Saturday 11 October 2014

KARANGAN FOKUS PT3

Gejala buli semakin berleluasa dalam kalangan remaja. 
Bincangkan langkah mengatasi gejala buli di sekolah.

Belakangan ini, isu gejala buli sering meniti dari bibir ke bibir golongan marhaen di negara ini. Dari segi konsepsinya, gejala buli boleh ditakrifkan sebagai perbuatan memeras ugut pelajar lain hingga mengakibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa. Biasanya, murid sekolah menengah yang bermasalah terlibat dalam gejala buli ini. Keadaan pembuli dan mangsanya bertepatan dengan peribahasa, bagai anjing dengan kucing. Oleh itu, terdapat pelbagai strategi untuk mengatasi gejala buli di sekolah.

Antara prakarsa yang pragmatik dan berkesan untuk menangani gejala buli ialah remaja seharusnya bijak memilih rakan sebaya. Hal ini demikian dapat mengelakkan remaja daripada terlibat dalam gejala negatif. Justeru, remaja perlu mencari rakan yang Islamik, taat kepada kedua ibu bapa dan mempunyai budi pekerti mulia sebagai rakan akrab. Natijahnya, remaja boleh menghindarkan diri daripada terlibat dalam gejala buli serta perlakuan negatif yang lain. Hal ini bertepatan dengan peribahasa Arab, jika kita berkawan dengan penjual minyak wangi kita akan berbau wangi dan jika berkawan dengan tukang besi kita akan terasa bahangnya. Rakan yang baik boleh dianalogikan seperti bunga ros yang sentiasa mekar dan harum baunya.Menurut Datuk Dr Haji Fadzillah Kamsah, orang yang cemerlang dan hebat dalam pergaulan bermula daripada cetusan aura apabila dikelilingi rakan-rakan yang hebat. Sekiranya remaja Malaysia bijak dalam bersahabat, maka pastinya gejala buli dapat dikurangkan.


Selain itu, langkah seterusnya ialah ibu bapa bertanggungjawab memantau tingkah laku anak-anak mereka. Hal ini demikian, ibu bapa boleh mengesan sebarang perlakuan aneh anak-anak mereka. Justeru, ibu bapa seharusnya megetahui keberadaan anak-anak mereka dengan sentiasa berhubung melalui telefon bimbit. Natijahnya, ibu bapa boleh menghindarkan anak-anak mereka daripada sebarang perlakuan songsang terutamanya buli. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, anak-anak ibarat kain putih dan ibu bapa pencoraknya. Pemantauan berkesan oleh ibu bapa dalam menangani gejala buli boleh dianalogikan seperti selimut yang menutup tubuh ketika kesejukan. Sekiranya, ibu bapa peka dengan tingkah laku anak-anak maka statistik masalah buli dalam kalangan remaja di sekolah akan berkurangan.

Selain itu, pihak kerajaan boleh
 menjenamakan semula kempen antibuli yang selama ini saban tahun diadakan di sekolah. Hal ini kerana kempen antibuli yang berteraskan ceramah dan pameran agak kurang terkesan di hati para pelajar. Pihak sekolah melalui Unit Disiplin Sekolah boleh menukar strategi kempen yang proaktif dan provokatif bagi tujuan menakut-nakutkan bakal pembuli. Justeru, pihak sekolah umpamanya boleh meminta kerjasama pihak Jabatan Penjara Malaysia atau Polis Diraja Malaysia bagi memastikan kempen antibuli menjadi lebih berkesan. Kerjasama pelbagai pihak dalam menangani gejala buli boleh diumpamakan seperti ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Sekiranya, kempen antibuli berjayameresapi nurani pelajar maka pastinya sekolah menjadi tempat yang lebih selamat untuk semua pelajar.


Akhir kalam, gejala buli yang menjadi
 polemik dalam kalangan masyarakat pelajar di negara ini perlu ditangani segera. Sememangnya gejala buli masih wujud namun banyak kes-kes terpencil disensasikan oleh media massa di negara ini. Semoga gejala buli dapat ditangani secara bijaksana oleh pihak berkuasa dengan kerjasama pihak sekolah. Oleh itu  kita perlu bersinergi dalam memastikan gejala buli dapat dilenyapkan di bumi bertuah ini. sekiranya gejala buli tidak wujud maka Malaysia mampu berdiri gah di persada dunia danmendabik dada kerana generasi mudanya bertaraf dunia.

2 comments:

  1. karangan ini sangat membantu kerana karangan ini mempunyai ayat ayat yang gramatis��

    ReplyDelete