikian, kegiatan bergotong-royong memainkan peranan yang amat penting
sebagai agen perpaduan . Hal ini dikatakan demikian kerana kajian yang
dijalankan oleh Jabatan Perpaduan Negara yang mendapati jurang pemisah antara
kaum semakin lebar dari setahun ke setahun kerana rambut sama hitam, hati
lain-lain. Dengan menjalankan kegiatan bergotong-royong kita dapat
menghapuskan sikap masyarakat yang seperti enau di dalam belukar, melepaskan
pucuk masing-masing. Apabila seseorang yang berlainan kaum berinteraksi
dengan seseorang yang berlainan kaum, kita dapat mengenali kebudayaan kaum-kaum
masing- masing kerana masuk ke kandang kambing mengembek, masuk ke kandang
kerbau menguak. Sebagai contoh, melaui kegiatan bergotong-royong, kita akan
lebih mempercayai masyarakat sekeliling
dan menghormati sesama diri. Dengan itu, kita akan hidup saling membantu bagai
aur dengan tebing .
Melalui kegiatan yang afdal ini juga
kita dapat memupuk nilai murni dalam sanubari kita. Hal ini dikatakan demikian
kerana Tun Dr.Mahathir, mantan Perdana Menteri ke-4 pernah menegaskan bahawa
dengan melibatkan diri dalam kegiatan bergotong-royong, kita berupaya menerap
pelbagai nilai murni dalam diri. Fenomena ini sama seperti sambil menyelam
,minum air. Jelas beliau semasa merasmikan kempen bergotong-royong pada
peringkat nasional, awal tahun 2003. Nilai murni yang diterapkan akan
mentransformasikan kita sebagai orang yang lebih disukai dan diterima oleh
masyarakat. Amalan ini juga mampu memasyarakatkan rakyat Malaysia oleh sebab bulat air
kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Hal ini terbukti benar apabila rakyat Malaysia yang berbilang kaum dapat
hidup secara harmoni dan harmonis. Memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa
amalan kemasyarakatan seperti bergotong royang merupakan wahana terpenting ke
arah merealisasikan agenda dan aspirasi nasional.
Faedah terakhir yang tidapat
diketepikan sama sekali ialah aktiviti bergotong-royong sememangnya dapat
menghidupkan semangat kejiranan. Dengan berbuat demikian, kita dapat mengenali
jiran secara mendalam. Setelah terlaksananya aktiviti ini , kita akan
terpanggil untuk membuka hati kita lalu menegur jiran kita. Pembahagian tugas
akan dapat dijalankan semasa aktiviti bergotong-royong dijalankan dan semua
orang akan merasai semangat bersatu padu . Sebagai contoh, aktiviti yang boleh
diadakan secara bergotong-royong termasuklah membersihkan kawasan taman,
menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara, dan sebagainya. Melalui cara ini,
kita dapat menjalin dan meningkatkan hubungan sesama jiran. Bak kata pepatah, berat
sama dipikul, ringan sama dijinjing. Jiran ialah orang yang tinggal di
sekitar rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan, dan juga di belakang rumah
kita. Jiran sangat penting kerana merekalah yang akan menjadi sahabat kita dan
orang yang pertama akan membantu apabila kita menghadapi kesusahan nanti. Tak
percaya? Janganlah lupa bahawa pepatah Melayu ada mengatakan bahawa jiran
sepakat membawa berkat. Lantaran itu, hidupkanlah amalan murni ini dalam
kehidupan kita seharian.
Intihanya , amalan bergotong-royong
membawa faedah yang banyak . Dengan mengamalkan semangat ini, bumi akan menjadi
sebuah tempat yang lebih indah dengan secara tidak langsung. Hayatilah kata
pepatah, ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Oleh itu, amalan
ini tidak akan dilupai dan sirna ditelan zaman. Sesungguhnya, amalan
gotong-royong merupakan tanggungjawab yang penting bagi setiap orang untuk
mewujudkan kualiti kehidupan yang optimum. Marilah kita semaikan amalan yang murni dan amalkannya dalam
kehidupan harian kerana pepatah ada menyebut bahawa yang baik dijadikan
teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Maka, semangat hidup
sandar-menyandar bagai aur dengan tebing dapat disuburkan semula dalam sanubari
rakyat Malaysia
yang rencaman budaya, ras, etnik dan agama ini!
No comments:
Post a Comment