Thursday 15 January 2015

Sinopsis Bab Demi Bab Novel Jendela Menghadap Jalan

Bab 10.
Datuk tetap sayang akan pekerjaannya sebagai pengamal perubatan  tradisional kerana masih ramai penduduk yang percaya dengan rawatan tersebut termasuk ibu Geetha. Hati datuk tersentuh dengan penerangan yang diberikan oleh Danel walaupun hujah-hujah yang diberikan itu belum tentu dapat menyakinkannya. Jangkaan Datuk juga yakin William  tidak dapat menerima penerangan yang diberikan oleh Danel. Jika dahulu  kata-kata datuk boleh diterima pakai oleh penduduk kampung termasuk William, malah berjaya mengislamkannya, tetapi kini tidak lagi. Nenek pula sekarang sudah mula menyindir dan menidakkan kata-kata datuk. Sugi anak sulung William pula telah menggalakkan pemaju datang untuk membangunkan tanah penduduk kampung, yang akhirnya berlaku pertelagahan antara penduduk sama ada mahu menjual tanah mereka atau sebaliknya.

Bab 11.
Sebelum solat, datuk tercari-cari tasbihnya yang hilang entah ke mana, namun sebaik sahaja masuk waktu datuk bersolat dan berzikir tanpa menggunakan tasbih. Setelah selesai solat,  datuk membaca kitab dua halaman dan berhenti. Dengan linangan air mata yang tidak bertakung datuk menahan kesedihannya dalam mengharung segala dugaan kehidupan. Usia datuk kini sudah lebih tujuh puluh tahun. Datuk menyuruh Lili ke dapur supaya nenek membuatkan secawan kopi untuknya. Tanpa berlengah Lili akur dengan arahan datuk dan terus ke dapur. Nenek membawa secawan kopi untuk datuk. Apabila melihatkan ada sesuatu yang ingin dibincangkan antara datuk dan nenek, Lili mohon izin untuk keluar tetapi datuk terus memanggilnya. Lili duduk semula dan datuk meminta Lili menceritakan perwatakan ibunya. Lili terus bercerita, namun berdasarkan soalan-soalan yang dikemukakan oleh datuk jelaslah bahawa terlalu banyak rahsia hidup ibu yang tidak diketahui oleh Lili.

 Bab 12.
Isu kubah surau menjadi perbualan hangat antara penduduk kampung. Mereka masih tidak dapat memnuat keputusan sama ada ingin mendirikan masjid atau membina kubah surau lama. Hal ini telah menyebabkan penduduk kampung hidup berpuak-puak. Bekas ketua kampung, iaitu arwah Haji Salihin merupakan orang alim di kampung ini berasal dari tanah Jawa Barat yang bersama-sama membangunkan surau lama ini, telah berpesan bahawa surau lama ini tidak boleh dibangunkan kerana bimbang kesannya akan mengganggu ketenteraman kampung. Mengikut pendapat nenek itu hanyalah kepercayaan yang tiada penghujungnya dan ada alasannya yang tersendiri. Ketika Lili ke bendang untuk menemui nenek, dia ternampak seorang lelaki mengepit seekor ayam jantan dan seorang lagi mengepit seekor ayam betina. Abang Rashid telah menasihatinya supaya balik ke rumah kerana keadaan kampung begitu tegang. Tiba-tiba muncul sekumpulan lelaki tua melaung-laung dan bertakbir serta menghalang mereka melakukan perkara-perkara haram dan dianggap sebagai pengkhianat. Berlakulah kejar-mengejar antara kumpulan tersebut. Abang Rashid terus menghantar Lili pulang ke rumah kerana bimbang akan keselamatannya. Sebaik-baik sahaja sampai ke rumah, Lili ternampak ada tetamu datang yang terdiri daripada empat orang lelaki dan seorang perempuan.


No comments:

Post a Comment