Karangan Jenis Rencana
Cara-Cara Mengukuhkan Perpaduan Dalam
Kalangan Rakyat
Oleh: Muin Mohsein
Kalah jadi abu menang jadi arang.Demikianlah ungkapan sebuah peribahasa
Melayu yang menggambarkan betapa sesuatu pergaduhan dan pertelingkahan pasti
akan membawa kemusnahan kepada kedua-dua pihak. Peristiwa 13 Mei 1969 telah
menjadi titik hitam dalam sejarah Malaysia. Begitu juga peristiwa Kampung
Medan, Kuala Lumpur pada Mac 2001 yang telah menggoyahkan integrasi kaum bagi
masyarakat majmuk di Malaysia. Hal ini telah menarik perhatian Menteri
Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat yang menyatakan bahawa perpaduan
kaum asas kemakmuran dan kemajuan sesebuah negara. Menurut Kamus Dewan
perpaduan bermaksud penggabungan kaum di sesebuah negara yang dapat mewujudkan
suatu bangsa yang bersatu padu, harmonis dan mendukung aspirasi nasional. Pada masa kini majoriti penduduk mulai cinta akan keamanan kerana tidak
mahu pisang berbuah dua kali. Lantaran itu, langkah-langkah yang ampuh dan
kompeten perlu diimplementasikan untuk memastikan perpaduan kaum di negara ini
terus utuh kerana “Bersatu Teguh, Bercerai Kita Roboh.” Persoalannya, apakah
cara-caranya?
Inisiatif dominan yang boleh
dijalankan bagi mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini
adalah melalui penggunaan satu bahasa sebagai bahasa rasmi dan bahasa pengantar
dalam pertuturan mahupun ketika proses
pengajaran di sekolah. Lampu Aladdin tidak bersinar dengan sendiri tetapi
Aladdin yang menggosoknya terlebih dahulu! Usaha ini boleh dilakukan melalui
sistem pendidikan di sekolah dengan penggunaan bahasa Malayu sebagai bahasa
pengantar dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Langkah ini dapat menghapuskan tembok pemisah antara kaum di negara ini dan
seterusnya meningkatakan kesejahteraan dan perhubungan di antara kaum. Sebagai
uswah, apabila seseorang bangsa bukan Melayu bertutur dengan seorang bangsa
Melayu dalam bahasa Malaysia, secara tidak langsung perasaan saling memahami
akan wujud. Sesungguhnya bahasa
menunjukkan bangsa dan bahasa jiwa bangsa. Langkah ini amat penting
dilaksanakan agar rakyat Malaysia yang
berbilang kaum dapat hidup bersama serta mengamalkan prinsip bulat air kerana
pembentang, bulat manusia kerana muafakat. Apabila semua rakyat saling memahami
dan memiliki satu cita rasa maka matlamat untuk membentuk negara yang aman dan
unik akan terlaksana. Izharnya, perahu sudah di air, pendayung sudah di tangan
maka dayungilah ke arah satu matlamat.
Pada masa yang sama,
pelaksanaan kurikulum kebangsaan juga dapat memupuk perpaduan dalam kalangan
rakyat. Hal ini demikian kerana penggunaan sukatan pelajaran yang sama adalah
selaras dengan Falfasah Pendidikan Negara yang ingin melahirkan pelajar
seimbang dan harmonis dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Pelaksanaa
kurikulum ini perlulah merangkumi berbagai-bagai peringkat pendidikan iaitu
prasekolah, rendah, menengah dan juga pendidikan tinggi. Cuba kita bayangkan
apabila sukatan pelajaran yang sama digunakan, mereka yang berlainan kaum dan
sekolah juga dapat membincangkan kerja sekolah bersama-sama. Keadaan ini
seterusnya akan dapat mewujudkan perasaan cinta akan negara yang mendalam di
hati pelajar dan dapat mendukung prinsip hujan emas di negeri orang, hujan batu
di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri. Sudah terang lagikan bersuluh
bahawa, setiap generasi muda hendaklah ditanamkan dalam jiwa mereka semangat
perpaduan kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya.
Seperkara lagi, perpaduan dapat diperkukuh melalui kegiatan kokurikulum di sekolah dan institusi
pengajian tinggi. Mengapakah dikatakan begitu? Hal ini demikian kerana melalui
kegiatan kokurikulum, pelajar yang berbilang kaum dapat bergaul dan
berinteraksi antara satu sama lain serta dapat menanam bibit kerjasama. Pada
masa yang sama ini akan menghapuskan bibit-bibit pertelagahan. Sepatutnya
amalan nenek moyang hendaklah dipertahankan seperti resmi hidup; berat sama
dipikul, ringan sama dijinjing dan ke bukit sama didaki, ke lurah sama
dituruni. Hal ini dapat dilihat apabila mereka membimbing sesuatu persatuan itu
bersama-sama ke arah kemajuan. Manusia tidak boleh mengamalkan gaya hidup
secara nafsi-nafsi bagai aur dengan tebing. Ibarat enggang sama enggang, pipit
sama pipit. Dengan itu, kita yakin apabila semua anggota masyarakat faham akan
maksud perpaduan nescaya kehidupan kita akan menjadi lebih selesa, riang dan
harmoni. Ghalibnya, hubungan bagai aur dengan tebing pasti dapat disuburkan ke
dalam sanubari rakyat Malaysia.
Usaha seterusnya yang
tidak boleh diabaikan adalah melalui penubuhan sekolah wawasan dan sekolah
integrasi yang terbukti dapat memupuk
semangat perpaduan dalam kalangan rakyat. Hal ini demikian kerana sekolah ini
menempatkan ketiga-tiga aliran sekolah yang berlainan di tempat yang sama tanpa
mengira keturunan. Hal ini amat realistik kerana setiap individu yang bermula
dari alam kanak-kanak lagi telah mula mengenali dan memahami sedikit banyak
corak budaya, bahasa dana tradisi setiap kaum sepanjang mereka berada di alam
persekolahan. Sekolah Wawasan di negara ini adalah seperti Sekolah
Wawasan Lurah Bilut di Pahang dan Sekolah Wawasan Teluk Sengat di Johor. Menurut falsafah Tao, “Untuk hidup setahun
tanamlah gandum, untuk hidup sepuluh tahun tanamlah pokok dan untuk hidup
selama-lamanya tanamlah jiwa manusia”.
Pengajaran daripada falsafah ini ialah kita hendaklah memiliki program
pendidikan jangka panjang untuk membentuk rakyat yang bersatu padu. Jelaslah bahawa Sekolah Wawasan merupakan
landasan terbaik untuk mewujudkan perpaduan di peringkat primer lagi kerana
melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Usaha terakhir yang
dianggap signifikan ialah, perpaduan dapat diperkukuh melalui aktiviti sosial
yang bercorak kemasyarakatan seperti amalan rumah terbuka yang diadakan pada
hari-hari perayaan. Tak tumbuh tak
melata, tak sungguh orang tak kata! Hal ini kerana melalui amalan ini akan
wujudlah hubungan bagai isi dengan kuku atau seperti pendayung dengan
sampan. Amalan ini membolehkan kaum-kaum
yang berlainan saling mengunjungi pada hari perayaan untuk mengeratkan hubungan
dan lebih memahami budaya kaum lain.
Amalan ini seterusnya akan dapat memupuk nilai kerjasama,
faham-memahami, tolong-menolong, sikap kekitaan dan sebagainya. Aktiviti seperti ini akan dapat mewujudkan
hubungan yang sangat akrab ibarat orang memiat daging, sakit di orang sakitlah
di awak atau bak kata pepatah; cubit paha kiri, paha kanan terasa sakit
juga. Dengan ini, integrasi
kemalaysiaan dapat direalisasikan dan
kita dapat hidup bagai telur sesangkar, pecah sebiji pecah semuanya.
Sebagai penutup wacana, ,
sikap toleransi dan sentimen terhadap kaum sendiri akan membawa kepada
kehancuran dan perpecahan antara kaum. Sesungguhnya perpaduan menuntut
pengorbanan dan komitmen semua pihak. “Tidak guna tidur sebantal kalau mimpi
berbeza-beza, lebih baik berlainan bantal namun dalam mimpi yang sama”. Walaupun tidak sama dari segi warna kulit,
agama, kepercayaan dan budaya namun rakyat Malaysia haruslah mementingkan
perpaduan kerana perpaduan menjadi agenda penting negara yang menjadi teras
dan paksi serta pemacu kejayaan aspirasi
nasional. Hal ini penting agar negara kita duduk sama rendah, berdiri sama
tinggi dengan negara-negara lain. Sebagai rakyat Malaysia, kita mestilah
berpegang pada prinsip di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Akhirnya
renungilah kata-kata bekas Presiden Amerika Syarikat ini; usah ditanya apakah
sumbangan negara kepada anda, sebaliknya bertanyalah apakah sumbangan anda kepada negara?
No comments:
Post a Comment