“Anak ibarat kain putih, ibu bapalah
yang akan mencorakkannya”.
Jelaskan pendapat anda tentang ungkapan di atas.
Jelaskan pendapat anda tentang ungkapan di atas.
Anak merupakan kurniaan Tuhan yang paling berharga. Kehadiran setiap anak dalam keluarga lazimnya mewarnai kehidupan berumah tangga kerana cahaya mata merupakan harapan ibu bapa yang utama. Walau bagaimanapun, ibu bapa harus sedar bahawa anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang harus mencorakkannya. Ungkapan ini memainkan peranan yang penting dalam menjalankan tanggungjawab keibubapaan. Oleh sebab itu, ibu bapa haruslah memikul tanggungjawab untuk membina generasi baharu yang lebih berkualiti sebagai pemimpin masa depan negara kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.
Ibu
bapa mestilah menjaga anak-anak mereka dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh. Hal
ini dikatakan penting kerana kasih sayang yang dicurahkan oleh ibu bapa mampu
menyedarkan anak-anak tentang betapa pentingnya institusi kekeluargaan demi
membina masyarakat yang berkualiti. Mengikut kajian yang dijalankan, lebih 60
peratus anak muda yang terlibat dalam gejala sosial terdiri daripada golongan
yang kehausan kasih sayang ibu bapa. Oleh sebab itu, anak-anak harus disayangi
dan dijaga dengan baik supaya mereka mudah berasa bersalah dan akan berfikir
demi ibu bapa sebelum melakukan perbuatan yang buruk yang mampu menconteng arang di muka ibu bapa.
Selain
itu, ibu bapa turut memainkan peranan penting untuk memberikan pendidikan
kepada anak-anak. Hal ini dikatakan demikian kerana pendidikan yang berkualiti
dapat menjamin masa depan anak-anak. Pada kebiasaannya, ibu bapa mula
menghantar anak-anak ke tadika sejak umur mereka tiga tahun lagi. Ibu bapa
sedar bahawa melentur buluh biarlah
dari rebungnya. Dengan ilmu pengetahuan yang dimiliki apabila
masuk ke menara gading,
anak-anak dapat menjaga ibu bapa dan menjamin masa depan mereka. Oleh itu, ibu
bapa haruslah mementingkan pelajaran anak-anak mereka.
Ilmu
agama merupakan salah satu ajaran yang perlu disalurkan oleh ibu bapa ke dalam
sanubari anak-anak mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana pegangan agama
yang kuat dalam diri seseorang anak akan memperteguh keimanan mereka untuk
menghadapi dugaan hidup. Oleh hal yang demikian, ibu bapa haruslah memberikan
didikan agama dan moral kepada anak-anak mereka supaya anak-anak tahu
membezakan yang mana kaca, yang mana
permata. Secara tidak langsung, mereka tidak akan menjerumuskan
diri dalam kancah jenayah kerana sedar bahawa manusia punya asa, Tuhan punya kuasa. Dengan ini,
masalah sosial dan jenayah dalam masyarakat kita akan berkurangan kerana ibu
bapa telah menjadi pembimbing dan menunjukkan jalan hidup yang betul kepada
anak-anak.
Konklusinya, ibu bapa
haruslah memerhatikan gerak-geri anak mereka sejak kecil lagi. Saya yakin
bahawa tiada seorang pun ibu bapa yang mahu melihat anak mereka tergelincir
daripada landasan hidup yang betul. Oleh sebab itu, para ibu bapa haruslah
digalakkan menyertai bengkel keibubapaan dan kursus yang berkaitan dengan
tanggungjawab ibu bapa mencorak anak-anak menjadi modal insan yang mulia demi
masa depan anak-anak mereka. Dengan perkataan lain, segala tindakan ibu bapa
terhadap anak mereka bakal memberikan impak yang besar dalam kehidupan anak
mereka. Demikianlah kebenaran ungkapan anak
ibarat kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakkannya
No comments:
Post a Comment