Thursday 8 August 2013

Novel Kembara Amira


NOVEL KEMBARA AMIRA  (Amer Hamzah L.Kadir)

Watak utama novel ialah Amira Amir, anak pasangan Pofesor Zaidah, seorang pensyarah arkeologi dengan Amir, seorang jurutera komputer sebuah syarikat multinasional yang berpangkalan di Eropah. Amira diperkenalkan dalam perjalanan sebuah kereta api. Amira menyertai ibunya, serta pelajar tahun akhir universiti yang hendak membuat penyelidikan arkeologi di belantara Titiwangsa.

Antara watak sampingan terawal yang ditonjolkan ialah Jacinta (JC), seorang gadis Cina yang menjadi teman rapatnya. Kemudian barulah watak-watak lain diperkenalkan satu demi satu seperti Pak Lias, Roslan dan John O'Hara. Penggunaan komputer riba, e-mel, hotspot dan mobile disk menunjukkan latar masa alaf tiga (novel terbit pada tahun 2006), berbeza dengan Azfa Hanani yang memaparkan era 1980-an.

Sudut pandangan orang ketiga yang digunakan menjadikan Kembara Amira sama dengan gaya penceritaan Azfa Hanani. Teknik imbas kembali, monolog dan dialog juga menjadi pilihan pengarang. Latar belakang pengajian sejarah yang dilalui pengarang nampaknya turut mempengaruhi fakta dalam penceritaan.
Sinopsis  Keseluruhan  Cerita:

Amira pergi ke Desa Karpus bersama-sama dengan kawan karibnya, Jacinta semasa cuti sekolah. Dia pergi ke Desa Karpus yang terletak di Gunung Mat Raya kerana ibunya, Profesor Zaidah yang juga seorang pensyarah dan profesor dalam bidang arkeologi di sebuah universiti sedang menjalankan kajian dan mencari gali artifak atau tinggalan manusia zaman silam di situ. Profesor Zaidah dibantu oleh Dr. Zawawi iaitu seorang pensyarah muda dan juga para pelajar tahun akhir yang sedang mengikuti bidang pengajian yang berkaitan dengan arkeologi. Di Gunung Mat Raya, Amira berkawan dengan Itai, iaitu seorang anak orang Asli yang tinggal di kampung orang Asli yang berhampiran dengan kawasan tapak kerja lapangan di Desa Karpus itu.

Di samping mereka yang sedang menjalankan kerja mencari gali artifak, satu kumpulan lain sedang membuat kajian untuk mencari gali emas di kawasan hutan itu. Pihak yang menjadi pencari emas itu pula ialah sebuah syarikat dari Pulau Pinang dan mereka mengupah O’Hara menjalankan kajian untuk menilai kandungan emas di kawasan itu. Selain itu, Malique pula diberikan tugas untuk memasukkan laporan kajian itu ke dalam komputer dan Internet. Antara yang terlibat dalam syarikat pencari emas itu ialah Chin dan Roslan di samping pekerja-pekerja yang menjalankan kerja menggerudi tanah.

Semasa berada di dalam hutan itu, Amira dan Jacinta telah mengalami peristiwa pahit, iaitu Amira dihanyutkan oleh air sungai yang deras. Peristiwa itu berlaku semasa Amira hendak berjumpa dengan Malique di kawasan air terjun yang menjadi tempat mereka mandi. Amira bernasib baik kerana telah diselamatkan oleh Itai daripada lemas di dalam sungai dan Jacinta pula telah diselamatkan oleh Tau dalam keadaan pengsan kerana hendak menjejaki Amira yang dihanyutkan oleh air sungai.

Semasa berada di tapak cari gali itu, mereka telah menemukan karpus atau tulang pergelangan tangan manusia, barang-barang tinggalan manusia zaman silam seperti tembikar dan kapak batu. Amira merasai pengalamannya sendiri iaitu dia berjaya menemukan bekas air yang sempurna bentuknya iaitu barang tinggalan manusia pada zaman silam itu. Mereka juga menjumpai kapak batu di Gunung Gua Gajah dengan bantuan Tau.

Di samping itu, pelbagai peristiwa yang ganjil telah dialami oleh mereka, seperti mereka mendengar pelbagai bunyi pada waktu malam, tali khemah mereka dipotong, dan terdapat kesan tapak kaki manusia di kawasan kerja lapangan itu dijalankan. Profesor Zaidah pula telah mengalami kecederaan di lengannya, akibat kemalangan semasa dia menaiki kereta pacuan empat roda yang dipandu oleh Pak Lias di dalam hutan itu. Perkara itu berlaku semasa kereta pacuan empat roda yang dinaiki oleh mereka terbabas dan hilang kawalan kerana breknya tidak berfungsi. Namun begitu, Ludin, iaitu ketua kampung orang Asli yang juga bapa angkat Itai telah membantu Profesor Zaidah. Dia merawat kecederaan Profesor Zaidah dengan menggunakan kaedah rawatan tradisional iaitu menggunakan daun kayu, herba dan buluh.

Malique yang menganggotai kumpulan pencari emas pula telah mengalami kemalangan akibat kereta pacuan empat roda yang dinaikinya terbabas ke dalam gaung sewaktu hujan lebat ketika hendak mencari pekerja yang hilang. Malique pengsan dan dia mendapat kecederaan iaitu tulang kakinya patah. Malique bernasib baik kerana dia telah diselamatkan oleh makhluk yang berbulu tebal. Walau bagaimanapun, dia disembunyikan dan dikurung di dalam sebuah gua di Gunung Gua Gajah oleh makhluk itu. Kehilangan Malique telah menyebabkan kawan-kawannya berasa bimbang dan mereka berusaha untuk mencarinya. Amira pula menggerakkan usaha dengan mendapatkan bantuan daripada Itai untuk mencari Malique.

Sebelum itu, Tau mengajak mereka ke Gua Gajah dan Amira terjumpamobile disk kepunyaan Malique di dalam gua itu. Hal itu menguatkan semangat Amira untuk mencari Malique dan dia berasa bahawa Malique masih hidup dan berada tidak jauh dari kawasan gua itu. Perkara itu diperkukuh lagi dengan bukti bahwa mobile disk itu memang milik Malique dan kandungannya berisi laporan hasil kajian tentang emas di kawasan hutan itu. Amira benar-benar yakin bahawa Malique masih hidup dan berada di kawasan gua itu, dan dia meminta bantuan Itai untuk mencari Malique. Selain Amira dan Itai, Pak Lias, Jacinta, Roslan, Profesor Zaidah dan Ludin turut bersama-sama dengan mereka untuk mencari Malique. Pada masa yang sama, O’Hara dan ibu Malique, iaitu Jennifer juga sampai dan turut sama ke tempat tersebut untuk menyertai gerakan itu.

Malique yang cedera pula telah dijaga dan dirawat oleh Tau di dalam gua itu. Tau yakin bahawa Malique ialah Sabi iaitu anak kandungnya dengan Ipah. Tau yang memakai sarung beruang cuba bertindak kasar kepada Pak Lias kerana dia tidak membenarkan mereka membawa Malique keluar dari situ. Walau bagaimanapun, Ludin sampai tepat pada masanya dan dia menasihati Tau supaya jangan bertindak di luar batasan dan menerima keadaan itu dengan rasional.

Akhirnya rahsia yang terpendam begitu lama terurai dengan pendedahan yang dilakukan oleh Jennifer. Jennifer mengakui bahawa Malique sebenarnya ialah Sabi iaitu anaknya dengan Tau. Dia juga mengakui bahawa Tau ialah suaminya dan Itai ialah adik Malique. Hal ini bermakna, Itai dapat bertemu dengan abang dan juga ibu kandungnya sendiri. Jennifer (Ipah) telah meninggalkan Tau dan Itai suatu masa dahulu kerana konflik jiwa akibat dia tidak diterima oleh masyarakat di kampung itu. Jadi, dia mengambil kesempatan untuk keluar dari kampung itu dengan mengikut Johnny. Selepas semuanya selesai, Malique membuat keputusan untuk tinggal di situ buat sementara waktu dengan bapa dan adik kandungnya, iaitu semasa bapanya merawat kecederaannya itu. 

Amira meneruskan pengajiannya dalam bidang yang diminatinya di sebuah universiti di Kuala Lumpur. Itai pula melanjutkan pengajiannya dalam bidang perubatan. Malique meneruskan projek teknologi maklumat (IT) di kampungnya termasuklah di Dahan Hijau dan dia dibantu oleh Roslan. Malique berjaya menggagalkan projek cari gali emas itu kerana semua laporannya terhapus oleh virus ciptaannya sendiri. Hal ini bermakna, kawasan hutan yang disayanginya itu dapat diselamatkan daripada menjadi mangsa syarikat pencari gali emas. Sementara itu, Jacinta berada di Paris kerana melibatkan diri dalam perniagaan fesyen, syarikat milik bapanya. Dr. Zawawi pula sudah menukar profesionnya iaitu dia melibatkan diri dengan projek swasta yang mengesan khazanah Melayu yang hilang dan tenggelam di dalam laut. Profesor Zaidah masih meneruskan projeknya di Bukit Mat Raya iaitu dalam fasa keempat dan dibantu oleh Rusdi yang menggantikan tempat Dr. Zawawi.



Watak dan Perwatakan Novel Kembara Amira

WATAK UTAMA :AMIRA
Pelajar sekolah swasta.
Anak Profesor Zaidah.
Ayahnya bekerja sebagai jurutera IT.
Seorang yang berani. - Amira berani mengikut Itai untuk mendaki Gunung Gua Gajah walaupun berbahaya.
Seorang yang penyayang. - Amira amat menyayangi Jacinta dan dia menangis apabila Jacinta tidak sedarkan diri kerana sesat di hutan.
Seorang yang mudah mesra. - Amira cepat menyesuaikan diri bersama pelajar-pelajar ibunya.
Seorang yang penyabar. - Amira sabar dalam usaha menjalankan kerja lapangan yang memerlukan tahap kesabaran yang tinggi.


WATAK SAMPINGAN

JACINTA
Berkulit cerah.
Berbangsa Cina.
Rakan sebilik Amira di sekolah swasta.
Anak seorang jutawan.
Telah kematian ibunya empat tahun lalu.
Seorang yang memendam rasa. - Jacinta tidak berpuas hati dengan ayahnya yang berkahwin lain tetapi Jacinta tidak cuba untuk berterus terang.
Seorang yang sensitif. - Jacinta cepat merajuk apabila isu keluarganya diungkit.
Seorang sahabat yang setia. - Jacinta sentiasa bersama-sama dan menemani Amira dalam apa-apa jua keadaan.

ITAI
Berkulit gelap.
Berbadan tegap.
Anak orang asli yang bersekolah di bandar.
Anak kepada Tau.
Bakal ketua kampung.
Seorang yang tahu selok belok hutan. -  setelah belajar daripada Tau, akhirnya Itai berjaya mengenal selok belok hutan. Sebagai contoh, dia berjaya menyelamatkan Amira daripada dihanyutkan oleh arus deras.
Seorang yang prihatin.-  apabila mengetahui Jacinta mahu memiliki batu Kuartza seperti Amira, Itai berusaha memujuk Jacinta dengan mendapatkan emas untuk dijadikan loket.
Seorang yang berani. - Itai berani untuk berlawan dengan makhluk berbulu yang amat digeruni oleh semua masyarakat orang asli.
Seorang yang mempunyai keistimewaan deria keenam. - Itai dianugerahkan kelebihan deria keenam iaitu dapat mengenali tapak kaki, meneka jantina berdasarkan tapak kaki dan boleh menghidu bau yang dibawa oleh angin.

PROFESOR ZAIDAH
Wanita pertengahan usia
Ibu kepada Amira
Pensyarah universiti
Meminati bidang arkeologi
Seorang yang penyayang - sebagai ibu Prof. Zaidah membelai dan memeluk Amira ketika Amira bersedih kerana Jacinta tidak sedarkan diri ketika sedang mencari Amira yang dihanyutkan oleh arus.
Seorang yang tegas. - sebagai pengarah projek di Desa Karpus, Prof Zaidah tegas dalam memberi arahan kepada setiap gerak kerja yang akan dilakukan.
Seorang yang tidak mudah berputus asa.-  Walaupun Prof Zaidah dihujani dengan pelbagai cabaran dan dugaan seperti keretanya pernah disabotaj sehingga terbabas, namun beliau bertegas untuk meneruskan projek cari gali tersebut.

TAU
Seorang yang tinggi lampai.
Berbadan tegap.
Bapa kepada Malique dan Itai.
Bekas suami kepada Ipah (Jennifer).
Adik kepada Ludin.
Seorang yang bersifat prejudis. - Tau tidak menyenangi kehadiran orang luar ke kawasan Bukit Mat Raya walaupun tanpa mengetahui tujuan mereka.
Seorang yang sanggup berkorban. - Tau sanggup menggantikan abangnya Ludin untuk berkahwin dengan Ipah agar abangnya dapat menjadi ketua kampung.
Seorang yang prihatin. - pada setiap malam, Tau sanggup berada di Desa Karpus untuk menjaga keselamatan pelajar-pelajar Prof Zaidah tanpa pengetahuan mereka.

MALIQUE (SABI)
Berkulit gelap.
Berambut kasar.
Anak Tau dengan Ipah.
Abang kepada Itai.
Seorang yang mahir dalam bidang IT. -  O’hara menyuruh Malique menyiapkan laporan menggunakan kemahiran IT yang dimilikinya.
Seorang yang mencintai alam sekitar. -  Malique sanggup mencipta virus sendiri dalam laporan yang disiapkan semata-mata untuk menggagalkan projek mencari emas O’hara yang boleh memusnahkan hutan tersebut.
Seorang yang bersopan-santun. -  semasa melawat Amira di Desa Karpus, sikap Malique yang beradap telah menambat hati Prof. Zaidah.

LATAR MASA
LATAR TEMPAT
PERISTIWA
Malam
Di dalam Kereta api
Amira dan Jacinta menuju ke stesen Dahan Hijau untuk ke Bukit Mat Raya yang terletak di banjaran Titiwangsa
Pagi
Stesen Kereta api Dahan Hijau
Amira dan Jacinta menunggu kedatangan Pak Lias untuk ke Bukit Mat Raya
Tengah hari
Sungai Bukit Mat Raya
Amira berkenalan dengan Itai. Itai membakar ikan sebagai makanan tengah hari Amira yang baharu diselamatkan daripada mati lemas.
Petang
Perkampungan orang Asli Bukit Mat Raya
Amira melawat Itai yang telah dikurung selama dua hari kerana melanggar peraturan orang Asli

Gunung Gua Gajah
Kumpulan Profesor Zaidah yang diketuai Dr. Zawawi mengikut Tau ke gua itu dan menemui banyak artifak sejarah antaranya lukisan di dinding gua.

LATAR MASYARAKAT
PERISTIWA
Masyarakat yang mencintai alam semula jadi
Ludin, Tau, Itai, Malique, Jennifer dan kumpulan Profesor Zaidah amat mencintai hutan dan keindahan alam semula jadi. Tau bertindak terhadap pembalak dan pekerja cari gali emas kerana dia menganggap kumpulan itu akan memusnahkan kawasan hutan
Masyarakat yang saling membantu
Itai dan Tau menyelamatkan Amira yang hamper mati lemas. Mereka juga membantu mencari Jacinta yang sesat di dalam hutan.
Masyarakat yang mencintai ilmu
Itai yang pernah menang dalam Pertandingan Saintis Muda dengan mengemukakan rawatan berasaskan herba, masih berhasrat memperdalam ilmu pengetahuannya. Dia menanya Amira dan Jacinta tentang laman web yang memberikan maklumat rawatan berasaskan herba.
Masyarakat yang celik teknologi maklumat dan komunikasi
Amira mengendalikan laman web ibunya dan kerap mengemaskinikan laman tersebut dengan laporan penemuan bahan kajian arkeologi.
Masyarakat yang mementingkan persahabatan -
Amira dan Jacinta bersahabat baik dan menjaga nilai-nilai persahabatan serta saling menghormati dan tidak pernah bersengketa dalam sebarang perkara. Amira dan Itai sanggup mencari ketulan emas untuk dihadiahkan kepada Jacinta walaupun tindakan itu membahayakan diri mereka sendiri.
Masyarakat yang gigih berusaha
Profesor Zaidah, Dr. Zawawi dan pelajar-pelajarnya gigih berusaha untuk mencari gali artifak di tapak kerja lapangan.
Masyarakat yang ikhlas
Pak Lias ikhlas menegur Profesor Zaidah tentang Amira yang seolah-olah diabaikannya. Amira pula memberikan ketulan emas itu kepada Ludin setelah diminta oleh Ludin kerana dia ikhlas dan tiada tujuan lain, selain hendak memberikan ketulan emas tersebut kepada Jacinta sebagai hadiah.
Masyarakat yang mahir dalam perubatan tradisional
Ludin berkemahiran untuk merawat Profesor Zaidah yang terseliuh tangannya hingga sembuh dengan menggunakan perubatan tradisional iaitu daripada buluh, daun kayu dan ramuan daripada akar kayu.

Masyarakat yang mengakui kesalahan atau kesilapan yang telah dilakukan
Masyarakat yang mengakui kesalahan atau kesilapan yang telah dilakukan - Profesor Zaidah mengakui kesilapannya yang mengutamakan kerjanya dan mengabaikan Amira terutamanya selepas dia hampir mati lemas di sungai.

 

NILAI
PERISTIWA
Kecekalan
Walaupun pergelangan tangannya terseliuh selepas terlibat dalam suatu kemalngan, Profesor Zaidah tetap meneruskan usahanya mencari gali bahan arkeologi.
Bantu-membantu
Tau membantu mengesan Jacinta yang hilang ketika mencari Amira yang dihanyutkan oleh arus sungai.
Kasih sayang
Jidin membesarkan Samantha atau Ipah dengan penuh kasih saying walaupun kaumnya tidak menerima Samantha kerana berlainan rupa denga orang asli.
Setia kawan
Amira mengajak Jacinta menghabiskan cuti bersama dengan ibunya di tapak arkeologi di Bukit Mat Raya supaya Jacinta tidak keseorangan di asrama.
Belas kasihan
Ludin amat simpati terhadap Tau yang mengasingkan diri daripada kaumnya kerana kecewa dengan tindakan Ipah yang lari meninggalkannya tanpa sebab.
PENGAJARAN                                                                                        PERISTIWA
Kita hendaklah mengisi masa lapang dengan kegiatan yang berfaedah
Amira dan Jacinta mengisi masa cuti sekolah dengan melibatkan diri dalam kerja-kerja arkeologi di Bukit Mat Raya.
Kita perlu menghulurkan bantuan kepada mereka yang ditimpa musibah
Ludin membantu merawat pergelangan tangan Profesor Zaidah yang terseliuh dengan menggunakan kaedah rawatan herba.
Kita perlu mengamalkan kerja secara berpasukan untuk memastikan usaha kita membuahkan hasil
Amira, Jacinta, dan Itai sering melakukan pekerjaan secara berkumpulan seperti membantu mencari dan mengesan Malique yang hilang.
Kita harus berani bertindak untuk menyelamatkan nyawa
Pak Lias berani berdepan dengan makhluk berbulu tebal yang cuba menyerangnya demi menyelamatkan nywa Amira, Itai, Roslan dan Malique.
Janganlah kita lupa asal usul kita
Itai yang kini melanjutkan pelajarannya dalam bidang perubatan tidak lupa aka nasal usulnya yang pernah dibesarkan oleh Ludin di perkampungan suku Orang asli Semai.
PERSOALAN
PERISTIWA
Kasih sayang seorang bapa terhadap anaknya
Tau akhirnya bertemu dengan anaknya Sabi yang telah dilarikan isterinya Ipah. Tau dapat mengenali Sabi meskipun anaknya itu sudah besar dan ditukarkan nama kepada Malique.
Persahabatan erat antara dua insane berlainan bangsa
Amira dan Jacinta berkawan baik bukan sekadar semasa di sekolah sahaja. Jacinta sering mengikuti ke mana-mana sahaja Amira pergi. Selain itu, banyak rahsia hidup Jacinta diketahui Amira.
Semangat kerjasama dalam melakukan sebarang pekerjaan
Pelajar Profesor Zaidah saling bekerjasama dalam melakukan kerja-kerja arkeologi dan berusaha dengan bersungguh-sungguh agar projek cari gali mereka berjalan lancar.
Kemusnahan hutan mendatangkan kesan yang buruk terhadap kehidupan manusia
Kemalangan yang menimpa Pak Lias dan Profesor Zaidah apabila kenderaan yang dinaiki oleh mereka dihanyutkan oleh arus lumpur yang deras. Hal ini membuktikan bahawa kemusnahan alam sekitar member kesan buruk kepada kehidupan kita.
Hutan menyimpan pelbagai khazanah yang berharga
Pergelangan tangan Profesor Zaidah yang terseliuh disembuhkan dengan menggunakan daun-daun herba yang diambil dari hutan oleh Ludin.
Sikap tamak manusia yang mementingkan keuntungan berbanding kesejahteraan alam sekitar
Tindakan John O’Hara yang berusaha mencari gali emas akan menyebabkan kawasan hutan musnah .

 

 

UNSUR GAYA BAHASA  NOVEL KEMBARA AMIRA
CONTOH
Simile

 Nafasnya naik turun kerana bagai mengejar kelajuan Itai melangkah.

Personifikasi

menyebabkan haiwan itu meraung dan dia akan tersedar dari tidurnya.

Hiperbola

“Aku minta maaf kerana apa yang telah berlaku kerana ketika itu aku bukan manusia. Aku masih dipengaruhi oleh roh beruang yang menguasai kulit itu”


“Aku minta maaf kerana apa yang telah berlaku kerana ketika itu aku bukan manusia. Aku masih dipengaruhi oleh roh beruang yang menguasai kulit itu”

Sinkope
 “Oi... kau tak teringin benda ni?” Amira bersuara dengan kuat untuk menarik perhatian Jacinta

Inversi

di sana kamu nanti semua boleh lihat sendiri apa yang saya maksudkan.

Peribahasa
Akhirnya ikan akan pulang ke lubuk jua walaupun kita cuba menghalang takdir.


No comments:

Post a Comment