Gejala Sosial / Masalah Remaja / Masalah Pelajar / Jenayah
Pengenalan
Banyak yang telah kita dengar tentang
gejala sosial. Berbagai gejala sosial telah melanda masyarakat kita
dan aktiviti yang terlibat begitu pelbagai sekali baik yang
dilakukan oleh remaja mahupun orang dewasa. Namun, oleh kerana golongan remaja
dan pelajar merupakan bakal pewaris negara, maka kegiatan merekalah yang
hangat diperkatakan dan mendapat perhatian daripada segenap lapisan
masyarakat. Media massa seringkali menyiarkan pelbagai berita dan cerita
tentang kenakalan remaja yang masih bersekolah dan pelbagai masalah sosial yang
melanda mereka ini. Melihat kepada masalah sosial dan perbuatan jenayah
membabitkan pelajar dan remaja benar-benar membimbangkan
kita. Pada peringkat pelajar dan
remaja, seseorang individu mengalami perubahan yang amat pesat sekali, sama ada
dari segi fizikal, emosi mahupun sosial. Pada zaman inilah para remaja mula
terdedah kepada alam luas di luar rumah, malah persekitaran ini sudah merupakan
rumah kedua kepada mereka. Remaja juga belajar banyak perkara yang tidak
semuanya datang dari ibu bapa tetapi kebanyakannya daripada persekitaran sosial
yang mana ia membesar. Pada tempoh-tempoh inilah para remaja mula mengubah
tingkah laku, sikap, dan nilai, malahan seluruh cara hidup daripada alam
kanak-kanak kepada alam yang lebih matang dan dewasa Mereka bukan sekadar nakal dengan
menghisap rokok, bergaduh sesama sendiri atau berkelakuan tidak senonoh malah
gejala seperti membuang bayi, ponteng sekolah , lari dari rumah , seks bebas
serta serta lagi melepak tidak memeranjatkan kita.. Mereka kini sudah berani
melakukan perbuatan jenayah berat seperti menganggotai kumpulan samseng
seperti kumpulan gengsterisme , membunuh, samun tanpa senjata api mahupun
dengan senjata api, merogol, pelacuran, judi, vandalisme penyalahgunaan
dadah , minum minuman keras, terbabit video lucah dan sebagainya. Keadaan
seperti ini bukan sahaja berlaku di sekolah bandar dan di pinggiran
bandar, malah di sekolah luar bandar. Pelajar yang sering melanggar
disiplin atau salah laku sekolah digelar pelajar devian.
Masalah-Masalah Sosial Pelajar
i Seks Bebas Dan Jenayah Seksual
Seks bebas dan jenayah seksual dalam kalangan
pelajar kini semakin menular dan membimbangkan kita
terutamanya pelajar di kawasan bandar dan kota. Penglibatan mereka mula
dikesan seawal usia 13. Seorang guru disiplin di sebuah sekolah
menengah mendedahkan bahawa beliau menemui kondom yang disimpan
dalam beg oleh pelajar wanita di sebuah sekolah di Taman Melawati, Kuala
Lumpur. Kondom itu ditemui ketika pemeriksaan mengejut dilakukan di
sekolah tersebut Peningkatan pembabitan remaja perempuan dalam aktiviti maksiat
juga satu lagi petanda bahawa keruntuhan akhlak remaja di Malaysia bertambah
serius. Seorang lagi guru di
sebuah sekolah di Kuala Lumpur mendedahkan bahawa beliau pernah membuat
tinjauan di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) pada waktu malam dan merasa
sungguh terkejut kerana mendapati pelajarnya, lelaki dan
perempuan meneguk minuman keras tanpa segan silu di khalayak ramai.
Beliau juga mendedahkan terdapat seorang pelajar wanita di
sekolahnya terlibat dalam pengedaran pil ecstasy. Pelajat terbabit
kerap ponteng sekolah dan apabila disiasat , pihak sekolah mendapati
pelajar itu merupakan ketua pengedar pil
ecstasy di sekolah itu. Ibu bapa
hendaklah menjadi pemangkin dan contoh teladan yang baik bagi anak-anak
kerana pengaruh media massa pada zaman ledakan maklumat dan
lambakan bahan-bahan lucah seperti majalah dan VCD lucah amat mudah
mempengaruhi tingkah laku anak-anak dan para pelajar. Remaja dan pelajar merupakan golongan pewaris
kepimpinan hari ini dan penerus wawasan negara. Kepesatan pembangunan ekonomi
dan teknologi telah memberikan kesan kepada pembangunan sosial dan insaniah
para pelajar. Minda mereka menjadi lebih terbuka dan bebas. Salah satu daripada
gejala yang berlaku pada masa kini ialah masalah penyalahgunaan teknologi maklumat
dan komunikasi (ICT) dalam kalangan remaja.
Aktiviti seperti "Lepak Siber", melayari halaman lucah dan
hiburan keterlaluan, penyebaran fitnah dan sebagainya merupakan gejala negatif
yang semakin menular di kalangan remaja. Justeru , satu bentuk langkah
pembendungan dan penyelesaian terbuka yang sesuai dengan minat dan cita rasa
mereka ini perlu dilaksanakan agar mereka dapat mempertingkatkan potensi diri
mereka dan memanfaatkannya ke arah yang lebih positif.
ii. Samseng Dan Gengsterisme
Gejala samseng atau gengsterime di sekolah
menengah di seluruh negara semakin
membimbangkan .Mereka ternyata semakin berani mencabar
undang-undang dan tidak takut melakukan kesalahan jenayah
termasuk menggunakan senjata merbahaya.. kita diperlihatkan pembabitan pelajar dalam kes
jenayah berat seperti membunuh, merogol, menyamun, mengugut dan kes
pukul. Terdapat juga pelajar yang terlibat dengan dadah, mabuk,
memiliki senjata api, menceroboh , judi dan membuli. Peristiwa terbaru
ialah kejadian membakar sekolah dan rumah guru yang dilakukan oleh
pelajar sekolah. Seawal belasan tahun pelajar sudah terjebak
dengan jenayah ekstrem seperti membunuh , merogol dan menyamun.
Mereka yang sudah menjinakkan diri dengan kes seperti mencuri
motosikal, pecah rumah dan memukul orang , tidak mustahil
akan terbabit dengan jenayah berat seperti membunuh, sindiket
senjata api , pengedaran dadah dan juga rompakan senjata api. Terdapat beberapa faktor yang
menyebabkan berlakunya gejala-gejala tersebut seperti
faktor rumah tangga, sekolah, persekitaran, media massa dan diri
pelajar itu sendiri . Ramai pelajar dan remaja mudah terpengaruh dengan
media yang memberikan ganjaran keseronokan dan mula tersesat
dengan meniru perkara yang dilihat dan dibaca. Kewujudan media
berteknologi tinggi mendedahkan remaja kepada pelbagai budaya luar yang
kebanyakannya merosakkan pemikiran mereka. Selain itu, rumah
tangga yang porak peranda dan persekitaran yang tidak sihat juga menyumbang
kelakuan tidak baik dalam kalangan remaja .Pelajar atau remaja akan
mengambil jalan singkat dengan menjadikan perbuatan tidak sihat
sebagai jalan keluar kepada permasalahan mereka.
iii. Ponteng Sekolah
Senario ponteng sekolah bukanlah merupakan masalah
sosial yang baru dalam kalangan
pelajar sekolah di negara kita.. Pelajar sekolah menengah, terutama pada
peringkat usia antara 14 hingga 15 tahun dikenal pasti sebagai kumpulan
majoriti yang terbabit dengan gejala ponteng. Masalah ponteng lebih
ketara berlaku dalam kalangan pelajar peringkat menengah
terutama mereka yang bersekolah di kawasan bandar dan sekolah di pinggir
bandar. Antara faktor yang menyumbang kearah berlakunya gejala
ponteng dalam kalangan pelajar sekolah ialah tiadanya minat atau motivasi
untuk ke sekolah, tiada kesedaran betapa pentingnya ilmu pengetahuan , pengaruh
persekitaran seperti melepak di pusat hiburan, pusat beli belah, melayari
Internet di kafe siber dan terikut-ikut atau terpengaruh dengan rakan
sebaya.
iv. Dadah, Merokok dan Lari Dari
Rumah
Penglibatan pelajar sekolah di negara kita dalam
kes merokok, dadah, lari dari rumah dan judi bukanlah perkara yang
baru. Antara dadah yang dikesan dalam kalangan pelajar
ialah ganja, heroin, pil ectasy, menghidu gam, meminum ubat batuk dan
lain-lain bahan yang mempunyai kesan-kesan dadah. Terdapat beberapa sebab
pelajar merokok seperti ingin menonjolkan emej yang hebat dan kedewasaan,
ingin mencuba, dan mengikut tingkah laku ibu bapa , pengaruh rakan sebaya
dan iklan serta mudah diperolehi di pasaran. Manakala satu lagi kesalahan
yang selalu melibatkan para remaja ialah lari atau hilang dari rumah. Statistik
untuk tahun-tahun kebelakangan ini menunjukkan remaja yang lari atau
menghilangkan dari rumah semakin membimbangkan Masalah ini mungkin akan
menyebabkan wujudnya masalah yang lebih besar apabila mereka menghadapi
kesulitan hidup setelah dari dari rumah seperti terlibat
dalam pelacuran, pelayan di kelab malam atau disco dan sebagainya.
Penutup
Tindakan untuk mengawalnya sudah sampai ke
tahap yang dianggap terdesak. Pertaruhanny ialah masa depan negara
dan generasi Malaysia.. Disebabkan terlalu banyak punca yang
diramalkan , tindakan untuk membendung masalah tidak lagi berfokus. Meskipun
ada cadangan mengenai cara mana mengatasi masalah, namun hanya
berakhir di meja perbincangan, forum atau seminar. Memang ada
program yang dirangka untuk remaja dan pelajar tetapi hanya memberi manfaat kepada
segelintir mereka sahaja dan lebih bersifat komersial. Ibu
bapa, guru-guru, dan masyarakat perlulah berganding bahu dan
bekerjasama dalam memikul tanggungjawab mendidik anak-anak dan para
pelajar. Sebagai masyarakat mikro, sekolah sepatutnya mempunyai ciri-ciri
yang ada dalam masyarakat makro. Oleh itu, pelajar perlu didedahkan akan kesan buruk dalam
masyarakat melalui interaksi mereka di sekolah. Kerajaan juga perlu
melancarkan satu kempen yang menyeluruh untuk menyedarkan remaja dan
pelajar supaya menghindarkan diri dalam apa jua bentuk gejala
buruk yang boleh merosakkan diri dan nama baik keluarga
mereka. Golongan ini juga perlu didedahkan dengan pengetahuan
undang-undang agar mereka gementar dengan hukuman. Pelajar dan remaja ialah kumpulan masyarakat yang bakal mencorakkan
masa depan negara.. Mereka aset kekayaan semula jadi yang bakal memegang
peranan penting dalam politik, ekonomi dan kemasyarakatan di negara ini. Namun
demikian, masalah akhlak dalam kalangan remaja salah satu daripada ancaman kepada sumber
tenaga manusia yang akan merugikan negara dalam jangka masa panjang. Oleh itu, segala masalah sosial yang dihadapi oleh para
remaja harus dibendung dan diatasi supaya tidak terus mewujudkan ancaman besar terhadap
aset yang tidak ternilai ini.
No comments:
Post a Comment