Peranan
Ibu Bapa Mendidik Anak-anak ( Kesan kesalahan yang terdapat dalam karangan ini)
Wujudkah ibu bapa yang tidak sayangkan anak ? Semestinya, semua ibu bapa
sanggup berkorban demi kebahagiaan anak mereka. Tetapi, persoalannya adakah
semua ibu bapa hari ini menyayangi anak dengan cara lebih tepat ? Dalam hal
ini, ada ibu bapa sekarang melakukan kesilapan. Ada menganggap cara ibu bapa
dulu mendidik anak tidak betul dan kolot, lalu terus menolak semua, sedangkan
cara dulu tidak semua salah atau tidak sesuai lagi.
Ada pula beranggapan cara didikan ibu bapa dulu adalah betul, lalu terus
menggunakan semua, sedangkan mungkin ada antaranya tidak sesuai dengan keadaan
sekarang. Manakala, ada pula disebabkan ingin mencari cara kontemporari, lalu
dengan mudah mengguna pakai cadangan dikemukakan buku atau penceramah, tanpa
melakukan penelitian, tapisan atau kefahaman yang mendalam. Kebanyakan isu
keibubapaan timbul dalam konteks hubungannya dengan anak yang berada pada usia
remaja. Sesetengah remaja menunjukkan perlakuan sukar difahami dan tidak pernah
dibayangkan ibu bapanya. Ada ketikanya remaja memilih pakaian dan muzik pelik,
emosi berubah-ubah seperti keras dan pendiam, malah mungkin kurang menghormati
ibu bapa. Lazimnya, ibu bapa diingatkan mengenali dan memahami psikologi anak
remaja. Ibu bapa diberitahu bahawa remaja berada dalam zaman transisi dan
bergelut untuk berpaut pada zaman kanak-kanak yang penuh kegembiraan yang bakal
ditinggalkan sambil memasuki alam dewasa yang penuh tanda tanya. Orang tua
dimaklumkan bahawa anak remaja sedang berada dalam paradoks. Tetapi, ibu bapa
jarang diingatkan untuk mengenali dan memahami paradoks yang sedang berlaku
dalam dirinya sendiri. Bahawa mereka sendiri mencari keseimbangan antara
memberikan kasih sayang dan menetapkan sesuatu untuk anak remajanya.
Sebenarnya, kasih sayang ibu bapa yang ideal ialah memberikan anak
remajanya keseimbangan antara kebebasan dan disiplin. Jika disiplin terlalu
banyak dan ketat, remaja akan memberontak. Sebaliknya, jika terlalu banyak
kebebasan, remaja dahagakan struktur tertentu dan mencarinya sendiri dengan
cara belum tentu baik. Oleh itu, ibu bapa perlu membuat pelbagai keputusan
mengenai anaknya, misalnya, daripada boleh atau tidak menonton televisyen,
hinggalah kepada boleh atau tidak mempunyai teman lelaki atau perempuan. Semakin anaknya menginjak dewasa, maka keputusan itu semakin besar dan
penting. Ada keputusan perlu dibuat setiap hari dan ada keputusan perlu dibuat
pada tempoh tertentu.
Selain perlu mengenali dan memahami anak remajanya, ibu bapa harus
mengenali dan memahami dirinya sendiri terlebih dulu. Umumnya, ahli psikologi
merumuskan ada dua komponen utama dalam gaya keibubapaan. Yang pertama ialah
‘responsif’, iaitu sebanyak mana kebebasan diberikan, manakala kedua ialah
‘permintaan’, iaitu sebanyak mana disiplin atau hala tuju akan ditentukan. Dengan kata lain, ibu bapa berdepan dengan paradoks: antara kasih sayang
dan kepemimpinan. Kasih sayang ialah responsifnya terhadap kehendak anak
remajanya, manakala kepemimpinan pula ialah permintaannya terhadap keperluan
masa depan anak remajanya. Pertembungan, dinamika dan keseimbangan antara
kedua-dua komponen ini dapat menentukan gaya keibubapaan. Kebanyakan pengkaji
membahagikan gaya keibubapaan kepada empat kategori, iaitu: autoritarian, autoritatif,
permisif dan tidak terbabit. Ibu bapa yang autoritarian rendah responsifnya,
tetapi amat tinggi permintaannya. Walaupun mereka pengasih dan penyayang, anak
remajanya tidak merasainya. Kebebasan hampir tidak diberikan dan pendapat anak
remaja jarang didengar. Sebaliknya, disiplin amat ketat, malahan cita-cita anak
remaja ditentukan ibu bapa.
Remaja yang dibesarkan dalam suasana autoritarian berkemungkinan besar
berjaya dalam peperiksaan dan kerjayanya, tetapi mungkin memiliki peribadi yang
kaku, rendah harga diri dan terlalu bergantung kepada arahan pihak berkuasa.
Ibu bapa yang autoritatif pula mempunyai keseimbangan antara responsif dan
permintaan. Mereka akrab, komunikatif dan anak remaja digalakkan bersuara.
Kasih sayang diberikan, ditunjukkan dan dirasai. Disiplin dan hala tuju
ditentukan dan diterangkan rasionalnya. Remaja bebas menentukan cita-cita
dengan ibu bapa memberikan panduan dan bimbingan.
Remaja yang dibesarkan dalam suasana autoritatif berkemungkinan besar akan
sama kejayaannya, walaupun tidak lebih, dengan dibesarkan dalam suasana
autoritarian. Bezanya golongan ini akan memiliki peribadi bersepadu, yakin,
berdikari dan kreatif. Ibu bapa permisif mempunyai responsif amat tinggi,
tetapi permintaan amat rendah. Mereka banyak bertolak ansur, memberikan
kebebasan dan hampir semua kehendak anak remajanya diturutkan. Gaya tidak
terbabit pula hampir tiada permintaan, disiplin dan hala tuju, serta hampir
memberikan kebebasan penuh. Malahan, ia lebih satu kecuaian keibubapaan.
Namun begitu, gaya keibubapaan boleh dirosakkan dengan amat mudah,
sekiranya ibu bapa tidak dapat mengawal perasaan marah. Jadi, ibu bapa perlu
tahu cara menangani kemarahannya. Dalam hal ini, ada tiga persoalan penting
iaitu: bila marah itu wajar, bila marah tidak diperlukan dan bila marah itu
boleh menjadi masalah. Walaupun, mungkin sukar melahirkan seorang
kaunselor profesional atau pra kaunselor dalam setiap keluarga, program
Satu Keluarga Satu Kaunselor tetap mempunyai potensi untuk melahirkan ibu
bapa berilmu, berkemahiran dan seimbang dari segi memberikan kasih sayang dan
kepemimpinan.
No comments:
Post a Comment