Baca rencana di bawah dan
buat satu rumusan tentang kepentingan
hutan semulajadi di negara kita dan langkah-langkah untuk mengatasi kepupusan hutan.
Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Hutan semula jadi di negara merupakan salah
satu daripada hutan yang tertua di dunia. Usianya yang melebihi 2 juta tahun
menjadi eset yang amat berharga kepada negara. Pelbagai jenis tumbuhan dari
jenis kayu keras terdapat di kawasan hutan ini seperti pokok cengal, meranti,
balau dan sebagainya. Secara tidak langsung keadaan ini menggambarkan bahawa
hutan amat perlu untuk diawasi agar tidak pupus memandangkan hutan dapat
menjadi daya tarikan kepada para pelancong untuk melancong ke negara kita.
Dalam masa yang sama, tumbuhan
semulajadi di negara kita turut menjadi tempat pembiakan haiwan liar supaya
tidak pupus. Haiwan utama yang terdapat di sini termasuklah gajah, kuda,
harimau dan beberapa spesies lain yang tidak terdapat di negara lain. Menurut
beberapa orang pengkaji, keunikan haiwan ini mampu terus dikekalkan jika amalan
penjagaan hutan terus dijalankan. Dalam pada itu, penjagaan hutan juga mampu menyediakan
kawasan tadahan hujan yang luas serta sumber air bersih untuk kegunaan
penduduk. Sumber air daripada hutan ini masih bersih kerana kebanyakan hutan di
Malaysia masih belum tercemar.
Menurut seorang pengkaji
biotumbuhan iaitu Professor K.L Jessey dari Universiti John Hopkin Amerika
Syarikat, tumbuhan semulajadi mampu menyederhanakan suhu di sesebuah kawasan
sehingga 5 darjah selsius. Fungsi hutan ini bukanlah kecil memandangkan era
pemanasan global semakin kelihatan pada masa sekarang. Dalam masa yang sama,
selain berfungsi menyederhanakan suhu, hutan juga dapat mengawal kadar
pencemaran yang terlalu tinggi dengan menyerap gas-gas karbon monoksida serta
membebaskan gas oksigen ke dalam udara. Dengan cara ini, kandungan udara
menjadi lebih stabil dan bersih serta sesuai untuk kehidupan manusia.
Di beberapa buah kawasan hutan
di Malaysia, terdapat juga beberapa kelompok masyarakat yang tinggal di situ.
Mereka menjadikan kawasan hutan sebagai tempat tinggal mereka khususnya kaum
asli di kawasan pedalaman. Apa yang menarik, kebanyakan mereka masih
mengamalkan ciri-ciri budaya tradisi yang diwarisi sejak berkurun-kurun
lamanya. Budaya masyarakat ini perlu dikekalkan dan dikaji sebagai satu cara
untuk mengekalkannya kepada generasi yang akan datang.
Namun begitu, dalam kesibukan
dan kegairahan kita mengejar kemajuan hidup, kadang kala hutan turut menerima
musibah yang nyata. Banyak kawasan hutan di negara kita telah ditebang untuk
pelbagai tujuan. Antaranya adalah bagi tujuan pertanian, pembinaan kawasan
petempatan, perindustrian dan sebagainya. Justeru, jika hutan tidak dijaga dan
dikawalselia, tidak hairanlah jika satu hari nanti keluasan hutan di Malaysia
akan semakin berkurangan dan akhirnya pupus.
No comments:
Post a Comment