Saturday 11 October 2014

KARANGAN FOKUS PT3

Pencemaran sungai di negara ini seolah-olah tidak terkawal lagi.  Mengapakah masalah ini boleh berlaku dan cadangkan  langkah-langkah yang harus dijalankan. 
Bincangkan.

            Sungai merupakan khazanah alam yang tidak ternilai.  Namun begitu, kerakusan manusia akhirnya membawa bencana yang besar apabila kebanyakan sungai di negara ini mengalami pencemaran yang amat teruk. Apakah pencemaran? Pencemaran sungai boleh ditakrifkan sebagai kesan buruk sesuatu aktiviti yang dilakukan oleh manusia yang mengakibatkan sungai tercemar dengan bahan buangan.  Menurut kajian yang dibuat oleh Jabatan Alam Sekitar, didapati bahawa dua belas peratus daripada sungai yang diawasi di seluruh negara amat tercemar dan sekaligus mungkin mengancam kehidupan manusia dan organisma yang lain.  Oleh yang demikian, sudahlah tiba masanya untuk kita bergandingan bahu mengambil pelbagai inisiatif dalam membanteras gejala yang semakin mengancam kesejahteraan hidup kita ini; bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.
            Sebab yang paling asas menyebabkan pencemaran sungai di negara ini ialah manusia jahil tentang kepentingan sungai dan sumber flora dan fauna.  Hal ini demikian kerana manusia telah menjadikan sungai sebagai tempat pembuangan sampah.  Selain itu, sikap manusia yang mementingkan diri sendiri juga menyebabkan mereka membuang sampah-sarap ke dalam sungai.  Kelalaian manusia yang tidak memikirkan kesan perbuatan mereka ini akan menyebabkan dunia semakin terancam dengan longgokan  sampah-sarap yang tidak dapat dimusnahkan secara semula jadi dan sumber flora dan fauna akan pupus.  Majlis Perbandaran juga tidak menyediakan tong sampah yang cukup di sekitar kawasan perumahan.  Dengan itu, sungai  menjadi tempat pembuangan sampah-sarap.  Ini dapat dibuktikan apabila Sungai Kelang terpaksa mengapung satu tan sisa buangan dan bahan terampai pada setiap hari.  Mengikut laporan oleh Jabatan Alam Sekitar, didapati kualiti air sungai semakin merosot dengan kadar 1.19 peratus setahun.  Oleh itu, kerajaan perlu menyediakan lebih banyak tempat pembuangan sampah-sarap dan menyeru orang ramai supaya tidak mengamalkan sikap mementingkan diri sendiri; seperti enau dalam belukar yang melepaskan pucuk masing-masing.
            Selain itu, penerokaan hutan dan pembalakan secara haram serta pembangunan di kawasan hulu sungai secara tidak terkawal menyebabkan pencemaran sungai yang teruk.  Kejadian ini berlaku kerana manusia mementingkan diri sendiri apabila mendepangi kemajuan.  Manusia sanggup memusnahkan alam sekitar demi pembangunan.  Apabila manusia meneroka hutan dan menjalankan pembalakan secara haram dan tidak terkawal, hakisan tanah akan berlaku dan tanah akan mengalir ke sungai menyebabkan sungai semakin cetek.  Contohnya aktiviti pembalakan dan penarahan hutan di Gombak tercemar teruk.  Di samping itu, pembangunan industri di kawasan hulu sungai juga menyebabkan pencemaran sungai akibat pembuangan sisa-sisa toksik ke dalam sungani yang boleh menyebabkan kematian hidupan akuatik.  Hal ini dapat dibuktikan apabila aktiviti pembangunan industri menyebabkan Sungai Batu Pahat di Johor dan Sungai Juru di Pulau Pinang dicemari bahan buangan dan sisa toksik.  Justeru, langkah-langkah pengawalan perlu diambil untuk memastikan penerokaan hutan dan pembalakan secara haram serta pembangunan di kawasan hulu sungai secara tidak terkawal tidak berlaku sehingga boleh menyebabkan pencemaran sungai; sasal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.
            Satu lagi sebab berlakunya pencemaran sungai ialah kadar hujan yang tinggi di negara ini.  Hal ini telah menyebabkan manusia tidak berasa sumber air seperti sungai sebagai khazanah alam yang penting  dan ternilai.  Setiap hari, kita hanya melihat air sungai hanya mengalir ke laut.  Lagipun, bekalan air di negara ini adalah cukup untuk setiap keluarga.  Setiap rumah akan mendapat bekelan air dengan mudah kerana paip air telah disambung ke semua rumah di negara ini dengan lengkap.  Hal ini menyebabkan rakyat di negara ini kurang mengamalkan sikap ingat sementera belum kena, jimat sementara belum habis.  Manusia selalu mencemarkan sungai tanpa berfikir terutamanya membuang sisa buangan, melepaskan najis ternakan dan kumbahan domestik serta industi juga dibuang ke dalam sungan.  Buktinya dapat dilihat apabila orang ramai boleh mendapat bekalan air yang mudah dan pada harga yang rendah.  Banyak sungai juga dicemari sebagai akibat pembuangan sisa buangan dan bahan terampai seperti Sungai Kelang, Sungai Juru, Sungai Gombak dan sebagainya. Dengan itu, jika manusia masih terus mengamalkan sikap kuman di seberang laut boleh dilihat tetapi gajah di tepi mata tidak nampak tidak diubah, maka sungai tetap menjadi mangsa akibat tindakan kita sendiri. Jadi, sikap berjimat-cermat perlu dijadikan amalan dalam kehidupan manusia sejak kecil lagi dan harus dipupuk di kalangan masyarakat pada hari ini; melentur buluh biar dari rebungnya.
            Sementelahan.  Penggunaan   racun serangga secara berlebihan dalam sektor pertanian  juga turut dikesan telah menyebabkan pencemaran sungai berlaku. Pelbagai bahan kimia seperti baja pestisid dan insektisid digunakan secara berleluasa. Para petani sepatutnya berfikir secara rasional agar tidak mengundang padah yang lebih kronik kerana padang perahu di lautan, padang hati di fikiran. Perkara yang melayang di fikiran petani hanyalah untuk mengaut keuntungan yang berlipat ganda. Mereka sanggup menggunakan racun serangga secara berlebihan kerana takut tanaman mereka dimakan oleh serangga perosak. Mereka sepatutnya menyedari kesilapan mereka sendiri kerana menepuk air di dulang akan terpercik ke muka sendiri ! Petani -petani  tidak sedar bahawa air hujan akan melarutkan bahan kimia ini dan seterusnya mengalir ke sungai. Justeru, berfikirlah sebelum bertindak kerana terlajak perahu boleh diundur, telajak perbuatan buruk padahnya.
            Setiap penyakit ada penawarnya. Untuk memastikan sungai supaya sentiasa bersih dan tidak tercemar maka kerajaan perlu menjalankan langkah pendidikan jangka panjang.  Melalui langkah pendidikan jangka panjang, semangat cinta akan sungai dapat disemai di kalangan generasi muda.  Generasi muda akan dinasihati supaya jangan mencemarkan sungai kerana sungai adalah penting dalam kehidupan kita tetapi sebaliknya menjaga sungai.  Jika terdapat sampah di dalam sungai, Jabatan Alam Sekitar boleh menganjurkan kempen membersihkan sungai supaya sungai di negara ini sentiasa bebas daripada sampah-sarap.  Slogan seperti “Cintailah Sungai Kita” juga boleh dipaparkan di tepi sungai.  Program kempen seperti program kempen oleh JPS telah menjadikan semua sekolah di tepi sungai utama sebagai anak angkat supaya semua sekolah tersebut mempunyai tanggungjawab untuk menjaga kebersihan sungai ini. Usaha ini haruslah dilakukan secara prolifik. Usaha yang bersifat sementara dan hangat-hangat tahi ayam hanya mencurah air di daun keladi. Dengan itu, langkah pendidikan jangka panjang merupakan langkah yang amat penting kerana penguatkuasaan undang-undang semata-mata mungkin tidak dapat menyemai kesedaran secara menyeluruh dan berkesan.
            Di samping itu,  kementerian terbabit  perlu mengehadkan kadar yang munasabah bagai sebarang pembinaan dan pembangunan yang berhampiran sungai.  Undang-undang dalam Akta Alam Sekitar perlu dipinda supaya jarak antara 300 hingga 500 meter dari tebing sungai tidak boleh dibangunkan  sebarang premis bangunan.  Selain itu, setiap air kumbahan mesti disaring terlelbih dahulu sebelum dialirkan ke sungai.  Setiap aktiviti pembangunan juga perlu dinilai dan diselaraskan terlebih dahulu.  Ini dapat dilihat apabil setiap pemaju dikehendaki menjalankan kajian Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) untuk diserah dan dipertimbang oleh Jabatan Alam Sekitar sebelum sesuatu projek dimulakan.  Oleh itu, pembinaan dan pembangunan di tempat berhampiran sungai perlu dikawal supaya pembangunan sesebuah negara seimbang dengan penjagaan sungai kita agar tidak berlaku yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. 
            Tindakan tegas dalam bentuk penguatkuasaan undang-undang juga merupakan salah satu langkah yang perlu dijalankan untuk mengatasi masalah yang menjadi batu penarung kepada negara ini.  Langkah ini dapat mengawal pelepasan kumbahan dan efluen dari industi seperti dari kilang getah dan kilang kelapa sawit.  Pembuangan sisa-sisa toksik dan berbahaya juga dapat dikawal melalui Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling Buangan Berjadual 1989.  Pihak berkuasa perlu mengenakan kompaun pada kadar maksimum dan dikompaunkan secara serta-merta.  Dalam Akta Kualiti Alam Sekitar 1974, penguatkuasaan undang-undang dikenakan ke atas premis yang dikenal pasti sebagai punca pelapasan efluen yang melanggar piawai yang ditetapkan.  Jika langkah ini tidak dilaksanakan, kilang-kilang yang berhampiran sungai pasti  akan terus membuangkan  sisa-sisa toksik dan efluen ke dalam sungai. Golongan telunjuk lurus kelengkeng berkait ini amat bahaya kepada negara kita. Jelaslah , masalah pencemaran sungai di negara ini akan menjadi lebih serius sekiranya penguatkuasaan undang-undang masih tidak dijalankan  kerana penguatkuasaan undang-undang merupakan usaha yang efektif untuk mengatasi masalah yang menjadi duri dalam daging ini.
            Secara tuntasnya, manusia dan semua unsur alam termasuk sungai saling memerlukan antara satu sama lain.  Sehubungan itu, demi generasi akan datang sebarang perlakuan tidak bertanggungjawab terhadap sungai hendaklah  ditentang secara moral dan undang-undang.  Sekiranya setiap rakyat mempunyai  kesedaran sivik dan komitmen menyelurug, sungai di negara ini akan menjadi selamat untuk hidupan akuatik dan kesejahteraan hidup kita juga turut terjamin.  Pada pendapat saya, sikap kurang prihatin terhadap sungai hanyalah langkah mengundang masalah semata-mata.  Oleh hal yang demikian, kita seharusnya tidak bersikap membuat baik tidak dipuji,  membuat jahat tiada dikeji dengan menjadikan sungai kita sebagai tong sampah..


No comments:

Post a Comment