Tuesday 6 August 2013

Dimensi Keluarga


Keharmonian dalam rumah tangga dapat diwujudkan daripada sikap yang baik dalam kalangan anak.

Bincangkan sikap yang perlu ada pada anak-anak bagi melahirkan keluarga yang harmoni


Sebahagian daripada kesempurnaan  di dunia  memiliki keluarga yang bahagia. Aforisme tersebut menyedarkan kita tentang  impian semua insan di dunia ini untuk memiliki keluarga yang bahagia. Matlamat yang terkandung dalam slogan “Rumahku Syurgaku” menjadi hasrat semua keluarga. Mengimpikan sebuah keluarga yang bahagia dan harmoni memanglah lunak dan muluk, namun tidak semudah seperti yang dihasratkan. Realitinya, banyak institusi keluarga yang kecundang dan terbentur ditelan gelombang. Oleh itu, selain ibu bapa, anak-anak turut berperanan untuk mewujudkan keharmonian dalam rumah tangga.  Oleh yang demikian, bagi merealisasikan matlamat keluarga yang harmoni, anak-anak sebagai cahaya mata ibu bapa haruslah bersikap positif dan turut memainkan peranan agar keluarga yang dibina menjadi keluarga progresif, harmoni, dan sejahtera. Persoalannya, apakah sikap positif  yang dimaksudkan itu?

Sikap yang paling prima ialah anak-anak hendaklah menjadi seorang insan yang patuh pada agama dan taat kepada ibu bapa. Hal ini demikian kerana sikap tersebut amat dituntut sama ada di sisi agama mahu pun budaya. Oleh itu, jadilah anak-anak yang mampu berperann sebagai penawar hati dan pelunak perasaan kepada ibu dan ayah. Hormati dan taatilah ibu bapa kerana kesejahteraan dunia dan akhirat berdasarkan keberkatan ibu bapa. Apabila ibu bapa dipatuhi manakala perintah Tuhan ditaati nescaya lahirlah insan sempurna sama ada peribadi mahupun nurani . Cuba kita bayangkan; implikasi terhadap kebahagiaan sesebuah keluarga sekiranya anak-anak tidak mentaati ibu bapa mahupun suruhan agama. Sudah pasti kerukunan rumah tangga akan terjejas dan menjadi duri dalam daging terhadap keharmonian komuniti. Justifikasinya ,  perwatakan tersebut menjadi resepi lengkap untuk mewujudkan keharmonian dalam rumah tangga.

Lain daripada  itu, anak-anak yang baik adalah  mulia budi perkerti dan bermoral tinggi. Mengapakah dikatakan begitu? Hal ini disebabkan  budi pekerti dan moral sentiasa menjadi pakaian peribadi. Elok pekerti nescaya terserlah nilai insani. Sewajarnya, anak-anak haruslah mencerminkan diri dengan akhlak dan sopan santun, persis kata Imam al Ghazali, “hendak mengenal diri  lihatlah pada cermin, hendak mengenal peribadi bercerminlah pada wajah”. Oleh itu, hiasilah diri dengan kelembutan hati dan kesederhanaan sikap sebagai penyuluh pekerti kita. Sebagai tamsilan, hormatilah setiap ahli keluarga dengan yang tua dihormati, manakala yang muda disayangi. Seandainya karekter seperti ini kekal diperkasakan, maka akan  lahirlah  keluarga yang harmoni, ibarat di air yang bening terpancar bayang yang jernih. Tuntasnya, anak-anak yang berperibadi mulia mampu menjadi penjana keluarga bahagia.

Bukan itu sahaja, sikap ringan tulang dan keletah yang ada pada sesetengah anak merupakan kriteria yang amat baik untuk membentuk keluarga yang harmoni. Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata! Anak-anak seperti ini tidak pernah berkira sama ada tenaga mahupun penat lelah dalam memberi khidmat kepada keluarga. Mereka mudah mesra dan cepat peka terhadap segala kerenah dalam keluarga. Ketiadaan mereka di rumah amat dirasa oleh semua ahli keluarga. Malahan ada ketika wujud salah faham apabila anak-anak seperti ini dianggap anak emas pula. Sepatutnya inilah sikap yang wajar ditunjukkan oleh anak-anak sebagai tanda membalas budi ibu bapa di samping mengikat hubungan mawaddah dengan ahli keluarga yang lain. Sebagai uswah, anak-anak sepatutnya membantu ibu bapa dalam melakukan kerja-kerja rutin di rmah.  Sebagai anak, ingatlah akan kelahiran kita ke dunia merupakan limpahan darah, peluh dan air mata seorang ibu. Dengan hal yang demikian, balaslah ibu bapa dengan sikap ringan tulang demi merealisasikan keluarga yang harmoni dan prihatin.

Seperkara lagi, resam hidup, patah tumbuh hilang berganti. Sampai waktu ibu bapa akan berlalu pergi, justeru anak-anak pula yang mengambil giliran. Memahami situasi hukum alam itu, anak-anak wajar bersedia untuk mengambil tanggungjawab. Tanggungjawab seperti menjaga rumah tangga, menghubungkan silaturahim dengan adik beradik dan menjaga maruah serta nama keluarga amatlah dituntut oleh mana-mana masyarakat pun. Seandainya, nilai-nilai murni ini boleh diperkasakan sudah pasti keharmonian dalam rumah tangga akan terbentuk. Anak-anak seyogia perlu berpandangan jauh kerana segala sikap mereka menjadi cermin kepada ibu bapa kerana mengenal batang (perdu) lihatlah pada daunnya. Janganlah terjadi seperti segelintir anak-anak yang lupa diri ibarat buah melayang jauh, tampuk dilupakan. Intihanya, sebagai anak yang baik bersedialah untuk mengambil tanggungjawab untuk mengharmonikan keluarga.

Sikap bertolak ansur dan saling memahami yang menjadi sebahagian resepi untuk melahirkan sebuah keluarga yang harmoni tidak boleh dikesampingkan. Oleh hal yang demikian,  anak-anak wujudkan sikap saling bertoleransi supaya keluarga lebih aman dan tenteram. Daripada sikap bertoleransi akan lahirlah perasaan saling menyayangi dan saling menghargai antara satu sama lain. Tiada masalah salah faham dan salah anggap kononnya ada yang lebih istimewa dan ada pula yang terpinggir. Sesama adik-beradik terbentuklh jalinan hormat dan kasih ibarat isi dengan kuku. Sebarang perbuatan yang boleh menyakiti darah daging sendiri tidak lebih daripada cubit paha kiri,  paha kanan pun sakit juga. Ghalibnya, sebarang  salah faham pun, carilah jalan penyelesaian kerana perselisihan dalam kalangan adik-beradik ibarat air dicencang tidak akan putus. Sudah terang lagikan bersuluh, setiap ahli keluarga bertanggungjawab untuk menjaga dan memupuk institusi yang tertua dalam sejarah manusia ini agar terus subur dengan sifat kasih sayang.

Secara keseluruhannya, keluarga yang harmoni menjadi teras kepada masyarakat yang dinamik. Sesungguhnya, sikap penyayang ibu bapa dan dan tingkah laku yang positif  anak-anak menjadi wadah utama untuk membina keluarga yang harmoni. Oleh itu, sebagai anak, berilah sumbangan yang terbaik agar keluarga memperoleh kebahagiaan. Janganlah bersikap seperti kacang lupakan kulit. Ingatlah pada pesanan, “Keluarga bahagia penjana kecemerlangan ummah”.

1 comment: