Saturday 11 October 2014

KARANGAN FOKUS PT3

Peranan ibu bapa dalam pembentukan disiplin anak-anak amat penting dalam menentukan kejayaan anak-anak pada masa depan./ Peranan ibu bapa dalam memupuk amalan membaca

Bincangkan.

                      Anak-anak bagaikan kain putih yang suci lagi kudus yang perlu diwarnakan oleh ibu bapa yang membesarkannya. Sebagai  harapan ibu bapa, kita harus sedar bahawa segala perbuatan positif dan negatif akan mencerminkan imej keluarga. Sejak kecil, kita dibesarkan bagai menatang minyak yang penuh oleh orang tua kita. Setiap belaian kasih dan sayang yang diberikan  penuh dengan harapan masa depan. Malangnya, masalah sosial dan kadar jenayah bagai bisul menjadi nanah dalam masyarakat pada zaman yang penuh dengan cabaran ini. Saya berpendapat bahawa ibu bapa memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan anak-anak. Pokok persoalannya, apakah pernanan yang sewajarnya dipikul oleh ibu bapa?
Peranan yang dianggap dominan lagi vital ialah ibu bapa berperanan membentuk didiplin dalam diri anak-anak mereka. Mengapakah ibu bapa perlu melaksanakan peranan tersebut? Hal ini kerana dengan pendisiplinan yang kukuh dan ketegasan yang bertempat, anak-anak akan berfikir dua kali sebelum melakukan kesalahan. Jika dibandingkan antara ibu bapa dahulu dengan ibu bapa zaman globalisasi ini, kita dapat mengetahui bahawa anak-anak dulu lebih kerap dipukul. Sejak kempen antidera diperluas, ibu bapa mula menjauhkan diri mereka dengan rotan. Secara relatifnya, setiap sebatan dan hukuman yang diterima dapat memberi tamparan insaf kepada diri anak-anak yang melakukan kesalahan. Sebelum nasi menjadi bubur,  ibu bapa perlu tegas dan mendisiplinkan anak-anak sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.           
  Bukan itu sahaja, dalam masa yang sama , ajaran agama dan moral merupakan elemen yang maslahat dalam memperkukuh keimanan diri . Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata! Sehubungan dengan itu, anak-anak dapat mengekang hati dan perasaan yang ingin melanggar tatasusila. Masalahnya kini, ibu bapa bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing kerana sibuk mengejar kebendaan dan kedudukan dalam masyarakat. Mereka alpa dengan tanggungjawab keibubapaan yang asas, yakni mendidik anak-anak dengan ajaran agama dan moral. Sebagai analogi , ibu bapa haruslah menerangkan kepentingan menjaga moral dan tingkah laku yang murni demi mengukuhkan sahsiah diri. Sudah terang lagikan bersuluh, dengan saluran yang betul dan tepat, anak-anak dapat didisiplinkan dan dibentuk menjadi modal insan berketerampilan yang akan memperoleh kejayaan dalam hidup.
Mengikut Doktor Fazilah Kamsah, pakar motivasi yang terbilang, anak-anak akan menjadi berdisiplin jika ibu bapa menerangkan sebab dan akibatnya jika mereka membuat kesalahan. Hal ini demikian kerana nasihat yang bernas daripada ibu bapa lebih berkesan daripada jeritan marah yang membuang masa dan tenaga. Anak-anak perlu diterangkan kesannya jika mereka merokok atau akibat daripada perbuatan ketidakjujuran mereka. Langkah ini penting agar akal anak-anak yang waras dapat dibentuk untuk membuat keputusan yang baik supaya tidak menyesal atas perbuatan diri kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Izharnya, langkah ini amat penting agar anak-anak dapat dimatangkan dari segi psikologi sekali gus pencorakan disiplin diri mereka terbentuk secara semula jadi.
Peranan terakhir yang tidak boleh diketepikan ialah  ibu bapa mestilah menjadi suri teladan kepada anak-anak mereka. Oleh sebab bagaimana acuan, begitulah kuihnya; ibu bapa berperanan penting mempamerkan disiplin yang tinggi di depan anak-anak. Mengikut kajian sahih yang pernah dilakukan , ibu bapa yang  membuang sampah di tong sampah dan menjaga kelakuan diri di khalayak ramai  akan dicontohi oleh anak-anak mereka. Anak-anak yang mencontohi sikap positif ibu bapa pasti tidak akan membuat perkara yang menyalahi peraturan. Justifikasinya, ibu bapa mestilah menjauhi sikap ketam yang mengajar anaknya berjalan betul tetapi diri sendiri berjalan senget.
Sebagai penutup wacana, pencorakan disiplin anak-anak memerlukan komitmen ibu bapa amat berkesan. Lantaran itu, ibu bapa harus menyedari hakikat bahawa masa depan anak-anak ditentukan oleh ajaran dan teguran membina daripada mereka. Anak-anak yang berdisiplin dapat meyakinkan ibu bapa dengan kejayaan akademik dan kokurikulum. Oleh hal yang demikian, saya berharap ibu bapa menginsafi tanggungjawab mereka dalam pembentukan disiplin anak-anak agar tidak menyesal selepas anak-anak terjerumus dalam kancah kebejatan sosial. Kebobrokan sikap anak-anak mestilah dikekang daripada menjadi duri dalam daging masyarakat kerana nusa tercinta ini memerlukan tenaga mereka untuk menggapai impian Wawasan 2020.


No comments:

Post a Comment