Cara-cara Menyayangi Sekolah
Tidak merosakkan harta
benda sekolah
Mematuhi peraturan-peraturan sekolah
Menaikkan nama sekolah
Sekolah
merupakan institusi yang diwujudkan untuk menyediakan pendidikan berkualiti
bagi melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan
intelek selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pendidikan yang
disediakan kepada anak-anak di sekolah mampu menyediakan modal insan yang
berilmu pengetahuan. Hal ini selari dengan aspirasi Perdana Menteri,
Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang berazam untuk menyediakan pendidikan
yang berkualiti kepada anak-anak agar mereka mampu bersaing dalam dunia
globalisasi yang semakin mencabar kini. Hasrat ini dapat direalisasikan jika
murid-murid menunjukkan rasa sayang akan sekolah masing-masing. Pada pendapat
saya, pelbagai cara boleh dilakukan oleh murid-murid untuk menyayangi sekolah.
Seseorang
murid menunjukkan rasa sayang akan sekolah jika mereka tidak merosakkan harta
benda yang disediakan. Harta benda sekolah seperti meja, kerusi, tandas,
telefon, peralatan sukan dan sebagainya perlu dijaga dengan baik. Hal ini kerana
harta benda sekolah merupakan aset negara yang perlu dikongsi secara bersama
dengan murid-murid lain selain memerlukan bajet yang tinggi untuk
menyediakannya. Jika murid-murid melakukan vandalisme, iaitu merosakkan harta
benda sekolah, kerajaan terpaksa menyediakan peruntukan lain untuk membaiki
kerosakan tersebut. Hal ini sudah tentu akan merugikan kerajaan kerana
peruntukan yang disalurkan untuk sektor lain terpaksa diambil untuk membaik
pulih kerosakan tersebut. Sebagai buktinya, Kementerian Pelajaran telah
memaklumkan bahawa kerajaan terpaksa membelanjakan sejumlah RM12.5 juta pada
tahun lalu untuk membaiki kerosakan harta benda sekolah. Keadaan ini sangat
mendukacitakan kerana peruntukan tersebut sepatutnya boleh disalurkan untuk
menyediakan kemudahan lain kepada murid agar mereka dapat belajar dengan
sempurna. Jadi jelas menunjukkan bahawa menjaga harta benda sekolah dengan baik
merupakan cara yang boleh ditunjukkan oleh murid sebagai tanda menyayangi
sekolah.
Selain
itu, murid-murid juga boleh menunjukkan rasa sayang akan sekolah dengan cara
mematuhi peraturan sekolah. Peraturan yang digubal oleh pihak sekolah adalah
untuk mendidik murid supaya berdisiplin dan menjadi insan yang sempurna.
Segelintir murid menganggap peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah adalah
untuk menyekat kebebasan mereka sebagai orang muda. Mereka menganggap jiwa
remaja tidak harus disekat dan mereka bebas untuk melakukan sesuatu bagi
memenuhi tuntutan remaja. Tanggapan sedemikian adalah salah kerana peraturan
yang digubal mampu membina jati diri murid yang kukuh. Peraturan yang dirangka
oleh pihak sekolah sebenarnya adalah untuk memudahkan pengurusan murid serta
mengelakkan murid terlibat dengan salah saku disiplin kerana boleh menjejaskan
proses pembelajaran di dalam kelas. Sebagai contoh, jika pelajar bergaduh
di asrama dan kes tersebut tersebar di akhbar, sudah tentu murid tersebut akan
dikenakan tindakan disiplin seperti gantung persekolahan atau buang sekolah.
Kes tersebut secara tidak langsung telah menggelapkan masa depan murid
dan pada masa yang sama telah mencemarkan nama baik sekolah. Oleh itu,
murid-murid perlu mematuhi peraturan supaya nama baik sekolah dapat dijaga
sekali gus menunjukkan rasa sayang pada sekolah.
Di
samping itu, menaikkan nama sekolah di pentas nasional dan antarabangsa juga
merupakan cara yang boleh ditunjukkan untuk menyayangi sekolah. Selain
bertanggungjawab menjaga nama baik sekolah, murid-murid juga perlu menaikkan
nama sekolah dengan kejayaan-kejayaan sama ada dalam bidang kurikulum atau
kokurikulum. Kejayaan-kejayaan yang ditempa oleh pelajar dapat menaikkan imej
sekolah pada kaca mata komuniti. Sekolah lain akan datang melawat untuk
melihat kejayaan-kejayaan yang telah dicapai. Lebih manis lagi, sekolah akan
diberikan anugerah oleh pihak kementerian atas kejayaan yang diraih. Sebagai
contoh, kejayaan Mohd Ammar Mokhtar mewakili negara ke Cape Town , Afrika Selatan dalam pertandingan
berkaitan dengan neurologi telah menaikkan nama Sekolah Menengah Sains Tengku
Muhammad Faris Petra di pentas antarabangsa. Kejayaan Mohd Ammar itu
menyebabkan Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra telah dipilih
sekolah angkat Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai jaringan dengan
institusi pengajian tinggi. Jadi, sudah terang lagi bersuluh bahawa
pelajar boleh menunjukkan cara menyayangi sekolah mereka dengan cara menaikkan
nama sekolah.
Kesimpulannya,
murid-murid bertanggungjawab terhadap sekolah mereka. Mereka perlu menyayangi
sekolah masing-masing kerana di situlah tempat mereka menimba ilmu dan membina
masa depan. Sekolah juga menjadi tempat murid-murid mengaut pengalaman untuk
menjadi insan yang seimbang. Jadi, tugas menjaga nama baik sekolah perlu
menjadi keutamaan murid-murid. Jangan jadi seperti kacang lupakan kulit kerana
kejayaan seseorang adalah bermula daripada seorang guru sekolah.
No comments:
Post a Comment