Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha
masyarakat untuk membantu warga tua.
Warga tua merujuk ibu, bapa,datuk atau nenek,bapa saudara atau ibu saudara yang sudah berumur. Mereka merupakan golongan yang paling berjasa kepada keluarga, masyarakat dan negara. Warga tua telah melalui pelbagai rintangan dan dugaan untuk membesarkan anak-anak. Namun, pada hari ini, warga tua sering diabaikan ibarat peribahasa melukut di tepi gantang dan jasa mereka dilupakan oleh masyarakat.
Ahli keluarga perlu menyayangi warga
tua. Warga tua yang terdiri
daripada ibu melahirkan zuriat dan berperanan mengurus rumah tangga serta
mendidik anak-anak. Manakala bapa membanting tulang empat kerat mencari rezeki
membesarkan anak-anak. Pengorbanan ibu bapa perlu diingati serta dibalas dengan
sebaik-baiknya. Sebagai anak kita perlu menjaga ibu bapa kita ketika mereka tua
serta uzur.Anak-anak tidak seharusnya menghantar mereka ke rumah orang tua-tua.
Di samping itu, guru menjadi suri teladan menasihati
pelajar agar menghormati ibu bapa serta warga tua.Kita perlu memberi perhatian dan sering mendampingi
mereka. Selain itu, anak-anak perlu bertutur dengan sopan apabila berkomunikasi
dengan ibu bapa mereka kerana kasih ibu membawa ke syurga dan kasih bapa
sanggupkah berpisah berkorban nyawa. Sewajarnya anak-anak tidak mengabaikan
warga tua tersebut.
Seterusnya, kerajaan dan pihak swasta turut berperanan
menghargai warga tua.Kerajaan
dan pihak swasta berganding bahu seperti aur dengan tebing menyediakan pelbagai
kemudahan untuk warga tua. Sebagai
contohnya, pembinaan rumah penjagaan warga tua yang mempunyai pelbagai
kemudahan penjagaan. Di samping itu, warga tua turut mendapat rawatan percuma
di hospital kerajaan dengan kadar bayaran rendah di hospital kerajaan atau
klinik swasta. Keperihatinan tersebut menunjukkan sikap mengambil berat tanpa
mengira pangkat, demi keselesaan warga tua.
Media massa tidak terkecuali dalam usaha menghargai
warga tua. Media massa seperti surat khabar dan
televisyen serta Internet boleh menyiarkan cerita-cerita berkaitan penderitaan
hidup warga tua. Contohnya
rancangan yang disiarkan oleh TV3 ’Bersamamu”, menunjukkan terdapat pelbagai
pihak yang sanggup menghulurkan bantuan khususnya kepada warga tua yang daif.
Hal ini menyedarkan kita tentang pentingnya warga tua dalam hidup kita. Oleh
itu, kita tidak boleh mengabaikan warga tua.
Kesimpulannya,
pelbagai pihak perlu berusaha untuk menghargai jasa dan pengorbanan warga tua.
Tanpa mereka siapalah kita,jangan sesekali kita bersikap bagai enau dalam
belukar melepaskan pucuk masing-masing, suatu hari nanti, kita juga pasti
’tua’.Kita tidak boleh mengabaikan warga tua kerana merekalah yang sanggup
berkorban melahirkan, membesarkan,dan mendidik anak-anak hingga berjaya dalam
hidup.
No comments:
Post a Comment