Thursday 15 January 2015

Sinopsis Bab Demi Bab Novel Jendela Menghadap Jalan

Bab 7.
Nenek membawa Lili ke kedai runcit Letchumi dan terserempak dengan Geetha. Lili tidak menyangka bahawa selama ini, neneknya begitu akrab dengan ibu Geetha. Menurut Geetha, ibunya merupakan pelanggan setia yang mengamalkan minuman herba buatan datuknya yang telah berjaya menyembuhkan penyakit ibunya yang sebelum ini sakit teruk. Walaupun ketika ini saiz badan ibunya terlalu gemuk, tetapi kelihatan begitu sihat. Geetha menasihati Lili supaya mempelajari ilmu penyediaan herba dan rawatan tradisional daripada datuknya yang begitu terkenal di Pekan Sentosa. Lili merasa bangga kerana mendapat penghargaan atas kepakaran datuknya dalam ilmu perubatan tradisional, apatah lagi yang memujinya bukanlah sebangsa dengannya.

Bab 8.
Datuk banyak mengajar Lili berkaitan dengan ilmu keagamaan, malah datuk selalu menguji Lili tentang ilmu-ilmu keagamaan yang selama ini Lili tidak mengetahuinya. Datuk mengakui bahawa ibu Lili tidak kisah dengan ilmu-ilmu keagamaan  berpunca daripada kesilapannya. Semasa zaman kanak-kanak, ibu Lili lebih berminat belajar silat di gelanggang Tuk Wali berbanding ilmu agama. Tambahan pula, setelah berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara, menjawat jawatan penting dan berumah tangga ibu Lili terlupa segala-galanya. Sepanjang berada di kampung Lili merasa keenakan buah-buahan tempatan yang terdapat di dusun yang dikutip oleh Abang Rashid. Pak Sahak datang ke rumah datuk untuk memaklumkan bahawa berlaku kekecohan di surau kerana William cuba dipengaruhi penduduk kampung supaya tidak mempercayai perubatan tradisional di samping memujuknya supaya menjualkan tanah bagi tujuan membina rumah sewa.

Bab 9.
Danel iaitu anak bongsu William Ng berkunjung ke rumah datuk untuk menjelaskan isu yang hangat dibincangkan oleh masyarakat kampung berkaitan pembinaan kubah surau. Wakil Rakyat telah memberi pilihan sama ada ingin membina sebuah dewan masyarakat atau mendirikan sebuah masjid.. Kebanyakan penduduk kampung memilih untuk membina kubah surau berbanding membina sebuah masjid kerana masalah kekurangan tanah. Di samping itu, Danel telah menjelaskan kebaikan mendapatkan rawatan moden berbanding dengan rawatan tradisional. Hujah-hujah telah dikemukakan oleh Danel dari segi sains perubatan untuk menyakinkan penduduk kampung termasuk datuk, walaupun datuk sukar untuk menerima hakikatnya. Memang kaedah perubatan tradisional baik jika digabungkan dengan kaedah perubatan moden, kerana  bahan-bahan ramuan tradisional diawet dalam bentuk moden supaya penggunaannya lebih selamat dan terjamin mengikut kaedah saintifik. Danel terpaksa berhujah secara berhemah demi menjaga hati datuk agar tidak terguris.


No comments:

Post a Comment