Thursday 15 January 2015

Sinopsis Bab Demi Bab Novel Jendela Menghadap Jalan

Bab 19.
Sebelum pulang, Danel dan Lili singgah di restoran makanan segera untuk makan dua biji burger, kentang goreng dan minuman berkarbohidrat yang boleh mengundang penyakit darah tinggi. Danel juga memberitahu bahawa nenek Lili memang pandai memasak dan masakannya sungguh sedap. Dia juga selalu ke rumah nenek untuk membantu nenek masak tanpa pengetahuan Lili. Menu masakan semuanya menggunakan pisang sebagai bahan campuran. Mereka singgah di pasar raya untuk membeli beberapa barang keperluan. Seterusnya, Lili merancang untuk singgah ke rumah Geetha. Setelah selesai, mereka pulang menaiki bas. Mereka menyusuri jalan ke kampung dan Danel mengekori Lili dari belakang. Sebaik sahaja sampai ke jalan besar yang berturap, kelihatan seorang budak lelaki dikejar oleh beberapa orang lelaki dengan suara yang memekik. Lili mengenali itulah anak-anak Che Jah yang sering menimbulkan masalah. Tiba-tiba tangan Lili dipulas. Danel tergamam kerana senjata tajam yang dipegang oleh Rafiq telah diacukan ke leher Lili. Sebaik sedar, Lili telah berada di tempat penculikan yang dilakukan oleh kedua-dua anak lelaki Che Jah.

 Bab 20.
Lili disembunyikan di sebuah rumah usang berlantaikan buluh. Danel telah datang menyelamatkan Lili pada waktu malam kerana Danel memang tahu tempat persembunyian Rafiq dan Haziq. Danel tidak memaklumkan kejadian itu kepada penduduk kampung atas alasan tertentu. Menurut Danel, Haziq satu sekolah dengannya dan merupakan seorang pelajar pintar. Namun, pergaulan bebasnya dengan  kutu-kutu rayau menyebabkan dirinya terperangkap dengan jenayah seperti mencuri, menagih dadah dan pecah rumah. Mereka juga sanggup melakukan kekerasan dan mengugut ibunya sendiri. Penduduk kampung sering menyumpah mereka dan berharap  agar mereka ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara. Sebaik-baik sahaja sampai ke rumah, nenek menyambut kepulangan Lili dengan tangisan kerana bimbang akan keselamatan cucunya. Sebenarnya, nenek tahu tentang kejadian yang menimpa Lili.

Bab 21.

Lili berasa simpati tentang nasib malang Rafik dan Haziq kerana berpunca daripada masalah keluarga yang dihadapi oleh mereka. Sebaik sahaja berjumpa Danel, Lili terus bertanyakan khabar berita tentang nasib mereka dua beradik. Ketua kampung pula telah mengarahkan penduduk kampung merobohkan pondok tempat persembunyian mereka. Namun, Lili tetap berasa simpati dengan keadaan hidup malang yang menimpa Che Jah, Rafiq dan Haziq. Menerusi maklumat yang diperoleh daripada neneknya, banyak kejadian yang bersifat negatif dan menyedihkan menimpa mereka sekeluarga.  Oleh itu, Lili bercadang untuk berjumpa dengan Geetha untuk mendapatkan maklumat yang lebih telus dan bersifat terbuka. Bagi Lili, Rafiq dan Haziq merupakan manusia biasa yang memerlukan pertolongan dan perhatian semua pihak, bukan mengutuk dan menghina mereka secara berterusan. Lili memohon kebenaran untuk ke rumah Geetha, tetapi neneknya tidak membenarkannya atas faktor keselamatan.

No comments:

Post a Comment