Tuesday 6 August 2013

Dimensi Global


Bencana alam sering berlaku di merata-rata. Mangsa bencana telah kehilangan harta benda dan ahli keluarga. Sebagai negara penyayang, negara kita menghulurkan bantuan untuk menolong negara yang dilanda bencana alam.

Huraikan sumbangan yang dapat kita berikan untuk membantu negara yang dilanda bencana alam.

Kata orang tua-tua; hidup merupakan  gabungan antara bahagia dan derita. Penderitaan menguji keteguhan iman seseorang. Malangnya mereka yang terlalu  mengikut kehendak hati tidak sanggup menerima penderitaan.  Proklamasi tersebut mengingatkan kita tentang bencana yang mungkin melanda hidup kita di dunia yang fana ini. Lantaran itu, sedasarwasa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru dunia ini tentang isu bencana alam yang merupakan  fitrah alam yang tidak dapat dihalang. Fenomena ini  persis kata mutiara; geruh tak berbunyi, malang tidak berbau. Demikianlah, tsunami melanda Jepun pada 11 Mac 2011 telah mengemparkan seluruh dunia. Kita harus bersyukur kerana Malaysia terlepas daripada pelbagai bencana alam. Oleh  itu, kita seharusnya bersimpati dan menghulurkan bantuan seperti kata peribahasa hulurkan tangan, ringankan beban. Persoalan yang  melanda ruang legar fikiran kita, apakah bantuan dapat kita hulurkan kepada negara yang terlibat dalam bencana atau malapetaka?
Sumbangan kewangan merupakan bantuan yang afdal untuk membantu negara yang dilanda bencana alam. Oleh hal yang demikian, kita harus menyalurkan bantuan dengan kutipan derma. Badan-badan NGO dan media perlu menyeru orang ramai. Hal ini kerana mangsa bencana memerlukan dan mendambakan bantuan kewangan bagi meneruskan kehidupan di alam fana ini. Mangsa bencana alam yang hidup sehelai sepinggan dan kelaparan memerlukan wang kerana segala harta mereka telah  musnah. Rencaman peringkat kutipan derma telah dijalankan oleh badan NGO. Sebagai analogi, Persatuan Bulan Sabit Merah dan pihak berkenaan untuk meringankan beban mangsa persis kata peribahasa; berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Jadi,  kita tidak harus lokek atau kedekut dalam menghulurkan sumbangan kerana cubit paha kiri, paha kanan pun sakit juga agar mangsa bencana dapat pulih seperti sedia kala.
Bukan itu sahaja, kita juga boleh menghulurkan sumbangan dalam bentuk tenaga dan kepakaran untuk menyelamatkan mangsa. Tak tumbuh tak melata, tak sungguh tak kata! Oleh itu, kita perlu menghantar pasukan sukarela dan pasukan penyelamat yang professional untuk mencari mangsa-mangsa yang tertimbus dan hilang. Sebagai uswah, ketika tertimbus dalam gempa bumi, setiap mangsa hanya mempunyai 72 jam untuk diselamatkan. Proses penyelamatan mangsa memerlukan perancangan yang sistematik, saintifik dan  efektif. Misalnya, Pasukan Gerakan Cepat dan Pasukan SMART mempunyai segala kelengkapan yang canggih dan kemahiran yang cekap untukmemberi bantuan. Izharnya, sumbangan tenaga penyelamatan boleh menjadi platform untuk menyalurkan bantuan dalam melaksanakan usaha murni dengan menyedari  kebenaran pepatah bahawa hari tidak selamanya panas.
Lain daripada itu, bantuan perubatan dan rawatan kesihatan juga diperlukan. Mengapa dikatakan begitu? Hal ini kerana mereka memerlukan bantuan ubat-ubatan terutama ubat pelali, vaksin dan sebagainya. Pasukan perubatan yang terdiri daripada pegawai Jabatan Kesihatan,doktor jururawat harus dihantar ke negara yang dilanda malapetaka untuk memberikan rawatan kecemasan. Nasib mangsa seolah-olah sudah jatuh lagi ditimpa tangga kerana pelbagai penyakaitberjangkit akan merebak selepas bencana alam kerana mayat bergelimpangan tidak dikebumi dengan baik. Maka, bekalan air bersih turut tercemar. Lazimnya mangsa bencana akan cirit-birit, demam dan muntah malah sistem imuniti mereka turut terjejas. Mengikut kajian yang pernah dilakukan didapati bahawa penyakit taun, kepialu dan batuk kering turut akan menular. Ekoran daripada peristiwa ini, pasukan perubatan kita perlu mendirikan pusat rawatan atau hospital sementara untuk menjalankan pembedahan dan memberikan rawatan kepada mangsa yang sakit atau cedera memandangkan kebanyakan hospital dan klinik tempatan telah musnah atau sarat dengan pesakit. Memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa kita harus memberikan bantuan perubatan dan rawatan kesihatan kepada mangsa yang kurang bernasib baik ini.
Bertitik tolak daripada itu, selain keperluan fizikal, keperluan rohani tidak kurang pentingnya. Lampu Aladdin tidak akan bersinar dengan sendirinya tetapi Aladdin yang mengosoknya terlebih dahulu. Dengan itu, pakar psikologi dan ahli kaunseling juga patut dihantar ke Negara yang dilanda bencana alam. Ghalibnya, mangsa akan menjadi trauma, iaitu sentiasa cemas, takut dan fikirannya sentiasa bercelaru kerana hidun dalam penderitaan serta kesedihan akibat kehilangan ahli keluarga yang disayangi. Dalam konteks ini, bimbingan dan kaunseling perlu disalurkan. Sokongan moral amat dominan untuk merawat hati mereka yang telah remuk-redam bagai kaca terhempas ke batu. Justifikasinya, kita harus memberi semangat kepada mereka memperoleh nur harapan selepas menempuhi dugaan supaya mangsa dapat menghadapi masa depan dengan penuh keyakinan.
Di samping itu, infrastrutur akan binasa umpama padang jarak, padang terukur kerana sekolah, hospital, klinik, jalan raya, rumah dan sebagainya telah musnah. Lebih-lebih lagi, ekonomi lumpuh. Dengan itu, kita perlu menghantar pegawai  perancang ekonomi bersama dengan ahli koporat tempatan untuk menghidupkan aktiviti ekonomi selain merancang pelan induk pembinaan dan pembangunan sosioekonomi. Sebagai tamsilan, negara kita telah berjaya mendirikanlebih daripad 3 ribu buah rumah kos rendah yang dilengkapi dengan pelbagai prasarana di Aceh, Sumatera, Indonesia selepas dilanda tsunami pada tahun 2004. Jelaslah bahawa bantuan membina prasarana dan infrastrutur yang rosak patut dihulurkan bantuan oleh negara kita terhadap mangsa bencana alam.
Secara holistiknya, sebagai makhluk ciptaan Tuhan, semua umat bagai saudara yang tidak harus dibezakan atas batasan geografi untuk bantu-membantu dan tidak harus bersikap ego bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing seperti kata orang tua-tua, di sebalik malapetaka ada hikmahnya. Dengan itu,seluruh dunia memperlihatkan semangat perikemanusiaan membudayakan sikap tolong-menolong sesame manusia lantaran buat bail berpada-pada, buat jahat jangan sesekali. Sesungguhnya, seluruh dunia sepatutnya bermuafakat demi melahirkan dunia utopia yang aman sentosa.







No comments:

Post a Comment