Thursday 8 August 2013

Pantun Lapan Kerat


PANTUN LAPAN KERAT

Buat bangsal di tengah hutan,
     Tebaslah hutan buat halaman,
          Di tepi halaman menanam kubis,
               Diselang pokok papaya;
Biarlah sabar dengan perlahan,
     Itulah tanda tuan beriman,
          Tidak patah digoncang iblis,
             Akhirnya tuan menang berjaya.
Seseorang itu perlu ada sifat sabar dalam dirinya kerana sifat sabar merupakan ciri bagi orang yang beriman.  Kesabaran akan menyebabkan hati seseorang itu sukar untuk dipengaruhi oleh iblis sekali gus membolehkannya berjaya dalam hidup.


Ikan teluk parang-parang,
     Anak ketam disangka lelabi,
          Berburu musim tengkujuh,
               Dapat buruan dibelah-belah;
Bukan makhluk sebarang-barang,
     Cucu Adam sepaian nabi,
          Turun dari langit ketujuh,
               Jadi khalifah kepada Allah.
Kelahiran seseorang utusan istimewa yang merupakan keturunan Nabi Adam yang turun dari langit ketujuh dan akhirnya menjadi pembimbing kepada manusia


Lengkang-lengkung apa dipaku,
     Paku jatuh patah dua,
          Menjadi riuh orang di darat,
               Anak Cik Itam jatuh jalar;
Bumi kandungan nenek moyangku,
     Kerana lalai rosak binasa,
         Kebudayaan Timur dinodai Barat,
               Bahasa ibunda hina terbiar.
Warisan bangsa dan tanah air telah musnah sebagai akibat kelalaian masyarakat setempat.  Budaya Timur yang menjadi tunjang peradaban masyarakatnya telah dicemari oleh budaya Barat, manakala bahasa Melayu yang dituturkan sejak sekian lama telah diabaikan dan hilang martabatnya yang tinggi.

No comments:

Post a Comment