Pages

Enjin Carian

Sunday, 3 November 2013

KARANGAN FOKUS SPM 2013

CARA MENGGALAKKAN AKTIVITI MEMBACA

               Membaca merupakan amalan mulia yang perlu ada di kalangan masyarakat. Dengan mengamalkan budaya membaca diharapkan rakyat akan dapat menambahkan ilmu pengetahuan. Budaya membaca ini masih dianggap remeh oleh sebahagian masyarakat walaupun, isu ini kerap dibincangkan dalam media massa. Oleh itu, beberapa cara perlu dilaksanakan agar aktiviti membaca menjadi budaya masyarakat.

               Budaya membaca perlu bermula dari rumah kerana ibu bapa merupakan pihak pertama yang berupaya membentuk budaya membaca seseorang individu. Suasana keluarga juga amat mempengaruhi anak-anak terutama daripada segi amalan membaca. Oleh itu, ibu bapa wajar membelikan buku untuk bacaan anak-anak sejak mereka kecil lagi.. lbu bapa boleh membaca bersama anak-anak kerana aktiviti sebegini menyeronokkan anak-anak dan ia dapat menggalakkan anak-anak membaca.

               Selain keluarga, masyarakat juga berperanan mempengaruhi generasi muda agar gemar membaca. Masyarakat mesti menjadikan aktiviti membaca sebagai budaya hidup seharian. Aktiviti membaca semasa menunggu bas dan ketika dalam kenderaan seperti yang dilakukan oleh rakyat Jepun patut diamalkan oleh masyarakat di negara kita kerana aktiviti ini banyak kebaikannya. Dengan melakukan aktiviti pembacaan pada setiap masa, maka akan terbentuklah masyarakat yang berilmu.

               Selain itu, Kementerian Pelajaran juga boleh memainkan peranan. Contohnya, Kementerian Pelajaran boleh menggalakkan aktiviti membaca di kalangan pelajar dengan mengadakan pelbagai pertandingan yang berbentuk ilmu pengetahuan seperti pertandingan kuiz dan pertandingan mengarang. Pihak Kementerian Pelajaran juga perlu melengkapkan perpustakaan sekolah dengan buku-buku yang menarik dan berkualiti bagi mendorong pelajar untuk membaca. Pada setiap perhimpunan mingguan, pengetua sekolah wajar mengingatkan pelajar tentang budaya membaca dalam kehidupan seharian.

               Di samping itu, pihak kerajaan juga boleh memainkan peranan. Hal ini kerana pihak kerajaan mempunyai sumber kewangan bagi melaksanakan program yang dapat menimbulkan minat membaca di kalangan masyarakat. Contohnya, pihak kerajaan boleh memperbanyakkan perkhidmatan Perpustakaan Bergerak di kampung-kampung yang tiada perpustakaan awam. Sesungguhnya, sesebuah negara akan maju jika masyarakat mempunyai banyak pengetahuan dalam pelbagai bidang.

               Media massa juga boleh memainkan peranan dalam membentuk budaya membaca. Hal ini kerana media massa dapat mempengaruhi minda penonton atau audiens. Oleh itu, pihak media massa perlu menyokong usaha kerajaan untuk membentuk budaya membaca dalam masyarakat seperti menyiarkan rencana tentang kebaikan membaca. Pada masa yang sama, harga surat khabar dan majalah juga mestilah berpatutan dan mampu dibeli oleh semua golongan masyarakat.


6 comments: