Saturday 11 October 2014

KARANGAN FOKUS PT3

Peranan ibu bapa dalam menangani masalah sosial remaja ( Kesan kesalahan yang terdapat dalam karangan ini)
            Kenakalan atau gejala sosial  remaja ialah perbuatan yang melanggar dan menyalahi etika serta budaya hidup sesuatu masyarakat. Kebanyakkan remaja biasanya sering melakukan sesuatu yang dilarang oleh ibu bapa dan masyarakat seperti mengganggu ketenteraman awam. Selain itu, remaja-remaja sekarang mudah terbabit dengan kegiatan gejala sosial yang membawa kepada masalah disiplin. Antara kegiatan yang sering dilakukan remaja ialah melepak, membuang masa, menghabiskan masa terluang di kafe siber, terbabit dengan gejala mat rempit, ponteng sekolah dan terbabit dengan penyalahgunaan dadah. Gejala sosial seperti ini dapat dibendung sekiranya ibu bapa memainkan peranan mereka terhadap anak-anak.
            Antara peranan-peranan yang perlu dilaksanakan oleh ibu bapa bagi membentuk anak-anak mereka ke arah yang baik ialah ibu bapa hendaklah memberi didikan yang secukupnya kepada anak-anak. Ibu bapa mestilah mendidik anak mereka sejak kecil lagi dengan akidah, akhlak dan keagamaan bagi memperkukuhkan jati diri remaja pada masa akan datang. Selain itu, ibu bapa juga bertanggungjawab member anak-anak mereka pendidikan yang terancang sejak kecil dan pendidikan di sekolah. Pendidikan bagi anak-anak amat penting supaya mereka mengetahui hala tuju dan masa depan mereka. Ibu bapa juga hendaklah mendidik dan mendisiplinkan anak-anak agar menjadi orang yang berguna pada masa hadapan. Ibu bapa juga sepatutnya menekankan kepada anak-anak bahawa mereka salah seorang yang akan menjadi pemimpin masyarakat dan negara suatu hari nanti. Jika seseorang pemimpin tidak bermoral dan berakhlak, maka rosaklah negara pada masa akan datang.
            Selain itu, ibu bapa perlu memainkan peranan dengan berhubungan baik dengan masyarakat agar sama-sama memantau pergerakan anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa hendaklah memastikan jiran-jiran mengenali anak-anak mereka dan mengambil berat tentang pergerakan anank-anak pada setiap masa. Ibu bapa dan masyarakat hendaklah sama-sama berganding bahu bagi membendung gejala sosial yang kian merebak. Sebagai contoh, sebagai masyarakat yang cakna, kita sepatutnya menegur remaja-remaja yang melakukan perkara yang tidak sepatutnya, bukan mengutuk ibu bapa mereka dan remaja tersebut. Kempen kesedaran juga amat penting kepada anak-anak remaja bagi membentuk peribadi mereka ke arah yang lebih baik. Dengan cara ini, mereka akan lebih mengetahui dan dapat membezakan antara yang baik dengan yang buruk. Kita juga dapat melahirkan remaja yang berfikiran positif dan bebas daripada perkara-perkara yang tidak sepatutnya.
            Peranan terakhir yang sepatutnya dilakukan oleh ibu bapa ialah menitikberatkan tentang aktiviti harian anak-anak mereka pada setiap masa. Ibu bapa perlu memberikan sepenuh perhatian dan kasih sayang terhadap anak-anak terutamanya ketika mereka di usia remaja. Selain itu juga, ibu bapa mestilah mengawasi pergerakan anak-anak terutamanya dimana mereka berada dan dengan siapa mereka berkawan. Ini kerana, seperti yang kita ketahui, remaja sekarang mudah terpengaruh dengan kenakalan dan isu sosial yang di sebabkan oleh faktor persekitaran, rakan-rakan dan sebagainya. Faktor ini amat penting bagi ibu bapa untuk memantau anak-anak mereka. Jika faktor ini diabaikan, besar kemungkinan mereka mudah terpengaruh dan terjebak dengan masalah sosial. Dan yang terakhir ialah, ibu bapa hendaklah menerapkan nilai-nilai murni dalam diri setiap anak-anak bagi membentuk peribadi yang mulia.
            Sebagai kesimpulannya, membentuk anak tidak semudah membina bangunan. Kehidupan anak memerlukan pemantauan, bimbingan dan didikan yang betul mengikut landasan keagamaan. Ada anak yang boleh didisiplinkan dengan cara lembut, perlahan dan dengan penuh kasih sayang. Tidak kurang juga anak sekarang memerlukan kaedah disiplin yang tegas dan keras. Oleh itu, setiap individu perlulah mengambil berat terhadap masyarakat dan keluarga mereka daripada ke kancah gejala sosial yang semakin kritikal di negara kita kini. Dengan ini, kita juga dapat melahirkan masyarakat yang berakhlak tinggi sekaligus menjadikan Malaysia sebuah negara yang bertamadun.


Usaha Menangani Jenayah Di Negara Ini  ( Kesan kesalahan yang terdapat dalam karangan ini)

          Remaja sering kali dikaitkan dengan gejala jenayah yang banyak menimbulkan masalah dalam kehidupan masa kini. Vandalisme, gengsterisme dan buli merupakan jenayah yang acapkali didengar melalui media elektronik, media cetak mahupaun percakapan orang ramai. Gejala ini sememangnya menimbulkan pelbagai masalah negatif dan secara langsung mempengaruhi jiwa remaja yang mudah memberontak dan ingin mencuba sesuatu yang biasa mencabar. Adakah gejala ini merupakan satu kebiasaan dan tidak perlu dibanteras? Adakah gejala ini menjadi kebanggaan para remaja kini yang mampu mewujudkan pelbagai kumpulan berhaluan kiri sehinggakan tiada sebarang tindakan diambil? Mungkinkah ini salah satu cara ppergaulan yang diinginkan untuk memupuk semangat perpaduan? Tuntasnya, gejala jenayah ini sememangnya perlu dibanteras dengan segera agar tidak berleluasa seterusnya pelbagai tindakan perlu diambil untuk melupuskan gejala ini daripada kehidupan seharian.                
            Usaha yang paling utama dan efisien adalah cara komunikasi dan pergaulan antara ibu bapa, adik-beradik dan rakan-rakan. Ibu bapa khususnya perlu bijak dalam hal mendidk anak agar tidak terjerumus dalam perkara social seperti gejala jenayah ini. Melentur buluh biarlah dari rebungnya merupakan satu ungkapan yang perlu diambil iktibar oleh setiap ibu bapa dalam mengajar dan mengatur kehidupan anak-anak mereka. Ibu bapa perlu memberi pendidikan yang berkaitan hal agama sejak kecil supaya anak-anak menyedari perkara tersebut sama ada salah atau betul. Janganlah  sampai nasi sudah menjadi bubur, barulah ibu bapa kelam kabut untuk mengambil tindakan yang sememangnya amat susah diterima oleh para remaja yang mempunyai pendirian yang tersendiri. Seterusnya ibu bapa pula tidak seharusnya bersikap lepas tangan dalam mendidik anak-anak disebabkan kesibukan bekerja dan melepaskan tanggungjawab kepada pembantu rumah. Jadi ibu bapa harus memberi perhatian yang secukupnya kepada anak-anak supaya mereka menganggap ibu bapa sering menjadi tempat berlindung dan tempat mengadu masalah.                
            Selain itu, antara inisiatif yang dapat kita ambil sebagai langkah mencegah jenayah yang merupakan isu terpenting di negara ini ialah dengan mewujudkan konsep bandar dan pekan selamat. Konsep ini merangkumi suatu skop yang sangat besar untuk dibincangkan. Pelbagai langkah telah dilaksanakan dalam proses mewujudkan konsep bandar dan pekan selamat. Antaranya ialah dengan pengawalan rapi oleh pihak-pihak tertentu seperti Rela, Rukun Tetangga, Polis dan sebagainya dalam usaha memastikan kawasan tersebur bebas daripada kes-kes kecurian, rompakan, rogol, ragut dan sebagainya. Dengan pengawalan daripada pasukan-pasukan tersebut, sekurang-kurangnya dapat menakutkan si penjenayah dari melakukan akiviti mereka dan seterusnya mewujudkan konsep bandar dan pekan selamat. Bantuan daripada alat-alat teknologi pada zaman kini dapat membantu kita menyempurnakan konsep bandar dan pekan selamat. Kamera-kamera litar tertutup boleh dipasang sebagai langkah berjaga-jaga. Medium ini dapat menjadi bukti apabila sesuatu kes jenayah berlaku di kawasan tersebut. Sekiranya konsep bandar dan pekan selamat diwujudkan, nescaya terdetik rasa was-was kepada si penjenayah daripada melakukan aktivitinya di kawasan tersebut. Dengan cara ini, konsep bandar dan pekan selamat jelas sekali merupakan usaha yang efektif bagi mencegah jenayah.                
              Pengenalan semula mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan (PSK) kepada pelajar sekolah rendah dan menengah juga merupakan salah satu cara untuk membanteras kes jenayah. Mata pelajaran PSK ini merupakan satu langkah ke arah membentuk keperibadian para remaja yang mulia dan juga berperanan memupuk nilai-nilai murni dalam diri setiap remaja. Melalui pengenalan semula mata pelajaran ini, seseorang individu berupaya menyelesaikan masalah yang dihadapinya tanpa unsur-unsur keganasan, memahami kepelbagaian agama, budaya serta mampu menyumbang kepada pembangunan negara. Kesimpulannya, kes-kes jenayah boleh ditangani dengan adanya pengenalan semula mata pelajaran khas yang boleh dipelajari oleh para remaja.                
            Selain itu, kerajaan juga boleh memperkasakan ekonomi negara bagi meningkatkan peluang pekerjaan. Bagaimana isu ini dikatakan menjadi usaha untuk mencegah jenayah yang sedang kita bincangkan ? Dengan usaha kerajaan ini, peluang pekerjaan untuk pemuda-pemudi tiang negara dapat ditingkatkan. Perkara ini dikatakan dapat mencegah jenayah kerana antara faktor seseorang melibatkan diri dalam kancah jenayah ialah kerana gagal mendapatkan pekerjaan bagi menampung hidup. Oleh itu, mereka mengambil jalan mudah dengan melibatkan diri dalam jenayah seperti kongsi gelap, pengedaran dadah, perompak, dan sebagainya. Sekiranya mereka memiliki satu pekerjaan yang tetap, sekurang-kurangnya mereka sudah memiliki penggantungan untuk menampung hidup selain melalui cara yang diharamkan agama mahupun negara. Secara tuntasnya, antara usaha yang boleh dilakukan kerajaan bagi mencegah jenayah di Malaysia adalah dengan memperkasakan bidang ekonomi bagi meningkatkan peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia.                
           Di samping itu, kempen-kempen pencegahan jenayah juga boleh diadakan di setiap sekolah. Pelbagai kempen yang kebiasaannya diadakan mampu meningkatkan kesedaran dalam kalangan para remaja terutamanya peringkat sekolah rendah. Hal ini demikian kerana pelajar pada tahap ini kurang terdedah kepada kegiatan-kegiatan jenayah. Dengan ini, mereka akan berasa takut untuk melakukan jenayah setelah terlibat dalam kempen-kenpem kesedaran yang diadakan di sekolah. Antara kempen pencegahan jenayah yang sering diadakan di sekolah adalah seperti tayangan video, pameran berunsurkan aktiviti jenayah dan mewajibkan jemputan kepada pegawai polis untuk hadir memberi ucapan mengenai kegiatan jenayah, kesan dan hukuman kepada pesalah. Oleh itu, kempen kesedaran sepatutnya diadakan untuk meningkatkan tahap kesedaran para remaja yang sejak kebelakangan ini amat membimbangkan.                
              Penubuhan kelab bersifat antijenayah sosial di sekolah merupakan antara modus operandi untuk menangani masalah jenayah yang semakin berleluasa ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Kelab Pencegah Jenayah (KPJ) dan Skim Lencana Anti Dadah (SLAD) merupakan antara kelab bersifat antijenayah yang ditubuhkan di sekolah. Kelab-kelab seperti ini bukan sahaja mendedahkan keburukan melakukan jenayah malahan menggalakkan pelajar untuk senantiasa melakukan perkara-perkara yang berunsurkan sifat mahmudah seperti tolong-menolong dan ikhlas dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Kelab bersifat antijenayah sosial dapat didefinisikan sebagai pertubuhan yang mencegah sebarang penjenayahan daripada berlaku dan menjadi lebih parah. Hal ini bersesuaian dengan pepatah, ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’. Kegiatan-kegiatan jenayah sosial yang berlaku dalam kalangan remaja seperti gangsterisme, vandalisme dan buli didapati semakin merosot sejurus selepaspenubuhan kelab-kalab bersifat antijenayah sosial di sekolah. Oleh itu, kelab-kelab bersifat antijenayah sosial haruslah lebih giat dilaksanakan bagi membanteras gejala jenayah di negara ini.                
           Natijahnya, terdapat pelbagai usaha yag boleh dilakukan bagi membendung jenaah sosial di negara ini. Semua pihak haruslah berganding bahu membanteras kegiatan jenayah  agar aktiviti negatif ini tidak berlarutan dan bertamabh serius lagi. Baru-baru ini, Jabatan Pengangkutan Johor (JPJ) ada mengadakan kawalan jalan raya terutamanya pada waktu malam untuk mengawasi keadaan jalan raya supaya tiada sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang berlaku seperti lumba haram. Tindakan JPJ ini sememangnya wajar dilakukan agar kegiatan jenayah lain dapat dielakkan. Lama-kelamaan, mat-mat rempit  enggan berlumba secara haram kerana takut akan tindakan yang bakal diambil oleh pihak berkuasa. Oleh hal yang sedemikian, jenayah-jenayah sosial dapat dikurangkan daripada terus merebak di Malaysia.

No comments:

Post a Comment