Sunday 11 August 2013

LATIHAN KARANGAN - MASALAH PELAJAR / REMAJA


Gejala Sosial / Masalah Remaja / Masalah Pelajar  / Jenayah
Pengenalan
Banyak yang telah kita dengar tentang  gejala sosial. Berbagai gejala sosial  telah melanda masyarakat kita  dan  aktiviti yang terlibat  begitu pelbagai  sekali baik yang dilakukan oleh remaja mahupun orang dewasa. Namun, oleh kerana golongan remaja dan pelajar merupakan bakal pewaris negara, maka  kegiatan merekalah yang hangat diperkatakan dan mendapat  perhatian daripada segenap lapisan masyarakat. Media massa seringkali menyiarkan pelbagai berita dan cerita tentang kenakalan remaja yang masih bersekolah dan pelbagai masalah sosial yang melanda mereka ini. Melihat kepada masalah sosial dan perbuatan  jenayah membabitkan  pelajar dan remaja  benar-benar membimbangkan  kita.   Pada peringkat pelajar dan remaja, seseorang individu mengalami perubahan yang amat pesat sekali, sama ada dari segi fizikal, emosi mahupun sosial. Pada zaman inilah para remaja mula terdedah kepada alam luas di luar rumah, malah persekitaran ini sudah merupakan rumah kedua kepada mereka. Remaja juga belajar banyak perkara yang tidak semuanya datang dari ibu bapa tetapi kebanyakannya daripada persekitaran sosial yang mana ia membesar. Pada tempoh-tempoh inilah para remaja mula mengubah tingkah laku, sikap, dan nilai, malahan seluruh cara hidup  daripada alam kanak-kanak kepada alam yang lebih matang dan dewasa  Mereka bukan sekadar  nakal  dengan menghisap rokok, bergaduh sesama sendiri atau berkelakuan tidak senonoh malah gejala seperti membuang bayi, ponteng sekolah , lari dari rumah , seks bebas serta serta lagi melepak tidak memeranjatkan kita.. Mereka kini sudah berani melakukan  perbuatan jenayah berat seperti menganggotai kumpulan samseng seperti kumpulan gengsterisme , membunuh, samun tanpa senjata api  mahupun dengan senjata api, merogol, pelacuran, judi, vandalisme  penyalahgunaan dadah , minum minuman keras, terbabit video lucah  dan sebagainya. Keadaan seperti ini bukan sahaja berlaku di sekolah bandar dan di pinggiran  bandar, malah  di sekolah luar bandar. Pelajar yang sering melanggar disiplin atau salah laku sekolah digelar  pelajar devian.
Masalah-Masalah Sosial Pelajar
i  Seks Bebas Dan Jenayah Seksual
Seks bebas dan jenayah seksual dalam kalangan pelajar  kini semakin  menular dan membimbangkan  kita terutamanya pelajar di kawasan bandar dan kota. Penglibatan mereka mula  dikesan  seawal usia 13. Seorang guru disiplin di sebuah sekolah menengah  mendedahkan bahawa beliau menemui kondom  yang disimpan dalam beg oleh pelajar wanita di sebuah sekolah di Taman Melawati, Kuala Lumpur. Kondom itu ditemui ketika  pemeriksaan mengejut dilakukan  di sekolah tersebut Peningkatan pembabitan remaja perempuan dalam aktiviti maksiat juga satu lagi petanda bahawa keruntuhan akhlak remaja di Malaysia bertambah serius.  Seorang lagi guru  di sebuah sekolah di Kuala Lumpur mendedahkan bahawa beliau pernah  membuat tinjauan  di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) pada waktu malam dan merasa sungguh terkejut kerana  mendapati  pelajarnya, lelaki dan perempuan  meneguk minuman keras  tanpa segan silu di khalayak ramai. Beliau juga mendedahkan  terdapat seorang pelajar wanita di sekolahnya  terlibat dalam  pengedaran pil ecstasy. Pelajat terbabit kerap ponteng sekolah  dan apabila disiasat , pihak sekolah mendapati pelajar itu merupakan  ketua pengedar pil ecstasy di sekolah itu.  Ibu bapa hendaklah menjadi  pemangkin dan contoh teladan yang baik bagi anak-anak kerana pengaruh media massa pada zaman ledakan maklumat  dan  lambakan bahan-bahan lucah seperti majalah dan  VCD lucah amat mudah  mempengaruhi tingkah laku  anak-anak  dan para pelajar.   Remaja dan pelajar merupakan golongan pewaris kepimpinan hari ini dan penerus wawasan negara. Kepesatan pembangunan ekonomi dan teknologi telah memberikan kesan kepada pembangunan sosial dan insaniah para pelajar. Minda mereka menjadi lebih terbuka dan bebas. Salah satu daripada gejala yang berlaku pada masa kini ialah masalah penyalahgunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam kalangan remaja.  Aktiviti seperti "Lepak Siber", melayari halaman lucah dan hiburan keterlaluan, penyebaran fitnah dan sebagainya merupakan gejala negatif yang semakin menular di kalangan remaja. Justeru , satu bentuk langkah pembendungan dan penyelesaian terbuka yang sesuai dengan minat dan cita rasa mereka ini perlu dilaksanakan agar mereka dapat mempertingkatkan potensi diri mereka dan memanfaatkannya ke arah yang lebih positif.
ii.  Samseng  Dan Gengsterisme
Gejala samseng atau gengsterime  di sekolah menengah di seluruh negara   semakin membimbangkan .Mereka  ternyata  semakin berani mencabar undang-undang  dan tidak takut  melakukan kesalahan jenayah  termasuk menggunakan senjata merbahaya..  kita diperlihatkan   pembabitan  pelajar  dalam kes jenayah  berat seperti  membunuh, merogol, menyamun, mengugut dan kes pukul. Terdapat juga pelajar yang terlibat dengan  dadah, mabuk,  memiliki senjata api, menceroboh , judi dan membuli. Peristiwa  terbaru ialah kejadian membakar  sekolah  dan rumah guru yang dilakukan oleh pelajar  sekolah. Seawal belasan tahun  pelajar sudah  terjebak dengan jenayah ekstrem  seperti  membunuh , merogol dan menyamun. Mereka  yang sudah menjinakkan diri dengan  kes seperti mencuri  motosikal, pecah rumah  dan memukul orang , tidak  mustahil akan  terbabit dengan jenayah  berat seperti  membunuh, sindiket senjata api , pengedaran dadah dan juga rompakan senjata api.   Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan  berlakunya  gejala-gejala tersebut seperti  faktor  rumah tangga, sekolah, persekitaran, media massa dan diri  pelajar itu sendiri . Ramai pelajar dan remaja  mudah terpengaruh dengan media yang memberikan  ganjaran keseronokan  dan mula  tersesat dengan  meniru perkara yang dilihat dan dibaca. Kewujudan media berteknologi tinggi mendedahkan remaja kepada pelbagai budaya luar yang kebanyakannya merosakkan pemikiran  mereka.  Selain itu,  rumah tangga yang porak peranda dan persekitaran yang tidak sihat juga menyumbang   kelakuan tidak baik dalam kalangan remaja .Pelajar atau remaja akan mengambil jalan singkat dengan  menjadikan  perbuatan tidak sihat sebagai  jalan keluar  kepada permasalahan mereka.
iii.  Ponteng Sekolah
Senario ponteng sekolah bukanlah merupakan masalah sosial  yang baru dalam  kalangan pelajar sekolah di negara kita.. Pelajar sekolah menengah, terutama pada peringkat usia antara 14 hingga 15 tahun dikenal pasti  sebagai kumpulan majoriti  yang terbabit dengan gejala  ponteng. Masalah ponteng lebih ketara  berlaku dalam kalangan pelajar  peringkat menengah terutama  mereka yang bersekolah di kawasan bandar dan sekolah di pinggir bandar.  Antara faktor yang menyumbang kearah berlakunya  gejala ponteng dalam kalangan pelajar  sekolah ialah tiadanya minat atau motivasi untuk ke sekolah, tiada kesedaran betapa pentingnya ilmu pengetahuan , pengaruh persekitaran seperti melepak di pusat hiburan,  pusat beli belah, melayari Internet di kafe siber  dan terikut-ikut atau terpengaruh dengan rakan sebaya.
iv.  Dadah, Merokok dan Lari Dari Rumah 
Penglibatan pelajar sekolah di negara kita dalam kes merokok, dadah, lari dari rumah  dan judi  bukanlah perkara yang baru. Antara   dadah yang  dikesan  dalam kalangan pelajar ialah  ganja, heroin, pil ectasy, menghidu gam, meminum ubat batuk dan lain-lain bahan yang mempunyai kesan-kesan dadah.  Terdapat beberapa sebab pelajar merokok seperti ingin menonjolkan  emej yang hebat dan kedewasaan, ingin mencuba,  dan mengikut tingkah laku ibu bapa , pengaruh rakan sebaya dan iklan  serta mudah diperolehi di pasaran. Manakala satu lagi kesalahan yang selalu melibatkan para remaja ialah lari atau hilang dari rumah. Statistik untuk tahun-tahun kebelakangan ini menunjukkan remaja yang  lari atau menghilangkan dari rumah semakin membimbangkan Masalah ini mungkin akan menyebabkan wujudnya masalah yang lebih besar apabila mereka menghadapi kesulitan hidup  setelah dari dari rumah seperti   terlibat dalam pelacuran, pelayan di kelab malam atau disco dan sebagainya. 
Penutup
Tindakan untuk mengawalnya sudah  sampai ke tahap  yang dianggap terdesak. Pertaruhanny ialah masa depan negara dan  generasi Malaysia.. Disebabkan  terlalu banyak  punca yang diramalkan , tindakan untuk membendung masalah tidak lagi berfokus. Meskipun ada cadangan mengenai  cara mana mengatasi masalah, namun   hanya berakhir  di meja perbincangan,  forum atau seminar. Memang ada program yang  dirangka untuk remaja dan pelajar tetapi  hanya memberi  manfaat kepada segelintir  mereka sahaja dan  lebih bersifat komersial.  Ibu bapa, guru-guru, dan masyarakat  perlulah berganding bahu dan bekerjasama  dalam memikul tanggungjawab  mendidik anak-anak dan para pelajar. Sebagai masyarakat mikro, sekolah sepatutnya  mempunyai ciri-ciri yang ada dalam masyarakat  makro. Oleh itu,  pelajar perlu  didedahkan akan kesan buruk  dalam  masyarakat  melalui interaksi  mereka di sekolah. Kerajaan juga perlu melancarkan satu kempen yang menyeluruh  untuk menyedarkan remaja dan pelajar supaya menghindarkan  diri dalam  apa jua bentuk  gejala buruk  yang boleh merosakkan  diri  dan nama baik keluarga mereka. Golongan ini juga perlu  didedahkan dengan  pengetahuan undang-undang  agar mereka  gementar dengan hukuman.   Pelajar dan remaja ialah  kumpulan masyarakat yang bakal mencorakkan masa depan negara.. Mereka aset kekayaan semula jadi yang bakal memegang peranan penting dalam politik, ekonomi dan kemasyarakatan di negara ini. Namun demikian, masalah akhlak dalam kalangan remaja  salah satu daripada ancaman kepada sumber tenaga manusia yang akan merugikan negara dalam jangka masa panjang. Oleh itu,  segala masalah sosial yang dihadapi oleh para remaja harus dibendung dan diatasi supaya  tidak terus mewujudkan ancaman besar terhadap aset yang tidak ternilai ini. 

No comments:

Post a Comment